Ada apa dengan parti demokratik?
SIBU 13 Mei – Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukanlah parti yang demokratik seperti namanya kerana ia dikuasai oleh satu keluarga yang terdiri daripada bapa, anak dan menantu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, walaupun mereka menuduh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan tetapi dalam parti itu sendiri bapa pernah menjadi ketua pembangkang, anak menjadi setiausaha agung dan menantu menjadi pemimpin kanan.
“Mana ada parti macam ini.., BN tidak seperti itu. DAP walaupun belum berkuasa tetapi anak-beranak sudah menguasai parti dan kalau tidak menyokong bapa, anak atau menantu itu, mereka akan kena buang.
“Ini parti berkuku besi, parti BN lebih demokratik daripada DAP,” kata Najib sambil menambah parti itu dengan gabungan rakan-rakan pembangkang akan terus melakukan pembohongan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.
Najib berkata demikian semasa berucap ketika melawat Rumah Panjang Sebastian Onggoh di Jalan Teku, Pasai dekat sini hari ini.
Sejak penubuhan DAP pada 1966, struktur kepimpinan tertinggi DAP tidak berubah dengan diterajui Lim Kit Siang dan kemudian anaknya, Lim Guan Eng.
Ketika ini, Kit Siang merupakan Penasihat DAP dan Guan Eng pula Setiausaha Agung. Isteri Guan Eng iaitu Betty Chew Gek Cheng adalah Naib Pengerusi Wanita DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana di Melaka.
Pengerusi DAP ketika ini ialah Karpal Singh dan dua anaknya, Gobind Singh Deo ialah Ahli Jawatankuasa Pusat DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong manakala Jagdeep Singh Deo pula Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang dan ADUN Datuk Keramat.
Perdana Menteri menjelaskan penduduk Sibu tidak harus mendengar dakyah DAP yang kini membawa pelbagai isu di rumah-rumah panjang di kawasan Parlimen ini untuk berkempen dalam pilihan raya.
“Dalam pilihan raya, kita harus memilih siapa yang boleh diletakkan harapan dan dapat mengubah nasib kita di masa depan, dan bukannya mendengar isu-isu yang tiada kaitan dengan kehidupan kita,” kata Perdana Menteri.
Sumber: Utusan Malaysia 14/05/10
Ada apa dengan parti demokratik?
Kenyataan Perdana Menteri Malaysia bahawa sebahagian daripada parti pembangkang yang menjadikan jawatan-jawatan tinggi parti mereka dianggotai oleh ahli politik yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan ahli politik veteran di dalam parti tersebut ada kebenarannya. Tetapi lupakah Najib, bahawa dia adalah anak kepada Perdana Menteri Malaysia kedua selepas Tunku Abdul Rahman? Dan lupakah Najib, bahawa Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn juga merupakan anak kepada Perdana Menteri Malaysia ketiga dan merupakan sepupu kepadanya?
Kini isu ini dikaitkan pula dengan tolok ukur demokratik atau tidaknya sesebuah parti politik. Tolok ukur ‘demokratik’ atau tidak menjadi ukuran dalam menentukan samada sesuatu parti politik itu baik atau tidak baik, di mana parti yang kurang ‘demokratik’ dianggap kurang baik berbanding parti yang lebih ‘demokratik’. Hakikatnya, tidak ada kelebihan kepada parti kerajaan yang lebih ‘demokratik’ berbanding parti pembangkang yang kurang ‘demokratik’, sebab masing-masing menjadikan sekularisme sebagai asas. Sistem demokrasi yang terus-menerus dilaksanakan telah mewujudkan bermacam-macam masalah dan kepelikan di dalam parti-parti pemerintah dan pembangkang. Lupakah Najib bahawa sistem ini, sistem yang begitu dibanggakan oleh para pendokongnya, telah memberikan laluan untuk seorang ahli politik yang bersalah melakukan hubungan seks luar nikah (yang diberikan jolokan pelakun video lucah) menjadi Presiden MCA sekarang?
Dan di luar negara pula, seperti di Amerika Syarikat, seorang pelakon filem lucah seperti Mary Carey masih boleh diberikan laluan untuk bertanding merebut jawatan Govenor wilayah California bersaing dengan pelakon Hollywood, Arnold Schwartzenegger! Lebih buruk lagi, parti-parti demokratik adalah tidak ubah seperti parti Sosialis dan Fasis, dalam ertikata ia telah banyak melahirkan penjenayah perang seperti Bush dan Blair serta para pemimpin rejim Israel, yang melakukan jenayah perang pada skala yang hampir sama seperti yang dilakukan oleh Stalin, Mao, Hitler dan Saddam. Lebih buruk lagi, para penjenayah perang ini, yang dilahirkan melalui sistem demokrasi, hanya setakat diberikan label sebagai penjenayah perang, tetapi tidak ada mekanisma untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka.
Manusia seharusnya meninggalkan terus sistem demokrasi ini. Ia merupakan sistem yang lapuk dan usang serta kuno. Sistem ini menjaga para penjenayah, menjaga tembolok orang-orang kaya dan menekan mereka yang tidak bermaya. Demokrasi hanya sesuai pada zaman ia diasaskan di Greece beberapa ratus tahun sebelum Masihi. Ia sudah lapuk dan tidak berupaya untuk mengaturkan masyarakat sesuai dengan fitrah manusia. Mengapa ramai yang masih mahu dengannya?