Hinanya Apabila Penjilat Demokrasi Bersuara

panelMalaysia amal sistem demokrasi tepat
KUALA LUMPUR 17 Feb. – Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang tepat apabila memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan pemerintah yang diinginkan menerusi pilihan raya.  Pada masa yang sama, menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, demokrasi negara juga disokong oleh Perlembagaan Negara yang adil dan seimbang kepada semua kaum iaitu bumiputera dan bukan bumiputera.  Jelas beliau, sistem demokrasi dan perlembagaan yang diamalkan di negara ini berjaya mengelak peralihan kerajaan menerusi revolusi, demonstrasi atau tunjuk perasaan dalam kalangan rakyat.  “Memang benar negara kita sejak merdeka hanya diperintah oleh sebuah parti iaitu Barisan Nasional (BN).   “Tetapi ia berlaku kerana demokrasi iaitu rakyat telah memilih dan tiada parti lain yang dapat mengalahkan BN,” katanya.  Beliau berucap dalam diskusi bertajuk Cabaran Semasa Sistem Demokrasi dan Perlembagaan Negara Malaysia ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di bangunan Parlimen di sini, hari ini.  Selain Dr. Mahathir, diskusi yang dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaaffar itu turut disertai oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamad Hanif Omar dan aktivis masyarakat, Prof. Dr. Chandra Muzaffar sebagai ahli panel. 

Diskusi itu diadakan sempena Program Pemantapan dan Pemasyarakatan Dewan Negara, Parlimen Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  Menurut Dr. Mahathir, sebagai satu sistem yang dicipta oleh manusia, demokrasi dan Perlembagaan juga tidak terlepas daripada sebarang kecacatan termasuk dalam amalannya di Malaysia.  “Namun, rakyat perlu menerima hakikat bahawa dalam ketidaksempurnaan itu, kita masih boleh bergantung dengannya untuk memastikan terdapatnya keadilan sosial, politik dan ekonomi di negara ini.  “Ia bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin yang dipilih menerusi demokrasi untuk mengelak halangan yang ada dalam Perlembagaan Negara bagi mencapai matlamat dan visi negara yang telah dirangka,” kata beliau.  Sementara itu, Chandra berkata, sistem demokrasi dan Perlembagaan Negara memiliki satu kekuatan yang luar biasa jika dibandingkan dengan negara lain iaitu prinsip keseimbangan.  Katanya, demokrasi dan Perlembagaan Negara memberi keadilan kepada banyak perkara, antaranya hak individu dan orang awam, bahasa, agama rasmi, kuasa Kerajaan Pusat dan kuasa kerajaan negeri .  Pada masa yang sama, kata beliau, ia juga memberi konsep dan garis panduan kepada kerajaan untuk membangunkan negara berdasarkan acuan tersendiri terutama ke arah mencapai Wawasan 2020.  “Satu tanggapan yang silap untuk mengatakan demokrasi dan Perlembagaan Negara ini bertentangan dengan ajaran Islam kerana sifatnya yang sangat adil,” katanya.  Begitu pun, kata beliau, demokrasi dan Perlembagaan Negara perlu memberi perhatian kepada beberapa kekangan yang boleh menghalang Malaysia menjadi negara maju.  Antaranya, kata beliau, jurang perbezaan kekayaan dalam kalangan rakyat yang terlalu besar, serta sentimen perkauman yang mempengaruhi hampir kebanyakan ruang lingkup kehidupan masyarakat.

Sumber : Utusan Malaysia: 18/02/11

 

Hinanya Apabila Penjilat Demokrasi Bersuara
Tersangatlah hinanya apabila tokoh sekular tegar Mahathir dan Chandra bersuara menyatakan demokrasi dan perlembagaan kufur Lord Reid adalah pilihan yang tepat dan ianya memilik sifat yang sangat adil. Apakah mereka tidak sedar bahawa kenyataan mereka itu bertentang dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kenyataan mereka itu pada hakikatnya boleh meruntuhkan bumi dan langit!! Andai kata bumi dan langit itu boleh bersuara, maka sudah pasti kedua-dua ciptaan Allah SWT ini tidak akan berdiam diri untuk meluahkan serta memuntahkan kemarahannya kepada kedua-dua hamba Allah ini. Apakah hati kedua-duanya telah menjadi keras seperti batu atau mata kedua-duanya telah buta dan telinga kedua-duanya telah pekak untuk memahami, melihat dan menginsafi, betapa rosaknya kehidupan manusia hari ini yang diatur oleh sistem kufur ciptaan manusia itu? Apakah mereka tidak menyedari dan merasakan betapa sistem demokrasi yang diterapkan hari ini telah menjadikan manusia seperti binatang dalam banyak aspek kehidupan sehinggakan manusia itu lupa apakah tujuan mereka diciptakan oleh Allah SWT? Benarlah firman Allah SWT:

dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka itulah orang-orang yang lalai”. [TMQ Al A’raaf (7) : 179].

Dalam kenyataannya di atas, Mahathir sendiri mengakui bahawa demokrasi itu adalah sistem ciptaan manusia. Namum sebagai seorang Islam, malangnya beliau langsung merasa tidak bersalah dan berdosa untuk men”ia”kan perjalanan sistem kufur demokrasi yang diterapkan di tengah-tengah kehidupan umat hari ini. Apakah Mahathir tidak pernah membaca firman Allah SWT ini:

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat  kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”. [TMQ Al Ahzab (330 : 72].

Jelas dalam ayat ini manusia itu adalah mahkluk yang memilik sifat zalim dan jahil. Demokrasi ciptaan manusia sepertimana yang diakui oleh tokoh sekular di atas, sememangnya dan selamanya tidak akan mampu menyelesaikan seluruh persoalan yang dihadapi oleh manusia. Hanya mereka yang jahil terhadap wahyu Allah SWT sahaja yang akan mengatakan demokrasi yang diamalkan di Malaysia ini tepat. Apa yang pastinya ketepatan itu mengikut ukuran hawa nafsu Mahathir semata-mata tetapi apakah beliau pernah mempertimbangkan ukuran, nilaian dan pandangan di sisi Allah SWT? Sedangkan secara jelas dan nyata demokrasi adalah sistem kufur yang merampas dan merompak hak Allah SWT sebagai musyarri’. Apakah Mahathir dan Chandra tidak beriman dengan firman Allah SWT ini?

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya“. [TMQ an-Nisa’ (4) : 65].

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? Mereka hendak berhakim kepada thaghut. Padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. [TMQ an-Nisa’ (4) : 60].

“dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata”. [TMQ Al Ahzab (33) : 36].

Dunia telah menyaksikan bagaimana sengsara, rosak dan hancurnya kehidupan manusia yang diatur dengan sistem kufur ini. Apalah hebatnya Malaysia yang kononnya digambarkan dengan keadaan yang seolah-olah hebat dan berjaya. Apakah ukuran yang digunakan oleh kedua-duanya untuk menyokong pendapat masing-masing? Apakah kedua-duanya tidak memahami akan ancaman Allah SWT dalam ayat ini?

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”. [TMQ al-A’raaf (7) : 96].

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaahaa (20) : 124].

Apakah kedua-dua tokoh yang berada di senja hari usia mereka ini masih degil terhadap Allah SWT dan hukum yang diturunkanNya??