Kenyataan Media: Hudud: Dengarlah Wahai Penggubal, Penyokong Dan Penentang!
Hudud: Dengarlah Wahai Penggubal, Penyokong Dan Penentang!
Kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) secara sebulat suara pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac 2015. Ini merupakan kali kedua undang-undang yang lebih dikenali dengan “hudud” itu diluluskan di Dewan tersebut selepas kali pertama dibentangkan pada 1993. Kesemua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu 31 daripada PAS, 12 Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir dan mengundi untuk hudud diluluskan. Sebaik sahaja diluluskan, hukum Allah (swt) itu telah menerima kritikan yang lebih hebat dari sebelumnya, terutama oleh non-Muslim, golongan liberal dan sekular yang terkenal menjadikan akal (bukannya agama) sebagai penentu betul dan salah, baik dan buruk. Sehubungan dengan hal ini, Hizbut Tahrir / Malaysia menegaskan:-
1. Hudud adalah sebahagian daripada hukum Allah (swt) dalam bab uqubat yang (uqubat itu) terdiri daripada empat iaitu hudud, qisas/jinayat, ta’zir dan mukhalafat yang wajib ditegakkan kesemuanya. Selain uqubat, sistem Islam merangkumi sistem pemerintahan, ekonomi, sosial (pergaulan), polisi pendidikan dan polisi luar negeri yang kesemuanya wajib diterapkan secara serentak, tanpa pengecualian mahupun alasan.
2. Meluluskan hudud melalui cara pembentangan, pembahasan dan pengundian sebagaimana dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri (mahupun Parlimen) bermakna telah menundukkan hukum Allah (swt) kepada proses demokrasi dan menundukkan serta meletakkan syarat pelaksanaan hukum Allah (swt) itu kepada “kelulusan” manusia. Kesemua hal ini adalah haram untuk dilakukan kerana membuat hukum itu adalah hak Allah (swt) dan manusia hanya wajib melaksanakannya sahaja, bukan mengundi untuk meluluskannya.
3. Hukum Islam wajib diterapkan secara kaffah oleh Negara, kerana Allah (swt) telah meletakkan taklif (bebanan) dan amanah kepada Ketua Negara (pemerintah) untuk melaksanakan hukum-hukumNya secara kaffah. Oleh itu, pemerintah wajib menerapkan hukum Allah (swt) secara keseluruhannya di setiap inci tanah kekuasaannya, bukan sebaliknya berlepas diri dengan alasan kuasa terletak kepada negeri.
4. Usaha pelaksanaan hudud di bawah sistem demokrasi yang tidak bertepatan dengan syarak ternyata telah membuka ruang kepada non-Muslim, puak liberal dan sekular untuk mempertikai, merendah-rendahkan sampai ke tahap mempermainkan dan menghina hukum Allah (swt). Ini semua natijah dari konsep kebebasan dan amalan dalam demokrasi yang mendewa-dewakan akal dan menafikan agama sebagai penentu dan pengatur kehidupan. Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas golongan penghina Islam ini, walaupun kami sedar agak mustahil untuk pemerintah yang juga sekular untuk mengambil tindakan ke atas golongan yang mempunyai pemikiran yang sama dengan mereka. Kepada golongan yang menentang hukum Allah (swt), bertaubatlah sebelum kamu, secara pasti, menemui Pencipta kamu!
Akhir sekali, kami ulangi penegasan kami bahawa menegakkan syariah secara kaffah adalah wajib dan ia wajib dilakukan dengan cara yang syarie, bukan dengan jalan demokrasi yang penuh penyesatan mengikut acuan Barat. Sudah lebih 50 tahun kerajaan memberi pelbagai alasan untuk tidak menerapkan hukum Allah (swt) sedangkan kehendak umat Islam untuk kembali diatur oleh syariah semakin kuat dan membesar. Maka sudah masanya untuk umat Islam bersatu dan mempertingkatkan usaha bagi menegakkan Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah yang akan menerapkan bukan sahaja hudud, tetapi hukum Allah (swt) secara kaffah dan sekali gus akan memuliakan Islam beserta penganutnya dan hinalah kekufuran beserta penganutnya.
Abdul Hakim Othman
Ketua Maktab I’lamiy, Hizbut Tahrir Malaysia