HTM serah memorandum muhasabah hakim syarie
Pada hari Jumaat lepas (16 Mei 2008) Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menyerahkan satu memorandum kepada Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang berhubung keputusan hakim Othman Ibrahim yang telah membenarkan Siti Fatimah atau nama asalnya Tan Ean Huang untuk keluar dari Islam (murtad). Memorandum itu ditujukan kepada hakim Othman Ibrahim secara khususnya dan kepada semua qadhi umumnya menerangkan antara lain, bahawa keputusan yang dibuat oleh hakim Othman Ibrahim adalah bercanggah dengan Islam. Di dalam memorandum tersebut juga diterangkan dengan jelas berdasarkan nas/dalil bahawa hukum Islam ke atas orang yang murtad adalah hukum bunuh. Para qadhi juga diingatkan dan diseru agar berhukum dengan hukum Islam dan membuang segala hukum sekular buatan manusia di dalam penghakiman mereka.
Sebelum upacara penyerahan memorandum tersebut, HTM telah terlebih dahulu mengadakan seruan di Masjid Negeri Pulau Pinang sejurus selepas solat Jumaat dan memaklumkan kepada semua jemaah yang hadir bahawa HTM akan menghantar satu memorandum bantahan kepada pihak Mahkamah Syariah.
Sebaik tiba di perkarangan mahkamah, kelihatan pihak polis dan wartawan telah pun bersedia menunggu. Turut kelihatan beberapa orang yang dipercayai anggota Cawangan Khas (SB) yang berlegar di sekitar mahkamah tersebut. Sejurus tiba di pintu mahkamah, wartawan terus menerpa dan meminta penjelasan berhubung penyerahan memorandum terbabit. Ust Abdul Hakim lalu menjelaskan tujuan penyerahan dan juga kandungan memorandum berkenaan kepada wartawan yang bertanya soalan.
Seketika kemudian Chief Inspektor Mohd Asri Dun tiba di lokasi dan terus memerintahkan agar bersurai. Ust Abdul Hakim menjelaskan bahawa HTM cuma ingin menghantar memorandum dan tidak ada perhimpunan yang dianjurkan. Keadaan agak kecoh sedikit tetapi setelah berbincang seketika dengan Mohd Asri, dua orang daripada kami kemudian dibenarkan untuk masuk ke mahkamah dan menyerahkan memorandum berkenaan. Ust Abdul Hakim dan juga Ust Khairul Azri Mohd Aziz (AJK Pusat HTM) kemudian diiringi oleh Chief Inspektor yang berkenaan berserta beberapa orang lagi pegawai polis dan juga SB, masuk ke ruangan mahkamah. Turut mengiringi ialah salah seorang pegawai mahkamah, yang membawa kami terus ke pejabat hakim.
Alhamdulillah, dalam pertemuan singkat dengan hakim Dato’ Hj Md Yusup yang bertindak sebagai wakil mahkamah, Ust Abdul Hakim sempat menerangkan tujuan memorandum itu diserahkan dan menerangkan kewajipan HTM sebagai sebuah parti politik untuk memuhasabah tindakan/keputusan hakim yang tidak berhukum dengan hukum Islam. Hakim Dato’ Yusup menyambut baik penyerahan memorandum itu dan berjanji akan membawa perkara itu kepada pihak yang sepatutnya. Beliau juga menyatakan akan turut meneliti kandungan memorandum tersebut.
Pihak HTM dengan ini ingin mengucapkan terima kasih kepada hakim Dato’ Yusup yang telah menyambut kami dan menerima memorandum tersebut dengan baik. HTM juga dengan ini ingin merakamkan terima kasih kepada pihak PDRM, khususnya kepada Chief Inspektor Mohd Asri Dun dan kepada semua SB yang telah memberi kerjasama yang baik sepanjang penyerahan memorandum tersebut.
Sila klik link di bawah untuk membaca laporan beberapa akhbar yang membuat liputan tentang peristiwa penyerahan memorandum tersebut.
http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Saturday/National/2242733/Article
http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Sunday/National/2243513/Article
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/5/17/courts/21284748&sec=courts