Kerja sambilan untuk atasi masalah kenaikan minyak, bijaknya!

JPA cari jalan bantu kakitangan awam hadapi kenaikan harga

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji syarat untuk membolehkan kakitangan awam bekerja sambilan selepas waktu kerja rasmi atau hujung minggu bagi menambah sumber pendapatan berikutan kenaikan kos sara hidup akibat peningkatan harga minyak sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mencari jalan terbaik untuk membolehkan kakitangan awam, terutama kumpulan sokongan bekerja sambilan.

Beliau memberi contoh, golongan itu mungkin boleh diberi peluang bekerja sambilan untuk tempoh singkat antara dua atau tiga jam sehari seperti menjadi operator, juruwang dan pemasaran talian selepas waktu kerja di sektor awam.

“Mereka juga perlu diberi peluang membabitkan diri dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan selepas waktu tugas rasmi atau hujung minggu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perundingan Mengenai Penilaian Impak dan Pemantauan Kemiskinan Data Inisiatif dan Analisa Kemiskinan (Padi) Asia Tenggara Ke-7 di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam meminta JPA mengkaji cadangan membenarkan kakitangan awam bekerja sambilan selepas waktu pejabat bagi menambah pendapatan berikutan kenaikan harga bahan api, baru-baru ini.

Beliau berkata, kajian itu perlu bagi mengenal pasti kesan terhadap kualiti kerja kakitangan awam khususnya ketika kerajaan berusaha meningkatkan mutu penyampaian sektor awam.

Mengikut peraturan sekarang, kakitangan awam yang hendak bekerja sambilan perlu mematuhi beberapa syarat, antaranya pekerjaan itu tidak mengganggu dan tidak bercanggah dengan kepentingan tugas rasmi serta perlu dilakukan di luar waktu pejabat.

Selain itu, kakitangan kerajaan juga perlu mendapatkan kebenaran ketua jabatan masing-masing.

Amirsham berkata, senarai rakyat dalam garis kemiskinan mungkin bertambah jika tiada perancangan rapi dilakukan untuk membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi krisis makanan dan kenaikan harga barangan.

“Matlamat untuk mencapai sasaran negara miskin tegar sifar dan mengurangkan tahap kemiskinan kepada 2.4 peratus pada 2010, tidak akan dicapai jika kumpulan sasar tidak dibantu dengan menyediakan ruang dan peluang untuk menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil kerajaan untuk membantu meringankan beban golongan miskin ialah menerusi skim bantuan perniagaan yang ditawarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Sumber: Berita Harian 11/06/08

Ulasan:

Penyelesaian Kapitalis! Setelah kerajaan bertindak zalim menaikkan harga minyak, kini penyelesaiannya diletakkan kepada masing-masing individu untuk meningkatkan pendapatan bagi mengurangi beban kenaikan besar ini.

Walaupun perkara ini masih di peringkat kajian, ia telah menzahirkan ‘kecerdikan’ kerajaan di dalam menangani masalah ini. Apa tidaknya, jika minyak naik 78 sen, kakitangan awam dibenar bekerja sambilan dua hingga tiga jam, kalau minyak naik lagi lepas ni, berapa jam pula akan dibenarkan, dan jika naik lagi, berapa jam lagikah yang akan dibenarkan? Mungkin jika minyak terus-terusan naik, kakitangan awam dibenarkan bekerja sambilan selama 24 jam sehari untuk mencari duit lebih.

Biasanya apa yang berlaku di Malaysia, selain bekerja sambilan, kakitangan awam lebih berminat untuk mendapat “duit bawah meja” sebagai pendapatan sampingan. Duit jenis ini lebih mudah dan lebih banyak, tak perlu keluar peluh dan keringat sedikit pun. Masa pun tak perlu dibazirkan…cuma perlu tanggung dosa aje! Peningkatan kadar rasuah memang langsung tidak mustahil dalam keadaan sekarang. Minyak dah naik, pendapatan kakitangan awam pula rendah, ruang rasuah pula terbuka luas, ditambah dengan suasana hidup di dalam sistem sekular dan keimanan masing-masing yang selalunya rapuh, maka rasuah adalah ‘alternatif terbaik’ yang sering menjadi pilihan.

Beginilah dampak buruk dari penerapan ideologi Kapitalis dalam negara. Yang memerintah adalah golongan Kapitalis yang kaya raya yang kerjanya adalah menghisap darah golongan rakyat. Rakyat pula, kerana keterdesakan hidup di dalam suasana negara yang tidak berorientasikan akidah Islam, cenderung untuk melakukan pelbagai jenis kemaksiatan untuk menyelesaikan masalah.

Kerajaan Kapitalis tidak pernah merasa bersalah dengan kezaliman yang mereka lakukan, walaupun hakikatnya mereka beragama Islam. “Manfaat” menjadi ukuran di dalam pemerintahan, bukannya halal dan haram. Sama ada halal atau haram menaikkan harga minyak, tidak pernah menjadi ukuran pemerintah. Ukuran mereka adalah manfaat peribadi dan kroni semata-mata.

Islam telah menyajikan penyelesaian untuk segala masalah, termasuklah berkenaan bahan bakar ini. Islam telah meletakkan bahawa minyak berada di dalam kategori milkiah al-ammah (harta milik awam), yang wajib dikelola oleh kerajaan dan diberikan hasilnya secara percuma kepada umat. Umat wajib menikmati minyak ini secara percuma dan tugas kerajaan adalah mengelolanya sahaja, bukan mengaut keuntungan darinya.

Malangnya dalam sistem kufur sekular hari ini, minyak telah dijadikan bahan untuk kerajaan meraih sebanyak mungkin keuntungan darinya dan rakyat pula disuruh menyelesaikan masalah secara sendiri setelah kerajaan merampas segala hak mereka. Alangkah buruknya keadaan ini.

Semoga Allah menjatuhkan pemimpin sekular yang telah mengakibatkan segala keburukan ini dan menggantikannya dengan seorang Khalifah yang akan menerapkan segala hukumNya.