Rumah Transit Golongan Gelandangan Bukan Satu Penyelesaian
Jika kita cermati dengan pemikiran yang jernih, golongan gelandangan ini merupakan satu masalah yang sistemik (terancang). Ia bukannya punca utama kepada masalah kesihatan, keselamatan, jenayah dan sebagainya sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dipetik sebagai berkata, “Kita akan sediakan tilam supaya mereka selesa untuk tidur, sekurang-kurangnya mereka mempunyai tempat bersih, tidak terlibat dengan jenayah seperti mencuri, dadah dan sebagainya” [2]. Masalah yang cuba diselesaikan oleh kerajaan di sini hanyalah simptom kepada masalah iaitu ‘tiadanya tempat tinggal’ atau tempat untuk tidur. Walhal sepatutnya kerajaan perlu menyelesaikan punca kepada timbulnya masalah ini, iaitu ‘kenapa dan bagaimana mereka boleh menjadi golongan gelandangan’?.
Antara faktor utama yang melahirkan golongan-golongan sebegini tidak lain adalah kerana sistem ekonomi kapitalis yang diterapkan oleh pemerintah. Melalui sistem ini, golongan berpendapatan rendah dan miskin tidak mampu untuk memiliki tempat tinggal yang selesa meskipun ia merupakan salah satu keperluan asas rakyat yang perlu dipenuhi oleh pemerintah. Harga rumah di bandar-bandar besar yang tidak masuk akal membuatkan hanya golongan kaya sahaja yang mampu untuk memiliki rumah. Selain itu, terdapat juga di kalangan gelandangan ini yang pada asalnya mempunyai rumah kediaman. Tetapi akibat sistem kapitalis yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan, harta dan aset mereka telah dibekukan, dirampas dan diisytiharkan muflis begitu saja dengan sekelip mata gara-gara mereka tidak mampu untuk membayar hutang riba yang diamalkan dalam negara sekular ini. Masalah ini ditambah parahkan lagi apabila kehidupan golongan gelandangan yang tertekan hidup mereka menjadi semakin bebas yang mana ia akan membawa kepada pertambahan masalah sosial yang lain seperti pergaulan bebas, jenayah komersial dan seksual yang kemudiannya akan menjadikan isu gelandangan ini semakin rumit.
Dalam Islam, pemenuhan negara ke atas keperluan asas rakyat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab wajib pemerintah ke atas rakyatnya. Pemenuhan keperluan asas ini bukanlah bermakna segala keperluan manusiawi seperti tempat tinggal akan berada di hadapan mata rakyat secara percuma begitu saja. Sekiranya diterapkan sistem Islam secara kaffah oleh negara, maka masalah sebegini dapat diselesaikan dengan lebih mudah. Apa yang dimaksudkan di sebalik pemenuhan keperluan tempat tinggal ini adalah negara wajib memastikan agar setiap individu rakyatnya yang mampu bekerja (terutamanya lelaki) mempunyai pekerjaan di mana dengan pekerjaan tersebut, mereka mampu untuk memenuhi segala keperluan asas diri dan ahli keluarganya seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Jika mereka tidak memperoleh sebarang pekerjaan, maka negara wajib menyediakan pekerjaan kepada mereka tanpa sebarang alasan. Ini akan menjadikan warganegara Daulah Islam lebih produktif dan hanya golongan yang tidak mampu bekerja sahaja (seperti OKU) dan yang tidak mempunyai waris akan dipenuhi segala keperluan asas mereka oleh negara. Di samping itu, negara juga wajib memastikan agar pembinaan rumah-rumah kediaman adalah mencukupi untuk menampung kesemua warganegaranya dan memastikan agar kesemua kediaman yang dijual adalah mengikut hukum syarak semata-mata dan tidak melibatkan sebarang riba ataupun akad yang batil.
Justeru, untuk menangani golongan gelandangan ini bukanlah dengan menangani masalah tempat tinggal mereka secara sementara yang mana akhirnya bakal menimbulkan pelbagai masalah-masalah yang lain. Sebaliknya ia harus ditangani dengan menyelesaikan isu pokok iaitu tiadanya penerapan sistem Islam dalam negara. Hanya dengan penerapan sistem Islam secara kaffah (sempurna) sahaja akan menyelesaikan golongan gelandangan ini beserta masalah-masalah lain yang timbul akibat penerapan sistem kapitalisme di tengah-tengah masyarakat ketika ini. Wallahu a’lam.
Sumber :
[1] http://www.malaysiandigest.com, akses pada 04/08/2013
[2] Utusan Online, akses pada 04/08/2013