Adakah Nasi Lemak & Rakyat Gemuk Menjadi Masalah Bagi Negara?

nasi.lemakIPOH: Kementerian Pelajaran belum memuktamadkan peraturan mengehadkan penjualan nasi lemak di semua kantin sekolah sebaliknya perkara itu akan dibincangkan bagi mendapatkan maklum balas semua pihak terutama pengusaha kantin, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran belum mengadakan apa-apa perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu dan menyifatkan isu berkenaan bukan terlalu sukar untuk diselesaikan.
 
“Banyak kenyataan adalah daripada Kementerian Kesihatan sendiri yang mungkin berdasarkan aspek kesihatan, makanan seimbang dan sesuai supaya tidak berlaku kegemukan (di kalangan pelajar sekolah).
 
Sumber: m-Star Online

 
Heboh seluruh Malaysia tentang isu kegemukan pelajar! Jika kita renung dengan teliti dengan pemikiran yang mendalam lagi menyeluruh, apakah nasi lemak merupakan punca utama kepada masalah kegemukan pelajar sekolah? Bagaimana pula dengan mee goreng, koey teow goreng dan makanan-makanan lain? Seolah-olah, kalau pelajar makan nasi lemak yang dijual di tempat selain kantin sekolah mereka tidak akan mengalami masalah gemuk! Isu ini sangatlah menjengkelkan bagi sebuah negara yang kononnya mengaku maju! Isu remeh ini nampaknya sengaja diperbesarkan dan ia benar-benar menguji tahap keintelektualan rakyat dan para pemimpin negara kita!

Janganlah isu kesihatan hanya difokuskan kepada pemakanan para pelajar semata-mata. Isu mengenai kesihatan rakyat haruslah mencakupi semua aspek yang terkait dengannya. Apa yang harus ditekankan dan dibincangkan adalah masalah kesihatan rakyat secara umum termasuk isu berkaitan kewujudan prasarana dan suasana yang dapat membantu setiap individu rakyat menjadi lebih sihat seperti penyediaan perkhidmatan kesihatan percuma yang menyeluruh dan efisien, penekanan ke atas kebersihan dari pelbagai aspek, penyediaan prasarana rekreasi yang banyak dan yang seumpamanya. Sekiranya negara benar-benar serius untuk menangani masalah kesihatan rakyat, ia haruslah dilihat secara menyeluruh dan bukan secara parsial sepertimana yang terjadi dengan isu ‘nasi lemak’ ini. Namun, apalah yang boleh kita harapkan dari penyelesaian yang bukan datang dari Allah SWT!