Kapitalisme Selamanya Tidak Akan Mampu Menyatukan Manusia

Obama akui gagal satukan rakyat AS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam satu wawancara mengakui bahawa beliau gagal menyatupadukan rakyat seperti yang diharapkan sebelum ini.  Ketika diwawancara oleh majalah People pada 8 Januari lepas, Obama yang ditanya berhubung kelemahan yang mahu diperbetulkannya berkata, beliau mahu memupuk semangat bersatu padu lebih jitu di kalangan rakyat AS.  “Apa yang saya belum berjaya lakukan ialah menjadikan rakyat negara ini lebih bersatu seperti yang berlaku sewaktu upacara angkat sumpah,” katanya.  Obama merujuk pada senario 20 Januari tahun lepas apabila beratus-ratus ribu orang membanjiri ibu negara AS, Washington untuk menyaksikan majlis angkat sumpahnya sebagai Presiden.  Sementara itu, beberapa keputusan tinjauan pendapat mendapati rakyat AS berbeza pendapat mengenai prestasi Obama selepas setahun beliau mentadbir negara.   Keputusan tinjauan pendapat terbaru oleh stesen penyiaran CBS minggu ini menyatakan cuma 46 peratus rakyat AS berpuas hati dengan prestasi Obama.  Peratusan rendah itu disebabkan semakin ramai penduduk tidak berpuas hati dengan cara beliau menangani isu ekonomi dan hal ehwal penjagaan kesihatan.  Bagaimanapun, presiden itu berkata, beliau sudah menjangkakan keadaan tersebut akan berlaku.  “Pada hari pertama saya mengangkat sumpah, kita sedar kita akan kehilangan 650,000 pekerjaan dalam bulan Disember, 700,000 pekerjaan lagi pada Januari dan 650,000 pekerjaan sepanjang Mac depan.  “Tidak hairanlah kenapa orang ramai agak kecewa dan tertekan pada tahun ini,” katanya. – Reuters

Sumber : KOSMO, 150110

Kapitalisme Selamanya Tidak Akan Mampu Menyatukan Manusia
 
Baru masuk tahun pertama tempoh memegang jawatan pemerintahan sebagai Presiden AS yang ke-44, nampaknya Obama telah mengakui kegagalannya untuk menyatukan rakyat AS. Ideologi Kapitalisme yang menjadi cara hidup yang dianuti dan yang dikembangkan oleh AS dan rakyatnya selama ini sememangnya merupakan ideologi yang tidak akan pernah memuaskan akal dan selama-lamanya tidak akan pernah memberikan ketenteraman kepada jiwa manusia. Ini adalah kerana ideologi tersebut muncul daripada akal manusia yang dangkal, bersifat terbatas, lemah dan serba kekurangan sesuai dengan sifatnya sebagai makhluk ciptaan Allah SWT.  Hanya Islamlah satu-satunya qiyadah fikriyyah (kepimpinan berfikir) yang telah terbukti mampu dan berupaya untuk menyatukan manusia daripada pelbagai latarbelakang, kaum, warna kulit dan bangsa dalam satu wadah negara iaitu Daulah Islam. Fakta ini dapat kita soroti dalam sejarah kegemilangan Islam yang pernah memayungi dunia selama lebih daripada 1300 tahun menjangkau sehingga dua pertiga dunia pada suatu masa dahulu. Antara buktinya ialah apabila Nabi SAW telah berjaya menyatukan dan mempersaudarakan golongan Ansar (Aus dan Khazraj yang merupakan kabilah-kabilah yang sering berperang sebelum kedatangan Islam)  dengan Muhajirin. Inilah contoh unggul yang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang ahli politik Islam yang agung. Inilah kehebatan Islam sebagai suatu mabda (ideologi) yang benar kerana ia lahir dan muncul daripada  akidah Islam yang bersumberkan wahyu dari Allah SWT.  Sudah tiba saatnya Khilafah itu berdiri dan keberadaannya akan pasti mampu menyatukan manusia yang datang dari pelbagai bangsa dan keturunan sebagaimana yang telah terbukti sebelum ini.