AWAS! Kasut Tumit Tinggi Dihadapan
Panduan mempertahankan diri itu dihantar ke firma, terutama seperti syarikat media yang memiliki ramai pekerja wanita yang bekerja hingga larut malam. Timbalan Pesuruhjaya Polis di tenggara New Delhi, Shalini Singh, juga menasihatkan wanita supaya tidak membawa wang tunai yang banyak. Reaksi polis dibuat berikutan kes rompakan dan bunuh Ghosh, bulan lalu.
Wanita berkenaan bercakap di telefon bimbit dan berjalan ke arah rumahnya awal pagi 21 Mac lalu selepas keluar dari teksi apabila diculik, dirompak dan kemudian dibunuh beberapa penjenayah. Mayat Ghosh ditemui di Faridabad, kira-kira 20 kilometer dari kediamannya. Vishwanathan pula dibunuh 30 September tahun lalu ketika pulang ke rumah selepas habis syif malam di syarikat televisyen tempat dia bekerja. Polis berkata, dua wanita itu dibunuh orang yang sama. Singh, baru-baru ini membentangkan kertas kerja mengenai keselamatan pekerja di firma teknologi maklumat terkemuka, Wipro.
“Saya menasihatkan wanita gunakan beg tangan dan minyak wangi untuk mempertahankan diri. Mereka boleh guna kasut tumit tinggi untuk memijak kaki penyerang, menyembur minyak wangi ke mata penjenayah dan memukul mereka dengan beg. “Wanita boleh memukul bahagian bawah paras pinggang penyerang. Semua langkah ini membantu melengahkan penjenayah dan membolehkan mereka lari,” katanya. Singh juga memberikan petunjuk kepada pekerja wanita seperti menyimpan nombor kecemasan dalam telefon bimbit mereka dan tidak bercakap di telefon ketika berjalan di jalan raya. “Wanita perlu berdiri rapat ke dinding supaya dapat memerhati sekeliling. Mereka juga boleh memaklumkan keluarga dan rakan sebelum pulang ke rumah dari pejabat,” katanya. – Agensi
Sumber : Berita Harian, 090409
Manusia Yang Zalim Dan Jahil Akan Melahirkan Penyelesaian Yang Bodoh
Inilah penyelesaian yang diberikan oleh sistem Kapitalisme untuk menyelesaikan masalah ancaman kepada para wanita. Apabila akal diberikan ruang untuk menentukan cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia maka inilah hasilnya. Suatu penyelesaian yang tidak akan menyelesaikan masalah sebenarnya. Inilah penyelesaian yang diberikan oleh idealogi Kapitalisme. Hukuman ataupun penyelesaian bagi idealogi Kapitalisme itu lahir dari aqal manusia semata-mata dengan dokongan realiti yang ada dimana realiti itu menjadi sumber hukum. Kita lihat bagaimana Kapitalisme sebenarnya bukan menyelesaikan masalah kerana cadangan-cadangan diatas hanya cuba mengubat penyakit bukan mencegah penyakit itu dari datang.
Sedangkan ini tidak berlaku didalam Islam dimana realiti itu bukan sebagai sumber hukum sebaliknya realiti itu adalah subjek yang akan dihukumi. Islam sebagai suatu cara hidup telah menurunkan satu sistem kehidupan yang menyeluruh untuk mengatur persoalan yang dihadapi oleh seluruh manusia , dimana-mana dan bila-bila masa sahaja. Penerapan Islam secara kaffah sahajalah yang akan menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi oleh manusia termasuklah persoalan yang melibatkan sistem sosial seperti diatas. Dalam Islam sistem sosialnya secara jelas telah menurunkan satu peraturan yang jelas untuk mengatur kehidupan dan hubungan diantara lelaki dan wanita.
Diantaranya ialah didalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita, bentuk pakaian wanita muslimah, cara memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan (nizham) yang tertentu. Dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan, Islam telah meletakkan beberapa ketetapan seperti:
1. Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan [An-Nur (24):30-31];
2. Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya [An Nur (24):31] dan [Al-Ahzab (33):59];
3. Rasulullah bersabda, “Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya.” [HR. Bukhari dan Muslim].
4. Rasulullah juga bersabda, “Tidak diperbolehkan seorang lelaki dan seorang wanita berkhalwat, kecuali jika wanita itu disertai mahramnya” [HR. Muslim].
5. Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya;
6. Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus hendaknya jamaah (komuniti) kaum wanita terpisah dari jamaah (komuniti) kaum lelaki;
7. Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah; bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama;
8. Islam mengambil berat dalam memelihara keturunan dan nasab. Bahkan Islam menentukan hukuman rejam bagi penzina muhsan (sudah berkahwin);
9. Islam menetapkan bahawa penzina bukan muhsan dihukum 100 kali sebatan [an-Nur (24):2].
Yakinlah bahawa jika manusia yang membuat peraturan dan hukumnya yang tersendiri maka sudah pasti akan menghasilkan sistem dan peraturan yang rosak dan merosakkan manusia,kehidupan dan alam itu sendiri sesuai dengan keadaan manusia itu sendiri yang sifatnya adalah zalim dan jahil. “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) Sesesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”. [TMQ al-Ahzab(33):72]. Adakah ada sistem sosial untuk mengatur kehidupan diantara lelaki dan wanita ini yang lebih baik dari sistem sosial Islam?