Fikratul Ummah – November 2010

 

Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Para Pembaca yang dirahmati Allah SWT,

Hari Raya Eidul Adha 1431H baru sahaja melabuhkan tirainya. Disebalik ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam setiap kali tibanya musim haji, sewajarnya terdetik didalam minda kita apakah pengorbanan yang telah kita lakukan demi memartabatkan deen yang mulia ini. Wahai para muslimah sekelian! Apakah kita hanya sekadar melihat dan terus membiarkan para Muslimah terus menjadi korban kepada budaya hedonisme sehingga terjebak ke lembah yang keji dan hina seperti yang dapat kita saksikan pada hari ini?. Faktanya terlampau banyak bukti yang dapat kita paparkan bagaimana pada hari ini para wanita termasuklah wanita Islam sering menjadi mangsa korban kesan daripada penerapan sistem Kapitalisme yang mendominasi dunia hari ini. Contoh terbaru adalah bagaimana penderaan yang dialami oleh seorang pembantu rumah Indonesia yang bernama Sumiati yang didera tanpa belas ihsan oleh majikannya di Arab Saudi. Lebih menyedihkan lagi ialah kes kematian Kikim Komalasari juga seorang pembantu rumah Indonesia yang dilaporkan telah dibunuh oleh majikannya juga telah berlaku di Arab Saudi baru-baru ini. Lihatlah bagaimana seorang muslimah dikhianati di negeri umat Islam sendiri. Negeri dimana lahirnya Islam, yang pernah melahirkan srikandi muslimah yang agung didalam lipatan sejarah Islam yang hebat seperti Khadijah, Fatimah, Aisyah dan lain-lain lagi.

Syukur Alhamdulillah, Fikratul Ummah pada kali ini dapat menyajikan dua artikel bagi tatapan para pembaca sekelian. Artikel “Sekolah Harapan: Wajarkah kita menaruh harapan terhadap keberadaannya”. Menjelaskan tentang penubuhan sekolah harapan di Melaka sebagai usaha menangani masalah pembuangan bayi. Manakala artikel “Memahami Kehidupan Khusus” sebagai mekanisme pencegahan sumbang mahram, rogol, perzinaan dan sebagainya bagi menjelaskan tentang kehidupan khusus (hayat al-khassah) dimana ianya adalah suatu sudut kehidupan bagi para wanita, yang mana apabila ianya tidak difahami dengan jelas akan boleh menyebabkan pelbagai permasalahan seperti gejala sumbang mahram, rogol, zina dan sebagainya. Artikel yang seterusnya adalah suatu surat terjemahan “Surat dari Ayah” yang memaparkan nasihat daripada seorang ayah kepada puterinya sebelum puterinya itu memasuki gerbang rumah tangga.

Semoga artikel-artikel yang disajikan pada kali ini untuk tatapan dan bacaan para pembaca sekalian akan dapat menyuntik suatu kesedaran yang  tinggi khususnya kepada para Muslimah  betapa kaum wanitalah golongan yang sering menerima natijah buruk kesan daripada munculnya isu-isu sosial ditengah-tengah masyarakat yang tidak kunjung padamnya ketika ini. Justeru itu, pengorbanan tanpa mengenal erti lelah dikalangan para muslimah pengembang dakwah, dalam memikul usaha untuk mengembalikan Islam didalam kehidupan hari ini, serta kesedaran untuk sama-sama melaksanakan amar makruf nahi mungkar ditengah-tengah masyarakat adalah sangat-sangat diharapkan agar dapat  segera mengubah mimpi ngeri yang sering membelit dan mengulit kehidupan umat termasuklah para muslimah. Semoga usaha kecil ini akan dapat menjadi hujah dihadapan Allah SWT kelak betapa para muslimah di Malaysia  hari ini khususnya, juga adalah merupakan sebahagian daripada seluruh muslimah di dunia ini amnya yang bersedia untuk melakukan pengorbanan jiwa mahupan raganya demi melihat kehidupan Islam ini tertegak memayungi dunia. Wallahu ‘alam bisshawab.



SEKOLAH HARAPAN: WAJARKAH KITA MENARUH HARAPAN TERHADAP KEBERADAANNYA?

Dasawarsa ini, isu gejala sosial hangat dibincangkan oleh hampir seluruh lapisan masyarakat. Antaranya, tingkah laku sumbang dan pergaulan bebas sehingga hamil luar nikah, seterusnya membawa kepada gejala pembuangan bayi. Hampir setiap hari masyarakat akan digemparkan dengan berita dan statistik terbaru yang melaporkan keruntuhan moral muda-mudi. Isu ini seolah-olah menjadi paparan wajib di media cetak dan media elektronik. Menurut statistik Berita Harian 2009, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 pula seramai 16,100 orang.  (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/17_303anakluarnikahdidaftar2009/Article/).

Berdasarkan statistik tersebut, dapat disimpulkan bahawa purata 47 orang anak luar nikah dilahirkan di Malaysia setiap hari sepanjang tahun lepas. Lebih menakutkan, dalam jangka waktu lapan tahun (2000-2008), 257 000 kanak-kanak didaftarkan sijil kelahiran tanpa nama ayah. Angka ini meningkat setiap tahun. Jika mengambil kiraan purata, bermakna 2,500 anak luar nikah telah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari atau 7 orang anak luar nikah dilahirkan bagi setiap dua jam!

Bukankah masalah ini sesuatu yang membimbangkan dan menakutkan?!. Itu adalah hasil penzinaan yang dilahirkan dan direkodkan, bagaimana pula halnya dengan hasil penzinaan yang tidak  dilahirkan dan direkodkan?. Sudah pastinya tidak tercatat dalam statistik tersebut dan jumlah sebenar kelahiran luar nikah adalah jauh lebih besar.

Lantaran permasalahan ini, muncullah pelbagai pendapat berkaitan langkah-langkah penyelesaian yang perlu diambil di pelbagai peringkat agar masalah ini dapat diatasi secara tuntas. Malangnya, penyelesaian-penyelesaian yang diambil setakat ini bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah, tetapi boleh diibaratkan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ dan umpama ‘sang tikus membaiki labu’; kerana ternyata hanya memburukkan lagi keadaan.

