Perjuangan melalui pilihan raya yang tidak ke mana
Tatkala keadaan politik dan ekonomi yang cukup parah melanda Malaysia sekarang ini, negara akan berhadapan dengan dua pilihan raya kecil (PRK) tak lama lagi iaitu di Rompin dan Permatang Pauh berikutan kekosongan di kedua-dua kawasan Parlimen itu.
Parti-parti yang akan bertanding, walaupun sedang migrain dengan masalah dalaman masing-masing, namun persediaan dan usaha bagi menghadapi kedua-dua PRK ini terus digerakkan. Seperti biasa, mereka akan meminta segala perbalahan dan ketidaksefahaman sesama mereka dihentikan seketika bagi memberi fokus kepada PRK.
Inilah amalan dan ajaran demokrasi. Keseluruhan kekuatan parti akan digerakkan untuk pilihan raya. Pilihan raya, pilihan raya, pilihan raya. Kesemuanya tentang pilihan raya. Keseluruhan maneuver dan survival politik dilakukan demi pilihan raya. Keseluruhan wang dan kekuatan parti digerakkan untuk pilihan raya. Pendek kata, pilihan raya telah menjadi perjuangan hidup dan mati bagi parti-parti politik yang bergelumang dengan demokrasi!
Setiap kali pilihan raya, kesemua isu lain seolah-olah terhenti atau sengaja diberhentikan. Segala fokus tertumpu pada pilihan raya. Calon-calon yang dinamakan oleh parti perlu dijulang setinggi-tingginya dari segi kebolehannya, kemampuannya, kelayakan akademiknya, akhlaknya, ketinggian berfikirnya, kemesraannya dengan masyarakat dan banyak lagi. Manakala calon lawan pula direndahkan dan dibanding-bandingkan dalam bentuk mendiskreditkan satu sama lain.
Ini belum masuk lagi fitnah-memfitnah, caci-maki, hasut-menghasut, taktik kotor dan lain-lain bagi memastikan kemenangan calon masing-masing. Tidak kira parti Islam atau parti sekular, inilah amalan yang berulang-ulang yang dapat dilihat setiap kali pilihan raya.
Perhatian umat juga turut tertumpu pada pilihan raya kerana setiap hari inilah hidangan yang disajikan oleh media. Manakala seluruh kekuatan parti disibukkan dengan kerja keras bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya, suatu usaha yang sungguh luar biasa, umpama persiapan untuk turun ke medan jihad menyahut seruan Allah dan mencari mati syahid.
Sungguh sayang apabila potensi umat Islam digerakkan ke arah yang merugikan ini. Kenapa rugi? Kerana mana-mana parti yang menang sekalipun, apatah lagi parti sekular, sudah pasti tidak akan menerapkan Islam. Manakala calon yang menang menjadi wakil rakyat pula, hakikatnya tidak akan menjadi “wakil rakyat” tetapi akan menjadi “wakil parti” semata-mata. Segala polisi dan tindak-tanduknya adalah untuk kepentingan parti. Dia akan bergerak atas arahan parti dan akan mendengar arahan pemimpin parti, bukannya bergerak atas kehendak dan kepentingan rakyat. Kerana itulah, semua proses demokrasi ini akhirnya merugikan rakyat itu sendiri, sama ada disedari atau tidak.
Umat Islam seharusnya sedar akan hakikat penipuan demokrasi ini dan lebih penting untuk menyedari akan hukum pilihan raya dalam sistem demokrasi yang jelas haram apabila memilih seseorang untuk pergi ke majlis tasyri’ (majlis pembuatan hukum – Parlimen/DUN). Demokrasi dan pilihan raya di bawah demokrasi sesungguhnya satu sistem yang penuh penipuan yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada umat jika dilihat dari perspektif syarak.
Wallahu a’lam.