Hukum-hakam Tentang Ibadah Puasa
Saban tahun apabila menjelangnya bulan Ramadhan al-Mubarak, sudah pasti ramai umat Islam akan bertanya atau mencari-cari jawapan kepada banyak persoalan tentang hukum-hakam yang berkaitan ibadat puasa dan perlaksanaannya. Justeru, bagi memudahkan pencarian dan pemahaman kaum Muslimin, di sini kami bentangkan secara ringkas beberapa soalan yang sering ditanya dan jawapan-jawapannya yang dipetik terus daripada dalil syarak. Mudah-mudahan umat Islam memperoleh petunjuk dan manfaat daripadanya, insyaallah.
Dalil Kewajipan Berpuasa
فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
“Maka barangsiapa di antara kalian yang melihat hilal (anak bulan Ramadhan), maka berpuasalah.” [TMQ al-Baqarah (2): 185].
Dalil puasa juga disandarkan pada hadis daripada Ibnu Umar ra yang menyatakan:
«اَنَّ النَّبِيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بُنِيَ اْلاِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهاَدَةِ اَنْ لاَ الَهَ اِلاَّ اللهُ، وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَاِقاَمِ الصَّلاَةِ، وَاِيْتاَءِ الزَّكاَةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضاَنَ»
“Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda, ‘Islam itu dibangunkan atas lima perkara: Kesaksian bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.’” [HR al-Bukhari, Muslim dan Ahmad].
Puasa Wajib Bagi Yang Baligh dan Berakal
Puasa hanya diwajibkan ke atas setiap Muslim yang telah baligh dan berakal. Dalam hal ini, anak-anak kecil dan orang gila tidak wajib untuk berpuasa. Ini didasarkan pada sabda Nabi saw:
«رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ: عَنِ الصَّبِي حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَجْنُوْنِ حَتَّى يَفِيْقَ»
“Telah diangkat pena (bebanan hukum dan catitan dosa pahala) atas tiga orang (iaitu): anak kecil sehinggalah ia baligh, orang yang tidur sehinggalah ia bangun, dan orang gila sehinggalah ia kembali waras.” [HR Abu Dawud].
Wanita Haid dan Nifas Tidak Wajib Puasa
Wanita haid dan nifas juga tidak wajib untuk berpuasa. Jika mereka berpuasa, ia dianggap tidak sah. Jika mereka telah suci daripada haid dan nifas, maka mereka wajib untuk mengqada puasa yang ditinggalkan. Ketentuan ini adalah berdasarkan pada hadis daripada Aisyah ra yang menyatakan bahawa Nabi saw pernah bersabda:
«فِي الْحَيْضِ كُنَّا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ»
“Bagi haid, kami telah diperintahkan untuk mengqada puasa, tetapi kami tidak diperintahkan untuk mengqada solat.” [HR Muslim, an-Nasa’i, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad].
Siapakah Yang Diwajibkan Untuk Membayar Fidyah ?
Sesiapa sahaja yang tidak mampu untuk berpuasa disebabkan sesuatu situasi tertentu yang dibenarkan syarak seperti orang yang sangat tua/lanjut usia yang jika ia berpuasa akan melemah dan memudaratkannya, serta orang yang sakit yang mana penyakitnya tidak mempunyai harapan untuk sembuh, maka kedua-dua golongan ini tidak wajib untuk berpuasa. Sebaliknya, mereka wajib untuk membayar fidyah sebagai ganti dengan tanpa menggantikan (qada) puasa. Firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
“Tidaklah Allah menjadikan dalam agama ini suatu perkara yang berat/sulit untuk kalian.” [TMQ al-Hajj (22): 78].
Allah SWT juga berfirman:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
“Bagi orang-orang yang menanggung beban berat dalam berpuasa, mereka wajib untuk memberi fidyah, yakni memberi makan orang miskin.” [TMQ al-Baqarah (2): 184].
Hadis daripada Ibnu Abbas ra, bahawa Nabi saw pernah bersabda:
«وَمَنْ اَدْرَكَهُ الْكِبَرُ فَلَمْ يَسْتَطِعْ صِيَامَ رَمَضاَنَ فَعَلَيْهِ لِكُلِّ يَوْمٍ مُدًّ مِنْ قَمْحٍ»
“Dan barangsiapa yang telah mencapai usia lanjut, lalu dia tidak mampu untuk melaksanakan puasa bulan Ramadhan, maka ia wajib untuk mengeluarkan satu mud gandum setiap hari.” [HR al-Baihaqi dan ad-Daruquthni].
