Fikratul Ummah – Julai 2009

Lidah Pengarang

Ketika ini di seluruh dunia, pandemik Inluenza A (H1N1) masih belum dapat dibendung. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 hb Julai 2009 melaporkan bahawa dua orang warga Singapura mati akibat jangkitan virus Selesema Babi ini.  Manakala laporan Yahoo News mencatitkan kematian ke 31 di United Kingdom atas sebab yang sama. Sama seperti mana-mana musibah yang menimpa umat manusia di seluruh dunia, walaupun permasalahannya masih belum pulih, akan tetapi semakin lama ia semakin kurang diberi perhatian apabila laporan tentangnya dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Begitu juga dengan permasalahan yang melanda kaum wanita. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan insiden kejam pembunuhan Dr Marwa al-Sharbini semata-mata mempertahankan khimar (tudung kepala). Malangnya, berita dan rentetan peristiwa selepas kematian Raja Pop lebih mendapat perhatian media kerana lebih tinggi nilai komersilnya menjadikan kisah sedih perjuangan seorang Muslimah di Jerman mempertahankan khimarnya lenyap tanpa desakan untuk pembelaan dan balasan setimpal ke atas pelakunya.

Syukur Alhamdulillah. Fikratul Ummah kali ini membawakan dua buah artikel. Artikel Negara Perlu Khidmat Wanita atau Wanita Perlu Khidmat Negara ingin menjelaskan tentang kemelut yang melanda iaitu samada wanita perlu lebih berkhidmat untuk Negara dengan menyertai pasaran buruh serta menjadi pembuat keputusan atau wanita perlu memainkan lebih peranan untuk menangani gejala sosial. Manakala artikel Isu Penderaan Pembantu Rumah: Siapakah yang Patut Dipersalahkan serba sedikit menjelaskan tentang insiden penderaan ke atas pembantu rumah Indonesia dan langkah ‘jangka-pendek’ Sekular untuk menyelesaikannya.

Artikel ini bersama-sama dengan bahagian akhir artikel terjemahan bertajuk Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah diharapkan akan dapat menjelaskan kepada Muslimah khususnya Islam telah datang dengan meninggikan taraf wanita dan memuliakannya dengan hukum-hukum syarak yang benar.

Semoga artikel-artikel yang dikemukakan ini dapat memberi input bermanfaat kepada Muslimat khususnya bahawasanya apabila Al-Quran dan  Sunnah dipinggirkan dalam pemerintahan Negara, seluruh warganegara akan merasai bahang akibat lari dari perintah Rabbnya. “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20) :124]. Wallahu ‘alam bisshawab.


NEGARA PERLU KHIDMAT WANITA atau WANITA PERLU KHIDMAT NEGARA?

Negara Perlu Khidmat Wanita
…itulah tajuk artikel yang ditulis oleh Sri Ayu Kartikawati Amri [[email protected]] di akhbar Harian Metro pada 7 Julai 2009.  Beliau membuat ulasan dalam artikel tersebut setelah menghadiri Seminar Kepekaan Gender yang diadakan di Kuala Lumpur sehari sebelumnya.  Seminar ini dirasmikan oleh Tan Sri Faizah Mohd Tahir selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dalam artikel tersebut, Tan Sri Faizah yang mewakili Menteri KPWKM, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dipetik sebagai berkata “Negara masih memerlukan lebih ramai wanita menyertai pasaran pekerjaan berikutan kini hanya 45.7 peratus wanita bekerja berbanding lelaki, 79.5 peratus”. Menurutnya lagi  “Kita belum mencapai walaupun 50 peratus wanita yang bekerja di negara ini, apatah lagi penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan juga masih rendah.” Seterusnya beliau menambah  “Sebagai contoh dalam bidang politik, hanya 10.4 peratus wanita berjaya menduduki kerusi dewan rakyat dan 8.0 peratus dipilih sebagai ahli dewan undangan negeri.”

Seterusnya artikel tersebut memetik kenyataan daripada Tan Sri Faizah berkenaan dengan pelan tindakan KPWKM di mana menurut beliau KPWKM akan melaksanakan satu pelan tindakan khas bagi meningkatkan peratusan wanita menyertai pasaran pekerjaan selain mencapai dasar minimum 30 peratus yang ditetapkan kerajaan di mana pelan tindakan itu turut merangkumi pembabitan wanita di lima sektor utama iaitu sektor awam, swasta, kehakiman, legislatif dan badan berkanun.

Dalam keghairahan KPWKM yang baru diterajui semula oleh Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyusun semula pelan tindakan untuk menambah jumlah tenaga kerja wanita di segenap sektor, kementerian ini didesak agar berbuat sesuatu untuk menangani kemelut gejala sosial yang melanda negara.  Hal ini disuarakan oleh Muslimat PAS di mana KPWKM diminta memberi tumpuan serius dalam menyelesaikan isu kekeluargaan yang semakin meruncing-statistik yang terkini yang dikemukakan membabitkan lebih 250,000 kes anak luar nikah[www.muslimatpas.org ,13hb Julai 2009].

Seterusnya Ustazah Nuridah Mohd Salleh, selaku Ketua Dewan Muslimat PAS menyatakan sudah tiba masanya Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilantik semula mengetuai kementerian tersebut bertindak tegas dan mengemukakan strategi khusus untuk menangani isu-isu yang boleh meruntuhkan jati diri dan institusi kekeluargaan di negara ini. Beliau menegaskan, masalah gejala sosial dalam negara ini sebenarnya bermula daripada masalah dalam sesebuah keluarga.  Jika keluarga terbabit menghadapi pelbagai kecamukan dari sudut penghayatan agama, masalah ekonomi, didikan dan gaya hidup, maka akan berlakulah keruntuhan serius terhadap institusi keluarga.

Ustazah Nuridah dipetik sebagai berkata “Keluarga merupakan unit paling kecil dalam sesebuah masyarakat. Kalau keluarga kita baik, masyarakat akan baik, tetapi kalau keluarga kita sendiri bermasalah, maka ia boleh menyumbang masalah kepada masyarakat dan negara.”  Seterusnya beliau mahu agar Shahrizat dan kementeriannya berperanan dan mengambil tahu tentang isu sebenar keruntuhan akhlak remaja dan kerapuhan institusi keluarga di negara ini agar ia boleh diselamatkan dan diperkasa sebagai unit kecil yang mahu membangunkan peradaban negara.

