CMP Lonjak Pasaran Modal dengan Judi & Riba’

altKUALA LUMPUR 12 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal 2 (CMP2) iaitu satu strategi kerajaan bagi menyasarkan peningkatan pasaran modal negara hingga mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perdana Menteri berkata, ini bermakna pada 2020 nanti, jumlah pasaran modal negara akan meningkat sekali ganda, malah dengan mengantarabangsakan angka tersebut, nilainya dijangka bertambah kepada RM5.8 trilion dalam tempoh sama. Menurutnya, pelaksanaan CMP2 meliputi usaha menggalakkan pembentukan modal, meningkatkan kecekapan dan kecairan perantaraan, peruntukan dana kepada kumpulan industri, memperluaskan pasaran bon, mengurangkan birokrasi, memperhebatkan sistem kewangan Islam serta menggalakkan transaksi berskala besar. “Salah satu keutamaan CMP2 adalah mengukuhkan peranan pasaran modal dengan menggalakkan pembentukan modal daripada peringkat permulaan kepada pembiayaan inovatif, projek baru dan teknologi hijau yang canggih. “Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk disalurkan kepada industri modal teroka dan ekuiti swasta melalui penggubalan peraturan kawal selia secara menyeluruh di samping menyediakan insentif serta sokongan kepada kumpulan sasar,’’ katanya. Beliau menyampaikan ucaptama sempena majlis perasmian Invest Malaysia 2011 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Zarinah Anwar; Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar. Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menekankan peranan CMP2 dalam meningkatkan kecekapan serta kecairan perantaraan. Katanya, Malaysia amat bertuah kerana berada dalam kedudukan baik bagi membiayai keperluan pelaburannya melalui pengumpulan simpanan domestik yang besar. “Malah simpanan Malaysia yang tinggi dijangka memacu pertumbuhan pantas industri pengurusan pelaburan dengan aset di bawah pengurusan dijangka meningkat daripada RM377.4 bilion pada 2010 kepada RM1.6 trilion pada 2020,’’ katanya lagi. Ujarnya, pertumbuhan kukuh dalam industri pengurusan aset merupakan satu ciri utama bagi negara yang dalam proses peralihan menjadi sebuah negara maju.
“Sebagai gambaran keyakinan terhadap industri pengurusan pelaburan di Malaysia, kita jangka kadar penembusan industri unit amanah akan meningkat dari 18 peratus pada 2010 kepada 34 peratus pada 2020 dan tahap ini biasanya dikaitkan dengan negara maju. “Seterusnya, ia akan meningkatkan lagi penghasilan aset yang menjana pendapatan bagi memenuhi keperluan institusi pelabur tempatan,” katanya.

Sumber: Utusan.com

Bagi sesebuah negara yang mengamalkan ekonomi kapitalis, pasar modal merupakan elemen penting di bawah polisi fiskal bagi menjana pendapatan negara. ‘Modal’ dikutip dari rakyat melalui dana-dana tertentu atau melalui pasar-pasar modal seperti bursa-bursa saham, insurans, caruman dan seumpamanya. Apa yang jelas modal dikumpul untuk dilaburkan dalam apa jua perniagaan tanpa mengira halal atau haram; baik projek atau perniagaan yang dilaburkan modalnya mahupun bentuk-bentuk transaksi permodalan. Apa yang diprojeksi adalah laba dari modal, bahkan menjadi ini menjadi satu-satunya ukuran kekayaan – semakin besar modal, semakin besarlah keuntungan, maka kononnya semakin makmurlah ekonomi, rakyat dan negara.

Namun hakikatnya,  disebalik digit-digit yang panjang berjela-jela itu terselit kisah duka yang menghiris jiwa beberapa generasi. Apa yang dikatakan sebagai ‘kesejahteraan ekonomi; hakikatnya bakal menjerut kehidupan generasi mendatang dengan hutang luar negara yang berlambak, angka defisit perbelanjaan, kos sara hidup yang meningkat.. semua itu ditutup dengan ‘berita gembira’ yang hanya memihak kepada golongan elit sahaja. Inilah hakikat polisi ekonomi kapitalisme yang telah dan sedang berlangsung. Sistem inilah yang menjadi akar kepada permasalahan lain. Ia perlu dibuang dari hidup ini dan diganti dengan sistem ekonomi yang bersumber dari Allah Yang Maha Perkasa kerana Dia-lah sebaik-baik pengatur (mudabbir).