Fikratul Ummah – September 2010

Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Syawal yang tiba meninggalkan Ramadhan untuk tahun 1431H kali ini berlalu dengan penuh kesyahduan. Hanya doa dipanjatkan kehadrat Ilahi semoga  Allah Subhanahu wa Ta’ala, Rabb yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan ini mengurniakan rezeki dan umur yang panjang dan penuh keberkahan kepada kita semua.Agar anugerah Ilahi ini dapat dipergunakan dan dimanfaat untuk terus meraih kebaikan dan keredhaan di sisiNya dan kita semua diberi kesempatan ruang dan peluang untuk bertemu Ramadhan yang akan datang. Semoga tarbiyyah Ramadhan yang telah kita lalui untuk kali ini akan dapat menjadikan diri kita semua sebagai hamba-hambaNya yang  lebih bertakwa dari keadaan yang sebelumnya selari dengan tujuan diwajibkan ibadah puasa itu kepada hamba-hambaNya yang beriman. Diharapkan juga agar sambutan Eidul Fitri yang kita raikan untuk kali ini akan dapat mempertautkan dan mengukuhkan ukhuwah sesama saudara seislam dikalangan kita dengan kunjungan dan amalan ziarah yang dilakukan semasa kita merayakan Eidul Fitri ini. Eidul Fitri adalah salah satu dari dua perayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW dan sudah sewajarnya kita meraikannya mengikut landasan dan tuntutan syara’. Dan adalah tidak terlambat untuk pihak pengarang FU mengucapkan kullu ‘am waantum bikhair..minal ‘aidin wal faizin… kepada seluruh umat Islam amnya dan khususnya kepada para pembaca FU untuk bulan ini.

Syukur Alhamdulillah Fikratul Ummah bulan ini telah dapat menyajikan beberapa artikel dan berita aktiviti Muslimah untuk tatapan kita bersama. Artikel “Sejauhmana Pertarbiyahan Ramadhan memberi kesan dalam kecemerlangan pendidikan anak” diharap dapat memberi suntikan motivasi kepada para ibu dan juga para Muslimah khususnya agar para muslimah sekelian merenungi bahawasanya bukan hanya aspek ruhiyah sahaja yang perlu ditekankan dalam proses pentarbiyahan diri anak-anak. Artikel seterusnya iaitu yang bertajuk “Lelaki dan Wanita: Gharizah An-Nau adalah Sebuah Anugerah” menjelaskan tentang naluri untuk melestarikan keturunan bukan untuk dinafikan atau dihindari, tetapi adalah agar manusia memenuhinya sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT. Manakala artikel terjemahan petikan dari laman web www.khilafah.com iaitu “Pertemuan dengan Fatima Al-Fihri – Sebuah Inspirasi” membuka lipatan sejarah tentang kehebatan pengasas Universiti Al Qarawiyyin, Fez, Maghribi, antara universiti tertua yang mengurniakan ijazah yang kekal pada hari ini. Ruangan berita Muslimah pula memuatkan pelbagai aktiviti Muslimah yang terjun ke dalam masyarakat sebagai satu uslub dakwah yang perlu dilaksanakan. Sesungguhnya Ramadhan yang baru kita lalui dan Syawal yang sedang dinikmati ini tidak sekali-kali menggugurkan kewajipan kita sebagai hamba Allah SWT yang mempunyai tanggunjawab terhadap seluruh perintah dan larangan agama samada yang menyangkut persoalan hubungan manusia dengan Allah, ataupun hubungan manusia  dengan dirinya sendiri mahupun juga hubungan manusia dengan manusia yang lain. Sehingga tumpuan kepada aspek ruhiyah yang sinonim dengan Ramadhan semata-mata sebagaimana yang difahami oleh umat Islam hari ini tidak mengabaikan tuntutan siyasah yang juga merupakan suatu kewajiban kepada kita semua sebagaimana contoh kehidupan serikandi Islam di zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu..

Semoga paparan yang disajikan kepada para pembaca FU kali ini sekali lagi dapat dimanfaatkan setiap isi kandungan tulisannya agar pemikiran dan kesedaran dikalangan umat Islam hari ini akan terus dapat dipertingkatkan demi melestarikan sebuah kehidupan yang berlandaskan syariat . Kerana sesungguhnya proses dan amalan membaca serta memahami Islam itu adalah merupakan suatu perintah dan tuntutan yang datangnya dari Allah SWT yang akan dihisab dihari pertemuan dengan Allah SWT. Wallahu ‘alam bisshawab.


Ramadan yang diberkati baru sahaja meninggalkan kita.  Sebulan hadirnya terasa begitu pantas.  Sebaik sahaja bermula 10 terakhir Ramadan, junjungan kita Nabi Muhammad Salallahu Alaihi wa Sallam dan para sahabat, tabi’in dan orang-orang soleh mulai merasa hiba, sedih dan pilu.  Bulan yang kita lalui penuh nikmat ini telah berlalu pergi.  Bulan yang sarat dengan keredhaan, rahmat dan pengampunanNya ini telah berakhir.  Tidak ada jaminan kita akan menemuinya lagi pada tahun-tahun yang mendatang.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illallahu Wallahu Akbar, Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd…

Itulah takbir yang memecah kesunyian pagi menandakan hari kemenangan untuk umat Islam yang benar-benar ikhlas beribadat kepada Rabbnya. Takbir yang menandakan berlalunya bulan yang penuh keberkatan yang akan ditangisi pemergiannya oleh mereka yang benar-benar dekat dengan Rabbnya. Bagi yang benar-benar bertakwa, mereka akan berasa sangat berat hati berpisah dengan bulan yang penuh barakah dan maghfirah ini.  Namun, singkat panjangnya Ramadan telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Taala dan apa yang boleh kita lakukan sebagai makhluk yang terlalu lemah ini adalah mengharapkan agar Allah menemukan lagi kita dengan Ramadan yang akan datang. Apa yang penting ialah kita tetap istiqamah beribadah kepada Allah dengan sebenar-benar ibadah, sama ada di bulan Ramadan mahupun bulan-bulan berikutnya. Amat penting untuk kita memahami bahawa ibadah itu bukan sekadar puasa, solat, haji atau ibadah-ibadah mahdhah (ritual) lainnya, tetapi ibadah itu mencakupi semua perkara yang diwajibkan atau diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.  Dengan kata lain mematuhi segala perintah dan larangan Allah itu adalah ibadah.