Ibnu Umar ra juga menyampaikan hadis:
«اِذَا ضَعُفَ عَنِ الصَّوْمِ اَطْعِمْ عَنْ كُلِّ يَوْمٍ مُدًّا»
“Jika seseorang lemah dalam melaksanakn puasa, hendaklah ia memberi makan kepada orang miskin sebanyak satu mud setiap hari.” [HR al-Baihaqi dan ad-Daruquthni].
Nota: Mud adalah ukuran isipadu (bukan berat) yang setara dengan isipadu 544 gram gandum (al-qamhu) [Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 62].
Daripada Anas ra juga dikatakan:
«أَنَّهُ ضَعُفَ عَنِ الصَّوْمِ عَامًا قَبْلَ وَفاَتِهِ فَافْطَرَ وَاَطْعَمَ»
“Ia tidak berdaya untuk melaksanakan puasa sepanjang tahun sebelum wafatnya, lalu ia berbuka dan memberi makan makan orang miskin. [HR ath-Thabrani dan al-Haitsami).
Siapakah Yang Diwajibkan Untuk Qada Puasa?
Jika seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa kerana sakit dan ia khuatir sakitnya akan menjadi bertambah parah, ia juga dianggap tidak wajib untuk berpuasa kerana termasuk dalam kategori berat untuk berpuasa (ayat 184 surah al-Baqarah). Kemudian apabila dia telah sembuh, maka dia wajib untuk mengqada kembali puasa tersebut. Firman Allah SWT:
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
“Maka barangsiapa di antara kalian yang sakit, atau dalam perjalanan (musafir), maka hendaklah ia menggantikan puasanya pada hari yang lain mengikut jumlah yang ditinggalkannya.” [TMQ al-Baqarah (2): 184].
Jika seseorang itu sedang berpuasa, lalu ia jatuh sakit, maka ia boleh untuk berbuka kerana situasi sakit membolehkan seseorang yang berpuasa itu untuk berbuka.
Bagaimana Pula Puasa Bagi Yang Bermusafir?
Bagi seseorang yang bermusafir, jika jarak musafir yang dilakukannya tidak mencapai empat barid atau kira-kira 80 kilometer, maka ia wajib untuk terus berpuasa dan tidak boleh berbuka. Ini adalah kerana perjalanan yang diberikan ruksah (keringanan) untuk berbuka hanyalah musafir yang syar‘i semata-mata yakni jaraknya empat barid atau setara dengan 80 km. Apabila telah mencapai jarak ini atau lebih dalam musafirnya (untuk laluan sehala), maka ia diberikan pilihan untuk sama ada terus berpuasa atau pun berbuka. Ini adalah berdasarkan hadis daripada Aisyah ra:
«اِنَّ حَمْزَةَ اِبْنِ عَمْرُوْ اْلاَسْلَمِي قَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، أَأَصُوْمُ فِي السَّفَرِ؟ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اِنْ شِئْتَ فَصُمْ وَاِنْ شِئْتَ فَاَفْطِرْ»
“Sesungguhnya Hamzah bin Amr al-Islami pernah bertanya kepada Rasulullah saw, ‘Wahai Rasulullah, perlukah aku berpuasa dalam musafir?’ Lalu Rasulullah saw bersabda, ‘Jika engkau mahu, berpuasalah. Dan jika engkau mahu, berbukalah.’” [HR al-Bukhari, Muslim, dan Ashab as-Sunan]
Berpuasa Ketika Musafir Lebih Utama ?
Bagi musafir yang mana puasanya tidak menjadikan dirinya merasa berat atau letih yang melampau, maka meneruskan puasa itu adalah yang paling utama. Allah SWT telah berfirman:
وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ
“Berpuasa itu adalah lebih baik bagi kalian”. [TMQ al-Baqarah (2): 184].
Sebaliknya, jika puasanya benar-benar memberatkan dirinya disebabkan musafir, maka adalah lebih utama baginya untuk berbuka. Hal ini didasarkan pada hadis daripada Jabir ra:
«مَرَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ بِرَجُلٍ تَحْتَ شَجَرَةٍ يُرَشُ عَلَيْهِ الْماَءُ فَقَالَ: مَا بَالَ هَذَا؟ قَاُلْوا: صَائِمٌ. فَقَالَ: لَيْسَ مِنَ الْبِرِّ الصِّيَامُ فِي السَّفَرِ»
“Dalam suatu perjalanan, Rasulullah saw pernah melalui seorang lelaki yang sedang berteduh di bawah pohon sambil menyiramkan air ke tubuhnya. Lalu beliau bertanya, ‘Mengapakah orang ini?’ Para sahabat menjawab, ‘Dia sedang berpuasa.’ Kemudian beliau bersabda, “Tidak baik untuk berpuasa dalam musafir.” [HR an-Nasa’i].
