UMNO kutip balik “benda terbuang” untuk apa?

Banyak parti-parti politik demokrasi pada hari ini berada dalam keadaan terdesak, lebih-lebih lagi parti yang sedang berkuasa. Terdesak untuk apa? Ya sudah pasti terdesak untuk mempertahankan kuasa mereka! Manakala parti-parti pembangkang pula terdesak untuk menstabilkan diri sendiri dan juga gabungan, pun kerana ingin berkuasa.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak parti-parti politik demokrasi yang bergelut dengan masalah dalaman, mahu pun masalah dengan rakan-rakan sekutu. Mereka juga berhadapan dengan masalah yang melibatkan individu-individu penting atau berpengaruh dalam parti yang melakukan pelbagai karenah sehingga menggoncang dan melemahkan parti.

Dari satu sudut, kita memang tidak perlu menyibuk untuk masuk campur rumahtangga orang lain. Namun, dari sudut yang lain, kita juga tidak boleh sekadar melihat apa yang berlaku tanpa melakukan sesuatu. Ini kerana, apa yang berlaku pada mereka, lebih-lebih lagi parti pemerintah, akan memberi kesan kepada rakyat khususnya umat Islam, dan juga turut memberi kesan kepada negara serta turut memberi kesan kepada Islam itu sendiri.

Dalam perkembangan terbaru, Umno dilaporkan telah bersetuju menerima semula lebih 6,000 ahli dan bekas pemimpinnya yang telah dipecat atau digantung selama ini. Beberapa pemimpin utama parti Melayu itu telah “dipungut” balik setelah sekian lama terbuang. Sebahagian besar mereka, atau mungkin sahaja semuanya, sebenarnya masih tetap setia dengan Umno walaupun telah lama berada di luar. Masakan tidak, kerana DNA mereka ialah DNA Umno.

Ya, terpulanglah kepada Umno untuk berbuat demikian, kerana itu merupakan hak mereka dan rumahtangga mereka. Namun, tidak salah untuk kita memberi pendapat atau komen dengan apa yang mereka lakukan. Lebih-lebih lagi kedudukan Umno sebagai sebahagian daripada parti pemerintah, yang umat Islam tidak boleh biarkan, bahkan wajib untuk melakukan muhasabah jika mereka menyeleweng dari jalan yang lurus. Ini ialah tuntutan syarak ke atas setiap Muslim.

Semua orang tahu bahawa tindakan mengutip balik pemimpin dan ahli-ahli terbuang adalah langkah terdesak Umno untuk menghadapi PRU, bagi memastikan Umno kekal berkuasa. Para pemimpin yang selama ini terbuang pula mungkin berpeluang untuk kembali memegang posisi penting dalam Umno, atau berpeluang lebih besar untuk menjadi calon pada PRU akan datang.

Jadi, ia nampaknya seperti win-win situation bagi kedua-dua pihak. Umno lebih win lagi, kerana ia bukan sahaja mendapat kembali tokoh-tokoh yang telah dibuangnya, tetapi juga para pengikut tokoh-tokoh berkenaan, dan rakyat yang menyokong tokoh-tokoh tersebut. Dengan kata lain, Umno akan mendapat kembali undinya yang hilang selama ini.

Ya, terserahlah kepada Umno kalau itu adalah strateginya. Tidak salah untuk Umno berbuat demikian walaupun secara prinsipnya nampak tidak berprinsip. Namun, persoalan penting untuk kita ialah, adakah dengan kembalinya tokoh-tokoh ini ke pangkuan Umno, atau dengan potensi besar untuk mereka menjadi calon-calon Umno dalam PRU akan datang, adakah nasib kita (sebagai rakyat dan sebagai umat Islam) akan berubah? Adakah nasib negara ini akan berubah? Dan soalan yang jauh lebih penting, adakah kedudukan Islam dalam negara akan berubah (kepada lebih baik)?

Persoalan Umno ingin kekal berkuasa sampai mati, itu satu isu kerana kita semua tahu bahawa Umno memang kemaruk kuasa, sama sebagaimana parti-parti lain dalam demokrasi. Namun persoalan utama dan penting untuk kita ialah, dengan strategi mengutip kembali benda terbuang ini, apakah yang Umno akan lakukan jika menang PRU dan kembali mendapat kuasa yang lebih besar, sebagaimana dulunya?