Jika diperhatikan dari satu sudut, nampaknya KPWKM mempunyai strategi yang cukup mantap dalam usahanya meningkatkan jumlah pekerja wanita dalam negara, seruan kerajaan disambut baik oleh kementerian tersebut dan langkah pro aktif terus dilaksanakan bagi merealisasikan aspirasi kerajaan.  Di satu sudut yang lain pula, kementerian yang sama dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memulihkan institusi kekeluargaan yang kian rosak dan diminta agar diatasi dengan segera masalah sosial yang melanda negara yang seolah-olah berpunca dari keruntuhan institusi keluarga.  KPWKM diletakkan dalam keadaan yang boleh diibaratkan seumpama si lumpuh mengejar pelangi, pelangi yang dikejar terlalu tinggi, sengsara berterusan memakan diri.

Memang sukar untuk seseorang mengejar cita-cita yang tinggi apabila pada masa yang sama terpaksa berhadapan dengan masalah yang semakin meruncing yang belum pernah dapat diselesaikan.  Kemelut melanda, mana yang perlu didahulukan? Selesaikan masalah atau mengejar cita-cita? Atau mampukah kedua-duanya dilakukan serentak dalam satu masa?  Kelihatan seolah-olah KPWKM sekarang perlu dengan segera menyahut seruan “Negara Perlukan Khidmat Wanita” dan pada masa yang sama perlu menjaga dan membenteras segala permasalahan keluarga yang mana khidmat kementeriannya diperlukan layaknya seperti “Wanita Perlukan Khidmat Negara”. Lalu apa kesudahannya kepada kemelut ini?

Di sinilah sebenarnya yang perlu dijelaskan kerana seorang pemikir yang diasuh ilmu dan tsaqafah Islam yang benar akan mampu menghuraikan permasalahan ini.  Ini kerana agama Islam yang syumul telah mengajar kita melihat apa punca masalah yang sebenarnya?  Setelah dapat dikenal pasti apa punca masalahnya, soalan kedua ialah kenapa masalah seumpama ini berlaku?  Seterusya mencari jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan permasalahan ini dan penyelesaiannya mestilah dikembalikan kepada Islam iaitu bersumberkan al-Quran dan Sunnah yang mana ia tidak boleh dijadikan alternatif melainkan satu penyelesaian yang perlu diambil secara hak kerana Islam adalah satu Deen yang mengatur kehidupan manusia. Islam sebagai cara hidup. “Islam is Way of Life”.

Punca Permasalahan dan Kenapa Ia Berlaku
Secara ringkasnya di sini ada dua pertembungan masalah yang boleh diterjemahkan iaitu: Pertama, wanita bersungguh-sungguh ingin memantapkan diri dalam kerjaya dan perlu dipandang setanding dengan lelaki, menyahut cabaran untuk sama-sama tampil ke hadapan, berdaya saing, hebat, diberi hak dan pengiktirafan yang selayaknya.  Kedua, wanita dibelenggu dalam permasalahan sosial yang tiada kesudahan malah makin meruncing dan kian parah seolah-olah tiada penyelesaiannya.

Untuk masalah pertama, wanita disibukkan dengan mengejar kerjaya dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.  Satu sasaran penunjuk aras telah diletakkan agar wanita mencapai sasaran ini.  Kenapa perkara seumpama ini berlaku?  Apa yang ingin dikejar sebenarnya kalau bukan kepuasan diri dan keuntungan (manfaat) yang menjadi tunjang kepada sistem Sekular-Kapitalis? Wanita seolah-olah dipaksa agar melupakan tugas hakiki mereka sebagai pengurus rumahtangga dan pendidik kepada anak-anak mereka. Dari Ibnu Umar disebutkan bahwa Nabi Sallalahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda “Setiap diri kalian adalah pemimpin. Seorang wanita adalah pemimpin (pengurus) rumah suaminya dan anak-anaknya, dia bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya“[HR Bukhari dan Muslim].

Dari hadis di atas jelas bahwa hukum asal seorang wanita adalah sebagai Umm(un) wa rabbah al bayt (ibu dan pengatur rumah tangga). Jika hujah ini dikemukakan, maka akan ada yang mengatakan itu wanita zaman dulu sedangkan sekarang wanita zaman moden. Wanita perlu tonjolkan kelebihan yang ada pada mereka, wanita perlu lebih berketerampilan, wanita perlu mempunyai daya saing dan banyak lagi hujah yang akan dikemukakan. Sesungguhnya, di zaman mana pun manusia berada, fitrah manusia tetap sama. Adakah mereka ini lupa yang secara fitrahnya Allah telah melebihkan kaum lelaki dari kaum perempuan? Kaum lelaki adalah pemimpin (qawwamuna) ke atas kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan (faddala) sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka (untuk menanggung wanita)[TMQ an-Nisa (4):34].

Ledakan globalisasi telah memaksa wanita untuk keluar bekerja, kesempitan hidup dalam sistem Sekular-Kapitalis menyebabkan hak-hak wanita terabai, wanita dibiarkan menanggung dirinya sendiri untuk sesuap nasi.  Walhal dalam Islam, wanita dijaga oleh wali atau suami masing-masing. Ada juga yang keluar bekerja semata-mata kerana inginkan gaya hidup mewah dan menjaga prestasi sosial masing-masing. Apabila penyakit wahn menyelubungi diri, wanita Islam hilang hala tuju dan terumbang-ambing dilambung ombak Sekular-Kapitalis dan menderita setelah dijangkiti virus penyakit wahn. Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Di perkirakan bahawa orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu hidangannya.” Seseorang berkata, “Apakah kerana jumlah kami sedikit di waktu itu (hingga orang-orang kafir boleh menyerbu)?” Baginda bersabda, “Bahkan jumlah kalian di saat itu ramai sekali, tetapi kalian seperti buih air bah (tidak berguna). Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuh kalian terhadap kalian serta memasukkan di dalam hati kalian (penyakit) wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah (penyakit) wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].

Wanita Islam juga dimomok-momokkan dengan isu kesetaraan gender yang merupakan sekadar tipu daya musuh Islam semata-mata untuk melihat wanita Islam jatuh tersungkur dan membiarkan pegangan agama terpinggir dan lebur. Telah jelas kepada kita bahawa perjuangan feminisme dan perjuangan kesetaraan gender adalah satu pembohongan yang diada-adakan oleh musuh Islam.  Ia langsung tidak berasal dari Islam, malah Islam sebagai Deen yang syumul telah lebih awal mengangkat darjat wanita dan memberi penghormatan kepada  golongan Hawa ini.  Hanya saja wanita Islam hari ini telah dirabunkan matanya kalaupun belum dibutakan dengan isu-isu feminisme dan kesetaraan gender yang menyebabkannya hanyut jauh dalam perjuangan yang batil lagi menyesatkan.  Sesungguhnya apabila pemikiran umat Islam telah lemah maka amat mudah untuk pihak musuh menggunakan tipu daya mereka dengan apa cara sekalipun.  Dan ingatlah firman Allah bahawa “ Orang-orang Yahudi dan Nasara tidak sekali-kali akan redha kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)” [TMQ Al-Baqarah (2):120].

