Pemimpin Islam terus masuk perangkap kuffar
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa berkata, negara-negara Timur memiliki nilai-nilai tersendiri dalam aspek menjaga hak asasi manusia dan Rais dijangka membentangkan input-input itu kepada rakan-rakan sejawatannya dalam mesyuarat AMM itu.
Hak Asasi Manusia yang sebelumnya dikenali sebagai ‘hak-hak tabii’ (Natural Rights) merupakan sebuah produk pemikiran yang dominan di sekitar zaman pencerahan (renaissance) di Eropah. Ia lahir sebagai suatu penentangan terhadap manipulasi pihak gereja dan Raja Eropah terhadap rakyat atas nama hak ketuhanan yang ada pada raja (divine rights of the king). Sebelum zaman pencerahan Eropah, golongan gereja dan bangsawan selalu menghisap darah rakyat dan mendakwa mereka mewarisi hak dari Tuhan di mana rakyat tidak memiliki hak selain patuh kepada institusi gereja dan raja. Kemudian, disebabkan rasa tidak puas hati kerana sering ditindas semahunya oleh gereja dan golongan bangsawan, golongan cendekiawan dan kelompok-kelompok pedagang yang terpaksa membayar cukai yang tinggi kepada Institusi beraja mula bangkit. Mereka memobilisasi kelompok karyawan dan pekerja untuk mencetuskan Revolusi Perancis (1779-1789) dan dari saat inilah mereka mempopularkan idea hak asasi yang kemudiannya dijadikan slogan Revolusi Perancis. HAM kemudian dijadikan piagam dalam konstitusi Perancis yang ditetapkan tahun 1791. Sebelum itu slogan-slogan ini diangkat dalam revolusi Amerika Syarikat pada tahun 1776. Secara umum, HAM kemudian diterima pakai oleh seluruh negara Eropah pada abad ke 19, cuma pada saat itu HAM hanya menjadi urusan dalam negara masing-masing.
HAM baru menjadi peraturan antarabangsa setelah Perang Dunia Kedua dan setelah berdirinya PBB, iaitu pada saat diumumkan UDHR pada tahun 1948. Kemudian, pada tahun 1961, deklarasi ini disusuli dengan Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights). Pada tahun 1966, diumumkan pula Perjanjian Antarabangsa Tentang HAM, Ekonomi, Budaya dan Sosial. Meskipun demikian, semua ketetapan mengenai HAM tetap kekal sebagai sebuah peraturan antarabangsa dan AS baru berjaya menjadikannya sebagai undang-undang sejagat (iaitu peraturan yang tidak hanya diterima pakai oleh negara, tapi oleh individu rakyat di dalam negara) selepas tahun 1993, atau dua tahun selepas AS mendominasi PBB secara solo di peringkat antarabangsa setelah kejatuhan Sosialisme. Untuk mengukuhkan lagi HAM sebagai undang-undang dunia, AS kemudian menjadikan HAM sebagai salah satu asas strategi polisi luar negerinya. Ini terjadi pada akhir dekad 70-an pada masa kepimpinan Presiden Jimmy Carter. Sejak dari itu, Jabatan Luar Negara rejim AS selalu mengeluarkan penilaian tahunan mengenai komitmen negara-negara dunia untuk menerapkan HAM. Penilaian tahunan itu juga menilai sejauh mana negara-negara itu memberikan toleransi kepada rakyatnya untuk menjalankan HAM.
HAM yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia mahupun yang diperjuangkan oleh segelintir rakyat Malaysia sesungguhnya berakar umbi dari UDHR yang telah diumumkan oleh PBB. Sebagai sebuah badan kufur dan didominasi oleh negara-negara kufur, sudah selogiknyalah UDHR/HAM itu digubal menurut pemikiran kufur mereka. Tunjang kepada HAM adalah ‘kebebasan’ dan secara amnya, empat jenis kebebasan menjadi tunggak utamanya yang mana hal ini termanifestasi dari setiap peruntukan undang-undang atau amalan yang dipraktikkan dalam mana-mana negara pun, termasuklah Malaysia.
Selama mana umat Islam masih tetap membincangkan isu HAM ini, maka selama itulah bermakna umat Islam terus terjerat dengan agenda kuffar Barat ini untuk menghancurkan lagi Islam.
Menurut undang-undang HAM, semua manusia adalah sama, tidak kira lelaki atau perempuan, anak sahtaraf atau anak zina. Bagi mereka lelaki dan perempuan adalah sama, tidak ada aurat yang membezakan. Mereka membolehkan anak zina mewarisi harta bapa, mereka membolehkan perkahwinan sesama wanita dan juga sesama lelaki dan banyak lagi kekejian lainnya yang mereka bawa atas nama HAM. Adapun Islam telah merincikan hak manusia dari dalam kandungan lagi di mana adanya hukum diyat ke atas janin yang dibunuh atau terbunuh. Janin mempunyai hak untuk hidup dan haram bagi ibunya melakukan pengguguran dengan sengaja. Jika si ibu sengaja menggugurkan janinnya, maka dia wajib membayar satu per sepuluh diyat dan diyat ini dibayar kepada Negara. Namun jika si suami memukul isterinya hingga menyebabkan keguguran, diyat (yang sama jumlahnya) hendaklah dibayar kepada si isteri tadi. Dari segi pemilikan harta umum pula (milkyyahl ‘ammah) seperti hasil gas, petroleum dan bahan galian lainnya, janin mempunyai hak yang sama sebagaimana orang dewasa dan tidak boleh dikurangkan sedikit pun. Ini baru sedikit rincian hukum Islam ke atas janin, belum lagi kita membincangkan keseluruhan hukumnya dan belum masuk lagi hukum-hukum yang lain. Apakah dengan sempurnanya hukum Allah sejak lebih 1,300 tahun yang lalu (sebelum HAM diperkenalkan lagi), kita masih sanggup ingin memperjuangkan HAM?
Di bawah HAM, seseorang wanita itu dibolehkan untuk melahirkan atau menggugurkan kandungannya (tidak kira sama ada anak itu hasil dari perkahwinan, perzinaan atau perkosaan) bergantung kepada keputusan si ibu. Isu ini telah mengundang suatu perdebatan moral yang tidak putus-putus di kalangan mereka. Mereka bergaduh dan berdebat di seputar hak janin di dalam kandungan wanita sama ada ia (janin) mempunyai hak untuk hidup atau tidak. Perdebatan sekitar hak asasi ibu dan hak asasi janin ini berlanjutan tanpa adanya kata putus [lihat wikipedia Pro-life vs Pro Choice]. Perdebatan moral yang tidak berkesudahan juga timbul di kalangan mereka apabila mereka membincangkan tentang kahwin sesama jenis di mana kelompok-kelompok gay dan lesbian akhirnya mendapat hak mereka di bawah nama HAM. Kekejian ini malah menular ke dalam institusi gereja, sehingga menyebabkan gereja berpecah kepada dua iaitu golongan liberal dan konservatif di mana gereja liberal telah menjadi tempat kelompok gay dan transeksual mendapat ‘restu’ atas perbuatan keji mereka [BBC 16 Jun 2007].
Ini baru muqaddimah HAM, yang telah pun memberi gambaran tentang kejijikan dan kebobrokan idea yang di bawa oleh HAM dan bagaimana ia bertentangan dengan Islam secara nyata, apatah lagi jika ditinjau HAM secara keseluruhan!