Insiden Sinai Mengutungkan Israel

Insiden yang berlaku di pos kawalan El-Arish, Sinai Utara, Mesir baru-baru ini telah meletakkan Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi di dalam keadaan tidak senang duduk sehingga saat ini. Rentetan daripada peristiwa itu juga, Dr. Morsi telah bertindak dengan memecat Ketua Perisikan Mesir serta mengarahkan operasi ketenteraan agar diteruskan bagi mencari serta menghapuskan pihak yang telah melakukan pembunuhan tersebut. Dalam temubual yang dilakukan pemberita, pegawai tentera Mesir menyifatkan pembunuh tentera Mesir itu sebagai “musuh negara” dan mesti dihapuskan dengan kekerasan.

Mengulas insiden tersebut, Ketua Tentera Mesir melaungkan setiap tindakan daripada tentera adalah demi kepentingan negara: “Angkatan bersenjata telah berhati- hati dalam beberapa bulan lepas semasa revolusi rakyat untuk tidak menumpahkan darah rakyat Mesir…tetapi kumpulan yang telah melakukan serangan semalam dikira oleh angkatan bersenjata sebagai musuh negara dan mesti selesaikan dengan kekerasan”.

Pembunuhan yang berlaku di pos kawalan El-Arish adalah yang terburuk sejak Dr Morsi dipilih ke jawatan Pemimpin Mesir. Insiden tersebut telah mengorbankan 16 orang askar yang sedang berbuka puasa di pos tersebut. Ada yang mengatakan serangan tersebut mungkin dilakukan oleh kaum Arab Badwi Mesir dengan motif yang masih samar. Setelah Pemimpin Gaza, Ismail Haniyeh menafikan tuduhan yang mengatakan serangan itu dilakukan oleh pejuang Palestin, maka rata-rata penganalisis membuat kesimpulan awal ia mungkin dilakukan oleh perisikan Israel berdasarkan  tindakan para penyerang yang merampas kereta perisai pos kawalan dan menuju ke sempadan Israel sebelum dihalang oleh tentera Israel sehingga menimbulkan pertanyaan ramai, adakah para penyerang itu adalah pengganas daripada Israel?

Disebalik semua persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab membunuh 16 orang tentera Mesir yang sedang berbuka puasa itu, kita jangan lalai terhadap apakah tindakan susulan daripada insiden tersebut. Insiden tersebut telah mencetuskan kebimbangan rakyat Mesir sehingga  Dr.Morsi mengarahkan lebih ramai tentera ke sempadan dan melancarkan serangan ke atas kumpulan bersenjata berhampiran dengan penempatan Badwi Mesir. Di semping itu, pihak berkuasa Mesir juga bertindak memusnahkan berpuluh-puluh terowong yang menghubungkan Mesir dan Gaza. Padahal terowong-terowong itulah yang menjadi talian hayat penduduk Gaza samada untuk mendapatkan bekalan harian seperti makanan atau senjata daripada Mesir untuk melindungi diri mereka daripada serangan tentera-tentera Israel.

Apakah operasi sebegini yang diinginkan oleh umat untuk dilakukan oleh Morsi? Apakah dengan memusnahkan terowong-terowong yang digunakan oleh umat Islam Palestin untuk mendapat bekalan harian mereka sudah bermakna Morsi telah menunaikan janji-janjinya semasa kempen pilihanraya Presiden yang lepas? Siapakah sebenarnya yang mendapat manfaat daripada operasi ketenteraan tersebut kalau bukan Israel. Israel sudah sekian lama berazam untuk memusnahkan terowong-terowong yang menghubungkan Gaza-Mesir kerana ia dikatakan digunakan oleh para pejuang Palestin untuk mendapatkan bekalan senjata untuk memerangi mereka. Kalau benar demikian, maka itulah yang seharusnya berlaku dan Israel tidak ada hak untuk campurtangan, bahkan terowong-terowong tersebut bukanlah berada di kawasan yang mereka duduki(ceroboh sejak 1948). Namun, apa yang menyedihkan, Israel tidak perlu bersusah-payah untuk memusnahkan terowong-terowong tersebut kerana Dr. Morsi sudah pun melakukannya untuk mereka. Samada Dr. Morsi sedar atau tidak, dia sebenarnya telah menjadi ‘orang suruhan’ Israel. Alangkah sedihnya situasi ini, pemimpin yang diharapkan dapat membela dan menyelamatkan umat Islam di Mesir dan di Palestin, gagal untuk melakukannya.

Sejak sekian lama, Mesir telah menjadi negara kaum muslimin yang menjadi penjaga bagi kesejahteraan  Israel. Setelah perjanjian damai pada 1979, semenanjung Sinai telah diisytiharkan sebagai zon penampan (buffer zone) di mana sama ada Mesir mahupun Israel tidak dibenarkan melakukan aktiviti ketenteraan di sana. Sebarang aktiviti ketenteraan haruslah dilakukan dengan keizinan pihak yang lain. Jadi, setelah apa yang berlaku di Sinai itu, Israel telah memberi lampu hijau kepada Morsi untuk menggerakkan tentera Mesir melakukan operasi ketenteraan di Semenanjung Sinai bagi memburu mereka yang dikatakan sebagai “musuh negara” tersebut – satu operasi ketenteraan yang pertama selepas 1979.  Sehingga kini, di laporkan lebih 20 orang telah terbunuh sejak operasi ini. Apa yang lebih menyedihkan adalah semuanya itu hanyalah untuk mengaburi mata rakyat Mesir dan dunia kerana dengan musnahnya terowong-terowong itu, yang mendapat manfaat daripada operasi tersebut adalah Israel.

Sepatutnya, Morsi mengarahkan tentera-tenteranya menuju ke negara haram Zionis dan melakukan jihad untuk membebaskan Palestin dan Al Quds daripada tangan-tangan kotor Zionis. Dengan keberanian dan bilangan tentera Mesir sahaja sebenarnya sudah cukup untuk menyelesaikan masalah Palestin yang telah berlanjutan sekian lama. Itu belum lagi sekiranya di gabungkan dengan keseluruhan kekuatan umat Islam di sekitarnya. Namun begitu, selagi pemimpin umat Islam tunduk kepada ancaman barat, maka selagi itulah negara Zionis ini akan kekal berada di muka bumi ini. Sungguh, kita mengharapkan pemimpin Islam yang ikhas yang bersumpah dengan nama Allah akan melaksanakan segala hukum syarak di muka bumi ini yang akan membebaskan setiap inci tanah umat Islam yang terjajah. Semoga pertolongan Allah segera tiba serta kemenangan umat Islam bakal menyusul. Wallahu a’lam.
 
Sumber :
1.  Utusan Online, 12/08/12
2.  Al Jazeera.com
3.  Al Jazeera.com