Apabila wanita yang sepatutnya mengurus rumahtangga disibukkan dengan isu-isu perjuangan kesetaraan gender, mendahulukan kerjaya yang statusnya mubah (harus), maka ini secara tidak langsung menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pengurus dan pengatur rumahtangga yang mana sekaligus akan mengakibatkan pengabaian kepada didikan anak-anak.  Di sini akan bermula gejala sosial yang melanda negara. Akibat kurangnya perhatian dan didikan agama dalam sesebuah keluarga, keluarga tersebut hancur. Berlakulah sumbang mahram, penzinaan di kalangan remaja, kes buang bayi, mat rempit, penagihan dadah, budaya “black metal” dan seumpamanya.  Justeru di mana tanggungjawab negara dalam menangani masalah ini?  Kenapa gejala sosial semakin parah?  Jawapannya akan dikembalikan semula kepada pengabaian tugas oleh wanita dalam menjaga dan mendidik anak-anak mereka.

Satu persoalan, adakah benar, wanita tidak akan cemerlang jika mereka hanya duduk di rumah dan mendidik anak sepenuhnya?  Ini satu mitos sebenarnya. Faktanya adalah, kenyataan tersebut tidak benar sama sekali!  Lihat saja imam-imam besar dan ulama-ulama termasuk pengasas mazhab-mazhab dalam Islam. Siapa yang melahirkan mereka, membesarkan mereka, mendidik mereka dengan didikan agama yang sempurna kalau bukan ibu mereka yang sememangnya wanita?  Hanya saja wanita hari ini tidak mahu kembali kepada kehidupan Islam yang benar. Maka natijahnya adalah masyarakat ditimpa penyakit sosial yang amat parah.

Apa penyelesaiannya dalam Islam?
Dalam Islam, wanita adalah sebahagian anggota masyarakat yang merupakan sebahagian warganegara Negara (Daulah Islamiyyah) yang layak mendapat perlindungan harta, nyawa dan kehormatan serta jaminan keperluan asas. Justeru untuk memahami penyelesaiannya menurut syarak, kita mesti memahami bahawa perlindungan kepada wanita termasuk jaminan keperluan asasnya terpenuh hanya dalam sebuah negara yang melaksanakan Islam secara kaffah, secara keseluruhan. Negara (Daulah) ini akan melaksanakan sistem ekonomi Islam yang mana dengannya, pengagihan kekayaan kepada seluruh warganegara menyebabkan wanita tidak perlu bekerja demi untuk ‘survival’ sebagaimana senario ramai wanita hari ini. Negara (Daulah) ini juga akan melaksanakan sistem uqubat yang mana dengannya, hukuman hudud, qisas, takzir dan mukhalafah dilaksanakan oleh imam atau khalifah untuk mencegah dan menghukum pesalah yang terlibat dalam semua aspek pelanggaran hukum termasuk terlibat dalam gejala sosial. Di sini, negara (Daulah)lah yang akan menguatkuasakannya sehingga gejala sosial dapat dihapuskan dan bukannya hanya memfokuskan kepada kaum wanita untuk membendungnya. Sesungguhnya, dengan berdirinya semula Negara Khilafah sahajalah pemimpin dan kaum wanita melaksanakan tanggungjawabnya sesuai syarak sehingga Islam terpancar sebagai rahmatan lil ‘alaamin. Wallahu ‘alam bisshawab.
 


Isu Penderaan Pembantu Rumah: Siapakah yang Patut Dipersalahkan?

Malaysia merupakan salah satu destinasi utama kepada sebahagian besar tenaga kerja Indonesia (TKI) sejak dua dekad yang lalu. Jarak geografi yang dekat, persamaan  adat, bahasa dan terbukanya pelbagai peluang pekerjaan  di pelbagai sektor  telah mendorong  TKI untuk datang  ke Malaysia. Menurut Sidney Jones [2000: 3]  TKI telah berebut untuk mencari  peluang pekerjaan di dalam sektor pekerjaan yang tidak mahir atau dikenali sebagai  pekerjaan 3 D (dirty, difficult and dangerous). Ia selari dengan laporan yang memetik bahawa “Bayaran gaji yang terlalu rendah dan laporan media mengenai penderaan pembantu rumah asing merupakan antara faktor pembantu rumah asing yang berkemahiran tinggi kurang berminat datang ke Malaysia”, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini [Bernama, 11hb Julai 2009].

Lanjutan dari isu penderaan terhadap pembantu rumah yang hangat mendapat liputan media, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28hb Jun 2009 melaporkan bahawa Indonesia kekal dengan keputusannya untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sehingga satu kata putus dibuat menerusi perbincangan khas kedua-dua pihak minggu depan. Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar berkata, pihaknya belum yakin bahawa Malaysia boleh menjaga kebajikan pembantu rumahnya sehingga satu jaminan keselamatan termeterai dalam perbincangan khas itu.

Sehubungan itu, katanya, semua agensi pekerjaan di republik tersebut telah diarah untuk menghentikan sebarang aktiviti merekrut tenaga buruh baru khususnya pembantu rumah untuk dibekalkan ke negara ini. “Bagaimanapun bagi bakal pembantu rumah yang sudah melalui proses pemilihan, kursus dan latihan yang dikendalikan agensi pekerjaan di Indonesia, mereka masih dibenarkan untuk di bawa masuk ke negara ini.Ini kerana mereka telah pun membayar wang kursus dan latihan pembantu rumah malah telah menghabiskan banyak masa untuk tujuan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia di sini hari ini.

Tindakan ini diambil ekoran kemarahan rakyat negara itu dengan kes-kes majikan tempatan  mendera pembantu rumah  Indonesia. Antara kes yang mendapat liputan yang meluas oleh media massa baru-baru ini adalah kes Siti Hajar yang didera oleh majikannya. Siti Hajar, 33 adalah penganut agama Islam yang didera dan disiksa sehingga dipaksa memakan babi.  Beliau bahkan tidak pernah menerima gaji sebanyak RM500 sebulan. Bayangkan pada kes Siti Hajar ini, majikannya sendiri mengakui tidak pernah membayar gaji sejak tiga tahun lalu!!