HARAPAN TINGGAL HARAPAN

Sebelum ini, masyarakat disogokkan dengan penubuhan rumah-rumah perlindungan remaja dan wanita yang telah terlanjur sebagai langkah kerajaan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengurangkan impak daripada masalah sosial yang semakin meruncing. Kemudian, wujud pula ‘Baby Hatch’ untuk menampung pertambahan bilangan bayi luar nikah. Kedua-dua solusi ini mempunyai hala tuju yang sama iaitu agar kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya (baca: zina) tidak ditambah lagi dengan kesalahan pembuangan bayi.
 
Malah, tidak cukup dengan itu, isu terkini yang hangat diperkatakan ialah penubuhan Sekolah Harapan dan Rumah Harapan oleh kerajaan Melaka yang dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Institusi perintisnya yang terletak di Jalan Pegawai, Jasin, Melaka telah dibuka pada 17 September 2010.  Setakat ini, sekolah tersebut telah menerima seramai sepuluh orang pelajar yang berusia 16 tahun dan 17 tahun dan salah seorang daripadanya adalah pelajar bukan Islam. Sekolah Harapan dan Rumah Harapan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar hamil meneruskan persekolahan dan mendapat bimbingan, memperbaiki diri serta kesilapan, sekaligus mengurangkan kes pembuangan bayi [http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sekolah-harapan-harapan-pelajar-hamil-pengurusan-capai-misi/]. Idea penubuhan Sekolah Harapan dicetuskan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau berkata kos operasi Sekolah Harapan ketika ini berjumlah RM207 600 setahun, ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan pihaknya akan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi menampung kos operasi tahunan sekolah tersebut  pada masa akan datang.[http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=540325].

Baru-baru ini juga, Datin Seri Rosmah Mansor telah menyarankan pihak kerajaan negeri untuk menambah baik Sekolah Harapan sebagai mencontohi usaha kerajaan Belgium dalam menangani masalah serupa di negara tersebut. Input ini berikutan lawatannya ke Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) di Belgium yang menyaksikan langkah kerajaan tersebut untuk menempatkan remaja-remaja yang hamil luar nikah di pusat-pusat khas  bagi mengurangkan bilangan kes buang anak, sekaligus memberi peluang kedua kepada remaja-remaja tersebut untuk memperbaiki diri dan membina masa depan mereka. [http://mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_berita&file=/2010/10/2/mstar_berita/20101002183627].

Seperti yang dijangka, penubuhan  Sekolah Harapan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi positif dan negatif daripada pelbagai pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum. Ringkasnya, pihak yang memberikan respon positif menyuarakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Melaka atas idea penubuhan sekolah ini kerana menganggap perkara ini adalah satu usaha terbaik yang diambil dalam menyelesaikan masalah pembuangan bayi.

Manakala bagi pihak yang memberi respon negatif pula rata-rata mengatakan bahawa penubuhan sekolah harapan ini tidak akan menyelesaikan masalah remaja hamil luar nikah tetapi sebaliknya menggalakkan lagi perkara itu agar terus berlaku. Presiden Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan dan Selangor, Siti Hendon Chik berkata, jika tiada sebarang tindakan diambil, maka hamil luar nikah akan mulai menjadi epidemik dalam kalangan masyarakat kerana sudah ada Sekolah Harapan sebagai jalan penyelesaiannya. Beliau juga mencadangkan agar hukuman yang setimpal dikenakan atas kesalahan yang telah dilakukan oleh pelajar-pelajar di Sekolah Harapan, disamping memberi peluang kepada mereka yang terbabit untuk meneruskan pelajaran. [http://www.pkpim.net/index.php?option=com_content&view=article&id=567:sekolah-harapan-bakal-cetus-epidemik-hamil-luar-nikah-pelajar-ngo&catid=49:siaran-media&Itemid = 70].

Jika diperhatikan dengan pemikiran yang jernih dan mustanir (cemerlang), segala saranan untuk menyelesaikan isu gejala sosial ini (termasuklah respon-respon sama ada positif dan negatif yang dikeluarkan sebagai mengulas penubuhan Sekolah Harapan tersebut) hanyalah didasari oleh akal fikiran semata-mata, tanpa cuba menyandarkannya kepada sumber-sumber hukum Islam yang datang dari Al-Khaliq. Maka, tidak hairanlah jika penyelesaian yang ditawarkan hanyalah sekadar untuk mengubati simptom penyakit masyarakat (baca: kes hamil luar nikah dan buang bayi), dan bukannya mengubati penyakit sebenarnya (baca: sistem kehidupan sekularisme). Bukan itu sahaja, lebih menyedihkan apabila pemimpin-pemimpin lebih cenderung untuk mengambil solusi tampal sulam yang digunakan pihak Barat (di dalam kes ini, kerajaan Belgium) untuk menangani masalah sosial, berbanding menggali penyelesaian-penyelesaian sedia ada terhadap isu ini yang ditawarkan oleh Islam.

Maka, benarlah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, bahawa umat Islam benar-benar akan berkiblatkan Barat untuk menangani permasalahan umat di akhir zaman kelak, seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al Khudri Radiallahu Anhu bahawa:  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim].

Daripada Maimunah Radhiallahu Anha beliau berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.[HR Ahmad].

PUNCANYA ADALAH SEKULARISME!

Sejak umat Islam mula diracuni oleh sekularisme  yang memisahkan antara agama dan kehidupannya (pasca runtuhnya Daulah Khilafah Islamiyyah), hukum-hukum Islam tidak lagi menjadi pegangan kecuali di dalam secuil hukum-hukum peribadi seperti ibadah, akhlak, makan minum serta pakaian. Malah, majoriti umat Islam tidak lagi menjadikan akidah Islam dan hukum-hukumnya sebagai landasan berfikir dan bertingkahlaku dalam seluruh aspek kehidupan, khususnya di dalam sistem pergaulan, sistem pendidikan dan sebagainya. Hal ini merupakan isu paling asas yang perlu disedari oleh umat Islam ketika membincangkan permasalahan-permasalahan umat dewasa ini.