Bagaimanakah Qada Bagi Wanita Yang Hamil ?
Adapun bagi wanita yang hamil dan wanita yang sedang menyusu, mereka dibolehkan untuk berbuka dan mengqada kembali puasa mereka di luar bulan Ramadhan, tidak kira sama ada disebabkan ia khuatir atas dirinya, atau khuatir atas diri dan bayinya, atau khuatir atas bayinya, atau boleh juga tidak mempunyai sebarang kekhuatiran. Kebolehan seseorang wanita hamil dan wanita yang sedang menyusu untuk tidak berpuasa adalah dipandang pada status mereka sebagai wanita hamil dan yang menyusu semata-mata, tanpa melihat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kekhuatiran ataupun tidak (seperti keadaan ibu atau bayi atau kedua-duanya). Ketentuan ini didasarkan pada apa yang telah dikukuhkan oleh hadis Nabi saw, sebagaimana disampaikan oleh Anas bin Malik al-Ka‘bi, ia berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
«اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: اِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ وَعَنِ الْحاَمِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ»
“Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan keringanan bagi musafir dalam berpuasa dan sebahagian daripada solatnya (jamak dan qasar), dan keringanan bagi wanita hamil dan yang menyusu dalam berpuasa. [HR al-Bukhari dan Muslim]
Hadis di atas tidak meletakkan sebarang syarat atau had tertentu terhadap kebolehan seseorang itu untuk tidak berpuasa. Hadis tersebut memberikan kebolehan secara mutlak bagi wanita hamil dan yang menyusu disebabkan status semata-mata semata-mata.
Berkaitan kewajiban wanita hamil dan yang menyusu untuk mengqada kembali puasa yang ditinggalkan, ia adalah berdasarkan kepada hujah bahawa mereka sememangnya wajib untuk berpuasa. Apabila mereka memilih untuk tidak mahu berpuasa disebabkan status hamil atau menyusu, maka puasa tersebut akan menjadi hutang bagi mereka. Ia yang wajib dibayar semula dengan mengqadanya kembali. Hadis daripada Ibnu Abbas ra, ia berkata:
«اِنَّ اِمْرَأَةً قاَلَتْ: يَارَسُوْلَ اللهِ، اَنِّ اُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ نَذَرٍ، أَفَاَصُوْمُ عَنْهَا؟ فَقاَلَ: اَرَأَيْتَ لَوْكاَنَ عَلَى اُمِّكِ دَيْنٌ فَقَضَيْتِهِ اَكَانَ يُؤَدِّي ذَلِكَ عَنْهَا؟ قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ: فَصُوْمِي عَنْ اُمِّكِ»
“Seorang wanita pernah berkata kepada Rasulullah saw, ‘Wahai Rasulullah, ibuku telah meninggal sedangkan ia masih mempunyai (hutang) puasa nazar. Perlukah aku berpuasa untuk menggantikannya?.’ Rasul menjawab, ‘Bagaimanakah pendapatmu seandainya ibumu mempunyai hutang (wang), lalu engkau membayarnya, adakah perkara tersebut dapat melunaskan hutangnya?.’ Wanita itu menjawab, ‘Sudah pasti.’ Rasul lalu bersabda, ‘Oleh itu, berpuasalah engkau untuk membayar hutang puasa ibumu.’” [HR Muslim].
Tidak ada sebarang kewajiban ke atas wanita hamil dan wanita yang menyusu untuk membayar fidyah kerana dalam hal ini tidak ada sebarang nas yang menunjukkan kewajibannya.
Bagaimanakah Kewajiban Melihat Hilal (Anak Bulan) Ramadhan?
Berpuasa di bulan Ramadhan hanya diwajibkan ke atas kaum Muslimin apabila sudah ternampak hilal (anak bulan tanggal 1 hari bulan) bulan Ramadhan. Jika hilal Ramadhan terhalang daripada pandangan manusia, maka kaum Muslimin wajib untuk menggenapkan bilangan bulan Sya‘ban menjadi 30 hari, lalu mereka wajib untuk mula berpuasa pada keesokan harinya. Hadis daripada Ibnu Abbas ra, bahawa Nabi saw pernah bersabda:
«اَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: صُوْمُوْا لِرُؤْيَتِهِ وَاَفْطِرُوْا لِرُؤْيَتِهِ، فَاِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاَكْمِلُوْا الْعِدَّةَ، وَلاَ تَسْتَقْبِلُوْا الشَّهْرَ اسْتِقْبَالاً»
“Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah kalian (berhari raya Eidul Fitri) kerana melihat hilal. Jika hilal terhalang daripada pandangan kalian, maka genapkanlah bilangan bulan Sya‘ban (menjadi 30 hari). Dan janganlah kalian meraikan bulan itu (jika tidak cukup bilangannya).” [HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi]
Perlukah Puasa Didahului Dengan Niat?