Eidul Fitri disambut sebagai hari kemenangan bagi hamba yang puasanya diterima oleh Allah.  Hamba Allah yang mampu melawan hawa nafsu selama sebulan dan telah menjalankan ibadah puasa dengan ikhlas hanya karena Allah Taala.  Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa malam Eidul Fitri disebut malam pemberian hadiah. Pada malam itu Allah berseru kepada malaikatnya: “Aku bersaksi wahai malaikatKu bahawa Aku telah memberikan pahala puasa hamba-hambaKu, pahala solat-solat mereka. Aku limpahkan kepada mereka reda dan ampunanKu.

Justeru, persoalan yang mungkin bermain di benak setiap hamba Allah yang berpuasa ialah sama ada puasanya telah diterima oleh Allah Subhanahu wa Taala.  Jawabnya wallahu’alam.  Namun, menurut para ulama ada indikasi-indikasi yang menjadi tolok ukur sama ada puasa seseorang diterima atau tidak.  Indikasi yang pertama adalah tingkat kualiti kesolehan seseorang bertambah baik.  Kedua, jiwanya selalu diliputi oleh keimanan dan yang ketiga, keterikatannya terhadap hukum syara makin meningkat baik secara individu mahupun kehidupan sosialnya.

Doa dan harapan kita agar Eidul Fitri kali ini, menjadikan kita hamba yang lebih baik, mempunyai semangat baru umpama kepompong yang berubah menjadi rama-rama yang penuh dengan keindahan takwa kepada Allah Subhanahu wa Taala.  Sewajarnya setiap dari umat ini berharap moga Ramadan yang baru berlalu menjadikan kita semua semakin istiqamah untuk mengubah masyarakat yang hidup dengan penuh dosa dan noda ini menjadi masyarakat yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

Inilah sepatutnya inti pati pentarbiyahan dari Ramadan. Namun persoalannya sejauh manakah Ramadan yang baru berlalu mampu memberi satu momentum ke arah ‘paradigm shift’ atau anjakan paradigma terutama dalam pendidikan anak-anak yang merupakan salah satu kunci kepada penyelesaian masalah gejala sosial yang membadai begitu dahsyat dewasa ini?  Sebagai seorang muslimah atau ibu kepada anak-anak, baik yang remaja atau yang bakal menginjak remaja, apa yang merisaukan ialah gejala sosial yang melewati batas kemanusiaan yang melanda negara. Saban hari kita disajikan tentang isu pergaulan bebas, mengandung tanpa ikatan nikah, dadah, mat rempit, pelacuran, buang bayi dan banyak lagi. Justeru apakah peranan kita sebagai ibu kepada anak-anak yang membesar dalam keadaan yang penuh mencabar ini.  Adakah kita hanya berpeluk tubuh atau sekadar memandang jijik kepada pelaku tanpa berusaha untuk berbuat sesuatu?

Di sinilah sebenarnya pentarbiyahan Ramadan yang baru berlalu menjadi anjakan paradigma untuk kita sama-sama berusaha, berganding bahu membantu menyeru masyarakat agar kembali kepada cara hidup Islami. Cara hidup Islam yang hakiki bukanlah semata-mata memperbanyakan ibadah ruhiyah di bulan Ramadan. Malah menuntut lebih daripada hanya ibadah ruhiyah.  Untuk itu sebagai muslimah, kita sendiri perlu berusaha belajar ilmu keislaman agar apa yang bakal kita sampaikan kepada anak-anak menjadi pendidikan sepanjang hayat dan tidak menyimpang daripada apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya.

Sesungguhnya untuk kembali menghayati Islam kita perlu kembali kepada proses awal tarbiah (pendidikan) Islamiah yang dilaksanakan oleh Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam di bawah petunjuk Ilahi.  Proses tarbiah ini perlulah diikuti dengan pembentukan sebuah Ummah Islamiyyah (gerakan/kelompok Islam). Asas untuk memperbaiki ummah ialah dengan memperbaiki institusi keluarga dan permulaan untuk memperbaiki institusi ini ialah dengan memperbaiki wanita.  Ini kerana wanitalah yang mula-mula sekali berperanan untuk mendidik generasi kita (atau mana-mana generasi sekali pun.) Wanita yang tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya menggegarkan dunia, dari rahimnyalah lahirnya genarasi-generasi penerus ummah.

Untuk itu sebagai pendidik, setiap wanita Islam perlu melalui proses tarbiah islamiah kerana jika tidak terlaksana proses ini, maka malanglah generasi Islam kerana mendapat didikan daripada wanita-wanita yang tidak mempunyai persiapan dengan ilmu-ilmu Islam. Justeru wanita perlu memahami peranan mereka, agar mereka mampu membaiki masyarakat yang kucar-kacir kepada masyarakat Islam.  Oleh itu setiap daripada kita hendaklah memperbaiki diri dan melengkapkan diri dengan asas Islam untuk memperbaiki keluarga.

Pandangan Islam terhadap anak-anak

Anak memiliki posisi yang istimewa didalam Islam. Selain sebagai cahaya mata keluarga, anak juga merupakan anugerah pahala bagi kedua orang tuanya. Bagi sebuah keluarga, anak adalah penerus nasab (garis keturunan). Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam bersabda  “Apabila manusia telah meninggal dunia, terputuslah amalnya kecuali tiga hal: (1) sedekah jariah: (2) ilmu yang bermenfaat: (3) anak soleh yang mendoakannya.” [HR al- Bukhari, Muslim dan Abu Dawud].

Anak-anak soleh akan sentiasa mengalirkan pahala bagi kedua orang tuanya sekalipun keduanya telah meninggalkan alam ini. Dengan demikian, kita selaku ibu muslimah berperanan dalam pendidikan anak-anak agar mereka menjadi soleh dan solehah.  Kesedaran tentang pentingnya mendidik anak soleh akan memotivasikan setiap ibu bapa dalam pembinaan anak-anak agar mempunyai peribadi yang mulia. Jangan sampai anak keturunannya tergelincir ke jurang neraka disebabkan oleh ketidakfahaman terhadap Islam dan hukum-hukumnya.  Perhatian terhadap pendidikan yang menghasilkan iman dan takwa yang kuat akan menjadi perhatian bagi setiap keluarga muslim. Allah Subhanahu wa Taala berfirman “ Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian serta keluarga kalian dari seksa api neraka”. [TMQ At-Tahrim (66): 6 ].