Sedikit masa lalu negara dikejutkan dengan kes penderaan yang menimpa Nirmala Bonat, 19, warga Indonesia yang tiba di negara ini dengan harapan mencari nafkah halal, akhirnya terpaksa melarikan diri meminta pertolongan. Gadis berasal dari Nusa Tenggara Timur, Kupang, Indonesia itu dipercayai didera teruk oleh majikan wanitanya selama lima bulan lalu sewaktu bekerja di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Mangsa, antara lain, melecur pada kedua-dua buah dadanya akibat ditekap dengan seterika panas. Bahagian belakang badan mangsa melecur teruk disiram air panas. Begitu juga kedua-dua belah tangannya melecur akibat direndam dalam air panas.“Saya terpaksa melarikan diri selepas tidak tahan dipukul setiap hari oleh majikan sejak lima bulan lalu,” katanya kepada wartawan setelah menerima perlindungan di Kedutaan Indonesia di sini.

Begitulah antara kisah-kisah yang menyayat hati, menyentuh perasaan bagi makhluk yang bergelar manusia. Namun penderaan ini juga dilakukan oleh makhluk yang bernama manusia. Mengapa ini boleh terjadi?

Adakah si majikan ini sudah tidak mempunyai hati dan perasaan lagi? Ataukah si pembantu yang tidak pernah mengenang budi? Apakah si pembantu ini tidak pandai membuat kerja rumah? Atau si majikan yang terlalu cerewet dalam  urusan rumah tangga? Semua persoalan ini bermain dibenak setiap pembaca yang membaca kisah penderaan pembantu rumah tersebut.

Fikratul Ummah kali ini ingin mengupas serba sedikit berkenaan isu penderaan pembantu rumah, mengapa dan punca keadaan-keadaan seperti ini boleh terjadi  dan apakah peranan negara dalam menyingkap permasaalahan tersebut.

Mengapa keadaan seperti ini boleh terjadi?
Dari kisah-kisah yang hebat dipaparkan oleh media, kebanyakan majikan yang mendera pembantu rumah adalah daripada kalangan majikan yang bukan Islam mendera pembantu rumah yang beragama Islam. Adakah ini disebabkan oleh kebencian mereka terhadap agama Islam ataukah mereka sememangnya sudah tidak mempunyai perasaan terhadap manusia yang bergelar pembantu? Jika kebencian terhadap Islam merupakan penyebabnya, pasti ada banyak cara untuk menzahirkan kebencian itu dan bukan  hanya dengan mendera  pembantu. Mangsa penderaan seperti Nirmala Bonat juga bukan seorang Islam! Adakah semangat assobiyah atau nasionalisme yang sering dilaungkan oleh kerajaan menyebabkan mereka merasakan bahawa warga asing tidak layak menerima layanan yang baik? Apakah desakan hidup, masalah rumah tangga, bebanan kerja yang saban hari semakin membebankan menyebabkan majikan ini hilang pertimbangan sehingga menjadikan pembantu rumah sebagai mangsa?

Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fatimah Yusoff berkata, masalah personaliti majikan serta sikap sesetengah pembantu rumah adalah antara faktor yang mengakibatkan terjadinya kes-kes penderaan.Katanya, sikap majikan yang terlalu garang serta pembantu rumah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka, boleh mewujudkan ketegangan sehingga majikan cenderung mendera pekerja mereka itu. Ketua Kaunselor, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Asmawati Baharuddin berkata, harapan majikan yang terlalu tinggi menyebabkan mereka cenderung mendera pembantu rumah apabila pekerja mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik. [Utusan Malaysia, 12 Februari 2000]. Menurut Dr. Nazarudin Zainun yang merupakan pensyarah Sejarah Asia Tenggara (Indonesia), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, majikan menaruh harapan yang sangat tinggi kepada pembantu rumah Indonesia kerana mereka telah membelanjakan hampir RM5,000 untuk mendapatkan pembantu rumah. Malangnya, terjadi apabila pembantu rumah Indonesia ialah seorang yang tahap pendidikannya rendah, berasal dari kampung yang mundur dan miskin. Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat memahami sesuatu arahan dengan tepat dan cepat. Tambahan pula pembantu rumah yang datang dari desa juga kurang fasih berbahasa Indonesia. Kebanyakan mereka menggunakan bahasa daerah sebagai bahasa utama. Untuk memahami bahasa ibunda mereka saja susah apatah lagi memahami bahasa orang lain [Utusan Malaysia, 1hb Jun 2004]. Bayangkan bagaimana Nirmala Bonat dapat berkomunikasi dengan majikannya yang berbangsa Cina!

Menerusi wawancara pada 21hb Mei 2007, Dato’ Raja Zulkiflie, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia  (PAPA) mendakwa hampir sebahagian besar atau lebih daripada 70 peratus daripada seluruh  pembantu rumah daripada Indonesia di Malaysia pada ketika ini bekerja dengan orang bukan Islam khususnya majikan berbangsa Cina.  Faktor agensi juga memainkan peranan penting  mengapa pembantu rumah Indonesia lebih  ramai bekerja dengan orang bukan Melayu khususnya bangsa Cina.  Ini adalah  kerana agensi pembantu rumah asing di Malaysia pada ketika ini sudah di dominasi oleh orang Cina. Daripada  lebih  100 buah agensi yang berdaftar dengan PAPA  lebih 90 peratus dimiliki oleh syarikat berbangsa Cina. Syarikat agensi yang dimiliki orang Cina mempunyai modal yang banyak untuk mendatangkan pembantu rumah dari Indonesia yang akhirnya  syarikat agensi bangsa Cina secara terus menerus akan mendapat bekalan pembantu rumah dari pembekal di Indonesia. Apalagi syarikat atau agensi berbangsa Cina  berani untuk membayar wang  pendahuluan kepada syarikat pembekal pembantu rumah dari Indonesia. Oleh sebab itu,  syarikat  agensi pembantu rumah  bangsa Cina  tersebut telah berjaya mengawal aliran jumlah kemasukan pembantu rumah dari Indonesia. Sedangkan syarikat yang dimiliki orang Melayu pada ketika ini sangat sukar untuk mendapatkan bekalan pembantu rumah daripada Indonesia. Salah satu faktornya adalah kerana syarikat orang Melayu kekurangan modal kerja dan tidak berani menanggung risiko dengan mengeluarkan pembayaran pendahuluan kepada pembekal pembantu rumah yang berada di Indonesia. [Darul Iman Abdul Munaf, “Perlindungan  Pembantu Rumah Indonesia Di Malaysia: Antara Impian Dan Realiti”, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya]. Pada masa yang sama, menurut Jeffrey Foo, Naib Presiden PAPA permintaan terhadap pembantu rumah dari Indonesia  semakin hari semakin  tinggi dan faktor ini sekaligus telah  mendorong syarikat  agensi pembantu rumah berbangsa Cina mulai terfokus kepada pembantu dari Indonesia. Sedangkan permintaan untuk pembantu rumah semakin  kecil kerana  permintaan terhadap pembantu Filipina hanya daripada kelompok majikan yang berada [Dewi Anggraeni, 2006: 166]. Fakta di atas menjelaskan mengapa penderaan terhadap pembantu rumah lebih menonjol dalam kalangan majikan berbangsa Cina.