Sepertimana puasa-puasa yang lain, puasa bulan Ramadhan hanya dianggap sah jika ia didahului dengan niat. Sabda Nabi saw:
«اِنَّمَا اْلاَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ»
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya.” [HR Muslim].
Niat wajib dilakukan setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan. Ini adalah kerana puasa yang dilakukan pada setiap hari adalah merupakan ibadat yang berdiri dengan sendiri, yang mana waktunya bermula daripada terbit fajar dan diakhiri ketika matahari terbenam pada setiap hari. Jika sekiranya puasa hari ini terbatal atau rosak pahalanya, ia tidak mempengaruhi puasa yang dilakukan pada hari sebelumnya atau hari-hari yang akan datang. Justeru adalah tidak memadai untuk melakukan niat bagi berpuasa sebulan penuh. Sebaliknya niat perlu dilakukan setiap hari setiap kali puasa ingin dilakukan.
Bilakah Niat Dilakukan?
Puasa bulan Ramadhan atau pun puasa-puasa wajib yang lain (seperti puasa qada atau puasa nazar) dianggap tidak sah jika niatnya dilakukan pada siang hari (selepas fajar). Niat untuk berpuasa wajib perlu dilakukan pada malam hari. Ini didasarkan pada hadis daripada Hafshah:
«اَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ لَمْ يَبِيْتِ الصِّيَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ»
“Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda, “Barangsiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari, maka tidak ada puasa baginya.”[HR an-Nasa’i dan ad-Darimi]
Niat boleh dilakukan pada mana-mana bahagian malam bermula daripada terbenamnya matahari (waktu maghrib) sehinggalah terbitnya fajar (sebelum waktu subuh) kerana di sepanjang tempoh tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada malam.
Bagaimana Pula Dengan Niat Puasa Sunat, Bilakah Ia Dilakukan ?
Adapun bagi niat puasa sunat, ia boleh dilakukan selepas terbit fajar (selepas masuknya waktu subuh) tetapi sebelum matahari tergelincir (waktu zohor). Hal ini didasarkan pada hadis daripada Aisyah ra:
«اَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَصْبَحَ اليَوْمُ، عِنْدَكُمْ شَيْءٌ تُطْعِمُوْنَ؟ فَقَالَتْ: لاَ. فَقَالَ: اِنِّي إِذًا صَائِمٌ»
“Sesungguhnya Nabi saw pernah bertanya, ‘Apakah pagi ini ada sesuatu (makanan) untuk dimakan?.’ Aisyah menjawab, ‘Tidak ada.’ Nabi saw kemudian berkata, ‘Kalau begitu, aku akan berpuasa sahaja.’ [HR Ahmad].
Di sinilah letaknya perbezaan waktu dari segi niat untuk berpuasa wajib dan juga berpuasa sunat. Puasa wajib seperti puasa Ramadhan perlu dirancang dan diniatkan sebelum masuknya waktu subuh. Manakala bagi puasa sunat, puasa tersebut boleh dibuat tanpa dirancang dan niatnya pula boleh dibuat secara spontan pada bila-bila masa walaupun sudah melepasi waktu subuh selagimana tidak masuk waktu zohor. Dengan syarat, ia tidak minum dan makan atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak masuknya waktu subuh sehinggalah ke waktu ia mula melakukan niat puasa sunat. Ingin ditekankan di sini bahawa yang dimaksudkan dengan niat adalah perbuatan hati, iaitu cukup dengan meletakkan maksud untuk melakukan ibadat puasa dalam hati. Niat tidak semestinya dizahirkan melalui lisan.
Bilakah Tempoh Waktu Perlaksanaan Puasa?
