Majlis Tilawah Dikaburi Sekularisme
Beginilah kita umat islam di Malaysia, Al Quran hanya dijadikan alat untuk diperdengarkan dan dibaca dan kemudiannya kembali disimpan ditempat asalnya. Adakah Allah S.W.T menurunkan kitab suci Al Quran ini sekadar untuk dijadikan pertandingan dan diberikan hadiah kepada mereka yang membacanya dengan sempurna dan suara yang merdu? Jika ada sesuatu yang hendak disampaikan kepada pendengar tidaklah hanya memadai dengan menunjukkan cara membaca dengan betul kerana untuk mengajar umat membaca dengan betul cukup sekadar dilakukan di sekolah atau di masjid bahkan di rumah. Jika beginilah cara kita menghidupkan Al Quran, maka selagi itulah umat Islam akan terus menjadi umat yang ketinggalan, tertindas, dihina, dan kehilangan arah tujuan.
Marilah kita melihat kembali bukti yang nyata di zaman kegemilangan tamadun Islam yang berlangsung melebihi 1400 tahun yang lalu dengan wilayah pemerintahan yang meliputi hampir seluruh benua Eropah bermula dari Andalusia(Sepanyol) merentasi benua Afrika, memasuki benua Asia sehingga ke penghujung Nusantara yang keluasannya mencakupi hampir tiga perempat keluasan dunia. Adakah pada ketika itu Al Quran hanya dipertandingkan dan diperdengarkan cara bacaan dengan betul? Al Quran dan Sunnah ketika zaman kegemilangan itu dijadikan sumber kepada segala hukum bagi setiap aspek kehidupan termasuk dasar negara yang merangkumi pemerintahan, pentadbiran, ekonomi, politik, pendidikan, dasar luar negara, ketenteraan dan sebagainya sehingga Al Quran ini membentuk peradaban Islam itu sendiri. Sejarah yang nyata itu telah membuktikan dengan keimanan dan perintah jihad yang terkandung dalam Al Quran, Kekuasaan Rom runtuh iaitu setelah kota Konstantinopel dan Kota Baitul Maqdis dapat dibuka masing-masing melalui Muhammad Al Fatih dan Sayyidina Umar Al Khattab RA.
Al Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan menuju kepada cahaya, siapa sahaja yang menghidupkan dan melaksanakan segala isi kandungannya pasti beruntung manakala siapa sahaja yang berhukum dengannya pasti adil dan siapa sahaja yang mendakwahkannya, pasti mendapatkan hidayah ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT:
(Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada cahaya terang bernerang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan tuhan Yang Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji.[TMQ Ibrahim (14):1]
Orang yang beriman tidak akan menyimpan Al Quran di almari yang berkunci dan dihias, mereka akan membacanya dengan benar, menelaahnya dengan benar, mengamalkanya dengan benar, dan terikat padanya dengan benar. Hanya dengan cara itu, umat Islam akan bangkit, dengan izinNya. InsyaAllah.
Rujukan : Berita Harian 8/6/2012