Berkaitan isu peningkatan gejala sosial seperti peningkatan kes kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi, tidak dapat dinafikan bahawa punca utama berlaku gejala ini ialah akibat maksiat zina yang kian berleluasa. Perlakuan zina mempunyai kaitan yang jelas dengan pergaulan bebas, ketiadaan kawalan sosial (baca: amar ma’ruf nahi mungkar di dalam masyarakat) yang ketat dan kerapuhan sistem-sistem yang mengatur kehidupan masyarakat dalam sesebuah negara.

Fenomena ini berlaku setelah masyarakat mengalami perubahan kepentingan dan ‘anjakan’ pemikiran apabila melihat kawalan sosial sama ada dalam bentuk teguran dan pencegahan negara sebagai suatu kongkongan atau kesibukan menjaga tepi kain orang lain. Akibatnya, kehidupan tanpa norma-norma kawalan ini juga menyebabkan kepincangan nilai kemasyarakatan atas alasan kebebasan individu. Kemunculan pelbagai bentuk media dalam suasana penuh persaingan telah menjadikan seks sebagai objek seni dan eksploitasi wanita untuk tujuan komersial. Penggabungjalinan kedua-dua perkara ini, iaitu seks sebagai objek seni dan eksploitasi wanita untuk tujuan komersial bertujuan untuk melariskan jualan, kerana survivalnya amat bergantung kepada perolehan keuntungan ekonomi dan nilai material semata-mata.

Maka, langkah penyelesaian kepada permasalahan ini adalah dengan mengkaji secara lebih teliti faktor-faktor penting yang mengundang kepada ‘barah’ zina ini terutamanya pengaruh ruang lingkup kehidupan individu, masyarakat dan negara yang dikuasai sepenuhnya oleh pemikiran, perasaan dan sistem kufur sekularisme. Antara faktor yang boleh dikenal pasti ialah budaya hedonisme yang ‘memabukkan’ generasi muda, kegagalan sistem pendidikan yang memisahkan ‘roh’ akidah Islam di dalam pembelajaran harian para pelajar, serta sistem pergaulan tanpa batasan yang dicedok daripada gaya hidup masyarakat Barat yang kononnya serba ‘moden’sehingga mengabaikan lunas-lunas aturan syariat Islam dalam kehidupan.

Sewajarnya isu ini dipandang sebagai masalah yang bersifat sistemik, bukan secara juz’ie (terpisah-pisah) iaitu hanya sebatas masalah di dalam sistem pendidikan atau hanya masalah sistem sosial semata-mata. Sifat juz’ie hanya akan  mengakibatkan langkah penyelesaian yang terhad iaitu sekadar menambahkan bilangan rumah-rumah perlindungan atau sekolah-sekolah pemulihan akhlak, menubuhkan pusat-pusat ‘baby hatch’, memperkenalkan pendidikan seks atau sebagainya. Namun, jika permasalahan ini dipandang dari sudut yang bersifat sistemik, hanya dasar mencegah dan mengubat penyakit umat yang perlu dilakukan secara holistik dengan mengenalpasti akar punca utama masalah ini dan seterusnya kembali kepada sumber-sumber Islam untuk memperolehi jalan penyelesaiannya.

IDEOLOGI ISLAM PERLU DILAKSANAKAN SECARA KAFFAH (MENYELURUH) OLEH NEGARA!

Islam telah diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dengan akidahnya yang benar. DaripadaNya lahirlah sistem-sistem kehidupan yang mengatur setiap inci kehidupan kerana hukum-hukumNya mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia, serta benar untuk diaplikasikan kerana datangnya dari Al-Khaliq yang Maha Mengetahui keadaan, keperluan dan fitrah hamba-hambaNya. 

Hukum-hukum syara’ juga sangat bersesuaian dengan perjalanan masa, perkembangan zaman dan di setiap tempat kerana keluasan sumber hukum mIslam sendiri. Maka, bagi umat Islam yang mensucikan akidahnya dan tunduk kepada keberadaan Allah Subhana wa Taala, sudah sewajarnya mereka patuh dan redha dengan segala ketetapan, hukum dan perintah yang telah termaktub di dalam Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.
 “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, dan Aku sempurnakan nikmat-Ku atas kalian dan Aku redha Islam sebagai agama kalian.” [TMQ:Al-Maidah (5): 3]

Ketaqwaan individu merupakan ‘perisai’ untuk mengelakkan seseorang daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah Subhana wa Taala, tetapi tidak memadai untuk mengelakkan kemaksiatan ini daripada terus  bermaharajalela di dalam masyarakat. Maka, untuk mencapai tujuan ini, institusi negara merupakan pihak yang paling bertanggungjawab dan berkesan dalam memastikan masalah ini dapat diselesaikan secara tuntas kerana ideologi yang diterapkan negara bakal mencorakkan pemikiran (mafahim), perasaan, dan sistem yang bakal tumbuh di dalam masyarakatnya. Sistem Islam yang diterapkan melalui negara akan memastikan bahawa faktor-faktor yang menjurus ke arah perbuatan zina ditangani terlebih dahulu sebagai langkah-langkah pencegahan. Di antaranya:

Pertama, dewasa ini terlalu banyak bahan-bahan pornografi berupa gambar-gambar dan video-video lucah yang mudah diperolehi dan boleh merangsang kepada keinginan syahwat, walhal sebarang kemasukan, pengedaran dan penyebaran bahan-bahan pornografi seharusnya disekat dan ditangani dengan serius kerana telah jelas bahawa Islam telah mengharamkan sebarang bentuk bahan yang berunsur pornografi.