Waktu pelaksanaan puasa dimulai sejak terbitnya fajar, yakni fajar shâdiq (waktu subuh) dan diakhiri ketika terbenamnya matahari (waktu maghrib). Ini berdasarkan pada hadis daripada Umar ra:
«اَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: اِذاَ أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَاهُنَا وَاَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَاهُنَا وَغَابَتِ الشَّمْسُ مِنْ هَاهُنَا فَقَدْ اَفْطَرَ الصَّائِمُ»
“Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda, “Jika malam telah datang daripada sini, siang telah berakhir daripada sini, dan matahari pun sudah tenggelam, maka orang-orang yang berpuasa pun berbuka pada saat itu.” [HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Abu Dawud dan Ahmad]
Allah SWT juga berfirman:
(وَكُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّواْ الصِّيَامَ إِلَى الَّليْلِ)
“Makan dan minumlah (bersahur) sehingga jelas bagimu (perbezaan) antara benang putih dan benang hitam, iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa sehingga (datangnya) malam.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 187]
Jika seseorang yang sedang berpuasa itu makan dan minum dengan sengaja sedangkan dia tahu dan sedar (tidak lupa) bahawa dia sedang berpuasa, maka batallah puasanya dan ia wajib untuk mengqadanya kembali.
Bagaimanakah Pula Memasukkan Sesuatu Ke Dalam Rongga (Hidung, Telinga atau Mulut) Ketika Berpuasa?
Sila ikuti penjelasannya yang terperinci pada pautan di bawah ini.
Hukum memasukkan sesuatu ke dalam hidung ketika berpuasa
Bagaimanakah Hubungan Suami Isteri Ketika Berpuasa?
Orang yang sedang berpuasa adalah dilarang untuk melakukan hubungan (kelamin) antara suami isteri. Firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُم ۚ
“Dihalalkan bagimu untuk mencampuri isterimu pada malam hari puasa. Mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan dirimu sendiri, tetapi Dia menerima taubatmu dan memaafkanmu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 187]
Ayat ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan untuk mencampuri isteri untuk hubungan kelamin ketika berpuasa, yakni pada siang hari bulan Ramadhan. Jika ia mencampuri isterinya dan melibatkan kemaluan (berlakunya jimak), tidak kira sama ada keluar ataupun tidak air maninya, maka puasanya adalah tetap terbatal. Jika ia mencampuri isterinya selain daripada kemaluan (contohnya sekadar berciuman atau bersentuhan) tetapi sehingga menyebabkan keluar air mani, maka puasanya juga terbatal. Sebaliknya jika ia tidak sampai keluar air mani, maka puasanya adalah tidak batal. Ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Jabir ra:
«قَبَلْتُ وَاَنَا صَائِمٌ، فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: قَبَلْتُ، وَاَنَا صَائِمٌ. فَقاَلَ: اَرَأَيْتَ لَوْ تَمَضْمَضْتَ وَاَنْتَ صَائِمٌ»
“Aku pernah mencium (isteriku) ketika sedang berpuasa. Lalu aku menemui Nabi saw kemudian bertanya, ‘Aku telah mencium (isteriku) padahal aku sedang berpuasa.’ Rasul saw lalu bersabda, ‘Bagaimana pendapatmu jika engkau berkumur-kumur ketika engkau sedang berpuasa?’” [HR Ahmad]
Dalam hadis ini. Nabi saw telah mengaitkan atau menyamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur-kumur. Jika air yang dikumur itu sehingga tertelan, maka batallah puasanya. Sebaliknya jika ia tidak tertelan, maka puasanya tidak terbatal. Begitulah juga halnya dengan mencampuri isteri melalui selain daripada kemaluan atau sekadar menciumnya.
Batalkah Puasa Orang Yang Muntah Dengan Sengaja?
Jika seseorang yang berpuasa itu dengan sengaja membuatkan dirinya muntah, maka batallah puasanya. Hadis daripada Abu Hurairah ra:
«اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنِ اسْتَقَاءَ عَامِدًا فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ، وَمَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلاَ قَضَاءَ عَلَيْهِ»
“Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda, ‘Barangsiapa yang telah membuatkan dirinya supaya muntah dengan sengaja, maka ia wajib untuk mengqada kembali puasanya. Barangsiapa yang muntah (tanpa sengaja), ia tidak wajib untuk mengqada puasanya.’” [HR at-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad]
Bagaimana Pula Jika Terlupa?
