Solekan Keamanan Kapitalis Yang Pudar
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, rakyat mesti menghargai, memelihara dan meraikan nikmat keamanan, keharmonian serta kemakmuran di negara ini. Katanya lagi;“Ironinya keamanan ini menjadi impian dan dicari negara lain, tetapi agak sering diambil mudah atau senang dilupakan oleh segelintir orang kita sendiri.” Disebabkan itu, kepemimpinan negara sentiasa gigih mengendalikan cabaran hebat rakyat majmuk demi memastikan Malaysia terus maju bersama dengan keamanan, keharmonian dan kemakmuran walaupun ia sering dipandang secara skeptikal.“Kita berjaya membuktikan kepada dunia bahawa walaupun menghadapi semua cabaran itu, kita dapat membangunkan negara untuk hidup aman dan harmoni serta mengharapkan masa depan lebih cerah dan inilah cara Malaysia” katanya lagi.
Nampaknya Datuk Seri Najib benar-benar berbangga dengan keamanan yang berjaya diusahakan oleh kerajaan pimpinannya. Namun, dia terlupa bahawa segala keamanan dan kemakmuran yang sedang dikecapi oleh rakyat Malaysia itu hanyalah suatu solekan tebal yang cuba menutup pelbagai kepincangan yang wujud di dalam masyarakat. Tanpa disedari, solekan-solekan itu sedang pudar dan tanda-tanda kepincangan sudah terlalu banyak terserlah, antaranya adalah peningkatan kes buang bayi/anak kalangan remaja, penagihan dadah sintetik, masalah kemiskinan, rasuah dan banyak lagi masalah yang semakin membengkak dan tidak dapat lagi ditutupi dengan apa jua solekan pun.
Di dalam Islam, keamanan dan kemakmuran yang sedemikian itu tiada nilainya kerana ia tidak berlandaskan kepada sistem yang diturunkan oleh Allah SWT tetapi dibina daripada sistem yang dicipta oleh akal manusia. Padahal kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh-Nya. Firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang tidak mengadili menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir/fasiq/zalim”. ( Al-Maaidah: 44/45/47).
Maka dengan itu, sudah tiba masanya Pak Ajib memuhasabah diri dengan sepenuh jiwa dan hati yang ikhlas agar dia menyedari bahawa apa yang dia sedang lakukan pada ketika ini bertentangan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan tidak ada cara lain untuk kembali melainkan dengan segera melaksanakan hukum-hukum Allah tanpa beralasan lagi.
Rujukan : Berita Harian 21/10/2012