Isu melamin – kejahatan manusia mengaut untung

Televisyen kerajaan menunjukkan sebilangan besar bungkusan dan kotak susu tepung serta formula bayi yang dimasukkan ke dalam pusat pembakaran bersaiz besar di Shijiazhuang di wilayah utara Hebei, di tempat skandal itu mula dikenal pasti September lalu.
Barang berkenaan dibakar di empat kilang simen dan dua kilang besi dan keluli.
China mula mengkaji semula undang-undang keselamatan makanan kelmarin berikutan kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana kelewatannya bertindak bagi menangani skandal kesihatan itu. China meluluskan dengan secara prinsip undang-undang baru makanan Oktober tahun lalu berikutan beberapa skandal, antaranya membabitkan ubat gigi yang tidak selamat, makanan laut serta makanan haiwan.
Sejak itu negara berkenaan menyaksikan empat kanak-kanak meninggal dunia dan ribuan lain jatuh sakit selepas minum susu formula yang dicampur dengan melamin, yang kemudiannya turut ditemui di dalam makanan dan minuman lain, menyebabkan produk buatan China ditarik balik dari kedai di seluruh dunia.
Lebih 3,600 kanak-kanak masih berada di hospital di China kerana menghidapi penyakit yang berpunca daripada makanan dan minuman dicemari melamin.
Sementara itu, Perdana Menteri China Wen Jiabao berkata negara itu akan mengambil langkah segera untuk meningkatkan keselamatan makanan keluarannya. – AP/Reuters
Sumber: Berita Harian 27/10/08
Ulasan:
Isu bahan kimia di dalam makanan mahupun haiwan hidup yang dikomersilkan bukanlah satu perkara baru. Lebih daripada sepuluh tahun lalu, kita telah mendengar kes penyakit lembu gila (Mad Cow Disease) yang terjadi di Eropah disebabkan oleh lembu sembelihan diberikan bahan makanan yang dicampuri oleh bahan kimia yang kononnya dapat menjadikan lembu tersebut membesar dengan cepat dan mempunyai daging yang banyak. Penyakit tersebut juga telah mengakibatkan negara-negara Eropah terpaksa menyembelih beribu-ribu ekor lembu yang berpenyakit dan dibakar untuk memusnahkan penyakit tersebut, dan mengakibatkan kerugian berjuta-juta dollar dan juga kematian manusia.
Baik di bahagian Barat mahupun Timur dunia, termasuklah Malaysia, isu bahan kimia dalam makanan sering diperkatakan. Malangnya ia hanya menjadi kecoh dan kerajaan hanya akan mengambil tindakan bila telah berlaku kematian atau penyakit ke atas manusia. Sebagai pengguna, kita dapat perhatikan bahawa kebanyakan bahan makanan dan minuman yang dijual di kedai-kedai dan di pasar raya di Malaysia mempunyai kandungan bahan-bahan seperti “pewarna yang diluluskan” atau “kondisioner makanan yang diluluskan”. Kebanyakannya adalah bahan kimia yang dicampur untuk menjadikan makanan atau minuman tersebut tahan lama untuk disimpan sebelum dibeli.
Kordial oren yang dijual di pasaraya, terpaksa dicampurkan dengan sejenis pewarna untuk menarik perhatian pembeli, supaya kordial tersebut benar-benar berwarna oren pekat. Kalaulah seseorang itu memerah buah oren tulin dalam sebuah cawan dan membandingkannya dengan secawan kordial oren yang dibeli dari kedai atau pasaraya, sudah tentu dia dapat melihat perbezaannya.
Kalau seseorang membeli minuman atau makanan yang tidak dicampurkan dengan apa-apa bahan kimia pengawet, maka seseorang itu akan mendapati ada arahan agar minuman atau makanan tersebut diguna untuk tempoh 3 hari setelah dibuka. Ini disebabkan minuman air buah tulen yang tidak mempunyai bahan kimia campuran di dalamnya, hanya boleh bertahan selama 3 hari sahaja walaupun disimpan dalam peti sejuk sekalipun, disebabkan oleh mudahnya diserang oleh kuman yang mengakibatkan minuman tersebut menjadi basi.
Akibat terlalu mementingkan keuntungan, pengeluar-pengeluar minuman/makanan ini sanggup mencampuradukkan bahan makanan dan minuman dengan berbagai jenis bahan kimia pewarna atau bahan kimia kondisioner yang belum dipastikan tahap keselamatannya. Inilah tabiat dan kejahatan manusia yang mahukan keuntungan yang berlebihan di dalam penjualan, walaupun boleh mengakibatkan kerosakan atau kematian kepada manusia lain sekalipun, mereka tidak pernah mengambil peduli.
Dalam hal ini, Allah swt mengingatkan kita,
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia…” [TMQ: ar-Ruum, 41]
Jelasnya Islam melarang segala bentuk pencemaran yang boleh berlaku ke atas alam sekitar, di dalam air minuman, air basuhan dan juga dalam makanan dan minuman bagi haiwan dan juga manusia. Rasulullah saw bersabda,
“Jauhilah dari membuang air besar di tiga tempat iaitu di aliran air, jalan umum dan tempat orang berteduh” (Hadis riwayat Ibnu Majah, Al-Haakim dan Al-baihaqi dari Muadz bin Jabal ra.).
“Janganlah seseorang itu kencing di dalam air yang tidak mengalir lalu mandi di dalamnya” (Hadis riwayat As-Syeikhain, Abu Daud, An-Nasai dari Abu Hurairah ra.).
Jika air kencing pun dilarang oleh Rasulullah dari dilakukan pencemaran, apatah lagi dengan pembuangan sisa bahan kimia, sisa biologi, sisa toksid, racun, radioaktif nuklear dan sebaginya yang sememangnya boleh mencemar dan merosakkan alam sekitar, manusia dan kehidupan.
Dalam hal ini, kerajaan sepatutnya menyediakan tempat pembuangan yang selamat dan melakukan pemantauan agar pencemaran tidak berlaku. Kerajaan juga sepatutnya memantau setiap barang makanan dan minuman yang mengandungi bahan kimia yang tidak selamat dan mencegah perkara ini dari berlaku, bukannya mengubatinya setelah ia berlaku. Tugas kerajaan adalah menjaga dan memelihara rakyat dari semua perkara ini. Jika mereka tidak menjaga rakyatnya, walau dalam hal yang teramat kecil sekalipun, jangan haraplah di akhirat nanti pemerintah akan lepas dari persoalan yang Allah akan ajukan kepada mereka darihal pemeliharaan ke atas rakyat mereka.
Wallahu a’lam.