Penyelesaian Sekular-Kapitalis
Apabila timbul permasalah seumpama ini, selaras dengan pengurusan negara melalui krisis (management by crisis), pelbagai pihak mengemukakan kaedah untuk menyelesaikan kemelut ini sebagaimana laporan Berita Minggu pada 19hb Julai 2009:

i.    Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, mesyuarat antara beliau dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Erman Suparno, bakal membincangkan isu yang dipersetujui Malaysia membabitkan pembantu rumah warga Indonesia iaitu, soal cuti sehari dalam seminggu, liputan insurans, membaiki tahap kontrak dan soal bayaran gaji tetap atau bulanan.

ii.    Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, bagi mengatasi masalah ini (baca: pergantungan kepada pembantu rumah) apa yang boleh dilakukan adalah memperbanyakkan pusat penjagaan kanak-kanak dan orang tua di kawasan kejiranan kerana antara alasan utama kepada masyarakat negara ini menggunakan pembantu rumah adalah untuk menjaga anak dan juga ibu bapa mereka yang sudah tua. Sebagai galakan, kerajaan juga boleh mengurangkan kadar cukai tahunan kepada pengguna yang menggunakan khidmat rumah asuhan ini.

iii.    Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim, kerajaan telah pun mengambil beberapa langkah penguatkuasaan untuk menangani masalah penderaan pembantu rumah asing, termasuk mewujudkan “hotline” aduan di bilik gerakan ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk pembantu rumah asing, majikan dan orang ramai membuat aduan [Bernama, 11hb Julai 2009].

Peranan Negara (Islam) di Dalam Memenuhi Keperluan Rakyat.
Untuk memahami bagaimanakah Islam menyelesaikan isu penderaan kepada pembantu rumah dan pergantungan terhadap tenaga kerja asing ini, kita hendaklah melihat apakah punca permasalahan kepada isu ini. Kita menyaksikan bahawa banyak keluarga bergantung pada pembantu rumah untuk menjaga anak dan melakukan kerja-kerja domestik disebabkan oleh kaum wanita yang menyertai tenaga kerja. Ada kalangan wanita yang terpaksa bekerja bukan kerana untuk mengejar kemewahan dan pangkat tetapi atas faktor ‘survival’ terutamanya yang berstatus ibu tunggal. Dalam keadaan negara diperintah dengan sistem pemerintahan berasaskan perundangan Barat dan akal manusia, tiada jaminan keperluan asas untuk seluruh warga negara menyebabkan wanita terpaksa bekerja dan meletakkan tanggungjawab pengasuhan kepada pembantu rumah. Mendera manusia lain dan memperlakukan mereka seperti haiwan adalah satu kesalahan. Akan tetapi, sekadar usaha menyelesaikan ‘gejala’ atau ‘symptoms’ masalah, tidak akan menghentikan kes penderaan ini. Buktinya, Yim Pek Ha, bekas majikan Nirmala Bonat telah dijatuhi hukuman 18 tahun penjara di bawah Seksyen 326, Kanun Keseksaan akan tetapi ia tidak menyebabkan individu seperti bekas majikan Siti Hajar meneladaninya.

Justeru kita melihat peri pentingnya negara di pimpin oleh seorang imam/khalifah yang akan memastikan kesejahteraan seluruh warga negara tanpa mengira kaum dan agama terbela. Ini adalah kerana setiap individu dalam Islam adalah tanggungjawab pemimpin dalam Negara Islam (Daulah Islamiyah). Tugas pemimpin adalah memastikan bahawa individu di dalam negaranya dipenuhi setiap keperluan asas.

Ini kerana Islam bertolak dari akidah yang tinggi dalam memandang manusia, kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, dan menegakkan hukum-hukum syariat Allah di muka bumi. Allah  berfirman: “Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi” [TMQ al-An’am [6]:165].

Oleh itu, Islam memandang bahawa manusia adalah objek penghormatan dari Allah Subhanahu Wa Taala yang telah menganugerahkan penghormatan itu dan memberikannya kepada manusia. Setiap manusia dengan sifatnya sebagai manusia, adalah sama-mendapat penghormatan ini, meskipun berbeza-beza warna kulit tempat tinggal dan keturunannya. Begitu juga antara laki-laki dengan perempuan semuanya mendapat penghormatan dari Allah sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 70 yang berbunyi “Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakkan makhluk yang telah kami ciptakan.”

Sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin dalam negara Islam, dia dipertanggung jawabkan ke atas setiap individu dalam pimpinannya. Ini kerana Negara dibebani untuk memelihara pelbagai urusan dan kemaslahatan manusia. Negara juga dibebani untuk menjamin hidup dan kehidupan yang mulia bagi manusia. Islam menegaskan penjagaan dan perlindungan atas peribadi manusia dengan mengharamkan pelanggaran terhadapnya, kezaliman dan serangan (siksaan) yang tidak dibenarkan.

Dalil-dalil syara telah mewajibkan penjaminan hak-hak manusia, iaitu dengan menempatkan negara sebagai pihak yang bertanggungjawab atas seluruh urusan rakyat. Syara mewajibkan negara melindungi hak-hak rakyat, bersikap adil terhadap mereka, baik antara kaum muslim maupun kaum Kafir Zimmi. Syarak mengharamkan negara melakukan diskriminasi kepada rakyat atas dasar agama, kelompok, warna kulit, keturunan atau sebagainya.

Antara dalil-dalil di mana Allah Subhanahu Wa Taala memerintahkan supaya manusia berlaku adil ialah  “Dan (Allah menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” [TMQ An-Nisa’ (4): 58].

Dalil tersebut disyariatkan untuk umum. Allah tidak mengkhususkan bagi sesuatu  kaum lalu mengecualikan kaum yang lain. Ini adalah kerana hukum Allah tidak lain disyariatkan untuk seluruh umat manusia. Allah berfirman “Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.” [TMQ Saba’ (34): 28].

