Indonesia mahu beli kapal selam Asia
Ketua Staf Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut, Laksamana Suparno berkata, kemungkinan besar TNI membeli kapal selam dan perang dari negara Asia.
”Ketika ini kita sudah mengenal pasti kapal selam buatan Korea Selatan,” katanya di sini, hari ini. Menurut Suparno, berikutan kekangan kewangan menyebabkan Indonesia tidak memilih kapal selam buatan negara Eropah Barat. Justeru ujarnya, TNI tidak menolak kemungkinan membeli peralatan perang itu dari negara lain di Asia selain Korea Selatan. Korea Selatan kini sedang membaiki kapal selam milik Indonesia, KRI Nanggala yang dijangka kembali beroperasi awal tahun depan.
Selain KRI Nanggala kata beliau, Indonesia memiliki satu lagi kapal selam kelas Cakra iaitu KRI Cakra dan TNI memerlukan sekurang-kurangnya tiga buah kapal frigat. “Pembangunan kapal perang dirancang dalam bentuk kerjasama dengan pihak asing dan tempatan. Sebahagian modul dibuat dalam negeri,” kata Suparno.
Suparno berkata, pemerintah juga harus memberi keutamaan untuk menyediakan rumah bagi kemudahan anggota tentera khususnya tentera laut, supaya mereka dapat memberi lebih fokus untuk melaksanakan tugas mempertahankan keselamatan negara.
Sumber : Utusan Online, 05/10/2011
Sekiranya kemampuan dan kepakaran umat Islam terfokus dan disatukan, pastinya mereka bukan sahaja mampu untuk menghasilkan rekacipta yang setanding dengan rekacipta yang dibuat oleh kaum kuffar, malah lebih dari itu. Ini kerana, kepakaran yang bervariasi serta kepelbagaian bangsa yang ada dalam kesatuan Islam pastinya akan melahirkan daya rekacipta yang jauh lebih kreatif serta mampu untuk mengatasi rekacipta Barat. Dorongan daripada ideologi Islam yang dianuti pastinya akan mendorong mereka untuk melakukan yang terbaik dalam setiap urusan demi meninggikan syiar Islam. Selain itu, polisi luar negeri umat Islam sekarang yang tidak berlandaskan dakwah dan jihad, pastinya akan memberi impak dari segi kesediaan umat Islam untuk mencetuskan mana- mana senjata atau kelengkapan perang yang tercanggih. Oleh itu, marilah kita bersatu dalam erti kata sebenar iaitu kesatuan dalam bentuk bernegara yang berideologikan Islam, yang akhirnya bukan sahaja mampu untuk menyaingi kehebatan teknologi kaum kuffar, malah akan mampu mengatasi dan menggerunkan mereka! Wallahu a’lam.