Penekanan Islam terhadap anak menunjukkan pentingnya kedudukan seseorang anak dalam keteguhan masyarakat dan negara. Anak yang dididik dan diasuh dengan keimanan dan ketakwaan akan tumbuh menjadi generasi muslim yang akan sentiasa berperanan membetulkan setiap kesalahan yang terjadi di tengah-tengah masyarakat. Apabila generasi ini menjadi pemimpin masyarakat, maka ia akan menjadi pemimpin umat yang akan menebarkan kemuliaan Islam di setiap penjuru. Untuk memiliki pemimpin umat yang bertakwa ini, menuntut peranan muslimah sebagai pendidik kepada penerus generasi.  Jadi, bagaimanakah cara terbaik untuk kita mendidik generasi ini menjadi insan yang menjadikan syariah Islam sebagai tolok ukur dalam memimpin umat?

Peranan muslimah dalam membentuk peribadi anak-anak

Pada asasnya setiap anak yang dilahirkan di dunia ini mempunyai fitrah yang tersendiri – maksudnya, anak-anak bebas dan bersih dari noda dan dosa. Sedikit demi sedikit mereka akan menerima pembentukan asas dari keluarga terutama ibu bapa dan keadaan persekitaran yang bakal mempengaruhi perwatakannya.  Perkara ini diungkapkan oleh Rasulullah dalam hadis yang berbunyi: Sabda Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam ; “ Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah Islami). Ayah dan ibunyalah kelak yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala).” [HR al-Bukhari].

Hadis ini ternyata amat umum kenyataannya tetapi jelas menerangkan kepada kita bahawa anak-anak adalah insan yang mempunyai potensi untuk dididik dan dibentuk dengan acuan ibu bapa-nya.  Didikan untuk menjadikan anak-anak berhati mulia atau keras – Islam atau kafir adalah tanggungiawab ibu bapa.  Justru, bukan mudah untuk memberikan warna yang terbaik kepada anak-anak, namun tanggungjawab itu mestilah dilaksanakan oleh ibu bapa dengan penuh amanah. Hakikat ini mesti diterima dan dipenuhi kerana anak adalah amanah Allah kepada manusia dan setiap anak boleh dididik. Sudah menjadi lumrah bahawa setiap orang Islam mahukan anak-anak mereka menjadi yang terbaik dan kalau mereka mempunyai anak atau bakal menimang cahaya mata, kedua-dua ibu bapa tentunya mengimpikan lahirnya seorang anak yang mudah dibentuk dan mentaati perintah Allah serta patuh kepada orang tua.

Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak-anak berakhlak mulia.  Untuk itu, muslimah perlulah merancang satu pendekatan pendidikan yang terbaik untuk membentuk anak-anak supaya memiliki personaliti Islam dalam rangka merealisasikan matlamat yang menjadi tanggungjawab mereka. Namun tidak dapat dinafikan ada golongan ibu bapa yang tidak mempedulikan pendidikan anak-anak terutama dari sudut akhlak dan keagamaan.  Lebih mendukacitakan ada juga ibu bapa yang sering mengikut kehendak anak-anak sehingga mereka lupa, bahawa cara pendidikan begitu akan menyebabkan anak menguasai orang tua.  Sebagaimana sabda Rasulullah: Dari Umar bin al-Khattab radiallahu anhu (dalam sebuah hadis yang panjang), “…kemudian  Jibrail bertanya kepada Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam,‘Maka khabarkan kepadaku tentang hari qiamat.’ Lalu Nabi Salallahu Alaihi wa Sallam menjawab, ‘Orang yang ditanya tiada lebih mengetahui daripada orang yang bertanya’. Maka Jibrail lalu berkata, ‘Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya’, maka Nabi Salallahu Alaihi wa Sallam menjawab, ‘Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan’”. [HR Muslim].

Hadis ini yang turut dibincangkan dalam Kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi (Hadis Ke-2) menjelaskan bahawa “adapun hamba melahirkan tuan” itu adalah tanda ramainya anak-anak akan menjadikan ibunya seperti hamba. Perkara ini terjadi tanpa disedari. Ramai ibu bapa dengan membuta tuli mengikut kemahuan anaknya sehingga akhirnya merosakkan anak kerana anak-anak hilang sifat berdikari dan mudah memberontak jika keinginan mereka tidak tercapai. Untuk itu kita sebagai ibu kepada anak-anak hendaklah bersama-sama mendidik anak-anak agar anak yang dididik itu menjadi insan yang sentiasa patuh pada syariat Allah.  Antara surah yang masyhur membincangkan soal pendidikan anak ialah surah Luqman. Apakah nasihat Luqman kepada anaknya yang dirakamkan di dalam al-Quran?

Meneladani nasihat Luqman

Berpandukan Firman Allah Subhanahu wa Taala ; “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: ‘Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (13) Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.’ (15) (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (16) Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (17) Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (18) Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.’ ” [TMQ Luqman(31):13 – 18].

Ayat ini merupakan pembukaan kisah tentang nasihat-nasihat Luqman kepada puteranya.  Secara umum, surah Luqman termasuk surah Makiyyah.  Kebiasaan surah Makiyyah lebih menitik beratkan pada tema-tema akidah, mengenai wahdaniyyah (keEsaan Allah Subhanahu wa Taala), kenabian dan hari kebangkitan.  Dalam ayat di atas, Allah mengingatkan nasihat-nasihat bijak Luqman.  Nasihat yang amat bernilai itu diawali dengan peringatan menjauhi perbuatan syirik.

Ibu bapa yang bijak pasti menginginkan anak yang dicintainya membesar menjadi manusia soleh dan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.  Keinginan itu tentunya perlu disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.  Dalam hal ini, Luqman boleh dijadikan sebagai contoh. Secara keseluruhan, ada dua perkara penting yang dinasihatkan Luqman kepada puteranya. Pertama, menyangkut persoalan akidah.  Luqman menasihati puteranya agar tidak mempersekutukan Allah Subhanahu wa Taala (ayat 13). Dia juga mengingatkan anaknya bahawa Allah Subhanahu wa Taala Yang Maha Tahu atas segala sesuatu, di langit dan di bumi, akan membalas semua amal perbuatan manusia, seberat apa pun amal perbuatan itu (ayat 16). 

