Umat Islam Bertelingkah Kerana Sistem Demokrasi, Bukan Sepakat Untuk Menolak Sistem Kufur Tersebut

Sihir demokrasi masih terus menghantui umat Islam. Ketika pihak pembangkang mengatakan bahawa demokrasi sudah mati di Malaysia ekoran dakwaan telah berlakunya penipuan dalam keputusan PRU-13 yang lalu, kini para penyokong kerajaan sekular pimpinan Najib pula menuduh bahawa parti pembangkang tidak menghormati demokrasi gara-gara tindakan wakil rakyat parti pembangkang yang tidak hadir ke Sesi Taklimat Dewan Rakyat Ke-13 baru-baru ini. Siapakah yang benar dalam konteks ini? Yang pastinya, kedua-duanya berada di pihak yang salah. Jelas di sini bahawa kedua-dua pihak baik kerajaan mahupun pembangkang masih tidak memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan demokrasi. Lihatlah betapa berjayanya kuffar Barat menyolek dan mencantikkan  sistem kufur ini sehingga berhasil menipu dan mengaburi mata hati dan penglihatan umat Islam.

Faktanya, selepas penjajah British keluar daripada Tanah Melayu, negara ini bukan ditinggalkan begitu sahaja. Sebelum mereka keluar, British telah pun menyiapkan orang-orang tempatan yang taat kepada tuan yang pernah menjajah diri mereka dan British juga telah meninggalkan sistem pemerintahan yang akan mengikut keinginan mereka iaitulah sistem demokrasi. Ketahuilah, bahawa demokrasi yang ditinggalkan ini adalah satu sistem yang telah direka khas untuk memastikan agar Islam tidak akan dapat diterapkan secara kaffah dalam kehidupan bermasyarakat mahupun bernegara buat selama-lamanya. Demokrasi adalah sistem yang menjadikan manusia sebagai Tuhan. Dalam demokrasi, manusialah yang menggubal undang-undang di mana kayu ukur bagi nilai kebenaran adalah suara majoriti. Manusialah yang menentukan bahawa apakah itu halal atau haram, apakah yang boleh atau tidak boleh mengikut kemahuan mereka. Pendek kata, dalam demokrasi kedaulatan itu adalah milik manusia.

Ini jelas berbeza dengan Islam di mana kedaulatan itu adalah hak milik mutlak bagi Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT: “hanya Allah jualah yang menetapkan hukum.” [TMQ al-An’am (6): 57].

Persoalannya kini, sampai bilakah umat Islam akan terus ditipu oleh sistem kufur ini? Keadaan ini diperparahkan lagi apabila parti politik Islam juga turut terjebak dengan sistem kufur ini. Inilah keadaan dan realiti politik di Malaysia dan di seluruh dunia. Ketika mana dunia telah menyaksikan bahawa demokrasi telah membawa kegagalan demi kegagalan, tetapi malangnya para politikus di Malaysia masih mahu terus bergantung harap dengan sistem kufur ini. Sampai bilakah keadaan ini akan terus berlaku? Wahai umat Islam! Wahai ahli-ahli parti politik Islam! Apakah tidak cukup kegagalan yang telah ditonjolkan oleh gerakan-gerakan Islam yang bergantung harap dengan demokrasi dan Barat sepertimana yang berlaku di Mesir, Libya dan Tunisia? Mereka bukan sahaja telah  gagal dalam menerapkan Islam sebagai suatu sistem yang kaffah, malah gagal untuk menzahirkan Islam sebagai suatu cara hidup dalam kehidupan bernegara. Ini sudah cukup untuk menjadi bukti bagi membuka mata dan mengetuk pintu hati orang-orang yang beriman dan yang mengambil pengajaran. Ambillah iktibar wahai orang-orang yang mempunyai penglihatan dan pendengaran.

Sumber: http://www.bharian.com.my