Najib-Jokowi, ini formula untuk selesaikan masalah!
Presiden Indonesia, Joko Widodo sedang melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia. Banyak perkara yang dibincangkan khususnya yang melibatkan hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia, termasuklah beberapa konflik yang berlanjutan sejak sekian lama antara kedua-dua negeri Muslim ini.
Antara perkara yang dibincang Najib dan Jokowi ialah isu tertunggak selama puluhan tahun berkaitan persempadanan maritim antara Malaysia-Indonesia yang terkait dengan isu pencerobohan nelayan di perairan kedua-dua negara. Dari lawatan kali ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan tegas terhadap nelayan yang memasuki kawasan perairan bertindih.
Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk melantik duta khas bagi mewakili kerajaan masing-masing untuk mengadakan rundingan secara rasmi bagi meneroka formula yang dapat diterima rakyat dan kerajaan kedua-dua negara dalam hal berkaitan. Mereka juga bersetuju yang sekiranya kaedah tersebut menunjukkan tanda positif untuk dijadikan sebagai formula penyelesaian yang boleh diterima, rundingan berikutnya secara rasmi akan diadakan.
Inilah masalahnya dengan pemimpin Muslim sejak sekian lama. Mereka terkial-kial mencari penyelesaian kepada masalah yang mereka ciptakan sendiri, itu pun jika mereka ikhlas dan bukannya berlakon dalam mencari penyelesaian.
Mereka tidak pernah melihat atau sengaja tidak mahu melihat kepada punca masalah. Walhal jika mereka pergi ke akar permasalahan, maka mereka akan dapat menyelesaikan segala masalah dengan mudah dan menggembirakan semua orang.
Masalah sempadan ialah masalah yang dicipta oleh kuffar penjajah ke atas negeri-negeri umat Islam. Ia dilakukan penjajah dalam rangka memecahkan kesatuan umat Islam yang sebelumnya bernaung di bawah Daulah Khilafah, selain mengaut segala kekayaan yang ada di tanah kaum Muslimin.
Sebelum memberikan kemerdekaan, kuffar penjajah telah memastikan pemerintah tempatan yang mereka lantik akan meneruskan sistem kufur mereka dan memastikan kaum Muslimin kekal dalam perpecahan di bawah negara-bangsa. Inilah yang terjadi kepada Malaysia, Indonesia dan seluruh negeri umat Islam lainnya.
Masalah sempadan tidak pernah wujud tatkala kaum Muslimin disatukan di bawah negara yang sama yakni Khilafah. Malah, Malaysia dan Indonesia tidak pernah mengalami masalah ini satu ketika dulu tatkala berada di bawah Empayar Acheh dan Melaka. Indonesia dan Malaysia terkenal dengan istilah satu rumpun dan penduduk kedua-dua wilayah ini saling berpergian dan bertempat tinggal di antara satu tempat dengan yang lainnya. Kerana itulah, berapa ramai dari penduduk Malaysia, malah dari kalangan pemimpin Malaysia sendiri, yang berasal dari Indonesia.
Justeru, untuk menyelesaikan masalah ini tidak lain kecuali mempersatukan semula Malaysia dan Indonesia (dan lain-lain negeri Muslim) di bawah satu negara, satu bendera dan satu pemimpin yakni Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah. Inilah penyelesaian hakiki yang malah merupakan penyelesaian yang syarie kepada masalah ini. Inilah satu-satunya formula untuk menyelesaikan segala isu yang membabitkan kedua-dua negara!
Apakah pemimpin tertinggi kedua-dua negara ini begitu jahil atau sengaja menjahilkan diri sehingga tidak mengambil penyelesaian yang bertepatan dengan wahyu ini?
Hizbut Tahrir sedang bergerak aktif sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia dan lain-lain bahagian dunia, untuk mempersatukan kembali umat Islam di bawah Daulah Khilafah, yang Insya Allah tatkala ia berdiri sebentar lagi, akan menghapuskan segala sempadan palsu yang dicipta oleh penjajah ini.