Kedua, berkenaan dengan pelaksanaan amal yang menjadi konsekuensi tauhid, baik menyangkut hubungan manusia dengan [i]Al-Khaliq, dengan dirinya sendiri, mahupun dengan sesama manusia.  Pada ayat 17, Luqman memerintahkan anaknya untuk mendirikan solat (hubungan manusia dengan Al-Khaliq), melakukan amar makruf nahi mungkar (hubungan manusia dengan sesamanya), dan meneguhkan sifat sabar dalam jiwanya (hubungan manusia dengan dirinya sendiri).

Luqman juga mengingatkan anaknya untuk menjauhi larangan-larangan Allah.  Sifat sombong dan perilaku angkuh adalah di antara perbuatan yang mesti dijauhi (ayat 18). Sebaliknya, sifat yang mesti dilekatkan adalah menyederhanakan langkah dan melunakkan suara (ayat 18).  Dapat disimpulkan, semua nasihat Luqman itu berteraskan kepada keselamatan deen anaknya.  Dia menginginkan anaknya menjadi manusia yang taat kepada tuhannya dalam seluruh aspek kehidupan.  Hanya dengan jalan itu kebahagiaan dunia dan akhirat dapat diraih.

Jika diperhatikan kisah-kisah dalam al-Quran, hal yang sama juga dilakukan para nabi dan rasul.  Mereka semua amat menginginkan anaknya menjadi orang yang berpegang teguh kepada deen yang haq, seperti yang dikabarkan Allah Subhanahu wa Taala: “Ibrahim mewasiatkan ucapan kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’qub. (Ibrahim berkata),;‘Hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagi kalian. Karena itu, janganlah kalian mati kecuali memeluk agama ini’”. [TMQ. al-Baqarah (2): 132].

Perlu dicatat urutan perkara yang dinasihatkan Luqman.  Pertama sekali yang dia nasihatkan adalah perkara akidah. Dia menginginkan anaknya lurus akidahnya.  Setelah itu, baru menyangkut perkara amaliah.  Pilihan ini tentu bukan suatu kebetulan kerana dari berbagai sudut, akidah memang wajib didahulukan.  Akidah merupakan penentu status manusia, samada tergolong sebagai orang mukmin atau kafir.  Orang yang meyakini akidah yang haq, yang berasal dari Allah Subhanahu wa Taala adalah orang mukmin manakala orang yang mengingkari akidah tersebut tergolong sebagai orang kafir.  Perbezaan status ini akan menentukan nasib mereka, sama ada mendapat kebahagiaan atau sebaliknya di akhirat kelak.

Keyakinan pada akidah yang benar juga menjadi syarat diterimanya amal. Allah Subhanahu wa Taala hanya menerima amal yang dikerjakan orang-orang mukmin. Sebaliknya, amal perbuatan orang-orang kafir sama sekali tidak dinilai pada Hari Kiamat. Selain itu, perbuatan manusia juga sangat ditentukan oleh akidahnya. Orang yang meyakini akidah Islam akan terikat dengan syariah.  Sebaliknya, orang yang mengingkari akidah Islam pasti akan mengabaikan ketetapan syariah.  Oleh karena itu, siapa pun yang hendak memperbaiki perilaku seseorang (ishlâh al-a ‘mâl), hendaklah meluruskan akidahnya (tashhih al-aqîdah) terlebih dahulu.

Jika diamati di dalam al-Quran, para nabi dan rasul juga melakukan hal yang sama.  Mereka mendahulukan seruan akidah sebelum lainnya. Demikian juga dengan Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam yang pertama sekali baginda serukan di tengah-tengah masyarakat Jahiliah adalah perkara akidah.  Ayat-ayat yang turun di awal dakwahnya juga menekankan akidah.  Adapun ayat-ayat berkenaan hukum  iaitu ayat-ayat Madaniyyah yang kebanyakannya turun di Madinah, diturunkan ketika akidah umat sudah benar-benar mantap. Rasulullah juga memerintahkan para sahabat untuk menyerukan akidah terlebih dulu sebelum menjelaskan ketetapan hukum. Ketika baginda mengutus Muadz bin Jabal radiallahu anhu ke Yaman yang majoriti penduduknya Ahlul Kitab, beliau memerintahkan agar perkara pertama yang didakwahkan kepada mereka adalah mengesakan Allah Subhanahu wa Taala, baru setelah itu dijelaskan tentang kewajiban mendirikan solat lima waktu dalam sehari semalam serta membayar zakat yang diambil dari orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin mereka [HR. Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasai, dan Abu Dawud].

Dalam pendidikan anak, Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam telah memerintahkan kepada ibu bapa untuk menekankan pendidikan akidah. Ibnu Abbas menuturkan bahwa Nabi Salallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda:  “Ajarkan kalimat Lâ ilaha illâ Allâh kepada anak-anak kalian sebagai kalimat pertama.” [HR. al-Hakim]. Abd ar-Razaq meriwayatkan bahawa para sahabat suka untuk mengajarkan anak-anak mereka kalimat Lâ ilaha illâ Allâh sebagai kalimat yang pertama yang mampu mereka ucapkan secara fasih sampai tujuh kali sehingga kalimat itu menjadi yang pertama-tama mereka ucapkan.

Demikianlah contoh serta tauladan dari orang-orang bijak dalam mendidik anaknya. Anda juga menginginkan anak anda meraih bahagia dan syurga? Ikutilah jejak mereka.

Khatimah

Seorang ibu memainkan peranan yang besar di dalam pendidikan generasi di masa akan datang.  Untuk menghasilkan generasi para mujahid yang hebat, pemimpin yang ulung dan para mujtahid, Maka proses pembinaan para wanita muslimah tidak boleh dipandang enteng, jauh sama sekali diabaikan.  Para wanita muslimah hendahlah dididik dan dibina dengan tsaqofah Islam secara mapan atau mendalam, sehingga dia mampu mengarahkan bahkan mendidik anak-anaknya menjadi generasi-generasi yang diharapkan mampu berperanan meraih kejayaan Islam kembali.