Adakah dengan kembalinya tokoh-tokoh terbuang ini, mereka akan membawa satu idea perubahan baru untuk Umno; atau mereka akan membawa langkah baru atau strategi baru yang tidak pernah dibuat oleh Umno sebelum ini; atau mereka akan merubah nawaitu dan jalan perjuangan Umno menuju lebih baik? Atau mereka sebenarnya tetap kena mematuhi presiden parti, perlembagaan parti dan arahan parti?

Melihat kepada track record Umno, dan track record kesemua tokoh-tokoh terbuang ini, Umno tetap Umno dan Umno akan kekal sebagai Umno. Tidak akan ada perubahan dari segi asas/dasar walaupun mungkin ada sedikit perubahan dari segi uslub dan strategi di sana sini.

Umno tidak pernah faham bahawa kuasa merupakan amanah dari Allah untuk menerapkan hukum-hukum-Nya secara kaffah. Bahkan, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Umno sebenarnya tidak mahu faham ini semua. Hati dan mata Umno hanya memandang kepada kuasa semata-mata tanpa mengaitkannya dengan agama, kuasa yang membolehkan mereka mengaut segala projek dan keuntungan ke dalam poket mereka; kuasa yang  akan memberikan mereka segala kemewahan, jawatan, populariti dan kesenangan duniawi, yang mereka tidak akan dapat jika tidak berkuasa.

Umno tidak pernah mahu faham bahawa kuasa itu tidak pernah terpisah dan tidak boleh dipisahkan dari Islam. Kuasa ialah untuk menerapkan hukum Islam secara kaffah. Allah (swt) telah memberikan mereka peluang untuk meraih kemuliaan dunia dan akhirat selama lebih 60 tahun, namun mereka mengkhianati amanah Allah; mereka lalai, sombong, bongkak dan mensia-siakan peluang tersebut, sehingga Allah menjatuhkan mereka dalam keadaan hina.

Kemudian, Allah (swt) memberikan sekali lagi peluang walau pun jauh lebih kecil dari sebelumnya, untuk Dia melihat sama ada Umno akan bertaubat dari kesalahannya dan kembali kepada-Nya dalam urusan pemerintahan negara dan lain-lain. Ternyata Umno tetap Umno.

Jika Umno mahu faham bahawa kuasa ialah amanah untuk menerapkan agama Allah, dan berusaha merealisasikannya, maka Umno tidak perlu bersusah payah untuk mengutip kembali semua benda yang telah dibuangnya, bahkan benda yang terbuang itu mungkin akan kembali kepadanya tanpa diminta, tanpa dipujuk dan tanpa diusahakan. Allah sudah pasti akan menolong orang yang menolong agama-Nya. Ini janji Allah.

Sayangnya, track record Umno menunjukkan yang mereka bukan sahaja tidak mahu menerapkan Islam, malah mereka akan menentang siapa sahaja yang berusaha untuk menerapkan Islam secara kaffah di negara ini. Pasukan polis digerakkan, bahkan pihak berkuasa agama dipergunakan habis-habisan untuk menentang mana-mana gerakan atau individu yang ingin menegakkan hukum-hukum Al-Quran dan As-Sunnah dalam negara. Apatah lagi perjuangan untuk mengembalikan negara Khilafah, walaupun diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nnya, namun ini suatu yang tidak boleh diterima oleh Umno.

Sungguh malang apabila Umno mahu terus menjadikan negara ini sebagai negara sekular sebagaimana yang ditinggalkan (dan dikehendaki) oleh penjajah British. Sayang seribu kali sayang apabila Umno, sebuah parti Melayu terbesar, yang ahli-ahlinya beragama Islam, tidak mahu menukar perlembagaan negara ini yang diberikan oleh kafir British, kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas pemerintahan negara. Lebih disayangi, bukan sahaja Umno, bahkan kesemua parti-parti politik demokrasi, walaupun ramai Muslim menjadi ahlinya, namun semuanya menjunjung dan mempertahankan perlembagaan Lord Reid sebagai undang-undang tertinggi negara.

Wallahu a’lam.