Lebih 10,000 rakyat Libya lari ke Tunisia

altGENEVA: Lebih 10,000 rakyat Libya melarikan diri dari bahagian barat negara itu yang dilanda pertempuran sejak 10 hari lalu, menuju ke Tunisia, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) semalam.

“UNHCR mendapat maklumat bahawa semakin ramai pelarian dari kawasan pergunungan di bahagian barat Libya tiba di Tunisia,” kata jurucakap UNCHR, Andrej Mahecic. Beliau berkata minggu lalu saja seramai 6,000 rakyat Libya tiba di kawasan Dehiba di selatan Tunisia dan secara keseluruhannya lebih 10,000 sudah menyeberang masuk.  Kebanyakan pelarian datang bandar Nalut kira-kira 50 kilometer dari sempadan Tunisia.
“Mereka memberitahu kakitangan kami bahawa kawasan Pergunungan Barat dikuasai tentera kerajaan sejak sebulan lalu dan tekanan ke atas penduduk awam semakin bertambah setiap hati,” katanya merujuk kepada pertempuran dan serangan meriam kian meningkat sejak akhir minggu lalu.  Beliau berkata Dehiba kini dibanjiri pendatang Libya yang mendapatkan perlindungan daripada penduduk tempatan, manakala sebahagian lagi tinggal di pusat kemasyarakatan atau mendirikan khemah sementara yang didirikan pihak berkuasa tempatan, Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan UNHCR.

Semalam, tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi meningkatkan serangan ke atas Misrata, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital. “Serangan bom berlaku hampir sepanjang masa. Saya baru meninggalkan hospital dan ramai mangsa dibawa ke sana untuk mendapatkan rawatan,” kata penyelidik Amnesty International, Donatella Rovera. Beliau bagaimanapun berkata, bandar raya ketiga terbesar di Libya itu sehingga kini dikuasai pemberontak. Kumpulan bantuan kemanusiaan berkata, keadaan semakin sukar di bandar raya yang mempunyai 300,000 penduduk itu apabila mereka menghadapi masalah kekurangan makanan, ubat dan keperluan asas. – Reuters/AFP

Sumber : Berita Harian, 20 April 2011
 

Masalah pelarian umat Islam hanya boleh diselesaikan oleh Khilafah
Pada hari ini, setiap kali apabila Barat melancarkan serangan ke atas mana-mana negara umat Islam, mesti akan ada pelarian yang membanjiri sempadan negara yang berjiran dengannya. Apabila Amerika Syarikat menceroboh Iraq pada tahun 2003, dilaporkan bahawa terdapat 4 juta rakyat negara tersebut yang menjadi pelarian. Ada juga yang meminta suaka politik dan memohon kerakyatan di negara-negara Barat, terutamanya golongan professional. Kebanjiran pendatang bukan sahaja disebabkan oleh peperangan yang dilancarkan oleh Barat ke atas negara umat Islam, tetapi juga disebabkan oleh pemerintahan zalim para penguasa negara umat Islam yang disokong oleh Barat.

Penghijrahan besar-besaran dan kebanjiran umat Islam yang masuk ke dalam negara Barat   di samping dengan membawa masuk agama Islam itu sendiri serta membina banyak masjid dan madrasah turut tidak disukai oleh penduduk tempatan. Mereka sering mengadu bahawa pendatang-pendatang ini tidak dapat menyesuaikan diri dan berintegrasi dengan masyarakat tempatan. Keadaan ini amat berlainan sekali apabila imperialis Barat masuk ke dalam masyarakat umat Islam, kita dapat melihat bahawa Barat langsung tidak berintegrasi dan mengamalkan sistem kehidupan umat Islam. Tetapi sebaliknya, mereka sebagai pendatang  telah dan sedang mengubah cara hidup umat Islam dengan memperkenalkan sistem-sistem kufur mereka seperti sistem pemerintahan, sistem ekonomi dan sistem sosial bagi menggantikan sistem-sistem Islam. Sebaliknya, jika umat Islam berhijrah ke negara-negara Barat untuk memperkenalkan cara hidup dan sistem kehidupan yang berlainan daripada norma-norma dan sistem-sistem Barat, ternyata ia akan mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat Barat. Antara contohnya adalah penubuhan mahkamah Syariah di negara Barat yang mendapat tentangan daripada masyarakat Barat, sedangkan kuasa yang diperuntukkan dalam mahkamah tersebut adalah terlalu kecil dan hanya untuk minoriti umat Islam.

Negara-negara Barat menyedari dengan benar perkara ini. Mereka semua sepakat berpendapat bahawa kedatangan pendatang-pendatang asing mesti disekat, sepertimana yang berlaku di Itali di mana mereka telah menghantar balik pelarian dari negara Afrika yang belayar masuk secara haram ke negara itu. Jerman pula telah mewujudkan peraturan ketat  di mana sesiapa yang mahu menjadi rakyat Jerman, mereka dikehendaki mengakui kebenaran peristiwa Holocaust. Sepatutnya negara-negara Barat ini harus menyalahkan diri mereka sendiri di atas kebanjiran pendatang-pendatang umat Islam di negara-negara mereka ini. Ini disebabkan oleh polisi luar negara mereka yang sering memberi bantuan kepada para penguasa zalim di negara umat Islam di samping melancarkan perang ke atas negara-negara umat Islam yang mengakibatkan kebanjiran umat Islam di negara mereka yang tidak disukai oleh mereka sendiri.

Di sini, perbuatan meminta perlindungan politik dan kerakyatan di negara-negara Barat oleh sesetengah umat Islam yang ingin melarikan diri daripada peperangan yang dilancarkan oleh Barat ke atas umat Islam demi mencari kehidupan yang lebih baik bukanlah penyelesaian yang sebenar. Ini adalah kerana, untuk mengamalkan sepenuhnya cara hidup Islam di tengah-tengah masyarakat Barat kini menjadi semakin susah. Hanya dengan kewujudan Daulah Khilafah sahajalah yang dapat menjadi pelindung kepada umat Islam dan pelarian orang-orang kafir yang lain. Sejarah telah menyaksikan bagaimana umat Islam dan kaum Yahudi yang diusir keluar dari Sepanyol secara rasminya pada tahun 1492 oleh penguasa Kristian telah mendapat perlindungan dari Khilafah Uthmaniyah, dan buktinya dapat dilihat di mana kuil-kuil lama Yahudi masih ada di kota Istanbul sehingga ke hari ini.

Wallahua’lam.