Seorang ibu tidak akan mampu mendidik anak-anaknya menjadi mujahid andai dia tidak memahami betapa mulianya kedudukan seorang mujahid. Seorang ibu tidak akan mampu membesarkan seorang anak menjadi ulama andai dia buta terhadap tsaqofah Islam. Seorang ibu tidak akan mampu mendidik anaknya menjadi pejuang-pejuang Islam andai dirinya sendiri masih enggan berkorban untuk Islam. Jika seorang ibu itu lebih mengutamakan kebendaan dari melakukan sesuatu yang lebih mulia di hadapan Allah, lebih mencintai urusan dunianya dari melakukan kewajibannya kepada Allah, mustahil dia mampu mencetak generasi harapan umat untuk meraih kebangkitan dan kejayaan Islam.

Wahai para muslimah, dengan berfikir secara jernih dan mendalam, mari kita bersiap sedia, bekalkan diri kita dengan memperkaya tsaqofah Islam dan membentuk ruhiyah yang tinggi agar kita menjadi ibu-ibu yang mampu mengubah corak generasi kita, sebagai yang meletakkan dasar warna dan corak generasi manusia di masa datang. Itulah kemenangan hakiki yang kita harapkan untuk menggapai redha Allah Azza wa Jalla.

Wallahu’alam.


Lelaki Dan Wanita: Gharizah An-Nau’ adalah Sebuah Anugerah

Berlabuh sudah tirai Ramadan, kini kita menikmati kegembiraan menyinsingnya fajar Syawal. Malangnya, isu-isu sosial seperti penzinaan, pelacuran, buang bayi, sumbang mahram, gangguan seksual, homoseks, lesbian, fedofilia, rogol dan cabul terus menyelubungi dan terus menjadi  lukisan nyata sebahagian daripada kehidupan manusia yang mengalami kemunduran peradaban yang luar biasa. Kepelbagaian kerosakan di atas adalah hasil perbuatan (tangan) manusia apabila menyalahgunakan satu daripada sekalian fitrah yang telah dianugerahkan Allah kepada setiap lelaki dan wanita yang bernama manusia. Maha Benar Allah dengan firmanNya: ‘Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan  perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)’ [TMQ ar-Rum (30):41].

Mahasuci Allah yang telah menganugerahkan pada diri manusia itu dua jenis dorongan hidup yang sentiasa mendorongnya untuk melakukan kegiatan dan inginkan pemuasan pada dirinya. Firman Allah: ‘Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?’ [TMQ ar-Rahman (55):77]. Dorongan pertama yang dimaksudkan ialah keperluan jasmani (hajatu al-udhuwiyah) seperti makan, minum, buang hajat dan sebagainya. Keperluan ini menuntut pemenuhan dan pemuasan pasti dimana jika manusia tidak memenuhi keperluan ini, manusia akan mati. Contohnya manusia akan mati akibat kebuluran, kehausan atau ketiadaan oksigen untuk bernafas. Kedua, adalah naluri (gharizah) yang menuntut adanya pemenuhan dan pemuasan sahaja. Jika naluri ini tidak dipenuhi, manusia tidak akan mati tetapi sebaliknya akan resah gelisah sehingga naluri tersebut dipenuhi. Naluri manusia telah dikategorikan oleh ulama Islam kepada tiga jenis iaitu naluri beragama (gharizah al-tadayyun), naluri seksual (gharizah an-nau’) dan naluri mempertahan kehidupan (gharizah  al-baqa’).

Fikratul Ummah pada bulan ini akan memperkatakan mengenai gharizah an-nau’ sambil mengajak pembaca memahami akan fitrah semulajadi yang telah dipinjamkan Allah kepada kita. Semoga ia menjadi panduan kepada kita untuk memenuhinya sesuai dengan peraturan yang telah ditetapkan Allah SWT.

Contoh-contoh kesan dari munculnya gharizah an-nau’ adalah seperti kasih sayang kepada anak dan rasa tertarik kepada lawan jenis. Ada yang dorongan nalurinya sangat kuat, sederhana dan lemah. Ada yang berupaya menyalurkan dorongannya sehingga dipenuhi, manakala ada juga yang tidak dapat memenuhi hingga menimbulkan kegelisahan. Ada yang menyalurkannya sesuai dengan peraturan Allah SWT untuk meraih redha Allah dan memberi ketenangan kepada pelakunya. Jika diteliti dengan mendalam, keperluan jasmani lebih bersifat dalaman iaitu organ tubuh manusia. Contohnya, rasa lapar mendorong seseorang untuk makan tanpa mengira sama ada makanan itu berada di depannya atau tidak. Manakala munculnya naluri adalah disebabkan adanya ransangan-rangsangan dari luar. Contoh , Gharizah an-nau’  akan muncul setelah melihat atau membayangkan wanita atau lelaki (lawan jenis) yang cantik atau tampan, menonton filem, membaca buku, majalah dan sebagainya. Pada bulan Syawal yang mana banyak pihak mengadakan rumah terbuka hingga terbuka peluang luas untuk berlakunya ikhtilath antara lelaki dan wanita, berhias-hiasan lebih dari yang dibenarkan syarak termasuk bertabarruj boleh menyebabkan rangsangan syahwat kepada lelaki yang memandangnya, hingga boleh meyebabkan kerosakan dan fitnah.

Pemahaman tertentu mengenai gharizah an-nau’ dan tujuan penciptaannya mesti diwujudkan dalam diri setiap lelaki dan wanita. Pemahaman sebegini bakal membentuk pandangan yang khas dan benar mengenai gharizah yang telah diciptakan Allah iaitu pemahaman yang membataskan naluri tersebut pada hubungan lelaki dan wanita atau sebaliknya. Di samping itu akan terbentuk pula pandangan khas terhadap hubungan lelaki dan wanita iatu hubungan seksual/biologi antara dua lawan jenis dalam erti memfokuskan hubungan itu pada tujuan penciptaan gharizah an-nau’ ini iaitu untuk melahirkan keturunan manusia. Pandangan seperti inilah yang akan dapat mewujudkan pemuasan naluri, mewujudkan tujuan diciptakan naluri itu, dan mewujudkan ketenteraman bagi masyarakat yang mengambil dan memiliki pandangan yang khas ini. [Nizhamul Ijtimaei fil Islam (Sistem Pergaulan di dalam Islam), Syeikh Taqiyuddin An-nabhany].

