Banjir: Pasukan bantuan perlu sabar, kawal emosi
Bekal niat dan tenaga sahaja tidak mencukupi untuk pasukan sukarelawan yang ke pantai timur untuk membantu mangsa banjir. Mereka juga perlukan bekal kesabaran dan emosi yang tinggi, apatah lagi yang datang dari jauh. Tidak terkecuali dengan pasukan bantuan HTM.
Sejak awal, pasukan sukarelawan HTM sudah bertungkus-lumus mengumpul sumbangan selama beberapa hari, menjaga pos sumbangan siang dan malam, melakukan packaging, kemudian apabila dirasakan mencukupi terus memuat naik semua barangan ke atas lori serta menyusunnya dengan baik bagi memudah dan melancarkan proses agihan. Semua itu memerlukan pengorbanan masa dan tenaga yang banyak.
Setelah semua siap, pasukan sukarelawan HTM mula bersiap untuk berangkat ke tempat musibah yang jaraknya lebih 400km dari Kuala Lumpur. Perjalanan dilakukan di sebelah malam kerana targetnya untuk mengagihkan bantuan di waktu siang. Dengan tidur yang tidak mencukupi dan pemanduan lebih kurang 8-10 jam, ditambah dengan hujan dan jalanraya yang banyak rosak di sepanjang perjalanan, semua ini memerlukan kecekalan mental dan fizikal yang tinggi, apatah lagi bagi yang tidak biasa berjalan jauh atau memandu di waktu malam.
Namun atas dasar tanggungjawab dan ruhiyah yang tinggi dengan niat semata-mata lilLahi Ta’ala untuk membantu mangsa yang tidak mendapat bantuan yang sewajarnya dari pemerintah yang mengkhianati Allah, RasulNya dan kaum Mukminin ini, semua itu diharungi dengan mudah oleh pasukan sukarelawan, ditambah dengan doa daripada rakan seperjuangan yang mengiringi misi bantuan di sepanjang jalan.
Setiba di tempat kejadian setelah mengharungi perjalanan panjang, pasukan sukarelawan sempat berehat sekejap sebelum bersarapan, lalu terus memulakan operasi, bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dan dari rumah ke rumah. Di kebanyakan tempat, agihan dari rumah ke rumah yang dirancang sebelum ini, tidak sempat dilakukan kerana lori bantuan sudah diserbu di setiap lokasi.
Memang pilu dan menyayat hati melihat mangsa yang berebut-rebut mendapatkan bantuan dari lori, meminta, merayu-rayu, malah ada yang menjerit dari jauh meminta barangan itu dan ini bagi memenuhi hajatul udhawiyah masing-masing yang sudah beberapa hari tidak kesampaian.
Dengan barang sumbangan yang terhad yang pastinya tidak dapat menampung jumlah mangsa yang begitu ramai yang berpusu-pusu datang, pasukan sukarelawan HTM juga turut dilanda keresahan semasa melakukan pengagihan, apatah lagi tatkala barang yang diminta sudah kehabisan sedangkan ramai lagi yang masih memerlukannya.
Dalam pada itu, ramai juga di kalangan mangsa yang “mengambil kesempatan” berebut-rebut berulang-kali walaupun sudah mendapat barang yang diperlukan. Walaupun di sepanjang pengagihan, pasukan sukarelawan tidak henti-henti memberi arahan dan “tazkirah” agar para mangsa jangan menzalimi orang lain dengan mengambil lebih dari keperluan dan hendaklah sentiasa ingat kepada orang lain yang juga memerlukan, namun segelintir tetap tidak mengendahkannya. Bahkan ada di kalangan mangsa yang memarahi dan menengking pasukan sukarelawan kerana mereka gagal mendapatkan barang yang mereka kehendaki. Semoga Allah mengampuni mereka.
Itulah sebahagian pengalaman yang dilalui oleh pasukan sukarelawan HTM di sepanjang misi bantuan. Apa pun, oleh sebab kesemua hal-hal berikut sudah pun diingatkan kepada semua petugas sebelum memulakan misi lagi, alhamdulillah semuanya dapat dihadapi dengan tabah dan tenang oleh pasukan bantuan HTM.
Pengalaman yang dialami sendiri ini menjadi bukti betapa buruknya pemerintah sekular yang ada pada hari ini yang mengabaikan rakyatnya, hatta di saat musibah sebesar ini sekalipun, rakyat masih terbiar tanpa bantuan selama berhari-hari! Alangkah besarnya dosa pemerintah dan jawablah kamu di hadapan Allah nanti!
Kepada semua pemberi sumbangan dan pasukan sukarelawan yang ikhlas lillahi Ta’ala berkhidmat di sana, jazakumullahu khairan diucapkan. Kepada yang bakal ke sana, di samping membawa barangan sumbangan, bawalah bekal keimanan, ketakwaan, kesabaran dan kawal emosi anda, Allahu ma’akum.