Jika seseorang itu melakukakan sesuatu perbuatan yang boleh membatalkan puasa tetapi dalam keadaan terlupa, maka puasanya tidak menjadi batal. Ini didasarkan pada hadis daripada Abu Hurairah ra yang menyatakan bahawa Nabi saw pernah bersabda:
«مَنْ اَفْطَرَ فِي شَّهْرِ رَمَضَانَ نَاسِيًا فَلاَ قَضاَءَ عَلَيْهِ وَلاَ كَفاَرَةَ»
“Barangsiapa yang berbuka pada bulan Ramadhan kerana terlupa, ia tidak wajib untuk mengqada kembali dan tidak wajib pula untuk membayar kafarah.” [HR at-Tirmidzi]
Hadis riwayat al-Bukhari menyatakan bahawa Nabi saw pernah bersabda:
«اِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ اَوْشَرَبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَاِنَّمَا اَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ»
“Jika seseorang yang sedang berpuasa itu terlupa sehingga dia termakan atau terminum, maka sempurnakanlah (lanjutkanlah) puasanya (sehingga selesai). Sebab Allah sengaja ingin memberinya makan dan minum .” [HR al-Bukhari Muslim, Ibn Majah dan Ahmad]
Bagaimana Pula Melakukan Hubungan Suami Isteri Padahal Sudah Terbit Fajar?
Jika seseorang itu makan atau melakukan hubungan suami isteri dengan alasan kerana dia menyangka bahawa fajar belum terbit (belum masuk waktu subuh) sedangkan ternyata fajar sudah pun terbit, ataupun ia menyangka bahawa matahari sudah terbenam (sudah masuk waktu maghrib) padahal matahari ternyata belum terbenam, maka batallah puasanya dan ia wajib untuk mengqadanya kembali. Hadis daripada Hanzalah ra mengatakan:
«كُنَّا بِالْمَدِيْنَةِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ وَفِي السَّمَاءِ شَيْءٌ مِنَ السَّحَابِ. فَظَنَّناَ أَنَّ الشَّمْسَ قَدْ غَابَتْ فَاَفْطَرَ بَعْضُ النَّاسِ فَاَمَرَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ مَنْ كَانَ قَدْ اَفْطَرَ اَنْ يَصُوْمَ يَوْمًا مَكَانَهُ»
“Ketika kami berada di Madinah pada bulan Ramadhan, langit pada waktu itu dalam keadaan berawan. Kami menyangka matahari telah terbenam, lalu sebahagian orang pun berbuka. Disebabkan itu, Umar ra menyuruh agar orang-orang yang telah terlanjur berbuka tadi untuk berpuasa pada hari yang lain sebagai penggantinya.” [HR al-Baihaqi dan al-Haitsami].
Ketetapan ini juga didasarkan pada hadis daripada Hisyam bin Urwah, daripada isterinya, Fatimah, daripada Asma’ yang mengatakan:
«اَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمِ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ. قِيْلَ لِهِشاَمِ: اُمِرُوْا بِالْقَضَاءِ. قَالَ: لاَ بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ»
“Pada masa Rasulullah saw, kami pernah berbuka ketika langit dalam keadaan mendung, kemudian matahari kembali dapat dilihat. Kepada Hisyam dikatakan, ‘Mereka disuruh untuk mengqada puasa.’ Dia lalu berkata, ‘Tentu sahaja wajib diqada (puasa tersebut).’” [HR al-Bukhari, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad]
Bagaimana Orang yang Berbuka Tanpa Uzur ?
Sesiapa yang berbuka puasa pada siang hari bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran syar’ie, maka ia wajib untuk mengqada’ kembali puasanya. Ketentuan ini didasarkan pada sabda Nabi saw:
«مَنِ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ»
“Barangsiapa yang membuatkan dirinya agar muntah (dengan sengaja), ia wajib untuk mengqadanya.” [HR at-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad].
Nabi saw. juga pernah bersabda:
«فَدَيْنُ اللهِ اَحَقُّ بِالْقَضَاءِ»
“Hutang kepada Allah adalah lebih layak untuk dibayar.” [HR Muslim].
Bagaimana Bagi Yang Melakukan Hubungan Suami Istri Tanpa Uzur ?