‘Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan darinya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. [TMQ an-Nisa (4):1]

‘Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan
[TMQ al-A’raf (7):189]

Gharizah an-nau’ merupakan anugerah Allah. Namun tidak bermakna manusia dapat memenuhinya dengan jantina sejenisnya (lelaki dengan lelaki, wanita dengan wanita) atau dengan haiwan (zoofilia atau bestialiti). Islam adalah agama yang sempurna. ‘Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu’. [TQS al-Maidah (5):3]. Di dalamnya terdapat peraturan tentang bagaimana cara manusia memenuhi gharizah an-nau’ yang ada pada dirinya ketika munculnya rangsangan-rangsangan di persekitaran. Persoalannya bukan untuk menafikan kewujudan naluri ini. Sebaliknya kita perlu memikirkan tentang cara pemenuhannya iaitu sesuai dengan syariat Islam atau mengalihkan  naluri tersebut dengan aktiviti-aktiviti mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ilallah). Sebagai Pencipta Yang Maha Mengetahui akan segala ciptaanNya, Allah SWT telah menganugerahkan gharizah an-nau’ sekaligus cara-cara pemenuhannya. Peraturan ini dibuat tidak lain adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Seandainya dorongan gharizah an-nau’ dipenuhi mengikut kehendak hati dan nafsu sebebasnya, ia sangat berbahaya kepada manusia dan kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, perlu difahami dengan jelas bahawa “Adam is for EVE” (Adam untuk Hawa), dan bukan “Adam for stEVE” (Adam untuk stEVE) sebagaimana pemahanan golongan ‘gay’. Firman Allah : ‘Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia, dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas’ [TMQ as-Syuaara (26): 166].

Berkaitan gharizah an-nau’ ini, jika ditinjau realiti yang berlaku di sekeliling kita, terdapat pelbagai reaksi manusia terhadap naluri ini sebagaimana berikut:

Pertama ; Golongan Sekular-Kapitalis beranggapan seperti yang dinyatakan pada point yang pertama di atas iaitu gharizah an-nau’ ini boleh dikendalikan secara bebas dalam apa jua keadaan dan dengan sesiapa sahaja tanpa batasan atau sekatan oleh sesiapapun. Malah golongan Sekular-Kapitalis yang memegang erat idea kebebasan bertingkahlaku ini beranggapan hubungan lelaki dan wanita merupakan pandangan yang bersifat seksual semata; bukan pandangan untuk melahirkan keturunan manusia. Oleh kerana itu, mereka sengaja menciptakan fakta-fakta yang dapat kita saksikan dan pemikiran-pemikiran yang membangkitkan keinginan seksual dalam kalangan lelaki dan wanita dalam rangka membangkitkan dorongan seksual untuk dipenuhi. Mereka menganggap bahwa gejolak naluri yang tidak dipenuhi akan menyebabkan kerosakan pada diri manusia, baik terhadap fizikal, psikologi dan akalnya. Dari sini, kita dapat memahami, mengapa masyarakat Barat dan umat Islam yang telah terbius dengan pemikiran sebegini selalu menciptakan pemikiran yang mengundang hasrat seksual (fantasi-fantasi seksual), baik dalam cerita-cerita, lagu-lagu, mahupun pelbagai hasil karya mereka lainnya. Belum lagi kebiasaan gaya hidup bebas dengan percampuran tanpa batasan antara lelaki dan wanita di dalam mahupun di luar rumah. Semua ini muncul kerana mereka menganggap tindakan-tindakan semacam itu merupakan hal yang lazim dan penting sebagai bahagian dari sistem dan gaya hidup mereka. Gara-gara idea kebebasan, pada hari ini, sebahagian ibu bapa lebih cemas apabila anak gadis memegang status ‘andalusia’ (anak dara lanjut usia) berbanding dengan cemasnya mereka apabila melihat anak gadis tersebut berpeleseran dengan lelaki bukan muhrim.

Kedua; Ada juga segelintir manusia yang nyata menolak sama sekali fitrah semulajadi yang diberikan Allah ini. Ternyata status ahli agama yang disandang menjadikan mereka menolak fitrah yang kononnya boleh mengurangkan nilai ketakwaan dan keimanan dalam diri mereka. Namun setelah satu demi satu kejadian seks luar tabii yang kritikal melanda golongan paderi dan rahib ini disingkap maka terbukalah pekung di dada dan tersingkaplah yang tersurat dan tersirat sebagai pukulan kepada apa yang kononnya menjadi pegangan dan prinsip mereka selama ini. Ini disebabkan, semasa para rahib Kristian mengubah isi kandungan ajaran Kristian dengan larangan untuk rahib berkahwin dengan  alasan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Namun penyelewangan agama mereka ini gagal secara total sebagaimana firman Allah: “Kemudian Kami iringi (sesudah mereka) Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan) ‘rahbaniyyah’ merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka”. [TMQ Al-Hadid (57):27].                                                      
 
Ibnu Katsir memberi penjelasan tentang ayat ini dalam kitab tafsirnya:

“Allah mengatakan bahawa mereka, pengikut Isa, telah membuat hukum rahbaniyah yang mereka buat sendiri sehingga dalam agama disebut bid’ah, kerana pada mulanya memang tidak ada, iaitu hukum untuk setiap paderi lelaki (fathers) mahupun perempuan (sisters) dilarang berkahwin. Pada mulanya tujuan mereka untuk dapat melaksanakan ibadah secara penuh tanpa dipengaruhi oleh syahwat hawa nafsu, hanya (beribadat) semata-mata ingin mendapatkan redha Allah. Allah tidak mengatakan yang demikian itu tidak baik, kecuali menyatakan “sayang sekali bahawa mereka tidak kuat dan tidak dapat memeliharanya dengan baik iaitu menahan diri dari perkahwinan yang halal, tiba-tiba mereka terjerumus dalam gejala perzinaan yang tidak dapat dielakkan”, kerana itulah Allah berfirman, “Famaa ra’auhaa haqqa ri’aayatiha”. Maka mereka tidak dapat menjaganya, mempertahankannya dengan sebaik-baiknya.”
 