Selain kewajipan berbuat adil dan wajibnya pemelihara atas seluruh urusan rakyat itu ditetapkan dalam al-Quran, kewajiban-kewajiban tersebut juga ditetapkan dalam as-sunnah seperti sabda Rasulullah  “Siapa saja yang mati meninggalkan warisan, maka itu bagi ahli warisnya. Dan siapa saja mati meninggalkan orang yang terlantar, maka tanggungjawabnya bagi kami, dan kadang-kadang baginda bersabda – bagi Allah dan Rasul-Nya” [HR Ibn Majah].
Dalam riwayat Imam Muslim, dari Nafi’ dari Ibn Umar, Nabi saw pernah bersabda: “Ingatlah, masing-masing dari kalian adalah pemimpin (pemelihara), dan masing-masing akan bertanggung jawab atas pemeliharaannya. Seorang amir (penguasa) adalah orang yang memelihara urusan manusia, dan ia wajib bertanggungjawab atas pemeliharaan urusan rakyatnya” [HR Muslim].

Begitu juga Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam telah melarang dengan larangan yang bersifat tegas agar tidak menipu rakyat, dan terhadap pengabaian pemeliharaan urusan rakyat. Nabi bersabda “Tidak seorang hambapun yang diamanahi untuk mengurus urusan rakyat, lalu ia mati, sementara ia menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.” [HR Bukhari].

Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan diatas ternyata negara bertanggungjawab penuh terhadap urusan rakyatnya. Negara wajib menyediakan segala keperluan asas bagi menjamin kehidupan rakyat dalam negara cukup. Setiap negara umat Islam  telah Allah cukupkan dengan kekayaan alam di mana rakyatnya tidak perlu merantau mencari pekerjaan di negara asing bagi mencari sesuap nasi. Jika berlaku keadaan sedemikian, ini bermakna pemimpin negara tersebut tidak cekap mengatur urusan rakyatnya ataupun pemimpin tersebut sengaja membiarkan rakyatnya berdikari mencari kehidupannya sendiri. Apakah mereka mampu berdepan dengan Allah atas kecurangan yang mereka lakukan terhadap rakyatnya? Wallahu alam bishawab
 


Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian Akhir)

Lelaki Dan Wanita Tidak Sama
Sesungguhnya mereka yang melontarkan idea persamaan antara dua jantina ini perlulah menegaskan –secara rasional- bahawa kedua-dua jantina ini sama daripada segi faktanya. Justeru apakah lelaki dan wanita dari segi bentuk tubuh badannya dan juga tugas-tugas semulajadinya benar-benar sama?

Marilah bersama-sama kita melihat adakah idea persamaan antara lelaki dan wanita yang dilemparkan oleh Barat adalah idea yang betul atau salah? Dan apakah yang dikehendaki daripada idea ini sebenarnya!!

Allah Subhanahu Wa Taala telah menentukan bahawa manusia ini dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah Subhanahu Wa Taala:Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi“[TMQ Al-Baqarah(2) : 30]. Begitu juga Allah Subhanahu Wa Taala telah menentukan bahawa manusia itu terdiri daripada lelaki dan wanita. Firman Allah Subhanahu Wa Taala: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)” [TMQ al-Hujurat (49) : 13], Allah Subhanahu Wa Taala telah menciptakan wanita pertama daripada lelaki dengan firman-Nya: “Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai” [TMQ an-Nisa’ (4) :1]. Kehendak Allah Subhanahu Wa Taala menentukan bahawa lelaki dan wanita itu memiliki persamaan dalam banyak ciri dan berbeza pula dalam ciri-ciri yang lain. Allah Subhanahu Wa Taala juga menjadikan setiap mereka itu ada tugas semulajadi yang khusus dan sesuai dengan penciptaan dan pembentukannya. Allah Subhanahu Wa Taala meminta agar mereka ini saling tolong-menolong dalam mengelolakan bumi dan memakmurkannya, bekerja dan meramaikan generasi. Dia menjadikan lelaki berasa tenang bersama wanita dan begitulah pula sebaliknya. Allah Subhanahu Wa Taala memberikan kita pasangan, anak-anak dan cucu sebagaimana firman-Nya: “dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit” [TMQ an-Nahl (16) :72]. Berikut ini adalah aspek-aspek persamaan dan aspek-aspek perbezaan antara lelaki dan wanita.

Aspek-aspek persamaan:
Manusia itu makhluk bertamadun secara semulajadi, iaitu ia cenderung secara fitrahnya untuk hidup bersama manusia lain. Setiap wanita dan lelaki adalah makhluk sosial, iaitu secara naluri, lelaki cenderung terhadap wanita. Begitu juga sebaliknya. Lelaki mempunyai perasaan, wanita pun demikian. Lelaki memiliki naluri, keperluan jasmani yang pelbagai dan itulah juga yang dimiliki oleh wanita. Sekiranya naluri ini tidak dipenuhi, ia akan membawa kepada goncangan, keresahan dan penderitaan. Jika keperluan jasmani pula tidak diturutkan akan membawa kepada kemusnahan. Kedua-dua mereka memiliki naluri beragama, naluri seksual dan naluri mempertahankan diri. Tidak boleh tidak mereka perlu memenuhinya dan jika tidak mereka akan menderita dan merana. Mereka mempunyai pelbagai keperluan tubuh badan seperti bernafas, makan, minum, tidur dan sebagainya. Jika keperluan-keperluan ini tidak dipenuhi mereka akan berhadapan dengan kemusnahan. Mereka masing-masing mempunyai lima pancaindera serta otak yang digunakan untuk mengindera dan berfikir. Setiap daripada mereka juga merasa gembira dan sedih, redha dan marah, takut dan merasa aman, cinta dan benci, menangis dan ketawa, merasa selesa dan penat. Lelaki dan wanita serupa dalam banyak perkara, iaitu pada bentuk luaran. Setiap mereka mempunyai kepala, leher, dua tangan, jari-jari, dada, perut, tulang belakang dan juga bersamaan dalam alat-alat dalam tubuh mereka, ada urat saraf, alat penghadaman dan alat pernafasan.

