Kuasa politik -vs- kuasa polis

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan ahli-ahli politik supaya tidak mencampuri urusan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tugas penguatkuasaan yang dijalankan.

Ini merujuk kepada terdapatnya di kalangan ahli-ahli politik yang menggunakan pengaruh mereka untuk membatalkan saman yang telah dikeluarkan kepada orang ramai. Ada yang datang sambil membawa 100 saman dan meminta PDRM membatalkannya. Tambah Musa, ini akan menyukarkan PDRM untuk melaksanakan tugasnya secara profesional [Utusan Malaysia 27/11/08].

Jika selama ini, kes orang-orang politik yang keji ini campur tangan di dalam memberi arahan kepada polis untuk melakukan sesuatu tindakan tidak pernah dipublikasikan, kini ia telah dinyatakan secara terang-terangan oleh Ketua Polis Negara sendiri. Bagaimanapun, kita tidak tahu apakah niat Musa Hassan di dalam membuat pendedahan sebegini. Apakah beliau benar-benar ingin melakukan kerja secara profesional dan tidak mahu ada campur tangan dari kuasa politik atau mungkinkah ada arahan dari orang politik lain yang lebih tinggi jawatannya agar dilakukan pendedahan untuk menjatuhkan orang politik yang lebih rendah tersebut. Hanya Musa Hassan dan Allah SWT yang tahu hakikatnya. 

Namun apa yang pasti, selama ini memang terdapat golongan politik yang ‘memberi arahan’ kepada pasukan polis dan hal ini ternyata memberi kesan kepada polis. Dengan adanya pendedahan ini, trek rekod polis yang memang buruk pada pandangan masyarakat, nampaknya akan semakin buruk. Apa tidaknya, telah terbukti bahawa ‘kuasa politik’ selama ini telah campur tangan di dalam kuasa polis dan nampaknya kuasa politik lebih ‘powerfull’ dari kuasa polis, walaupun hal itu terletak di dalam bidang kuasa polis. 

Jika polis benar-benar ingin dilihat profesional, bukan setakat campur tangan di dalam kes saman trafik sahaja, malah campur tangan di dalam kes-kes lain, termasuklah kes-kes yang berprofil tinggi, mestilah didedahkan oleh Ketua Polis Negara. Pendedahan yang ikhlas amat penting agar polis dinilai oleh rakyat sebagai sebuah badan yang benar-benar menjaga keamanan rakyat, bukannya menjaga ‘keamanan’ orang-orang politik yang berpengaruh. Namun, beranikah KPN mendedahkan segala campur tangan yang ada?

Pihak polis mestilah menjalankan kerja secara profesional, bukannya mematuhi arahan orang politik secara membabi buta. Semua campur tangan di dalam hal lain juga mestilah dihentikan, bukan sekadar hal saman sahaja. Ini termasuklah ‘menerima arahan’ untuk melakukan sesuatu tindakan yang jelas bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya arahan dan campur tangan daripada ahli-ahli politik yang menyuruh PDRM melakukan tangkapan ke atas golongan yang menyeru kepada Islam.

Siapa tidak tahu bahawa jika ada sahaja apa-apa demonstrasi, ceramah atau apa jua penerbitan yang memuhasabah pemerintah, maka hal ini akan terus diperhatikan dan diambil tindakan segera oleh polis. Berapa ramai dari kalangan pendakwah yang ikhlas berjuang untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini yang sering berhadapan dengan tangkapan oleh pihak polis. Walhal PDRM seharusnya menjadi pelindung kepada seluruh rakyat dan bukannya melindungi beberapa kerat pemimpin yang berpengaruh. Merekalah yang seharusnya memastikan hukum Allah ditegakkan, bukannya menghalang penegakan hukum Allah. Tindakan PDRM yang menghalang sungguh-sungguh pendakwah dari memuhasabah pemerintah sekular sekarang dan tindakan mereka menghalang dari penegakan deenullah sangatlah hina di sisi Allah, dan di sisi orang-orang yang beriman. Kerana ini, tidak hairanlah ramai yang menganggap dan mengatakan bahawa hubungan polis dan kerajaan hanyalah umpama hubungan anjing dan tuannya.

PDRM selaku badan yang menjaga keamanan memang seharusnya bertindak dengan telus dan memastikan syariat Islam ditegakkan. Hanya dengan cara itu sahajalah PDRM akan dilihat sebagai sebuah badan yang profesional dan bersih dari segala undur maksiat.

Di dalam Daulah Islam, pasukan keamanan di dalam negeri atau polis diberi tugas yang mulia, iaitu memelihara dan menjaga syariat Islam, mengelola keamanan di dalam negeri, memastikan semua syariat Islam dipatuhi oleh setiap rakyat. Ini berdasarkan Hadis daripada Rasulullah Sallahu alaihi wa Sallam yang menerangkan perlantikan Qais bin Saad sebagai ketua pasukan polis dan di sentiasa diletakkan di sisi Rasulullah. Imam al Bukhari telah meriwayatkan dari Anas bin Malik yang bermaksud:

“Sesungguhnya Qais bin Saad di sisi Nabi saw. memiliki jawatan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir”

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa rapatnya hubungan polis dengan pemerintah, tetapi tugasnya adalah menerapkan apa jua perintah Rasulullah yang berupa hukum-hukum Allah ke atas manusia. Dengan kata lain, tugas mulia pasukan polis adalah memastikan hukum Allah berjalan di muka bumi. [Ajhizah ad-Daulah al-Khilafah fil hukm wal Idarah -Struktur Negara Khilafah : Pemerintahan dan Administrasi- Hizbut Tahrir hlm 161]