Misi ‘lawatan angkasa’ ditangguh

Tiada dana teruskan misi angkasa 2011

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi buat masa ini tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk meneruskan misi menghantar angkasawan kedua negara ke stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dijadualkan pada 2011.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Hari Kreativiti dan Inovasi anjuran Malaysian Association of Creativity and Innovation (Macri) di Menara Kuala Lumpur di sini, semalam, Menterinya, Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata pada masa ini kementeriannya tidak mempunyai apa-apa peruntukan berkaitan misi itu dan masih menunggu analisis daripada Agensi Angkasa Kebangsaan (Angkasa) mengenai perbelanjaan yang diperlukan untuk meneruskan misi itu.

Bagaimanapun beliau berkata, misi itu pada dasarnya akan diteruskan dan kementeriannya ketika ini sedang meneliti mengenai bentuk, jumlah dan sumber peruntukan sebelum membuat keputusan meneruskan program itu.

“Buat masa ini dari segi kewangan kita masih kosong kerana kita tiada langsung wang untuk meneruskan misi itu,” katanya.

“Pada program angkasawan pertama, 70 peratus daripada perbelanjaan hasil timbal balas pembelian pesawat pejuang Sukhoi daripada Kerajaan Russia dan kita hanya menampung 30 peratus perbelanjaan keseluruhan,” katanya.

Sumber: Berita Harian 22/04/08

Ulasan:

Semasa meraikan ‘kejayaan’ misi angkasawan negara yang pertama dahulu yang disambut secara besar-besaran, kerajaan begitu beria-ria untuk meneruskan projek penghantaran angkasawan kedua negara.

Walaupun projek pertama telah mendapat kritikan hebat kerana dikatakan sia-sia dan telah menelan belanja puluhan juta ringgit, namun kerajaan tetap meneruskannya juga. Dalam khutbah-khutbah Jumaat oleh khatib-khatib pengampu kerajaan, telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan diberi penerangan bahawa membuat kajian dan menghantar orang ke angkasa adalah merupakan ‘tuntutan’ Islam dan bersesuaian dengan konsep Islam Hadhari untuk membangun peradaban. Tidak ketinggalan, Timbalan Perdana Menteri pun turut memperkenalkan istilah baru ‘mengangkasakan’ bangsa sebagai lambang kekuatan bangsa Melayu yang telah berjaya sampai ke angkasa. Beginilah hebatnya retorik yang berlaku. Tapi apakah hasilnya? Hasilnya, sebahagian besar rakyat yang telah faham dan sedar akan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan, telah ‘menolak’ kerajaan UMNO/BN dalam pilihan raya yang lepas.

Kini, Datuk Seri Maximus Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi semacam ingin memberhentikan projek ini atas alasan tidak mempunyai dana. Macam tak percaya! Kerajaan Malaysia yang kaya-raya dengan projek-projek mega kini sudah tidak ada dana? Secara logiknya, dana setakat RM100 juta untuk membiayai projek kedua ini boleh ‘dikumpul’ oleh kerajaan dalam sekelip mata sahaja. Atau (penangguhan ini) sebenarnya kerana nak mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, kerana isu pembaziran dalam projek yang lalu?