Penganiayaan Murni Yang Cukup Busuk
KANGAR: Lembaga Biasiswa Negeri Perlis, hari ini menghalalkan hutang Allahyarham Mohd Zamberi Saad, berikutan kesulitan ibu dan balunya untuk menjelaskan baki pinjaman pelajaran berjumlah RM15,000 yang tertunggak sejak 2001.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, mengumumkan keputusan itu kepada ibunya, Wan Tom Wan Hamid, 75, dan balunya, Sham Hassan, 39, ketika menziarahi mereka di Banggol Sena, Chuping dekat sini, hari ini.
Ketika pertemuan itu, beliau turut menyerahkan sijil hapus kira hutang itu kepada Wan Tom dengan disaksikan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Musa Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis, Mansor Jusoh.
Md Isa turut menyampaikan sumbangan beras kepada Wan Tom dan wang tunai kepada empat anak Allahyarham Mohd Zamberi yang pernah bertugas di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum kematiannya di Hospital Kuala Lumpur akibat kanser pada 6 Jun 2001.
Ketika ditemui, Sham berkata, Allahyarham suaminya membuat pinjaman RM20,000 daripada Lembaga Biasiswa Negeri Perlis untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dalam bidang Teknologi Maklumat pada awal tahun 90-an dan selepas itu menjadi tutor di UUM.
Selepas dua tahun, Mohd Zamberi melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Nottingham di England dan kembali semula ke UUM sebagai seorang pensyarah selama empat tahun sebelum menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di Universiti Leeds, England.
Selepas lapan bulan di Universiti Leeds, beliau dikesan menghidap kanser lalu kembali ke tanah air untuk mendapat rawatan dan meninggal dunia di Kuala Lumpur pada usia 32 tahun.
Sham berkata, bahawa ketika hayatnya, Mohd Zamberi sudah membayar hutang pelajarannya dengan sempurna namun selepas kematian suaminya itu, beliau tidak berupaya untuk menjelaskan hutang berkenaan disebabkan kesempitan hidup.
Sham dan Wan Tom bersyukur kerana kerajaan negeri menghalalkan baki hutang Allahyarham Mohd Zamberi untuk meringankan beban kehidupan mereka.
“Selama ini kami sentiasa berfikir bagaimana untuk menjelaskan baki hutang itu. Saya dah tua,” kata Wan Tom. – Bernama
Sumber: Berita Harian 24/12/09
Penganiayaan murni yang cukup busuk
Inilah permainan politik yang cukup memualkan. Setelah melalaikan tanggungjawab hakiki sebagai pemimpin dan menindas rakyat, mereka kemudian melepaskan rakyat yang dipilih, dari kehimpitan hidup untuk menunjukkan ‘dekatnya’ pemimpin kepada rakyat serta keprihatinan mereka terhadap rakyat.
Sedarlah wahai kaum Muslimin, seharusnya, adalah menjadi kewajiban atas negara untuk menyediakan keperluan asas seperti pendidikan, tidak kira sejauh mana tahap yang hendak dicapai, secara percuma bagi rakyat. Kita mengetahui bahawa solat merupakan satu kefardhuan. Begitu juga menuntut ilmu merupakan satu kefarduan. Cuma bezanya, menuntut ilmu memerlukan wang untuk direalisasikan. Oleh kerana pendidikan merupakan satu kewajiban yang harus disediakan oleh negara, maka apa-apa bebanan kewangan untuk merealisasikannya juga harus ditanggung oleh negara. Namun begitu, telah menjadi resam sekarang, bahawa rakyatlah yang perlu bertungkus lumus memberikan keuntungan kepada para kapitalis.
Wahai kaum Muslimin, janganlah kita terpedaya dan memuji keputusan untuk menghalalkan hutang tersebut, kerana hakikatnya, tidak boleh berlaku seorang pelajar berhutang dengan negaranya untuk melakukan kefardhuan ini. Hakikatnya, tidak pernah terjadi di bawah pemerintahan Islam selama lebih 1300 tahun di mana rakyat meminjam dari negara untuk memenuhi kefardhuan yang seharusnya disediakan oleh negara secara percuma. Sejarah telah mengukirkan banyak cendiakawan Islam yang terhasil dari penyediaan prasarana pendidikan yang disediakan sepenuhnya secara percuma oleh Daulah Khilafah.
Inilah yang sepatutnya terjadi. Namun, apa yang kita lihat adalah negara kapitalis yang lalai dan menindas cuba memenangi hati rakyat dengan menunjukkan keperihatinannya melepaskan bebanan seorang muslim. Seharusnya negara melepaskan bebanan bagi seluruh rakyatnya dan berhukum hanya dengan hukum yang diturunkan oleh Allah swt.