Kedua
, budaya yang sudah menjadi kelaziman seperti budaya ‘couple’, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita dilihat seperti telah direstui oleh para ibu bapa dan masyarakat. Naluri keinginan terhadap lawan jenis iaitu antara lelaki dan perempuan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta’ala itu bukanlah untuk dirangsang tetapi perlu dikekang atau dipenuhi mengikut landasan syarak. Islam telah menunjukkan jalan terhadap situasi ini iaitu dengan pernikahan yang sah bagi menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. “Wahai pemuda, sesiapa sahaja daripada kamu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana ia boleh menjadi perisai” [HR Ibnu Mas’ud].

Islam telah mengharamkan khalwat dan ikhtilat (percampuran bebas) antara lelaki dan wanita. Islam mengharamkan lelaki dan wanita berada berdua-duaan tanpa disertai mahram (berkhalwat). Islam membenarkan lelaki dan perempuan bergaul di dalam kehidupan umum seperti muamalah, belajar, bekerja dan seumpamanya, namun kesemua ini ada batasnya. Ini kerana apabila tidak ada pengaturan pergaulan antara lelaki dan wanita, maka faktor ini jelas akan mendorong kepada perbuatan zina.

Ketiga, sistem pendidikan merupakan tunjang utama dalam memastikan anak-anak dididik menjadi Muslim dan Muslimah yang taat kepada ajaran Islam. Kurikulum pendidikan wajib berlandaskan aqidah Islam. Tujuan umum pendidikan dalam Islam pula adalah membentuk keperibadian Islam iaitu dengan cara menanamkan tsaqafah Islam berupa aqidah, pemikiran dan perilaku Islami ke dalam akal dan jiwa anak-anak didik dan seterusnya mempersiapkan anak-anak kaum Muslim agar mempunyai kepakaran di dalam setiap aspek kehidupan samada tsaqafah Islam atau ilmu-ilmu aplikasi/akademik. Oleh itu, kurikulum pendidikan mestilah disusun dan dilaksanakan bagi merealisasikan tujuan tersebut. Metadologi pengajaran yang benar adalah penyampaian (khithab) dan penerimaan (talaqqiy) pemikiran daripada guru kepada  pelajar. Setiap pengajaran yang disampaikan sentiasa dikaitkan dengan aqidah Islam agar para pelajar tidak tersasar dan sentiasa mengaitkan setiap perbuatan dengan landasan hukum syarak [Strategi Pendidikan Negara Khilafah, Abu Yasin, Pustaka Thariqul Izzah, 2004]. Namun begitu, sistem pendidikan kini hanya menerapkan pemindahan ilmu semata-mata menjadikan para pelajar orang yang belajar bukan orang berfikir. Jikalau kini Sistem pendidikan berteraskan exam oriented, maka para pelajar hanya dididik untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sahaja tetapi keperibadiaannya tidak mencerminkan kebijaksanaan pelajar tersebut.

Negara juga berkewajipan menerapkan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh) yang terkandung di dalamnya hukum berkaitan sistem uqubat (jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat).  Ini terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina,maka  sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ An-Nur (24): 2].

Di dalam sejarah penerapan hukum Islam, kita mendapati bahawa kebanyakan penzina yang dihukum adalah atas pengakuan jujur mereka sendiri. Ini menunjukkan kepada kita akan kesedaran dan ketakwaan mereka terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala. Mereka tidak sanggup menerima hukuman yang lebih berat di akhirat, justeru mereka memilih untuk dihukum di dunia sebagai jawabir (penebus/penghapus) dosa mereka. Uqubat Islam juga bertindak sebagai zawajir (pencegah) manusia dari melakukan kemaksiatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana dengan hukuman yang dilakukan di tempat terbuka dan disaksikan oleh sekumpulan masyarakat umum, maka sudah tentu ia akan menakutkan dan mencegah orang lain (dan si pelaku sendiri) daripada melakukan kesalahan yang sama.   

Khatimah

Ketahui lah bahawa penyelesaian terhadap permasalahan sosial yang disajikan kepada umum saat ini adalah sesuatu yang terbit daripada akal fikiran pemimpin-pemimpin semata-mata iaitu hasil daripada tsaqafah-tsaqafah asing dan pemikiran-pemikiran kufur yang dianutinya yang akhirnya menghasilkan sesuatu yang sia-sia. Bahkan lebih buruk lagi, penyelesaian yang diberikan ini tidak dapat menuntas permasalahan umat tetapi menambahkan lagi permasalahan lain yang lebih sulit untuk diselesaikan. Maka benar lah sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” [TMQ al-Maidah (5): 48].

Sudah terang lagi bersuluh, itulah perumpamaan yang sesuai dikatakan kepada para pembela-pembela hukum kufur yang masih lagi mahu memperjuangkan kebatilan padahal kebenaran yang dibawa oleh Islam sudah tampak dengan jelas berdasarkan nash-nash al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” [TMQ ali-Imraan (3): 85].

Oleh itu, marilah kita kembali kepada Islam kerana di dalamnya ada penyelesaian yang hakiki kepada setiap permasalahan umat di muka bumi ini. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, di mana kamu semua tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul.” [Hadith Riwayat Imam Malik] Wallauhu ‘alam bisshawab.



Memahami Kehidupan Khusus (Hayat al-Khassah) sebagai mekanisme pencegahan Sumbang Mahram, Rogol, Perzinaan.

Harapkan pagar, pagar makan padi. Amat jijik dan meloyakan apabila seorang pelindung sanggup meratah darah daging sendiri. Meruntun jiwa dan menyayat hati membaca paparan kisah anak dirogol bapa , adik-beradik diperkosa abang kandung, datuk merogol cucu dan adik merogol kakak sendiri. Sedangkan telah jelas peringatan Allah Subhanahu wa Taala: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan- perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu , dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu, dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka ), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan haram kamu meghimpun dua-beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu),Kecuali yang berlaku pada masa yang lalu.Sesungguhnya Allah adalah maha Pengampun, lagi Maha mengasihani.[TMQ An Nisa (4) :23].

