Shahrizat Berangan Mak Jenin?

IDEA MAK JENIN DI DALAM ISU PEMBUANGAN BAYI

PETALING JAYA
28 Mac — Empat strategi — advokasi, pencegahan, sokongan dan penyelidikan akan digunapakai bagi menangani isu pembuangan bayi yang dilaporkan berleluasa sejak kebelakangan ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi yang terlibat bagi melaksanakan strategi itu dalam isu pembuangan bayi.  “Advokasi tentang institusi keluarga diperlukan untuk mengatasi pengabaian, penderaan dan pembuangan kanak-kanak dan perbuatan tersebut dianggap sudah bukan lagi budaya rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri “Karnival Utamakan Keluarga : Sehati, Sejiwa Untuk Keluarga” di sini, hari ini.   Katanya, strategi pencegahan juga perlu bagi memberikan kefahaman terhadap ilmu agama dan kesan terhadap seks bebas.  Beliau berkata, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengetengahkan kurikulum kepada semua remaja perempuan terhadap hubungan intim dan kesannya secara ilmiah.  Shahrizat turut menasihati golongan muda supaya mendalami ilmu dan berpegang kepada ajaran agama supaya tidak terus hanyut dengan nafsu muda. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia, 28/03/10

Shahrizat Berangan Mak Jenin?

Bunyinya agak kasar. Tetapi itulah realitinya. Idea nampak canggih, hebat dan sangat intelektual, tetapi sayang ia langsung tidak menyentuh asas dan akar kepada masalah sosial yang bertimpa-timpa melanda generasi muda pada hari ini yang nampaknya akan terus parah. Lebih malang lagi, tidak ada satu pun strategi yang diambil itu menjurus kepada perubahan sistem yang digunapakai pada hari ini. Sedangkan hakikatnya, punca kepada masalah adalah penerapan sistem sekular kapitalisme.  Inilah barah yang memunculkan penyakit sosial sebagai satu gejala yang melanda masyarakat hari ini. Inilah hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh Sharizat. Wahai Sharizat! Sistem yang kamu dokong hari inilah yang menjadi punca kepada segala-galanya. Masyarakat tidak diatur dengan sistem pergaulan Islam. Malah, lebih teruk lagi generasi muda dibiarkan bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka inginkan. Jika adapun tindakan dan pencegahan yang diambil, ia bukannya langkah penyelesaian yang betul, malahan sebaliknya racun yang dicurahkan kepada golongan  ini. Maka dengan itu, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan jika masalah dan penyakit masyarakat terus bertambah parah. Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang berpaling engkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Taha (20) : 124].