Umat Islam Masih Mengharapkan PBB, OIC Dan Negara-negara Arab Untuk Isu Mesir?

Isu Mesir masih terus menerus menjadi buah mulut yang hangat diperbincangkan ramai pihak. Secara umumnya, terdapat 3 jenis golongan umat Islam yang boleh kita katogerikan dalam membincangkan isu panas ini. Pertama adalah mereka yang langsung tidak mengambil peduli atau hanya sekadar mengetahui isu itu berlaku  tetapi tidak berusaha untuk mencari solusi terhadap perkara tersebut. Mereka hanya melihat isu ini sebagai suatu maklumat yang disampaikan semata-mata.  

Golongan kedua adalah pihak yang lebih tinggi pemikirannya berbanding golongan pertama di mana mereka turut memikirkan penyelesaian yang mereka rasakan perlu diambil bagi mengatasi masalah ini. Pihak kedua ini cuba dan terus mencuba mencari solusi dengan menempuh segala jalan termasuklah jalan yang salah atau yang telah terbukti gagal. Yang pastinya, mereka akan tetap menuai hasil yang sama. Golongan yang ketiga pula adalah pihak yang melihat isu ini dengan pemikiran yang mustanir (cemerlang). Mereka memahami isu yang berlaku dan mereka dapat melihat solusi yang sebenar terhadap perkara tersebut serta mencuba sedaya upaya agar solusi yang benar itu dapat diterapkan dalam negara dan masyarakat. Alangkah sedihnya apabila masih terdapat ramai lagi umat Islam di luar sana yang berada dalam golongan pertama  dan kedua dan masih lagi tidak jemu untuk menggunakan solusi-solusi yang telah terbukti gagal dalam menangani segala masalah yang dihadapi oleh Islam dan umat Islam pada saat ini.

Fakta dan realiti telah membuktikan kepada seluruh dunia bahawa PBB, OIC, Liga Arab dan segala pertubuhan-pertubuhan kufur yang lain telah gagal dan selamanya akan terus gagal dalam menyelamatkan umat yang sedang sengsara. Ketahuilah, fahamilah dan terimalah hakikat ini dengan hati yang terbuka bahawa badan-badan  ditubuhkan bukan untuk menyelesaikan masalah umat Islam, malah kewujudannya sememangnya bertujuan untuk merosakkan umat Islam itu sendiri. Badan-badan antarabangsa tersebut pada hakikatnya adalah pihak yang tidak mahu melihat umat Islam bersatu di bawah satu negara yang dinamakan Khilafah. Mereka ingin  mengekalkan agar negeri-negeri umat Islam sentiasa berada seperti sekarang melalui perpecahan dalam negara bangsa. Apa yang pastinya, harapan yang diberikan umat Islam kepada PBB, OIC dan Liga Arab adalah ibarat menuang racun ke atas luka yang sedang parah. Mesir memerlukan pemimpin seperti Salahuddin Al-Ayubi untuk membebaskannya. Mesir memerlukan seorang Khalifah dan itulah satu-satunya solusi yang tuntas dan paling ampuh bagi umat Islam amnya dan di Mesir khususnya. Sampai bilakah umat Islam masih ingin terus berfikir di dalam kotak ciptaan penjajah?

Sumber :sinarharian.com.my, sinarharian.com.my, sinarharian.com.my