Malangnya, jenayah sumbang mahram seakan-akan kes demam denggi. Menurut laporan Bernama bertarikh 15 Oktober 2010, sehingga Oktober 2010, 38 330 kes demam denggi yang dicatatkan menunjukkan peningkatan sebanyak 18% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, akan tetapi anggota masyarakat seolah-olah kurang prihatin sedangkan ancamannya tidak pernah surut.  Begitu juga dengan jenayah sumbang mahram yang menjadi ancaman senyap.  Perilaku kejam si perogol yang dianggap jenayah mengikut Seksyen 376A dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi dua puluh tahun serta sebatan seolah-olah tidak memberi kesan sehingga tiada lagi kes dilaporkan.  Perkara yang menyedihkan, perempuan dan bayi yang menjadi mangsa berdepan dengan masa depan yang kelam.

Remaja hendaklah mengelakkan suasana yang membolehkan mereka menjadi mangsa rogol“ kata DSP Zahari Mohamed, Ketua Polis Daerah Keningau ketika mengulas kes sumbang mahram seorang datuk berumur 51 tahun yang melakukan sumbang mahram terhadap cucunya yang berumur 13 tahun [http://www.keningaukini.com/index.php?option=com_content&view=article&id=395:polis-tahan-datuk-disyaki-lakukan-sumbang-mahram-cucunya-&catid=1:keningau]. Jika seorang anak perempuan keluar rumah, umum mengetahui risiko yang bakal dihadapi si gadis seperti kemungkinan diculik, ancaman peragut, perogol bersiri dan sebagainya. Jika ibu bapa dapat memastikan anak gadis mereka selamat daripada dilarikan oleh ‘jin berbulu lebat dari Gunung Jerai’ ketika berada di luar rumah, namun, apakah yang dapat memastikan  si gadis selamat di rumah sendiri?.

Pelbagai pihak menyatakan sebab-sebab berlakunya sumbang mahram. Antara faktor yang dikemukakan adalah rumah kecil yang sempit sehingga tiada bilik khusus untuk anak gadis yang sedang membesar menyebabkan anak-anak lelaki dan perempuan tidur di ruangan yang sama, hingga berlaku kejadian sumbang mahram.

Memahami Kehidupan Khusus (Hayat al-Khassah)

Wanita diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Taala dengan kecantikan tersendiri yang mampu meruntun  nafsu syahwat lelaki sehingga menimbulkan kebinasaan jika tiada pengaturan dalam bentuk hukum-hakam untuk memenuhi atau mengekang nafsu tersebut.  Islam telah memberi garis panduan kepada umatnya dalam hal ini seperti perintah menundukkan pandangan: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.” [TMQ an Nur (24):30].

Tarikan oleh wanita ini diterangkan dengan jelas melalui lafaz yang digunakan dalam Al Quran untuk merujuk kepada kaum Hawa iaitu “al untha, “al-mar’ah” dan “al-nisa” yang mana menurut kamus al-Munjid, lafaz al-mar’ah bermakna sedap dan enak. Ini bermakna sesuatu yang enak dan sedap sama ada dari segi percakapan atau bentuk tubuh akan dapat menggoda kaum lelaki walaupun daripada darah daging sendiri. “Tidaklah aku meninggalkan fitnah sepeninggalku yang lebih berbahaya terhadap kaum lelaki dari fitnah (godaan) wanita.” [Muttafaqun ‘alaih, dari Usamah bin Zaid radhiallahu ‘anhum]. Justeru, kita perlu memahami terlebih dahulu konsep kehidupan khusus agar dapat memberi pencerahan tentang pengaturan yang ditetapkan syarak untuk memastikan kehormatan dan maruah wanita terpelihara, serta kecenderungan untuk berlaku perzinaan, rogol dan sumbang mahram dapat dielakkan.

Sebelum penulisan ini melanjutkan perbahasan tentang kehidupan khusus (hayat al-khasah/private life), ingin dinyatakan secara terperinci definisi kehidupan umum dan kehidupan khusus. Definisi ini adalah definisi mudah agar kedua-dua kehidupan ini dapat dibezakan hitam dan putihnya.

Definisi Kehidupan Umum

Kehidupan umum merupakan situasi dimana kita tidak perlu meminta izin untuk masuk ke sesuatu tempat. Contohnya, kita tidak perlu meminta izin untuk masuk ke pasar, klinik dan tempat-tempat awam lain, termasuklah kenderaan awam seperti bas, teksi, sistem transit aliran ringan dan sebagainya. Oleh itu, ketika berada di tempat umum seperti ini, wanita mestilah berada dalam keadaan menutup aurat yang meliputi kewajipan mengenakan khimar (kain tudung): Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya. [TMQ An Nur (24):31]

Selain itu, kewajipan memakai jilbab juga terkena kepada wanita tatkala mereka berada di tempat umum, “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Al Ahzab (33):59].

“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haidh dan mengandung) yang tiada ingin menikah (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (luar) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan.” [TMQ An Nur (24):60].

Kehidupan khusus

Kehidupan khusus merupakan tempat atau  lingkungan  yang memerlukan keizinan daripada tuan punya tempat untuk memasuki tempat tersebut. Contoh tempat khusus ialah bilik peribadi, rumah, dan sebagainya termasuk kenderaan milik persendirian.

Sangat penting bagi kita untuk memahami bahawa dalam  kehidupan khusus,  wanita bebas untuk berpakaian selagi auratnya di hadapan mahram dan aurat di hadapan sesama wanita, sama ada Muslim atau bukan Muslim terjaga. Di sini, wanita boleh menzahirkan kecantikan dan perhiasan yang tidak boleh dilihat selain mahram atau wanita lain.

