Apa Gunanya Maju Kebendaan, Tapi Jauh Daripada Syariat Islam
PUTRAJAYA 21 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, status negara maju bukan jaminan untuk terus kekal berjaya sebaliknya ia boleh terjerumus menjadi negara yang gagal jika ekonomi dan dasar kewangannya tidak diurus dengan baik.
Tegas Perdana Menteri, negara yang tergolong dalam kategori tersebut akan kehilangan maruah kerana terpaksa menagih bantuan kewangan daripada institusi-institusi kewangan antarabangsa dan serantau. Situasi tersebut, kata beliau, akan mengakibatkan ketidaktentuan dari segi dasar domestik yang akan membawa kepada beban yang berat kepada rakyat seperti berlaku di Greece, Ireland dan Portugal. ”Sangat penting untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat dan maruah negara, kejayaan serta kesejahteraan rakyat bergantung kepada keupayaan kementerian menentukan segala dasar makro dan kewangan dengan cekap dan berkesan. ”Bagi mencapai impian itu kerajaan telah menentukan hala tuju dan landasan yang cukup jelas berpandukan kepada falsafah induk kita iaitu 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’,” katanya yang juga Menteri Kewangan pada Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan, di sini hari ini. Kata Perdana Menteri, pelbagai dasar, program dan projek antaranya di bawah Program Transformasi Kerajaan, Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara, Program Transformasi Ekonomi, 12 Aktiviti Utama Ekonomi Nasional dan Model Ekonomi Baru telah dirangka supaya Malaysia kekal berjaya dan status negara maju pada 2020 dapat dicapai.
Menurutnya, pada tahun lalu, negara berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.2 peratus dan cabaran sekarang ialah menentukan pertumbuhan tersebut pada kadar tidak kurang enam peratus setiap tahun. Cabaran berikutnya, jelas beliau, ialah menjaga kadar inflasi negara supaya dapat dikawal pada tahap serendah mungkin kerana jika tidak, akan mengakibatkan rakyat menanggung kesusahan dan beban hidup yang lebih berat. ”Kita juga bermatlamat menetapkan kekayaan negara dan pertumbuhan ekonomi yang mampan diagihkan secara seimbang untuk menentukan keadilan sosial agar dapat dirasai semua rakyat,” katanya. Pada majlis yang sama, Perdana Menteri menerima anugerah persijilan MS ISO 9001:2008 bagi pihak Perbendaharaan dan melancarkan kempen Amalan Senyuman Perbendaharaan dengan slogan ‘Senyum Selalu’ selama dua bulan. Sijil MS ISO 9001:2008 akan melibatkan tujuh bahagian iaitu Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan; Analisa Cukai; Ekonomi dan Antarabangsa, Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari; Kawalan dan Pemantauan; Pengurusan Kewangan Strategik; Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat dan Unit Komunikasi Korporat. Mengenai kempen itu, Perdana Menteri berkata, ia bertepatan dengan hasrat meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam bagi memastikan perkhidmatan disediakan sentiasa disenangi dan memuaskan hati rakyat dan pelanggan keseluruhannya.
Sumber : Utusan Online, 22/04/2011
Dalam keadaan rakyat yang semakin tertekan dengan kos sara yang semakin meningkat di samping kualiti hidup yang semakin menjunam, mereka terus dimomokkan dengan pelbagai slogan serta program-program yang mencanangkan kononnya betapa “prihatinnya” kerajaan terhadap rakyat seperti Program Transformasi Kerajaan, Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara, Program Transformasi Ekonomi, 12 Aktiviti Utama Ekonomi Nasional dan Model Ekonomi Baru. Hakikatnya slogan-slogan serta program-program sebegini hanyalah suatu tipu muslihat yang akhirnya akan menjerat rakyat dan pada masa yang sama terus kekal menguntungkan para kapitalis. Ingatlah wahai Najib! Apakah kemajuan kebendaan serta penerapan undang-undang thagut sebagai saksi yang akan engkau bawa semasa menghadap yang Maha Esa pada Hari Pembalasan nanti? Apakah dengan membebankan urusan rakyat akan menyelamatkan engkau daripada api neraka kelak? Ingatlah, sesungguhnya tiada apa yang lebih baik bagi kamu selain daripada menerapkan segala hukum-hakam Islam. Sekiranya kamu enggan, semoga Allah mempermudahkan dan memenangkan segala urusan para pejuang agamanya untuk menggantikan pemimpin-pemimpin yang khianat ini, serta digantikan dengan seorang Khalifah yang akan melaksanakan seluruh sistem Islam. Wallahu a’lam.