Bagi orang yang membatalkan puasa kerana melakukan hubungan suami isteri tanpa uzur, maka mereka wajib untuk mengqada semula puasa mereka di samping membayar kafarah. Nabi saw sendiri pernah menyuruh orang yang menyetubuhi isterinya pada siang hari bulan Ramadhan agar mengqadha puasanya. Hadis daripada Abu Hurairah ra:
«جَاءَ رَجُلٌ اِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: هَلَكْتُ، يَا رَسُوْلَ اللهِ. قَالَ: وَمَا اَهْلَكَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى اِمْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ. فَقَالَ: هَلْ تَجِدُ مَا تَعْتِقُ رَقَبَةً؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيْعُ اَنْ تَصُوْمَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ،.قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ ماَ تُطْعِمُ سِتِّيْنَ مِسْكِيْنًا؟ قَالَ: لاَ. ثُمَّ جَلَسَ فَاَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقِ فِيْهِ تَمَرٌ فَقَالَ: تَصَدَّقْ بِهَذَا. فَقَالَ: أَعَلَى اَفْقَرِ مِنَّا فَمَا بَيْنَ ِلاِبْتِيْهَا اَهْلَ بَيْتِ اَحْوَجَ اِلَيْهِ مِنَّا؟ فَضَحَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ, ثُمَّ قَالَ: اِذْهَبْ فَاَطْعِمْهُ اَهْلَكَ»
“Seorang lelaki pernah datang berjumpa Nabi saw lalu berkata, ‘Celakalah aku, wahai Rasulullah!.’ Rasul kemudian bertanya, ‘Apa yang telah mencelakakanmu?.’ Dia menjawab, ‘Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari bulan Ramadhan.’ Beliau bertanya lagi, ‘Apakah engkau mempunyai harta yang dapat memerdekakan hamba sahaya?.’ Dia menjawab, ‘Tidak.’ Beliau bertanya lagi, ‘Apakah engkau mampu untuk berpuasa dua bulan berturut-turut?.’ Dia menjawab, ‘Tidak.’ Beliau bertanya lagi, ‘Apakah engkau mempunyai harta yang boleh memberi makan kepada enam puluh orang miskin?.’ Dia menjawab, ‘Tidak juga.’ Kemudian lelaki itu duduk sementara Nabi saw datang dengan membawa bakul besar yang penuh dengan kurma. Setelah itu, Nabi saw. bersabda, ‘Bersedekalah engkau dengan kurma ini!.’ Tetapi lelaki itu bertanya, “Adakah untuk orang yang paling fakir di antara kami? Sesungguhnya tidak ada dalam daerah kami ini penduduk yang lebih memerlukan kurma ini selain daripada kami sekeluarga.’ Mendengar jawapan itu, Nabi saw tertawa hingga nampak gigi taringnya. Beliau kemudian bersabda, ‘Kalau begitu, pulanglah. Dan berilah makan keluargamu dengan kurma ini.’” [HR Muslim, at-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad].
Inilah kafarah yang wajib ditunaikan oleh orang-orang yang berbuka pada siang hari bulan Ramadhan dengan menggauli isterinya secara sengaja. Disebutkan satu-persatu kafarahnya secara berurutan mengikut kemampuan masing-masing.
Bagaimana Hukum Memakan Sahur ?
Orang yang ingin berpuasa disunatkan untuk makan sahur terlebih dahulu. Hal ini didasarkan pada hadis daripada Anas ra:
«اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تَسَحَّرُوْا فَإِنًّ فِي السَّحُوْرِ بَرَكَةٌ»
“Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda, “Makan sahurlah kalian kerana dalam sahur itu mengandungi keberkatan.” [HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi].
Apakah Yang Disunatkan Ketika Berbuka?
Orang yang berpuasa disunatkan untuk berbuka dengan memakan kurma terlebih dahulu. Jika kurma tidak ada, ia disunatkan untuk berbuka dengan meminum air. Hadis daripada Salman bin Amir mengatakan:
«قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اِذَا اَفْطَرَ اَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمَرٍ فَاِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى مَاءٍ فَاِنَّهُ طَهُوْرٌ»
“Rasulullah saw pernah bersabda, ‘Jika seseorang di antara kalian berbuka, maka berbukalah dengan kurma. Jika tidak ada, maka berbukalah dengan air kerana air itu suci.” [HR at-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi].
Apakah Doa Sunat Ketika Berbuka?
Ketika berbuka puasa, seseorang itu disunatkan untuk membaca doa berikut:
«اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ اَفْطَرْتُ»
“Ya Allah, untukMu aku berpuasa dan berkat rezekiMu aku berbuka.”
Ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah ra yang mengatakan:
«كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَذَا صَامَ ثُمَّ اَفْطَرَ قَالَ: اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ اَفْطَرْتُ»
“Sesungguhnya Rasulullah saw itu jika ia berpuasa, kemudian ia berbuka dengan membaca, ‘Ya Allah, untukMu aku berpuasa dan berkat rezekiMu aku berbuka.’” [HR Abu Dawud].
