Bakar Al-Quran: Sepatutnya Najib Juga Perlu Kesal Kepada Dirinya

najibPM: Rancangan bakar al-Quran amat dikesali

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan ekstremis, Padri Terry Jones dari the Dove World Outreach Centre di Florida, Amerika Syarikat untuk membakar al-Quran sebagai amat dikesali.

Najib berkata tindakan padri itu merupakan satu keingkaran, tidak bertamadun dan hendaklah dikutuk oleh mereka yang berfikiran rasional.

“Ia akan menjadi satu implikasi yang sangat serius. Saya sangat berharap dan berdoa agar presiden Barack Obama dan kerajaan Amerika Syarikat akan berbuat sesuatu untuk menghalang daripada berlaku,” tegas Najib.

Najib juga berharap agar padri itu akan menukar fikiran kerana tindakan tersebut akan mencetuskan perasaan tidak senang di kalangan Muslim di seluruh dunia dan beliau bimbang dengan akibatnya yang sangat buruk.

“Jadi saya harap setiap orang akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk menghalang rancangan ini tidak akan berlaku kerana ia hanya menjadikan hubungan antara Muslim dan bukan Muslim ke arah yang sangat merbahaya dalam hubungan yang sepatutnya terus bertambah baik,” tambahnya.

Beliau juga berharap kenyataannya akan diikuti di seluruh dunia oleh semua pemimpin Muslim.

Dalam perkembangan berkaitan, media antarabangsa melaporkan bahawa Jones telah “menggantung” rancangan untuk membakar al-Quran yang pada awalnya beliau akan lakukan sempena ulang tahun kejadian 9/11 pada Sabtu.

– Bernama 
 
Sumber: malaysiakini.com 12/09/10
 
Sepatutnya Najib Juga Perlu Kesal Kepada Dirinya
 
Jika Najib merasa amat kesal dengan provokasi yang cuba dilakukan oleh Padri Terry Jones dari the Dove World Outreach Centre di Florida, Amerika Syarikat untuk membakar al-Quran, beliau juga sewajarnya menyesali dirinya sendiri yang saat ini sedang memegang kekuasaan dan pemerintahan negara tetapi terus mengabaikan dan mencampakkan isi kandungan al-Quran dalam pemerintahan beliau. Isi kandungan al-Quran secara jelas dan qath’i mewajibkan penerapan seluruh ajarannya namun ia terus dipandangan sepi oleh para pemimpin dunia umat Islam termasuklah Najib.  Lihatlah sistem pemerintahan negara hari ini yang  masih lagi mengamalkan sistem kufur demokrasi – sistem pemerintahan yang mengambil alih hak Allah SWT sebagai musyarri’, sebagai pembuat hukum dan undang-undang. Undang-undang yang digunapakai oleh Najib saat ini bukanlah undang-undang yang datang dari al-Quran dan as-Sunnah, sebaliknya beliau masih terus setia dan patuh melaksanakan undang-undang kufur yang ‘dikurniakan’ oleh Lord Reid sejak mula merdeka dahulu sehinggalah ke hari ini.

Wahai para pemimpin dunia Islam! Wahai Najib! Janganlah kamu kesal dengan apa yang berlaku kepada Islam dan umat Islam selama ini sedangkan kamu sendiri telah mengabaikan perintah dan larangan yang terkandung di dalam al-Quran itu sendiri.

Wahai Najib! Ingatlah firman Allah SWT:

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ an-Nisaa’ (4) :60].

”Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”.  [TMQ an-Nisaa’ (4) :65].

 ”Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu”. [TMQ al-Maaidah (5) : 49].

 ”Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.
[TMQ al-Ahzaab (33) : 36].

Sebenarnya terlampau banyak ayat al-Quran yang mengingatkan para pemegang kekuasaan di kalangan umat Islam termasuklah Najib untuk tunduk dan patuh menerapkan Islam dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Cuma apakah Najib sedar ataupun tidak? Atau sengaja buat-buat tak sedar?