Aspek-aspek Perbezaan:
Lelaki dan wanita berbeza dalam beberapa bentuk rupa kejadian, iaitu pada alat pembiakan. Alat pembiakan bagi lelaki berbeza daripada wanita. Allah Subhanahu Wa Taala telah menciptakan alat pembiakan bagi lelaki mampu untuk meletakkan air mani dalam faraj wanita, kemudian air mani ini akan bertemu dengan telur wanita agar dapat membentuk makhluk hidup yang baru yang melekat pada rahim wanita. Wanita mempunyai alat pembiakan yang berbeza yang disediakan untuk menjadi tempat untuk haid dan mengandung kemudian melahirkan dan menyusui, seperti rahim, tempat telur dan payudara. Semuanya itu dicipta untuk membantu janin sehingga dapat tumbuh berkembang dan berubah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain hingga sampai waktu melahirkan. Seterusnya keluarlah makhluk hidup ini sebagai manusia yang sempurna, tetapi ia masih kecil, lemah dan memerlukan kepada penjagaan dan bantuan daripada ibunya sehingga sempurna tempoh penyusuannya. Kemudian dia memerlukan pula kepada penjagaan hingga dia mencapai usia mumayyiz dan seterusnya usia baligh. Oleh yang demikian, kita dapati wanita itu lebih penyayang, lebih lembut perasaannya, lebih pengasih dan belas kasihan, terutama kepada anaknya. Wanita juga lebih tabah dan sabar menanggung kepayahan mengandung, melahirkan dan juga menyusukan, sifat yang tidak dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada kaum lelaki kerana lelaki tidak melakukan perkara-perkara tersebut.  

Sepertimana lelaki dan wanita berbeza pada perkara yang mereka katakan serupa: maka pada perkara-perkara yang lain, secara umumnya majoriti lelaki lebih tinggi dari wanita dan kepalanya lebih besar daripada kepala wanita. Bentuk dadanya juga berlainan daripada bentuk dada wanita. Perut wanita lebih besar daripada lelaki untuk membantunya mengandung dan melahirkan anak. Muka lelaki berbeza daripada muka wanita, dibaluti rerambut ketika balighnya dan rambut lelaki selain rambut di kepala lebih lebat daripada rambut wanita. Suara lelaki ketika telah baligh menjadi kasar dan ada bunyi kelelakian tertentu sementara suara wanita sentiasa lembut dan lebih halus dan ada bunyi yang membezakannya. Otot lelaki secara umumnya lebih kuat daripada otot wanita. Oleh itu mereka bersedia untuk bekerja berat seperti bertani, bertukang, memikul bebanan berat dan berperang sementara otot wanita tidak seperti itu dan ia disediakan secara umumnya kebanyakannya tidak untuk kerja-kerja berat tersebut meskipun sebahagian daripada mereka mampu untuk melakukannya.

Jika diteliti dengan lebih mendalam lagi kita akan dapati bahawa perbezaan antara lelaki dan wanita bukan setakat pada bentuk anggota pembiakan dan kewujudan rahim, haid, mengandung, melahirkan serta menyusukan, tidak juga pada lamanya masa subur pada lelaki dan pendeknya bagi wanita, dan tidak juga pada perbezaan secara zahir sahaja, semata-mata hanya di sana terdapat perbezaan lain pada susunan dan tugas-tugas sebahagian sel kelenjar endokrin lalu dari mana datangnya persamaan mutlak antara lelaki dan wanita?!

Menyanggah idea `persamaan antara lelaki dan wanita’
Kita telah katakan bahawa lelaki dan wanita adalah makhluk sosial, yang serupa pada beberapa sifat dan berbeza pula pada sifat yang lain. Dan sesungguhnya setiap mereka itu disediakan untuk mentadbir alam ini dan memakmurkannya sepertimana disediakan juga untuk tugas semulajadi khusus yang lain daripada yang satu lagi. Jika pemilik idea persamaan antara lelaki dan wanita mampu untuk membahagikan beban antara dua jenis ini dengan sama maka cubalah untuk menjadikan lelaki yang akan mengeluarkan haidh, mengandung, melahirkan dan menyusukan pada satu tahun dan wanita pula melakukan hal yang demikian pada tahun yang lain. Bahkan cubalah untuk menjadikan lelaki yang akan melakukan tugas ini walaupun sekali dalam seumur hidupnya. Jawapannya telah maklum. Wanita mengeluarkan haid, mengandung, melahirkan anak dan melakukan tugas menjaga anak kecil dengan sempurna dan pada masa yang sama lelaki tidak mengeluarkan haid, tidak mengandung, tidak melahirkan anak dan tidak menjaga anak, lalu bagaimana kita menuntut wanita agar melaksanakan tugas-tugas di ladang, bertukang, berniaga, berperang, menanggung beban di samping tugas mengandung, melahirkan anak dan menyusukan dengan kadar yang sama yang dilakukan oleh lelaki sedangkan dia tidak mengandung dan tidak menyusukan. Lalu apakah makna persamaan antaranya dalam hal itu?!

Adakah wanita mampu ketika dia sedang hamil atau menyusukan untuk memimpin tentera dan pejuang-pejuang dan memerangi musuh di medan pertempuran?! Sesungguhnya mereka yang menyerukan kepada persamaan mutlak antara lelaki dan wanita ini jahil terhadap hakikat pembentukan mereka, bahkan mereka bersikap degil dan mahu menentang realiti atau fakta ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala bagi lelaki dan wanita.

Sesungguhnya kita meminta agar mereka yang menyerukan kepada persamaan antara dua gender ini dan yang mendakwa tahu hakikatnya dan dia telah merealisasikan banyak perkara mengenai hal tersebut, untuk menjawab beberapa persoalan yang berikut ini:

Dari gender yang manakah semua para nabi dan rasul?! Adakah daripada lelaki atau daripada wanita?! Sedangkan setiap lelaki dan wanita memikul tanggungjawab mengemban dakwah dan bersabar atas gangguan/cabaran di jalan tersebut berdasarkan potensi masing-masing.

Dari gender yang manakah Pope Vatikan dalam sepanjang sejarahnya?!

Dari manakah sebahagian besar gender ini menjadi tentera yang berperang di medan pertempuran?! Sedangkan sebahagian wanita menyertai peperangan. Terutama dalam merawat mereka yang tercedera dan berkhidmat untuk para pejuang.

Adakah pemimpin tentera agung yang dicatatkan dalam lipatan sejarah terdiri daripada kaum wanita atau mereka itu lelaki?!

Kita juga ingin menanyakan kepada mereka: Berapakah pemimpin negara wanita yang memerintah Amerika Syarikat atau Britain atau Perancis atau German sepanjang sejarah mereka dahulu dan sekarang?! Dan berapa ramaikah menteri wanita yang menjawat pimpinan tentera negara-negara tersebut atau negara-negara lain?! Berapa ramaikah wanita bekerja dalam kerja-kerja yang sukar dan jawatan-jawatan pemerintahan di negara-negara ini yang menjanjikan terealisasinya persamaan? Adakah mereka telah melakukan persamaan dengan sebenar-benarnya dalam jawatan-jawatan ini antara lelaki dan wanita?! Sedangkan mereka mendakwa bahawa orang lain daripada kalangan hamba Allah Subhanahu Wa Taala telah menzalimi wanita, menelan hak mereka dan tidak membenarkan mereka menyaingi lelaki!! Bagaimana boleh terjadinya wanita yang haid atau hamil atau bernifas atau menyusukan anak kecil, atau yang mengambil berat dengan kesihatan dan hidup anaknya untuk melakukan kerja yang  disebutkan tadi?! Tidak ragu lagi bahawa jika kita meminta wanita melakukan kerja-kerja ini, kita sebenarnya telah menzaliminya dan meminta dia menanggung bebanan di luar kemampuannya. Pada masa yang sama telah diberikan penyelesaian antara dirinya dan tanggungjawabnya dengan ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala dengan sebaik-baik cara. Maka apakah makna persamaan antara keduanya?!