Seandainya tidak ada pengaturan tentang kehidupan khusus ini tadi, pastilah mudah berlaku kemaksiatan (pelanggaran hukum) apabila penceroboh memasuki rumah, kenderaan atau tempat persendirian tanpa izin.

i)    Perintah Meminta Izin Sebelum Memasuki Rumah

Secara umumnya, kes-kes pecah rumah dan kecurian yang berlaku di bandar menyebabkan rumah-rumah sering berkunci walaupun ada penghuni di dalamnya. Hal yang sama kurang diperhatikan di kawasan kampung kerana hubungan antara jiran setempat adalah lebih mesra. Senario ini menyebabkan ada sebahagian anggota masyarakat yang beranggapan mereka bebas ‘keluar masuk’ rumah orang lain sehingga menyebabkan berlaku kejadian yang tidak diingini apabila aurat wanita penghuni rumah terdedah kepada mahramnya atau yang bukan mahramnya disebabkan budaya ‘rumah kau  rumah  aku’ itu tadi. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.” [TMQ an Nur (24):27].

Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam juga telah mengingatkan melalui sabda baginda: “Siapa sahaja yang memasukkan pandangannya ke dalam rumah orang lain tanpa seizin penghuninya, bererti dia telah menghancurkan rumah itu.”  [HR at-Thabrani].

Peri pentingnya meminta izin dan mengucapkan salam ini ditegaskan menerusi hadis riwayat Abu Dawud: Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam “Adakah aku perlu meminta izin kepada ibuku?” Baginda menjawab, “Tentu sahaja”. Lelaki itu kemudiannya berkata, “Sesungguhnya ibuku tidak memiliki pembantu selain diriku. Lalu setiap kali aku masuk (rumah) mesti meminta izin? Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bertanya semula, “Adakah kamu suka melihat ibumu telanjang?” Lelaki itu pun berkata, “Tentu tidak”. Selanjutnya, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Kerana itu, mintalah izin kepadanya.”  [HR Abu Dawud]

Pengecualian daripada meminta izin sebelum memasukinya hanya jika rumah yang ingin dimasuki tidak didiami dan seseorang itu mempunyai keperluan atau sebab yang kuat untuk memasukinya. “Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu, dan Allah Mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”  [TMQ an Nur (24):29].

ii.    Perintah meminta izin untuk menziarah dalam tiga waktu

Islam juga mengatur privacy pasangan ibu bapa. Sebelum  anak-anak memasuki bilik atau kawasan yang telah dikhususkan bagi pasangan itu di dalam  rumah tersebut, mereka perlu meminta izin pada waktu-waktu tertentu. Allah telah menetapkan bahawa ada tiga ruang senggang waktu yang khusus dimana anak kecil pun perlu diajar untuk masuk dengan izin, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba sahaya (lelaki atau perempuan) yang kalian miliki  dan anak-anak yang belum baligh diantara kalian untuk meminta izin kepada kalian tiga kali (dalam sehari) iaitu; sebelum subuh- ketika kalian menanggalkan pakaian (luar), ditengahari dan sesudah solat Isya’. Itulah  tiga masa yang aurat bagi kalian. Tiadalah berdosa atas kalian dan tidak pula atas mereka diluar waktu itu. Mereka melayani kalian, sebagaimana kalian (ada keperluan) kepada sebahagian yang lain. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya kepada kalian, Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana. Jika anak-anak kalian telah baligh hendaklah mereka meminta izin sebagaimana orang-orang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah Maha Tahu dan Maha Bijaksana.” [TMQ An Nur (24): 58-59].

Tiga masa di atas adalah waktu aurat kerana pada ketika itu aurat banyak terbuka. Apabila pendidikan seperti ini ditanamkan kepada anak, maka dia akan menjadi anak yang memiliki sopan-santun dan menampilkan peribadi yang mulia. “Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada seorang tua kepada anaknya melebihi adab yang baik.” [HR Ahmad dan Tirmidzi].

Memahamkan anak tentang pentingnya meminta izin untuk menziarah atau masuk ke bilik ibu bapa dalam tiga waktu ini dilakukan seiring dengan perintah dalam hadis tentang pemisahan tempat tidur anak: “Perintahkanlah anak-anakmu dengan (menunaikan)solat pada umur 7 tahun. Dan pukullah mereka kerana (meninggalkan) solat pada umur 10 tahun , dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidurnya.” [HR Imam Ahmad , Abu Daud dan al-Hakim].

Ini adalah kerana usia antara 7-10 tahun merupakan usia ketika kanak-kanak mengalami perkembangan yang pesat. Anak mulai melakukan eksplorasi ke dunia luar sehingga dia tidak hanya berfikir tentang dirinya, tetapi dia juga berfikir berkenaan dengan sesuatu yang ada di luar dirinya. Pemisahan tempat tidur merupakan usaha untuk menanamkan kesedaran pada anak tentang kewujudan dirinya. Jika pemisahan tempat tidur tersebut terjadi antara dirinya dan orang tuanya, sekurang-kurangnya anak telah dilatih untuk berani berdikari. Anak juga dicuba untuk belajar melepaskan perilaku lekatnya dengan kedua ibu-bapanya (attachment behaviour). Jika pemisahan tempat tidur dilakukan terhadap anak dengan adik-beradiknya yang berbeza jantina, secara langsung dia diberi pendedahan sehingga timbul  kesedarannya tentang wujudnya perbezaan jenis kelamin.

Selain ulasan berkenaan pengaturan tentang anak-anak yang masih belum baligh, kita juga perlu memahami beberapa golongan manusia yang mempunyai status sama seperti mahram kepada wanita,sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah An Nur ayat 31:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) tampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-sahaya yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” [TMQ An Nur (24) :31].