Penyelewengan yang dilakukan paderi ini adalah dengan mereka mengekang naluri seksual (gharizah an-nau’) yang secara fitrahnya ada dalam diri manusia. Naluri ini sepatutnya dipenuhi dengan perkahwinan yang sah di antara lelaki dan perempuan.  Apabila gharizatu an-nau’  disekat, akhirnya para paderi mengambil jalan salah dan jalan keluar dengan melakukan seks luar tabii. Dalam Islam, hubungan seks dipandu dengan wahyu Ilahi di mana Islam hanya membenarkan hubungan seks mengikut tabii dengan pasangan yang sah sahaja. Hukum-hakam Islam datang supaya manusia dapat menyalurkan naluri untuk memanjangkan zuriat dengan cara yang benar, bukan seperti dalam ajaran Kristian yang telah diselewengkan oleh paderi mereka sendiri. [http://www.mykhilafah.com/berita-global/802-lagi-kes-salah-laku-seks-paderi]

Islam ternyata telah memperinci dan menfokuskan tujuan diciptakan gharizah an-nau’ ini. Ini berlaku apabila lelaki dan wanita itu hidup bersama sebagai suami isteri yang sah dan diikat melalui jalan yang dihalalkan iaitu pekahwinan. ‘Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang[TMQ ar-Rum[30]:21]. Melalui perkahwinan, manusia dapat melanjutkan keturunan dengan tenang di samping mewujudkan mawaddah dan rahmah, iaitu terjalinnya cinta-kasih dan tercapainya ketenteraman hati (sakinah), menghindarkan dosa, mengeratkan tali silaturahmi dan mencapai  mardhatillah. Malah dengan pernikahan yang sah lelaki dan wanita mendapat berkah dan pahala dari Allah pula.

‘Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, apakah jika salah seorang dari kami mengikuti syahwatnya, adakah ia mendapat pahala kerananya?” Rasulullah bersabda, “Tahukah kamu jika seseorang menumpahkan syahwatnya pada yang haram tidakkah ia berdosa? Maka demikian pula apabila ia menempatkan syahwatnya pada yang halal adalah pahala baginya.” (HR Muslim)

Namun jika manusia hanya memenuhi gharizah an-nau’ dengan lawan jenisnya (tanpa ikatan sah), dengan tidak memperhatikan hukum dan syariat Allah maka terjadilah apa yang dikatakan penzinaan. Tidaklah menghairankan apabila kes pembuangan bayi dianggap perkara biasa yang menjadi paparan rutin media cetak mahupun elektronik tanpa penyelesaian yang sewajarnya oleh pihak yang memegang kekuasaan. Malah lebih memburukkan keadaan bayi-bayi yang dilahirkan kesan daripada penzinaan ini telah dibakulsampahkan oleh ibu-bapanya yang nyata berdosa besar. Begitu murah ‘harga’ bagi nyawa seorang bayi malah lebih murah dari harga seekor ayam di pasar. Saban hari kita disajikan dengan berita bayi ditinggalkan, dibuang, dicampak, ditanam sebegitu rupa demi menutup aib orang tuanya yang tanpa segan silu melakukan kemaksiatan kepada Allah. Tidak cukup dengan berzina malah turut membunuh nyawa anak yang tidak berdosa. Menurut statistik rasmi, sejumlah 472 kes buang bayi dilaporkan sejak 2005 sehinggalah  Ogos 2010. Daripada jumlah tersebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengatakan bahawa 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah meninggal dunia [UM16/08/10].
 
Firman Allah  : ‘Janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya ianya perbuatan yang keji dan jalan yang buruk’ [TMQ al-Isra (17):32]. Berdasarkan ayat di atas, Allah telah mengharamkan (`Janganlah …) segala bentuk perbuatan yang membawa kepada perlakuan zina atau apa sahaja perbuatan sebagai  pendahuluan (mukaddimah) yang mungkin membawa kepada perbuatan haram lagi terkutuk itu.Contoh, tidak menutup aurat , berkhalwat , pergaulan bebas dan sebagainya. Justeru apa sahaja yang dapat membangkitkan syahwat dan membuka pintu-pintu ke arahnya baik oleh lelaki mahupun perempuan, serta mendorong orang untuk berbuat yang keji, memberikan jalan-jalan untuk berbuat yang keji maka Islam dengan tegas melarangnya demi menutup jalan ke arah penzinaan dan segala perbuatan yang merosak diri dan masyarakat. Sehubungan dengan itu, setiap lelaki dan wanita Islam memainkan peranan dalam memastikan diri serta anggota keluarga serta masyarakat terhindar dari perbuatan haram seperti zina. Malah penguasa atas kapasiti yang diberikan oleh umat selaku teraju pemerintahan bertanggungjawab melaksanakan sistem Islam yang bertunjangkan aqidah Islam dalam seluruh aspek kehidupan merangkumi sosial, ekonomi, politik, pemerintahan, hukuman, pendidikan dan yang lainnya agar terciptalah suasana yang tidak memungkinkan kemaksiatan kepada Allah berlaku, meluas dan mewabak seperti mana sekarang. Singkaplah sirah dan dalamilah sejarah bagaimana  Daulah Islam yang tertegak selama 1400 tahun lalu mampu menciptakan kemakmuran, kesejahteraan dan keberkahan hidup sekalian umatnya. Kuncinya tidak lain adalah syariat Islam yang diterapkan secara menyeluruh oleh Khilafah dalam seluruh aspek kehidupan. ‘Tidaklah Kami mengutusmu Muhammad kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam’. [TMQ al-Anbiya (21):107]

Wahai muslimah dan pembaca yang dirahmati Allah, 

Sungguhpun kemeriahan sambutan Syawal masih dirasakan saat ini, kami ingin mengingatkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap dari kita untuk meletakkan diri dalam rangka mentaati Allah dalam setiap urusan kehidupan termasuklah dalam menyalurkan gharizah an-nau’ yang difitrahkan Allah. Menjadi kewajipan pula bagi kita untuk mengubah pandangan masyarakat dari hanya memandang hubungan antara lawan jantina ini semata-mata hubungan yang berpaksikan kelazatan dan kenikmatan seksual kepada hubungan yang difokuskan pada tujuan diciptakan naluri itu iaitu demi melanjutkan keturunan manusia melalui kehidupan suami-isteri yang halal ikatannya. Pandangan seperti inilah yang mampu menjaga gharizah an-nau’ dan menempatkannya  secara benar pada tujuan penciptaannya, yang akan memberikan kesempatan kepada manusia untuk melaksanakan segala aktivitinya dan menyelesaikan segala urusannya yang dapat mendatangkan kebahagiaan bagi dirinya. Dan yang paling penting adalah mengingatkan penguasa dan pihak yang diamanahkan kekuasaan kepada mereka agar sentiasa mengawal segala pintu dari masuknya unsur-unsur yang dapat merosakkan fitrah semulajadi manusia yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini iaitu dengan memastikan segala peluang ke arah perzinaan, pelacuran, pornografi, pencabulan, perogolan dan segala macam penyakit yang mengancam dan menggugat gharizah an-nau’ ini dapat dihalang. Seandainya ini tidak dilaksanakan oleh mereka, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk memuhasabah dan mengingatkan para pemimpin umat Islam. Semoga kita segera hidup dalam bingkai Khilafah Islamiah kerana dengannya sahajalah segala fitrah yang dianugerahkan oleh Allah dijamin terpelihara dan selamat di bawah naungan pemimpin yang bertakwa dan diredhai Allah. Wallahua’lam bisshawab.


