Bukan Sekadar Alvin & Vivian Yang Bersalah, Tetapi Ramai lagi
Pasangan lucah ini bukanlah satu pasangan baru kerana sebelum ini pun mereka telah menggemparkan masyarakat dengan aksi berahi mereka dengan “mengongsikannya” untuk tatapan seluruh dunia! Inilah bahana fahaman liberalisme melalui kebebasan bersuara, kebebasan bertingkahlaku dan kebebasan individu yang menjadi tunjang kepada demokrasi sekular. Melalui fahaman ideologi ini, individu-individu seperti ini bebas sebebas-bebasnya melakukan perkara yang bukan sahaja haram di sisi Islam, malah kesannya turut boleh meruntuhkan moral masyarakat. Penghinaan terbaru yang di lakukan pasangan ini adalah dengan mempersendakan salah satu syariat Islam iaitu ibadah puasa serta bulan Ramadhan. Mereka dengan gembiranya mempersendakan ibadah ini dengan mengucapkan selamat berbuka dengan “Bak Kut Teh” yang disertai dengan logo halal. Tangkapan dan dakwaan telah dilakukan terhadap mereka dengan tuduhan menghasut serta mempamerkan bahan lucah.
Sebagai seorang Muslim yang peka dan sedar, pastinya kita akan merasa marah serta geram terhadap mereka yang secara terang-terangan mempersendakan Islam. Itu memang sudah menjadi fitrah manusia yang memiliki naluri mempertahankan diri (gharizatul baqa’) yang pastinya akan cuba mempertahankan sesuatu yang dimilikinya. Dalam hal ini, naluri dan perasaan marah tersebut muncul untuk mempertahankan kesucian Islam. Namun, jika dicermati dengan pemikiran yang jernih dan cemerlang (mustanir), akan kita temui bahawa kesalahan menghina Islam ini dilakukan juga oleh ramai kaum Muslimin (secara sedar atau tidak sedar) dan bukan hanya dilakukan oleh pasangan kafir ini sahaja. Kesalahan-kesalahan serius yang lain seperti mengamalkan politik lucah, perkauman, tidak menerapkan hukum Allah secara kaffah atau menyempitkan hukum Allah sekadar hudud sahaja atau sekadar rasuah , pecah amanah dan lain-lain lagi. Ini semua dilakukan oleh kebanyakan para pemimpin kaum Muslimin dan ia juga merupakan satu penghinaan terhadap syariat Islam. Bukan setakat tidak menerapkan Islam, mereka turut mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang biadap seperti hukum Islam tidak sesuai untuk masyarakat majmuk, tidak sesuai dengan realiti semasa dan pelbagai lagi alasan yang merendahkan Islam. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila mereka lebih rela dan sanggup untuk menerapkan sistem kufur ke atas rakyat dan bermati-matian mempertahankannya yang mana perbuatan ini juga merupakan satu bentuk penghinaan ke atas Islam secara terang-terangan.
Allah SWT telah menegaskan dengan jelas di dalam Al-Quran bagi sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Islam sepertimana firmanNya:
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Maidah (5): 44]
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. [TMQ al-Maidah (5): 45]
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. [TMQ al-Maidah (5): 47].
Sekiranya Daulah Islam telah wujud, pastinya pasangan ini tidak akan berpeluang untuk melakukan kesalahan yang sama untuk kali yang kedua! Malah, penyakit berani menghina sebegini tidak akan merebak sehingga menjadi tahap wabak sepertimana yang berlaku di seluruh dunia sekarang. Oleh itu, tidak ada penyelesaian lain kepada permasalahan sebegini melainkan dengan diterapkan kembali sistem Islam secara keseluruhan (kaffah) dengan mendirikan negara Khilafah. Khalifah yang memerintah kelak bukan sahaja berhukum dengan hukum-hakam Islam, malah beliau jugalah yang akan menjaga kemuliaan Islam daripada dipersendakan. Semoga Khilafah akan segera tertegak di mana seluruh umat yang bernaung di bawahnya akan mendapat rahmat, keberkatan serta keamanan yang hakiki. Wallahu a’lam.
Sumber : Utusan Online, 19/07/2013