Daripada Surah an-Nur di atas, jelas bahawa golongan yang dimaksudkan adalah:

  1. Hamba sahaya sama ada lelaki atau wanita.
  2. Orang-orang yang tidak memiliki keinginan seksual terhadap wanita seperti orang-orang tua.
  3. Orang yang menghidap penyakit dementia (nyanyuk).
  4. Orang yang telah dikembiri/dimandulkan
  5. Orang yang telah terpotong alat kelaminnya.
Justeru, hanya orang-orang yang disebutkan di atas yang boleh melihat aurat wanita dalam kehidupan khusus sebagaimana aurat wanita itu di hadapan mahramnya atau di hadapan wanita lain sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Khatimah

Manusia diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Taala dengan naluri-naluri (gharaiz) dan salah satu daripada naluri ini adalah naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizah an-nau’) termasuklah keinginan terhadap lawan jenis. Hukum-hakam yang diturunkan oleh Sang Pencipta Azza wa Jalla bukanlah untuk menyusahkan manusia sebaliknya diturunkan kepada manusia untuk memastikan kewujudan naluri ini tadi dapat dipenuhi atau dikekang berlandaskan hukum syara’ agar memberi ketenangan dan kesejahteraan kepada manusia sama ada lelaki atau wanita.

Memahami kehidupan khusus dan lain-lain hukum yang terkait dengannya seperti kewajipan menjaga pandangan, menutup aurat iaitu mengenakan tudung dan jilbab, menghindari khalwat, dan lain-lain akan dapat memastikan taqwa dan ‘iffah  seorang muslim terjaga. Keadaan ini dapat menghindarkan kita daripada sebarang pelanggaran hukum seperti rogol, zina, sumbang mahram dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, hanya kewujudan Islam secara kaffah dalam sebuah negara iaitu melalui Daulah Islamiyyah akan dapat memastikan kesejahteraan umat secara menyeluruh. Kesejahteraan ini dapat dirasakan tatkala penerapan seluruh hukum syarak oleh Daulah Islamiyah kerana adanya penguatkuasaan oleh pemerintah tentang kewajipan menutup aurat, pelaksanaan sistem uqubat termasuk hudud, qisas, takzir dan mukhalafah. Daulah Islamiyah akan memastikan bahawa sesuatu permasalahan seperti kes rogol, zina dan sumbang mahram tidak hanya menumpukan usaha terhadap hukuman dan pencegahan semata-mata, sebaliknya segala daya usaha yang ditumpahkan untuk menyelesaikan suatu permasalahan adalah untuk meraih redha Allah Subhanahu wa Taala semata-mata. Wallahu ‘alam bisshawab.


Terjemahan: Surat Dari Ayah

Bismillahirrahmanirrahim

Anakku yang tercinta,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ucapan terbaik dan ucap selamat yang terindah serta kerinduan yang terhangat ayah kirimkan buatmu melalui cairan wangi dengan memohon kepada Yang Maha Kuasa agar  kiriman ini sampai kepadamu dalam keadaan dirimu sihat serta tenang dan berbahagia. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan permohonan.

 Pengantin kami yang dikasihi,

Suratmu telah sampai kepada ayah semalam, sayang. Ketika ayah membacanya, bergenanglah mata ayah dengan limpahan air mata yang tidak ayah ketahui sebabnya. Ayah tidak biasa menangis ketika membaca surat. Ayah juga tidak pernah rasa menderita sebegini. Namun, surat ini menjadi surat pertama yang menggoncang perasaan ayah, mengalirkan air mata ayah serta menggerakkan jiwa sanubari ayah. Namun, ayah tidak tahu adakah perasaan ini disebabkan oleh kamu, anak ayah tersayang yang akan bermula kehidupan baru yang terpisah dari ayah? Atau perasaan ini disebabkan oleh kamu, kekasih ayah yang amat berharga di hati ayah, malah ayah sering khuatir, hembusan bayu akan menyakitimu.
 
Bagaimanalah tidak kerana ayah melihatmu akan menempuh gerbang kehidupan barumu. Ayah berharap daripada segenap jiwa raga ayah dan ayah berdoa kepada Allah SWT setiap pagi dan petang agar Allah melimpahkan kebahagiaan dan keharmonian meneduhi alam barumu itu. Ayah jua berdoa kepada Allah SWT agar teman usia dan kehidupanmu adalah sebaik-baik suami dan teman. Semoga dia diliputi rasa simpati, kasih sayang, belas dan cinta sepertimana ia peroleh di rumah tempat tumbuhnya, sangkar tempat asal dan tempat membesarnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan doa.
 
Anakku yang dihargai,

Ayah berasa bangga menuliskan kepadamu surat ini tatkala dirimu sedang di ambang kehidupan baru. Jikalah bukan kerana berpisah dari rumah kedua orang tua ke rumah suami merupakan sunnatullah pada makhluk ciptaan-Nya, dan sunnah yang telah ditentukan ke atas semua, tidaklah ayah benarkan seorang pun di dunia ini untuk memisahkan kita. Tetapi apalah helah ayah sedangkan Allah SWT telah menghendaki hal ini sejak dari azali lagi dan sunatullah ini akan tinggal kekal pada makhluk-Nya sehingga Allah mewariskan bumi ini dan mereka yang ada di atasnya. Hanya dengan sebab itu sahaja ayah membenarkan orang lain untuk membawamu ke rumahnya dan menyimpanmu dalam sangkarnya.
 
Meski apa pun yang ayah katakan dan tuliskan…ayah tidak akan mampu untuk menyingkap segalanya yang tersembunyi di hati ayah.Oleh itu, ayah menuliskan kepadamu surat ini yang mengandungi beberapa nasihat yang ayah peroleh daripada kehidupan ini sementara dirimu sedang memasuki alam tugasmu yang asal, iaitu untuk menjadi ibu dan pengatur rumah tangga dan beroleh kemerdekaan dalam hidup.
 
Anakku yang disayangi,

Ayah ingin menulis kepadamu beberapa nasihat untuk kau amalkan dan kau lakukan sebaik mungkin terhadap pasangan hidupmu. Sesungguhnya ayah impikan kebahagiaan, ketenangan dan keharmonian memayungi sangkar kecilmu yang ayah harap akan menjadi besar dengan adanya anak-anak yang soleh dan solehah.
Ketika kau membaca surat ini, janganlah kau tergesa-gesa dan janganlah kau tanggapi topik-topik pembicaraan ayah dengan pandangan pertamamu, bahkan berulangkalilah membacanya. Perhatikannya berkali-kali sebelum dan selepas perkahwinanmu. Masa akan menyingkapkan kepadamu banyak perkara yang akan ayah nyatakan nanti. Ayah telah memahami pemerhatian ini dari berita-berita yang ayah dengar dari orang ramai secara umum. Dan jua apa yang ayah telah hadapi, perhatikan dan lalui dalam kehidupan berumahtangga ayah dalam tempoh masa hampir lapan belas tahun.

