Pilihan raya 18 Februari ini – Penangguhan tetap didakwa punyai motif politik

ISLAMABAD 2 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (PEC) hari ini mengumumkan penangguhan pilihan raya umum selama enam minggu berikutan kekacauan yang tercetus disebabkan pembunuhan ke atas bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto.

“Pilihan raya akan diadakan pada 18 Februari dan bukan 8 Januari,” kata Pesuruhjaya Pilihan Raya, Qazi Mohammad Farouq pada satu sidang akhbar hari ini.

PEC semalam menyatakan bahawa “secara prinsipnya” pilihan raya mungkin ditangguhkan tetapi ia dibantah oleh Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang kini dipimpin oleh anak dan suami Benazir, Bilawal Bhutto dan Asif Ali Zardari.

Penganalisis politik pula berpendapat penangguhan akan membawa Pakistan lebih jauh ke dalam kancah kekacauan.

Keputusan itu menyebabkan parti-parti pembangkang Pakistan menuduh kerajaan cuba mengelakkan kekalahan selain khuatir lebih banyak keganasan akan tercetus.

Pembangkang mendakwa, pihak berkuasa menundakan pengundian untuk membantu parti pemerintah yang bersekutu dengan Presiden Pervez Musharraf.

Ramai yang percaya parti Benazir, PPP akan memperoleh undi simpati jika pengundian diadakan mengikut jadual.

PPP bagaimanapun mengambil keputusan untuk menyertai pilihan raya walaupun penangguhan itu dilakukan.

“Kami akan mengambil bahagian dalam pilihan raya,” kata salah seoarang anggota jawatan kuasa eksekutif PPP, Nabil Gabol.

Benazir telah menuduh anasir tertentu dalam parti pemerintah berkomplot untuk membunuhnya.

Pegawai PEC berkata, badan itu memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk menjalankan persiapan bagi mengadakan pilihan raya bebas dan adil selepas pejabat mereka di wilayah kelahiran Benazir, Sindh dirosakkan dalam rusuhan berikutan pembunuhan beliau.

Bagaimanapun seorang penganalisis politik bebas, Talat Masood berpendapat penangguhan itu lebih banyak bermotif politik.

“Masalah mengadakan pilihan raya hanya terbatas kepada beberapa daerah sahaja.

“Pervez sudah tentunya beranggapan beliau tidak mempunyai masa depan jika Parlimen dikuasai oleh pembangkang,” kata Talat.

Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) pimpinan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif menuduh Pervez mahu menundakan pilihan raya supaya kemarahan berhubung pembunuhan Benazir sempat reda.

“Sekarang ini mereka menjadi fokus kemarahan rakyat,” kata seorang jurucakap parti itu, Ahsan Iqbal.

– Agensi

Sumber: Utusan Malaysia 03/01/08

Ulasan:

Walaupun pihak pembangkang tidak bersetuju dengan penangguhan pilihan raya yang diumumkan, hal ini memang sudah pun mereka jangkakan. Bagi pembangkang, penangguhan ini hanya akan menguntungkan Musharraf dalam mengekalkan kekuasaan beliau. Bagaimana pun, apa yang menarik untuk diperhatikan adalah kata-kata seorang penganalisis politik bebas, Talat Masood yang berpendapat penangguhan itu lebih banyak “bermotif politik”. Dan kata-kata ini dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai tajuk.

Inilah kecelaruan berfikir yang amat dahsyat tentang pengertian ‘politik’. Secara logiknya pun, sudah sememangnya pilihan raya sekarang ini tidak dapat dipisahkan dari politik, bahkan ada yang menganggap pilihan raya itu adalah sinonim dengan politik, jadi, sememangnyalah penangguhan pilihan raya itu dibuat dengan tujuan (atas dasar) politik. Takkanlah ia dibuat atas tujuan ekonomi, sosial, alam sekitar, komunikasi dan sebagainya.

Lagi satu, di dalam dunia politik Kapitalis hari ini yang penuh dengan penipuan, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya, terutamanya oleh parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya, maka kebanyakan orang telah memahami bahawa ‘politik’ adalah sesuatu yang bermaksud sedemikian (penipuan, gila kuasa, penyelewengan dsb). Ini kerana segala kejahatan tersebut telah menjadi sinonim dengan politik, sehingga apabila disebut ‘politik’, terus terlintas di benak seseorang ia adalah sesuatu yang ‘kotor’ dan dipenuhi agenda jahat. Sebab itulah, apabila dikatakan “penangguhan pilihan raya bermotifkan politik”, ini bermaksud, ada sesuatu ‘agenda jahat’ yang disembunyikan untuk kepentingan kuasa orang-orang tertentu.

Amalan politik kotor yang ada pada hari inilah yang telah menyebabkan umat Islam langsung tidak memahami maksud politik yang sebenar menurut Islam. Di sinilah umat Islam perlu melihat dan mengkaji semula nas Al-Quran dan Al-Hadis agar mereka tidak terus tersesat (sila klik di sini untuk perbahasan tentang pengertian politik menurut Islam).

Antara perkara lain yang penting untuk dihayati oleh umat Islam berkenaan penangguhan pilihan raya Pakistan ini adalah, penangguhan ini tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada umat Islam. Tidak kiralah bila sekalipun pilihan raya itu akan di adakan, yang pasti, umat Islam akan tetap menderita di bawah pemimpin-pemimpin sekular yang kejam yang akan memenangi pilihan raya nanti. Pemimpin yang bertanding semuanya adalah pemuja-pemuja sekular yang bencikan Islam dan terdiri dari orang-orang yang akan tunduk patuh kepada Barat. Inilah nasib yang akan menimpa umat Islam selama mana mereka tidak memilih sistem Khilafah dan melantik seorang Khalifah untuk memerintah mereka berdasarkan Al-Kitab dan As-Sunah.