GST Tetap Haram
Sabda Rasulullah SAW, “Orang yang memungut cukai tidak akan masuk syurga.” [HR Ahmad, Abu Dawud dan Al-Hakim]
Dalam riwayat yang lain,
“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].
“Sekiranya kamu menjumpai pemungut ’usyur (cukai yang dipungut di sempadan antara negara Islam dan negara kufur), maka bunuhlah dia” [Musnad Imam Ahmad bin Hambal].
Justeru, daripada hads-hadis di atas adalah jelas menunjukkan bahawa adalah haram bagi negara untuk memungut cukai daripada rakyat untuk pendapatan negara. Ini adalah sama sekali berbeza dengan sistem Islam. Sebagai sebuah ideologi yang lahir daripada aqidah Islam, Islam mempunyai sistem ekonominya yang tersendiri. Sumber pendapatan bagi Daulah Islam hanya datang daripada sumber-sumber yang diizinkan oleh syara’ sahaja.
Dalam kitab al-Amwaal fi Daulah al-Khilafah, Syeikh Abdul Qadim Zallum menyatakan bahawa pendapatan Daulah adalah terdiri daripada 12 sumber iaitu: (1) ghanimah/anfal, fai`, khumus (2) kharaj, (3) jizyah, (4) kepemilikan umum, (5) kepemilikan negara, (6) ‘usyur, (7) harta yang disita hasil korupsi (maal al-ghulul), (8) khumus rikaz dan lombong, (9) harta orang yang tidak mempunyai waris, (10) harta orang yang murtad, (11) dharibah dan (12) zakat.
Keunggulan sistem pengutipan hasil pendapatan negara Islam ini sudah terbukti dan teruji kemampuan serta keberkesanannya di sepanjang lebih daripada 1300 tahun Islam memerintah dunia. Persoalannya, apakah umat Islam amnya dan para pemimpin umat Islam khususnya pada hari ini yakin dengan Islam atau masih terus bergantung harap dengan sistem ekonomi kapitalisme? Cukuplah wajah buruk kapitalisme yang ada pada hari ini telah membawa mimpi buruk dan ngeri bagi seluruh masyarakat dunia termasuklah umat Islam. Dunia kini perlu berubah menuju Khilafah yang mana jaminannya adalah rahmat bagi sekalian alam.
Sumber: Utusan Malaysia, 13/07/13