Konsep Dan Pembahagian Himayah
Mukaddimah
Himayah dari segi bahasa bermaksud melindungi,menjaga atau memelihara.Himayah berasal dari kalimah hama, yahmi, hamyan wa himayatan yang bermaksud memelihara, melindungi, menjaga. Kalimah “hamyan” adalah mashdar yakni kata terbitan dari kata dasar “hama” yang merupakan fi’il madhi.
Sekilas Fakta Mengenai Himayah Di Zaman Rasul
Dalam tahapan awal dakwah Rasul,baginda Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam pernah meminta himayah (perlindungan) daripada Raja Habsyah ketika aktiviti dakwah Islam menghadapi tentangan dan ancaman yang hebat oleh orang-orang kafir Quraisy yang diketuai oleh Abu Jahal.Ketika dakwah Islam diserang dan diancam oleh mereka, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam telah memerintahkan para sahabat yang telah memeluk Islam agar berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan (himayah) daripada Raja Habsyah (Malik Al-Habsyah iaitu Raja Najasyi).Kerana pada waktu itu,mereka telah ditentang dan diancam untuk dibunuh oleh orang-orang kafir Quraisy yang membenci agama baru yakni Islam yang dibawa oleh Rasulullah.Dengan sebab itulah,mereka berhijrah ke Habsyah dan mencari perlindungan di sana.Akhirnya, mereka berjaya juga mendapatkan perlindungan (himayah) daripada Raja Habsyah, di samping mendapat layanan yang baik sekali olehnya.
Antara lainnya,Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam juga telah diberikan himayah oleh bapa saudaranya Abu Thalib ketika dakwah yang dilakukan baginda mendapat tentangan yang hebat dari Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya dari kalangan musyrikin Quraisy yang juga merupakan pengikut-pengikut Abu Thalib. Dengan adanya perlindungan dari Abu Thalib,mereka tidak berani untuk mengganggu dan mengancam aktiviti dakwah yang dilakukan Rasul tersebut. Sebaliknya, setelah Abu Thalib meninggal dunia, ancaman dan tentangan dari orang-orang kafir Quraisy semakin kuat terhadap baginda dan pengikut-pengikutnya yang setia bersamanya memperjuangkan Islam.
Begitu juga halnya yang berlaku,setelah baginda mengunjungi kabilah Bani Tsaqif di kota Thaif untuk mencari nushrah.Akhirnya,baginda tidak dibenarkan untuk kembali ke kota Mekah.Seterusnya datang Muth’im Bin ‘Aadiy memberikan himayah kepadanya agar baginda dapat memasuki semula ke kota Mekah bagi meneruskan aktiviti dakwah Islamnya untuk mencari nushrah di kalangan jama’ah/kelompok yang memiliki kekuasaan dan kekuatan agar mereka memeluk Islam,sekaligus melindungi dan memberikan kekuasaan yang dimiliki mereka kepada Rasul supaya dakwah Islam berjalan dengan lancar dalam rangka menegakkan Daulah Islamiyah.
Pembahagian Himayah
Himayah terbahagi kepada 2 jenis:
Pertama: Di sebut sebagai “Himayah Lil Asykhash” (perlindungan peribadi/personal)
Kedua: Di sebut sebagai “Himayah Wa Nushrah Lid Da’wah” (perlindungan dan pertolongan terhadap da’wah )
Pejelasannya sebagai berikut :
Pertama : Himayah dalam konteks peribadi/personal (himayah Lil Asykhash) tidak disyaratkan Islam dan dibolehkan menerima himayah dari kalangan orang kafir bagi melindungi diri kita dari ancaman musuh yang memerangi urusan dakwah Islam. Misalnya,seperti himayah yang diberikan oleh Abu Thalib kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, yang mana beliau tidak sanggup melihat anak saudaranya dianiaya dan dizalimi oleh pengikut-pengikutnya sendiri seperti Abu Jahal dan sahabat-sahabatnya yang memusuhi Rasul.Begitu juga halnya, dengan himayah yang diberikan oleh Muth’im Bin ‘Aadiy ketika membawa Rasul memasuki semula ke kota Mekah.Demikian juga, himayah yang telah diberikan oleh Raja Habsyah kepada pengikut-pengikut setia Rasul yang telah memeluk Islam ketika berhijrah ke sana untuk mendapatkan perlindungan (himayah), disebabkan mereka menghadapi ancaman dan tentangan yang dahsyat oleh orang-orang kafir Quraisy yang memusuhi Rasul dan ajaran yang dibawanya.Begitulah, yang dimaksudkan dengan himayah lil asykhash (perlindungan peribadi/personal).
Kedua : Adapun perlindungan dan pertolongan terhadap dakwah (Himayah Wa Nushrah Lid Da’wah ) adalah disyaratkan Islam.Bentuk himayah dan nushrah ini sama-sekali tidak boleh diambil dari orang kafir secara mutlak. Ini kerana,Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sendiri tidak menerima himayah(perlindungan) dan nushrah(pertolongan) dari orang-orang kafir yang enggan memeluk Islam.Bahkan menolaknya. Inilah yang berlaku ketika baginda mengunjungi beberapa kabilah Arab di sekitar Mekah Al-Mukarramah dalam rangka mencari perlindungan dan pertolongan untuk dakwahnya. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam hanya menerima himayah(perlindungan) dan nushrah(pertolongan) dari kabilah Aus dan Khazraj yang berasal dari Yastrib(Madinah Al-Munawwarah) yang telah memeluk Islam.Hasil dari himayah(perlindungan) dan nushrah(pertolongan) yang telah diberikan oleh kabilah Aus dan Khazraj terhadap da’wah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam itulah,maka terjadilah Bai’at ‘Aqabah 1 yang dikenali sebagai ” – Bai’atun Nisa’ – ” dan juga Bai’at ‘Aqabah 2 yang dikenali sebagai ” – Bai’at Al-Hukm – “.Lalu berhijrahlah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersama para sahabat Radiyallahu ‘Anhum ke Yastrib (Madinah Al-Munawwarah) sehingga tertegaknya Daulah Islamiyah di sana.
Dalam aktiviti tersebut,sama-sekali Rasul tidak akan menerima himayah dan nushrah dari kalangan orang-orang kafir,kerana himayah dan nushrah tersebut adalah untuk meraih kekuasaan dalam rangka menegakkan Daulah Islamiyah. Sedangkan,aktiviti tersebut berkaitan dengan kekuasaan,maka haram hukumnya memberikan kekuasaan kepada orang kafir.
Ini jelas sebagaimana firman Allah ‘azza wa jalla :
“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang Yang beriman.” [TMQ. An-Nisaa'(4):141]
Sumber : mykhilafah.com