Puasa-puasa Sunat Di Luar Bulan Ramadhan
Orang yang berpuasa lengkap 30 hari dalam bulan Ramadhan adalah disunatkan untuk menyambung puasanya dengan berpuasa pula selama enam hari dalam bulan Syawal. Hadis daripada Abu Ayyub ra:
«قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَالٍ كَانَ كَصِياَمِ الدَّهْرِ»
“Rasulullah saw pernah bersabda, ‘Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka ia seperti telah berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim].
Pada hari Arafah, kita juga disunatkan untuk berpuasa, selain daripada jemaah haji. Hadis daripada Abu Qatadah ra:
«قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَوْمُ عَاشُوْرَاءَ كَفاَرَةُ سَنَةٍ وَصَوْمُ يَوْمَ عَرَفَةٍ كَفَارَةُ سَنَتَيْنِ سَنَةٌ قَبْلَهَا مَاضِيَةً وَسَنَةٌ بَعْدَهَا مُسْتَقْبَلَةً»
“Rasulullah saw pernah bersabda, ‘Puasa Asyura adalah kafarah (daripada dosa) satu tahun. Puasa Arafah adalah kafarah (daripada dosa) dua tahun, (yakni) satu tahun sebelumnya dan satu tahun berikutnya.” [HR Ahmad].
Puasa pada hari Asyura juga disunatkan berdasarkan hadis Abu Qatadah di atas. Disunatkan juga untuk berpuasa pada hari sebelum Asyura iaitu pada tanggal sembilan Muharram. Ini didasarkan pada hadis daripada Ibnu Abbas ra:
«قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَئِنْ بَقَيْتُ اِلَى قَابِلٍ َلأَصُوْمَنَّ الْيَوْمَ التَّاسِعَ»
“Rasulullah saw pernah bersabda, ‘Seandainya aku masih hidup sehingga tahun depan, nescaya aku akan berpuasa pada tanggal sembilan (Muharram).’”[HR Ibn Majah dan Ahmad].
Dalam hadis riwayat Muslim, hadis di atas ditambah dengan kalimat berikut:
«فَلَمْ يَأْتِ الْعَامَ الْمُقْبِلَ حَتَّى تُوُفِيَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ»
“Tahun depan belum juga tiba, Rasulullah saw telah terlebih dahulu wafat.” [HR Muslim].
Hari Asyura adalah hari kesepuluh daripada bulan Muharram, manakala hari Tasu’a’ adalah hari kesembilan pada bulan tersebut.
Kita juga disunatkan untuk berpuasa pada hari-hari putih (al-baydh), yakni puasa tiga hari pada setiap bulan hijrah. Hal ini didasarkan pada hadis daripada Abu Hurairah ra:
«اَوْصَانِي خَلِيْلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ اَيَّامٍ كُلَّ شَهْرٍ»
“Kekasihku (Rasulullah) saw pernah berwasiat kepadaku agar berpuasa tiga hari pada setiap bulan.” [HR Muslim, an-Nasa’i, Abu Dawud dan Ahmad].
Puasa tiga hari ini boleh dilakukan pada bila-bila sahaja tanpa perlu ditentukan harinya. Tetapi yang dianggap lebih utama adalah pada tanggal 13, 14 dan 15 hari bulan hijrah setiap bulan. Hal ini didasarkan pada hadis daripada Abu Dzarr ra:
«قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثًا، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَاَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشَرَةَ»
“Rasulullah saw pernah bersabda, ‘Jika engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, berpuasalah pada tanggal 13, 14 dan 15 (hari bulan).’” [HR at-Tirmidzi dan Ahmad].
Ketetapan di atas juga didasarkan pada hadis daripada Jarir bin Abdillah, daripada Nabi saw yang pernah bersabda:
«صِيَامُ ثَلاَثَةِ اَيَّامٍ مِِنْ كُلِّ شَهْرٍ صِيَامُ الدَّهْرِ، اَيَّامُ البَيْضِ، ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَاَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ»
“Puasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun, yakni puasa hari-hari putih (iaitu) pada tanggal 13, 14 dan 15 (hari bulan).” [HR Muslim, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi].
Selain itu, disunatkan juga untuk berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis. Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah ra yang mengatakan:
«اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَحَرَّى صِيَامَ اْلاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيْسِ»
“Sesungguhnya Nabi saw telah memilih waktu untuk berpuasa (sunat) pada setiap hari Isnin dan Khamis.” [HR at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ahmad].
Wallahua’lam.
Sumber : Ahkâm as-Solâh. Mesir: Dar an-Nahdhah al-Islamiyyah, Cet. 1, 1991, Karya al-Ustaz Ali Ragib, Syeikh Universiti al-Azhar asy-Syaried, Mesir.