Al Quran bukanlah bahan pameran
MELAKA 16 Jan. – Orang ramai berpeluang melihat al-Quran bersadur emas yang sedang dipamerkan pada Pameran Artifak Warisan Islam di Balai Syed Sheikh Al-Hadi, Bastion House di sini sehingga 15 Jun ini.
Penolong Kurator (Promosi) Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Nurman Mohd. Baroldin berkata, pameran anjuran Perzim dan Megabroadcast Ventures (M) Sdn. Bhd. itu dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang kecuali Jumaat, Sabtu dan Ahad sehingga pukul 7 malam.
Menurut beliau, mengikut sejarahnya, selama 500 tahun, al-Quran bersadur emas itu telah dibawa oleh orang Islam Arab pada zaman pemerintahan Empayar Uthmaniyah ke Timur Turkistan (Xinjiang), Yunan, China dan seterusnya ke Tanah Melayu.
Sumber: Utusan Malaysia 17/1/2011
Al Quran bukanlah bahan pameran
Berbilion umat Islam di seluruh dunia mengetahui bahawa al-Quran adalah kalam Allah, wahyu Allah yang disampaikan ke[ada manusia melalui Rasul saw. Al-Quran telah sempurna dengan pelbagai ‘kanun’ yang terdapat di dalamnya serta pelbagai khabar ancaman dan khabar gembira bagi seluruh umat manusia. Al-Quran merupakan panduan dan landasan perjalanan hidup manusia sebelum menempuh alam akhirat. Namun begitu, ramai juga yang menganggap al-Quran hanya sebagai perhiasan di dinding-dinding, sebagai tangkal, pelaris dan artifak.
Sesungguhnya kitab suci ini tidak pernah berubah meskipun satu huruf walau telah menjangkau berzaman lamanya. Ayatnya tetap qati’e, pasti sumbernya dan pasti maksudnya dan merupakan sumber undang-undang bagi seluruh manusia. Amat menyedihkan sekali apabila yang dilihat padanya adalah harganya, usianya dan aspek materialnya sahaja; hanya sekadar barangan perhiasan untuk disimpan dan dibangga-banggakan.
Amat buruklah nasib mereka yang mensia-siakan al-Quran dan mengabaikannya; tidak kira individu, masyarakat mahupun penguasa Negara. Semua tanggungjawab yang diabaikan ini akan dituntut di hadapan Allah nanti… Bangunlah dan bangkitlah wahai umat Islam! Bangkitlah seperti hamba-hamba Allah di zaman di mana al-Quran dijadikan sumber hukum dan sumber undang-undang Negara. Dengannya negeri-negeri di seantero dunia dibebaskan dan dengannya, keadilan dan kesejahteraan meliputi setiap ruang dan masa. Tidakkah kita rindu dengan semua ini wahai saudara-saudaraku?