Kuasa Imperialis Boleh Berambus!

Orang putih boleh berambus!

PORT-AU-PRINCE
: Mangsa gempa bumi 7 skala Richter di Haiti terus maut kerana ketiadaan makanan dan ubat malah ada wanita hamil bersalin di tempat terbuka manakala orang cedera terus tiba di pusat rawatan sementara ketika operasi menyelamat diteruskan dan tentera asing tiba untuk membantu.

“Kami tidak perlukan bantuan tentera. Apa yang kami perlu ialah makanan dan tempat berteduh,” kata seorang pemuda yang menjerit ke arah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon ketika melawat ibu kota Haiti, kelmarin.

“Ajal kami semakin hampir,” kata seorang wanita kepada pemimpin badan dunia itu ketika menjelaskan dia dan lima anaknya tidak ada makanan.

“Orang kulit putih, berambus dari sini,” kata beberapa orang lain di kawasan setinggan Bel-Air yang mungkin kecewa kerana orang asing yang ada tidak menghantar bekalan keperluan.

Bekalan air semakin dapat dihantar kepada lebih ramai orang ketika ada laporan mengatakan pergaduhan berlaku ketika mangsa menunggu mendapatkan makanan termasuk di padang golf.

Jurucakap PBB, Elisabeth Byrs berkata, ada kemungkinan mangsa lain masih boleh hidup hingga Isnin depan. Anggota penyelamat menemui 70 mangsa yang terselamat di bawah runtuhan setakat ini.
“Masih ada mangsa yang hidup. Harapan masih ada,” katanya. Program Makanan Dunia pula hampir mencapai sasaran untuk membantu 60,000 orang kelmarin, meningkat daripada 40,000 sehari sebelumnya,” kata jurucakap agensi itu, David Orr.

Pegawai PBB berkata, mereka perlu menghantar bantuan kepada dua juta orang dalam tempoh sebulan.

Apa yang mengejutkan ialah penyelamat terus menemui orang terselamat di bawah runtuhan, lima hari selepas gempa melanda. AP

Sumber : Berita Harian, 19/01/2010

Kuasa Imperialis boleh berambus

Dilaporkan bahawa Amerika Syarikat menghantar sejumlah 10,000 tentera marin ke  Haiti dengan alasan untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan akibat gempa bumi baru-baru ini. Seluruh dunia tertanya-tanya, sejak bilakah anggota tentera marin AS bertugas menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kemusnahan alam? Sedangkan tugas-tugas tersebut biasanya dilakukan oleh pakar-pakar penyelemat seperti Palang Merah dan United Nations Relief Works Agency (UNRWA).

Sudah tentu AS mempunyai muslihat dan agenda tertentu dalam menghantar pasukan tenteranya ke negara tersebut memandangkan merekalah juga yang bertanggungjawab dalam menyokong beberapa siri rampasan kuasa yang menyaksikan Haiti sentiasa dikuasai oleh para diktator, sama seperti yang berlaku di Timur Tengah sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua sehingga sekarang. AS dan Perancis juga bertanggungjawab menggulingkan Presiden Jean-Bertrand Aristide pada tahun 2004 yang dipilih oleh suara majoriti rakyat di dalam suatu pilihanraya negara tersebut. AS juga pernah menjajah Haiti secara ketenteraan dari tahun 1915 sehingga 1934, walaupun Haiti telah memperoleh kemerdekaannya daripada Perancis pada awal kurun ke-20. AS bimbang sekiranya Haiti menjadi sebuah negara sosialis seperti Cuba, iaitu salah satu negara di kepulauan Caribbean yang banyak menimbulkan masalah kepada AS semasa Perang Dingin sehingga sekarang. Jadi tidak hairanlah AS banyak campur tangan di dalam sistem pemerintahan di Haiti. Tujuan AS menghantar anggota marin mereka ke Haiti yang dilanda gempa bumi adalah untuk memastikan Haiti tidak jatuh ke tangan para penguasa yang memusuhi AS, sama seperti yang berlaku di Cuba.

Adalah tidak memeranjatkan kenapa penduduk Haiti sangat membenci orang berkulit putih (kuasa imperialis) kerana ini mengingatkan kembali peristiwa campurtangan kuasa-kuasa imperialis seperti AS dan Perancis di negara tersebut dahulu.

Seluruh dunia menyaksikan kebencian yang ditunjukkan penduduk Haiti terhadap kuasa imperialis seperti AS dan Perancis sehingga mereka sanggup berkata kepada mereka “berambus!”. Bila masanya umat Islam di rantau Timur Tengah, Pakistan, Iraq, Afghanistan, Palestin, Afrika Utara akan sanggup berkata “berambus” kepada kuasa imperialis dan menegakkan Daulah Khilafah?