China Larang Umat Islam Berpuasa
Penganut Islam di Xinjiang dilarang daripada menunaikan ibadah tersebut selepas kerajaan memaksa mereka menandatangani satu ‘dokumen’ yang melarang mereka daripada berbuat demikian.
Larangan terbaru itu menekankan lagi layanan buruk kerajaan China terhadap penduduk minoriti Uighur yang sering berdepan tindakan keras pihak berkuasa sebelum ini dan dinafikan hak mereka. Jurucakap Kongres Sedunia Uighur yang beribu pejabat di Munich, Dilxat Raxit berkata, syarikat-syarikat swasta di sini turut menyediakan makanan tengah hari buat pekerja beragama Islam dan mereka boleh kehilangan kerja atau bonus tahunan sekiranya enggan makan. “Tokoh agama juga boleh kehilangan lesen menyampaikan ceramah sekiranya mereka mengadakan aktiviti keagamaan atau menyeru penganut Islam berhimpun bagi menjalankan kegiatan agama,” katanya kepada agensi penerbitan dalam talian, Eurasia Review. Jelasnya, pegawai turut menyasarkan golongan pelajar beragama Islam dengan menyediakan bekalan makanan semasa waktu rehat sepanjang bulan Ramadan.
Seorang penduduk Uighur yang enggan dikenali berkata, restoran-restoran di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam juga diarah menjalankan perniagaan walaupun ketika hari siang. “Orang ramai juga sukar memasuki masjid untuk bersembahyang. Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan diri dan mendaftar jika ingin masuk ke masjid,” katanya. Sehari sebelum Ramadan, seramai 18 maut dan 31 yang lain cedera dalam dua pertempuran etnik terbaru di Xinjiang, dua tahun selepas insiden berdarah di wilayah ini mengakibatkan 200 maut sementara 1,700 yang lain cedera. Xinjiang dicemari pergolakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan kumpulan majoriti China Han di ibu negara, Urumqi pada Julai 2009. – Agensi
Sumber : Utusan Online, 08/08/2011
Umat Islam di China ditindas, Penguasa Umat Islam sekadar memerhati.
Di kala segelintir umat Islam Malaysia ditangkap kerana berjudi dan tidak berpuasa di bulan Ramadhan, lain pula yang berlaku di China. Umat Islam dipaksa untuk tidak berpuasa dan sekiranya mereka didapati berpuasa, perbuatan mereka itu dikategorikan sebagai suatu “jenayah” oleh negara. Di Xinjiang, jumlah penduduk Islam di sana adalah sekitar 48% daripada penduduk di daerah tersebut. Hubungan diplomatik antara umat Islam dengan kerajaan China telah bermula sejak zaman Khulafa Ar Rasyidin iaitu di zaman Khalifah Uthman bin Affan. Pada waktu itu, beliau telah mengutuskan Saad bin Abi Waqqash untuk membangun hubungan dengan China dengan misi dakwah menyebarkan Islam di China. Sambutan yang diberikan oleh Kerajaan Dinasti Tang masa itu sangat baik, malah kerajaan telah mengarahkan agar sebuah masjid dibina di Bandar Guanzgzhou sebagai tanda persahabatan antara Kerajaan Dinasti Tang dengan Daulah Islam. Malah masjid ini masih berdiri utuh sehingga ke hari ni dan dikenali sebagai masjid Huaisheng. Pelayanan buruk terhadap umat Islam di China bermula sejak Dinasti Qing. Umat Islam ditekan serta hak mereka untuk mengamalkan kewajiban yang dituntut oleh Islam dihalang. Selain itu, aktiviti di masjid sentiasa dipantau dan aktiviti- aktiviti keagamaan diharamkan. Malah umat Islam telah dihalang untuk menunaikan haji di Mekah. Sekitar tahun 1855-1877, pemerintah Dinasti Qing telah membunuh sekitar 7 juta umat Islam di China.
Walaupun Negara China sudah mula berlembut kepada ideologi Kapitalis semenjak menganggotai WTO pada tahun 2001, namun mereka masih bersikap keras terhadap umat Islam. Mereka sedar bahawa Islam merupakan suatu ancaman kepada ideologi yang mereka anuti. Sehingga saat ini, tidak kedengaran suara-suara bantahan daripada mana-mana pertubuhan hak asasi manusia atau seumpamanya. Mereka lebih banyak mendiamkan diri. Padahal, menurut kebiasaan mereka pasti akan menyuarakan bantahan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menindas hak kebebasan individu. Ini bukanlah bermakna kaum muslimin harus bergantung kepada pertubuhan sedemikian. Apa yang jelas, tidak kira di mana kaum muslimin ditindas, tiada pihak yang benar-benar akan tampil membela.
Sekiranya umat Islam ada Seorang Pembela sebagaimana yang dilakukan oleh para Khalifah sebelum ini, pastinya tindakan biadap yang dilakukan oleh pemerintah China pada masa ini akan dibalas dengan seruan jihad oleh Khalifah. Semoga kekuasaan dan kemenangan Islam segera muncul yang akan memberi perlindungan dan ketenangan kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Wallahu a’lam.