Pertemuan dengan Fatima Al-Fihri – Sebuah Inspirasi

Lawatan ke pameran ‘1001 Invention’ di London baru-baru ini memberi peluang kepada saya untuk mengenali seorang wanita. Wanita ini telah memberi inspirasi yang menakjubkan sehingga beliau mampu menyuntik motivasi kepada para Muslimah di seluruh dunia.

Perkara yang ingin saya kongsikan daripada pengalaman ini adalah kisah Fatima Al-Fihri  yang sangat menakjubkan sehingga terkesan kepada diri saya.

1200 tahun lalu di bawah naungan Daulah Islamiyyah, wanita bernama Fatima Al-Fihri ini menumpukan usaha untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat sekitarnya, dan beliau adalah seorang wanita yang memiliki visi. Beliau datang daripada keluarga berdarjat mulia dan mewarisi harta yang melimpah ruah daripada bapanya. Sebagai seorang yang muda, kaya dan berpendidikan tinggi, minatnya bukan terhadap kasut dan beg tangan, bukan juga kehidupan ala selebriti, atau memancing cinta lelaki untuk dijadikan suami, juga bukan dengan hal-hal yang lazim diminati oleh golongan wanita yang lebih mencintai duniawi. Wanita ini sangat hebat kerana beliau memiliki visi yang dipupuk dan tumbuh mekar, tambahan pula beliau hidup dalam lingkungan masyarakat Islam yang menggalakkannya. Visinya tidak hanya sebagai sebuah impian sebaliknya telah menjadi kenyataan yang dapat disaksikan sehingga ke hari ini. Dalam tahun 859 Masehi, Fatima Al-Fihri telah mengasaskan universiti tertua yang menganugerahkan ijazah yang masih kekal pada hari ini iaitu Universiti Qarawiyyin di Fez, Maghribi.

Masjid Al Qarawiyyin adalah salah sebuah masjid terbesar di Afrika dan juga salah sebuah universiti tertua di dunia. Al Qarawiyyin adalah contoh sempurna bagaimana Islam menggabungkan aspek ruhiyah dalam pendidikan dan sesungguhnya Islam tidak pernah dipisahkan daripada kehidupan seharian. Ini bukan sekadar contoh bahawa pendidikan dan agama disatukan di satu sudut kecil di bumi ini, akan tetapi ia memberi kesan yang menakjubkan tentang peranan yang dimainkan oleh wanita  dalam masyarakat Islam – satu aspek dalam Islam yang sering disalah ertikan. Tambahan pula, semasa zaman pertengahan, Masjid Al Qarawiyyin dianggap sebagai pusat intelektual yang utama di kawasan Mediterranean. Reputasi cemerlangnya telah menumbuhkan minat Gerber Auvergne untuk menuntut ilmu di masjid itu. Auvergne kemudiannya dilantik sebagai Pope Sylvester II dan telah diberikan pujian atas usahanya memperkenalkan angka-angka Arab serta angka kosong (sifar) ke seluruh Eropah.

Apa yang menyedihkan adalah dalam dunia Islam pada hari ini, tidak ada lagi wanita yang memberikan inspirasi seperti Fatima Al-Fihri ini. Kaum wanita bergelumang dengan masalah-masalah seperti penindasan dan pemaksaan di pelbagai peringkat sehingga tidak mampu merealisasikan potensi sebenar mereka. Semua ini disebabkan oleh masyarakat yang didominasi kaum lelaki, masyarakat yang zalim, wujudnya pemerintah yang melaksanakan sistem Islam tetapi tidak sepenuhnya, dan pemerintah yang hanya berminat untuk menggemukkan poket mereka lebih daripada keinginan untuk membangun dan melindungi warganegaranya. Hasilnya, kami para Muslimah telah menderita dan terpaksa menanggung beban disebabkan tidak mampu menyuarakan hal ini dalam masyarakat.

Fatima Al Fihri telah menyedarkan saya tentang pemberdayaan (empowerment) dan dorongan yang diberikan oleh Islam kepada wanita Islam sehingga menyebabkan saya terpegun. Saya tidak pasti saya akan menjadi seperti Fatima Al-Fihri yang memiliki visi agung dengan perancangan untuk meraihnya. Walau bagaimanapun, ia telah mendorong saya untuk mengambil langkah yang praktikal. Ia membuat saya terfikir tentang apa lagi yang saya mahukan dalam hidup saya sebagai seorang Muslimah kerana hidup ini bukan sekadar membuat capati atau mengejar kerjaya. Ia menyedarkan saya bahawa saya perlu mencapai tujuan hidup saya.

Ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seorang wanita yang mahukan perubahan, berusaha untuk mewujudkan masyarakat Islam di dunia Islam dan menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Ia juga membantu saya menyedari bahawa sumbangan para Muslimah adalah perlu demi memperkasakan Islam dan mewujudkan masyarakat Islam yang boleh membina generasi wanita untuk menggunakan minda mereka dan bukan dieksploitasi oleh masyarakat yang mempergunakan tubuh mereka.

Fatima Al-Fihri hanya satu daripada banyak teladan di sepanjang  kegemilangan Islam .Beliau telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada diri saya. Dia adalah contoh tipikal yang memancarkan cahaya tentang peranan dan sumbangan wanita di dalam peradaban Islam. Isu peranan  wanita seperti ini adalah isu Islam yang seringkali disalah ertikan dan pada hari ini isu ini perlu dipersoalkan dan diperbetulkan!