Wasatiyah Dalam Sekulerisme

Sikap sederhana lahir 1Ummah berpaksi iman tanpa abai kebajikan rakyat

PUTRAJAYA:Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam di negara ini menghayati dan mengamalkan konsep wasatiyah, iaitu sederhana, pertengahan dan seimbang, yang akan melahirkan 1Ummah yang progresif berpaksikan kepada kekuatan iman tanpa mengabaikan kebajikan rakyat berbilang bangsa dan agama. Sambil memetik maksud ayat 143 Surah al-Baqarah, Perdana Menteri berkata dalam ayat itu, umat Islam disebut sebagai umat pertengahan atau ‘ummatan wasatan’ iaitu sederhana dalam pembawaannya, tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaannya selain akhlak dan amalan yang baik dunia serta akhirat. Beliau berkata,  konsep wasatiyah itu sangat digalakkan oleh Islam kerana perbuatan yang lebih daripada yang sepatutnya dianggap melampau, manakala berkurangan dianggap kecuaian.

“Maka umat Islam tidak boleh jumud dan ekstrem, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama ulama dan umara dan pelancaran Gagasan 1Malaysia dan Logo 1Ummah peringkat agensi agama seluruh negara di sini, semalam.

 Turut hadir Menteri di  Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; ketua agensi agama, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta kira-kira 1,000 membabitkan mufti, ulama terkemuka negara, ahli agama dan pegawai kerajaan. Najib turut mengadakan sesi dialog tertutup dengan ulama pada majlis berkenaan. Beliau berkata,  konsep wasatiyah menekankan kepada amalan ajaran Islam secara sederhana, berimbang dan syumul dalam semua kegiatan hidup individu dan masyarakat dengan memberi penekanan kepada meningkatkan kualiti kehidupan ummah dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan dan perpaduan. Najib juga berkata, bersesuaian dengan slogan pencapaian diutamakan, konsep wasatiyah akan merealisasikan ajaran Islam yang lebih komprehensif dan syumul serta berimbang antara pelbagai tuntutan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh.

Perdana Menteri juga berharap NGO Islam memainkan peranan dan tanggungjawab sosial dalam membantu kerajaan menjelaskan dasarnya termasuk gagasan 1Malaysia sehingga ke peringkat akar umbi.. “Sebagai manifestasi sokongan kerajaan kepada peranan NGO Islam, kerajaan bercadang untuk memberikan sumbangan kewangan kepada beberapa NGO Islam bagi melaksanakan aktiviti masyarakat dan dakwah di negara ini,” katanya. Beliau berkata, gagasan 1Malaysia adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan salam sirah pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad. Mengenai isu semasa yang berkait dengan umat Islam seperti penggunaan kalimah Allah, cubaan membakar gereja dan surau serta kejadian meletak kepala babi dekat masjid, Najib berkata ia adalah cubaan pihak tertentu untuk menggugat kestabilan dan hubungan kaum di negara ini. Bagaimanapun, katanya, dengan bermodalkan penerimaan sesama bangsa, pelbagai cabaran agama dan kaum itu berjaya ditangani secara berhemah.

Sumber:  Berita Harian Online 6/2/2010

Wasatiyah Dalam Sekulerisme

Nampaknya Najib mula mengulang bunga silat Pak Lah, teori dan konsep yang sama digunakan iaitu meng”islami”kan slogan dan cogankata yang pastinya bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat. Kalau dulunya Pak Lah berkobar-kobar dengan perjuangan “Hadhari”-nya yang kini tinggal sejarah, sekarang Najib mula dengan bunga silat yang diberi nama “Wasatiyah” bagi mengukuhkan ajaran 1 Malaysia-nya. Ayat 143 Surah al-Baqarah diselewengkannya terang-terangan di hadapan sekalian ulama’nya yang terpilih. Ulama’-ulama’ tersebut diam membisu, setuju atau tidak ditolak ketepi kerana sikap mengampu yang sudah sebati dalam diri mereka..  Tidak sedarkah ulama’-ulama’ tersebut bahawa Allahkah yang seharusnya mereka taati dan bukannya sosok manusia yang lemah tetapi angkuh? Apakah mereka ingin bertemu Allah dengan memegang status sebagai ulama’ su’  yang terhormat di Malaysia???

Sedarlah wahai kaum Muslimin yang ikhlas memperjuangkan Islam, ulama’-ulama’ su’
yang sedemikian ramai tidak boleh diharapkan sedikit pun untuk mengembalikan kemuliaan Islam!! Bangkitlah kalian dari angan-angan demokrasi yang tidak berpijak di bumi nyata. Selagi sistem sekular demokrasi ini mendominasi kehidupan umat Islam, selama itulah kemuliaan Islam tidak akan tercapai, selama itulah kezaliman menjadi tatacara pemerintahan dan selama itulah Al-Quran dan as-Sunnah akan terus diketepikan….

Ayuh wahai umat Muhammad yang ikhlas!! Buanglah sekularisme jauh-jauh dan rangkullah manhaj(jalan) dakwah Rasulullah SAW, dakwah pemikiran bagi mendapatkan dukungan umat untuk menegakkan kembali Khilafah Islam. Kembalinya Khilafah adalah janji Allah dan Rasul-Nya, dengan sabda baginda;
 

 ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ
“Kemudian akan tertegak Khilafah mengikut manhaj kenabian..”[Hadis Riwayat Ahmad]