DNA Babi: Antara Sensitiviti dan Keutamaan Umat Islam

Umat Islam di Malaysia telah digemparkan dengan pengumuman berkenaan penemuan DNA babi dalam sampel coklat Cadbury sepertimana yang telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sebuah kenyataan akhbar bertarikh 24 Mei yang lalu.
Hasil daripada penemuan tersebut, syarikat Cadbury Confectionary Malaysia Bhd. (Cadbury) telah mengumumkan penarikan semula kedua-dua produk iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov, 2014) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan, 2015) dengan serta-merta. Di samping itu, syarikat tersebut turut menyatakan kesediaan untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan lanjut.1

Berita penemuan DNA babi ini telah mencetuskan kemarahan dan kerisauan dalam umat Islam di Malaysia. Gesaan membakar kilang Cadbury telah tersebar dalam alam maya lantaran kemarahan yang melanda. Terdapat juga pihak yang mencadangkan supaya umat Islam di Malaysia menjalani proses penukaran darah kerana telah dicemari oleh DNA babi.2 Meskipun cadangan-cadangan tersebut keterlaluan (ghuluw) dan tidak rasional kerana tiada asasnya dalam Islam, namun ini jelas menunjukkan betapa sensitifnya umat Islam di Malaysia terhadap isu babi.

Dalam perkembangan yang sama, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad  turut menyarankan supaya kilang Cadbury ditutup berikutan insiden yang terjadi.3 Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pula menyarankan supaya umat Islam memboikot produk keluaran Cadbury sebagai tanda bantahan.4

Sikap mengambil peduli dan sensitif atas setiap apa yang berlaku di sekitar kita sememangnya sebahagian daripada kewajiban dan tuntutan dalam Islam atas setiap individu Muslim. Namun, di sebalik semua ini, adalah malang sekali apabila sensitiviti umat secara umumnya hampir-hampir tidak wujud atau tidak terarah dalam menanggapi perkara-perkara haram yang lain. Tatkala kebanyakan umat berasa begitu jijik dan loya dengan babi, terdapat segelintir umat yang tidak sedikitpun berasa jijik dalam meneguk arak (khamr) walaupun telah jelas keharamannya dalam Islam. Bagaimana pula dengan riba, zina, judi dan keharaman yang lain?

Tatkala sang imam menyeru kepada penutupan kilang coklat berdasarkan sedikit keraguan yang timbul daripada ujian DNA (yang statusnya masih lagi dalam penelitian), penguasa sewajarnya terlebih dahulu menutup kilang arak dan juga pusat-pusat perjudian “berlesen” (baca: “halal” menurut sistem kapitalisme) yang sememangnya haram secara qat’ie. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah termasuk daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”[TMQ al-Maidah (5): 90]

Bahkan lebih malang lagi apabila ramai umat Islam masih lagi bergelumang dengan sistem demokrasi kapitalisme yang merupakan sistem kufur dan jelas keharamannya. Sedarlah, bahawasanya kemaksiatan yang terbesar bagi seseorang individu Muslim itu adalah apabila ia melepaskan dirinya daripada berhukum dengan hukum Allah lalu mengambil taghut sebagai rujukannya. Sudah tiba masanya bagi seluruh umat Islam untuk menjalinkan segenap upaya ke arah mengembalikan semula syariat Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah kerana perkara inilah yang sewajarnya menjadi keutamaan yang mendasar.

Alangkah mulianya sekiranya umat Islam turut memacu sensitiviti sedemikian dalam memuhasabah penguasa yang mengabaikan penerapan Islam secara syumul. Sesungguhnya halal dan haram itu bukan sekadar melibatkan aspek pemakanan semata-mata, malah ia menjadi kayu ukur bagi setiap inci perbuatan dalam segenap aspek kehidupan kita. Wallahua’lam.

Sumber:

1) DNA Babi – Cadbury Bantu Siasatan Pihak Berkuasa Utusan Malaysia Online
2) ACCIN: Cadbury must pay for blood cleansing, KiniNews
3) Cadbury: Imam Besar Masjid Negara Saran Bertegas, Sinar Harian; 27 Mei, 2014
4) Isu halal: PUM gesa boikot produk Cadbury, Sinar Harian; 25 Mei, 2014