Oleh yang demikian kami katakan: Sepertimana sunnatullah dan hikmat-Nya telah menentukan bahawa bagi lelaki ada tugas-tugas yang sesuai dengan bentuk tubuhnya seperti pekerjaan berat dan peperangan, juga pemerintahan. Sunnatullah dan hikmat-Nya juga telah menentukan agar kaum wanita itu ada tugas-tugas yang sesuai dengan penciptaannya seperti kerja-kerja rumah dan mendidik anak-anak. Maka wanita mengeluarkan haid, mengandung, melahirkan, menyusukan dan melaksanakan kerja-kerja ini dengan penuh lapang dada serta memikul tanggungjawab ini dengan redha dan tenang. Bahkan sesungguhnya wanita merasa kekurangan yang banyak sekiranya terdapat sesuatu yang menghalangnya dari menunaikan tanggungjawab ini atau melakukan tugas-tugas yang fitrah ini. Sunnatullah dan hikmat-Nya telah menentukan agar kedua-dua gender ini disamakan dalam banyak tugas seperti menuntut ilmu, mengemban dakwah, memuhasabah pemerintah, amali kedoktoran, pendidikan, menulis dan bersastera, berniaga, bertukang, bertani dan sebagainya.

Lalu di manakah tamadun kapitalis yang rosak ini menyerukan pembohongan persamaan antara lelaki dan wanita?!

Sesungguhnya mereka yang mendirikan tamadun Barat menyedari fakta ini tetapi disebabkan pandangan manfaat mereka, iaitu tolok ukur mereka dalam kehidupan. Disebabkan mereka kosong daripada sebarang nilai selain nilai material, mereka melihat seruan idea persamaan antara lelaki dan wanita dan kemudian menerapkannya adalah satu perkara yang bermanfaat. Hal ini membolehkan mereka memonopoli sebahagian sifat yang dikhususkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada wanita sahaja seperti kecantikannya, kelembutannya dan potensi daya tarikannya kepada lelaki lalu ditambah biak sifat ini dalam kerja perekonomian seperti menarik pelanggan dan pengiklanan. Tubuh badan mereka dipergunakan di rumah-rumah urut, dan dalam bidang seni yang rendah darjatnya juga untuk melakukan dakyah, menjadi setiausaha dan melakukan penyiasatan. Mereka berada di pentas-pentas teater dan sebagainya lalu mereka memperolehi keuntungan yang menjijikkan.

Inilah yang mereka dapati. Mengenai tuntutan mereka kepada kita dengan idea persamaan antara lelaki dan wanita adalah sebahagian daripada propaganda kapitalis terhadap umat Islam untuk menjauhkan mereka daripada Islam. Untuk menghalang tanpa mengembalikannya semula seperti sistem pemerintahan ke dalam kehidupan. Mereka dengan alasan yang dipaksakan dan suatu kebohongan, idea `persamaan antara lelaki dan wanita`, hendak menjauhkan wanita Muslimah daripada kedudukannya yang sebenar untuk menghapuskan keluarga Muslimah. Lebih jauh lagi mereka ingin menghidupkan pelacuran dan keruntuhan akhlak antara kaum Muslim untuk menyambut kemenangan pemikiran baru di samping kemenangan mereka secara politik dan ketenteraan. Cuma kaum muslimin telah tersedar daripada kelalaian mereka. Sekarang mereka merasakan kebangkitan atas asas Islam dalam pelbagai penjuru dunia Islam. Bahkan di rumah kaum kafir yang mereka sempitkan jarak sehasta dengan Islam dan kaum Muslimin. Mereka tidak mampu untuk melihat secarik kain menutupi kepala wanita Muslimah di atas tanah mereka. Inilah dia akidah Islam. Fikrah yang terpancar darinya tersebar di seluruh penjuru dunia meskipun wujud propaganda kufar yang ganas terhadap Islam. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Mereka berkehendak untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka.…“[TMQ As-Saff (61) : 8]

Wanita Dalam Islam:
Sebelum cahaya Islam menyinar, pandangan terhadap wanita dahulunya di dunia, khususnya oleh orang Arab adalah pandangan yang menyeleweng seperti pemikiran dan akidah mereka yang menyeleweng. Mereka tidak memandang wanita adalah manusia sepertimana lelaki. Sesungguhnya hikmah Allah Subhanahu Wa Taala dan kehendak-Nya menentukan bahawa di antara mereka ada kehidupan perkahwinan yang menentukan kehormatan, bukan kehinaan, untuk mereka membentuk keluarga yang mampu untuk mendidik anak-anak dan memakmurkan dunia ini.

Islam telah datang dengan meninggikan taraf wanita dan memuliakannya dengan hukum-hukum syarak yang benar. Mereka diselamatkan daripada keadaan yang menyelimuti mereka  sepanjang zaman dalam kebanyakan tamadun. Mereka diberikan hak dan kewajipan seperti lelaki daripada segi kemanusiaan. Hal itu tidak disebabkan oleh ajakan, pemberontakan, tuntutan sosial, ekonomi atau politik, bahkan Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala yang menjadikan hal itu. Allah Pencipta lelaki dan wanita. Islam menganugerahkan kepada wanita hak syarak sejak daripada awal lagi tanpa permintaan darinya, daripada persatuan wanita atau pertubuhan hak-hak asasi manusia. Islam bertujuan untuk merealisasikan manhajnya yang sempurna dengan tegas, bukan untuk bahagian lelaki dan bukan untuk bahagian wanita, tetapi untuk bahagian manusia dan masyarakat Islam dan untuk bahagian keadilan yang diperintahkan oleh Pencipta. Memuliakan wanita adalah memuliakan manusia. Tiada kelebihan antara sesama manusia melainkan takwa, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu) ” [TMQ al-Hujurat (49) : 13].

Majalah al-wa’ie (edisi bahasa Arab). 2006. Bil. 229.hal. 29-32