Kekayaan FELDA Jadi Rebutan Kapitalis
Umum mengetahui bahawa penyenaraian sesuatu syarikat di Bursa Saham akan melibatkan pembelian saham oleh pihak yang berminat dan sebagai ganti pihak syarikat akan memperolehi dana daripada transaksi ini. Jika dilihat dari segi keupayaan Felda sebagai syarikat gergasi perusahaan sawit yang menguasai 880,000 Hektar tanah perladangan, maka tidak hairanlah pengapungan saham ini akan menghasilkan dana yang begitu banyak iaitu dikatakan mampu menghasilkan dana sebanyak RM 6 billion.
Jika diperhatiakan keadaan dan sitausi politik-ekonomi ketika ini, Tawaran Awam Permulaan (IPO)berpotensi untuk naik pada hari pertama penyenaraiannya . Ini tidak menghairankan jika ianya berlaku kerana Felda merupakan penanda aras kepada era pimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak dan sudah tentu pihak-pihak yang berkepentingan akan melakukan manipulasi agar harga sahamnya lebih tinggi daripada harga permulaan . Kegagalan saham Felda ini bererti kegagalan transformasi yang dilaksanakan oleh kepimpinan Najib dan membuka peluang kepada serangan pihak pembangkang. Oleh yang demikian, ‘tidak boleh tidak’ pihak yang membawa kepentingan kerajaan akan memastikan bahawa usaha ini berjaya.
Apakah tujuan sebenar penyenaraian sahan FGVH ini? Jika benar ada yang mengatakan ia adalah untuk kepentingan peneroka, sejauhmana ketelusan pembahagian keuntungan itu nanti? Walaupun benar sebahagian keuntungan akan sampai kepada peneroka tetapi keuntungan yang besar pasti diraih oleh sekelompok individu yang mampu menguasai saham-saham di dalam FGVH itu nanti. Jadi, sebenarnya yang ‘untung besar’ adalah sebilangan kecil Kapitalis yang rapat dengan kerajaan dan mungkin mereka yang akan menjadi pendokong kuat kepada Parti Memerintah semasa Pilihanraya yang akan datang.
Selain dapat mengumpulkan dana, kemasukan FGVH ke dalam pasaran saham juga disertai risiko yang tinggi iaitu berlakunya pindah milik pegangan saham yang boleh diertikan pindah milik kepemilikan syarikat itu sendiri. Dengan erti kata lain FGVH berpotensi bertukar tangan kepada pihak lain jika keadaan mendesak.
Wahai kaum muslimin, kesemua perkara diatas bukanlah kaedah yang benar di dalam mengurusi kekayaan rakyat. Islam yang diturunkan oleh Allah swt mempunyai cara dan kaedah yang tersendiri mencakupi semua bidang termasuk bidang ekonomi ini di dalam mengatur urusan dan keperluan rakyat. Transaksi saham yang tidak jelas dan terdedah dengan risiko itu seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati. Masihkah kita ingat apa yang berlaku semasa krisis ekonomi sekitar tahun 1997 dahulu? Bukankah ianya berpunca daripada pasaran saham matawang yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham yang lain.
Selagi umat tidak berpegang kepada penyelesaian daripada Islam di dalam setiap perkara dalam kehidupan, maka selagi itu kita mengekori cara hidup, kehidupan dan budaya barat yang akan membawa manusia kepada kehancuran dan kebinasaan bukan sahaja di dalam ekonomi tetapi juga yang lain.
Sumber:
1) Kitab Nizhamul Iqtishadi fil Islam (Sistem Ekonomi dalam Islam),
2) Utusan Malaysia,
3) Harakah Daily dan
4) Sinar