Pada masa yang sama, ayah sesungguhnya tidak menyatakan bahawa ayah telah sangat arif dengan semua permasalahan yang kadang terjadi dalam kehidupan berumahtangga, antara  suami  dan isteri, kerana mengetahui semua perkara itu hanyalah sifat Allah Tuhan sekelian alam. Tetapi ayah katakan bahawa ayah hampir mengetahui perkara yang penting dan tampak menonjol dan yang kadangkala nampak seolah-olah kecil dan remeh tetapi memiliki pengaruh yang besar terhadap perjalanan hidup berumahtangga dan hampir memusnahkan mereka jika tidak ada beberapa hikmah, sikap sabar serta tabah dan panjang fikiran.

 Demikian juga, sesungguhnya kehidupan sentiasa berubah dan dipengaruhi oleh situasi di dalamnya dengan begitu jelas dan nyata sekali. Kadangkala situasi ini berbeza antara satu keluarga dan keluarga yang lain dan dari satu lingkungan kehidupan dengan yang lain, juga dari satu negara dari negara yang lain dan seterusnya.

Namun, masih ada di sana beberapa perkara yang jelas masih kekal. Berdasarkan muqaddimah  atau pengantar yang sederhana ini, ayah ringkaskan kepadamu perkara-perkara penting ini yang ayah harap kau dapat fikir dan perhatikan dengan sepenuh-penuh perhatian:

1. Kehidupan berumahtangga yang kau dirikan haruslah didasarkan pada sifat saling faham-memahami dan berkasih sayang. Oleh itu, wanita hendaklah menghulurkan keramahan, cinta dan kasih sayang sejati buat suaminya. Kata-kata ini bukan semata omong kosong yang sering diulang oleh suami atau isteri. Bahkan ia adalah payung yang bernaung di bawah bayangnya kedua-dua pasangan itu.

 Hendaklah setiap daripada suami dan isteri merasai kehangatan, kejujuran dan dalamnya cinta mereka. Jauhilah dan jauhilah dari menggambarkan bahawa kehidupan berumahtangga ditegakkan atas kalimah-kalimah kosong dan bisu  yang kehilangan maknanya seiring berlalunya masa. Konsepnya juga musnah dengan diulang-ulang sebutannya  sempena ada  atau tidak acara tertentu. Kedalaman, kejujuran dan kehangatan cinta itulah asal bagi kehidupan berumahtangga.

 2. Setiap daripada pasangan, suami dan isteri, lelaki dan wanita, wahai anakku yang mulia.. ada batasan…yang masing-masing wajib patuhi. Apabila setiap orang mengetahui batasannya dan dipatuhinya, semua urusan akan berjalan lancar dan semua kesusahan akan dapat diatasi secara automatik.
 
Perkara pertama yang perlu diketahui oleh isteri adalah bahawa suaminya merupakan pemilik kepimpinan di rumah. Solahiyyah sepatutnya diagihkan secara adil sebagaimana perintah Allah SWT. Wanita adalah ibu dan pengatur rumahtangga. Rumahnya adalah kerajaan kecilnya yang dia kendalikan dan dia bersemayam di situ. Sementara suami, kerajaannya adalah di luar rumahnya, tempat dia melaksanakan semua tugasnya.

Demikianlah Rasulullah Sallahu wa Sallam menentukan kepada Fatimah dan Ali k.aw. Bahawa Fatimah wajib melaksanakan semua tugas di dalam rumah sementara Ali menjalankan semua tugas di luar rumah.
 
3.       Wahai sayangku, ketika dirimu di ambang kehidupan baru, jauhilah dari menyangkakan bahawa suami atau rumahtangga adalah seperti ayah atau rumah ayah. Dalam rumah ayah, kau boleh meminta apa sahaja yang kau inginkan tanpa susah payah  dan adakalanya kau marah dan gelisah. Tetapi di rumah suamimu, kau tidak boleh melakukan hal itu sama sekali. Oleh yang demikian, jauhilah dari banyak meminta, bahkan permintaanmu itu wajiblah dalam batas yang masuk di akal dan perkara yang kau benar-benar perlukan. Kemudian, ada sebabnya bagi sesuatu permintaanmu itu, tidak semua masa sesuai untuk kau meminta. Oleh itu kau mestilah cerdik supaya kau mengerti masa-masa yang paling sesuai untuk permintaanmu itu, seterusnya permintaanmu itu perlulah dalam batas yang logik, yang pendapatan atau gaji suamimu boleh menampungnya.

Banyak meminta dari suami akan membawa kepada kebosanan dan kejemuan serta perasaan tidak dihargai terhadap tanggungjawab atau situasi-situasi umum.
 
4.  Sesungguhnya ketaatan kepada suami termasuk ketaatan kepada Allah. Oleh itu, hendaklah kau taati semua yang dipinta oleh seorang suami terhadap isterinya kerana Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat akan melaknatnya hingga ia kembali semula ke rumah.” Dari hadith ini jelaslah bahawa ketaatan adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan berumahtangga.

Sesungguhnya ketika ayah menceritakan tentang ketaatan, ayah tidak bermaksud kau harus taat pada semua perkara, tetapi hanya terhad pada perkara yang halal, yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Jangan kau taat pada perkara yang haram selama-lamanya kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tiada ketaatan terhadap makhluk pada perkara maksiat kepada al-Khaliq.” Oleh itu, kau wajib berlaku taat dalam batasan yang halal dan tidak melampaui pada yang haram. Jika seorang suami, atau makhluk lain memerintahkan kepada perkara yang haram, janganlah langsung kamu taatinya.
 
5.  Sentiasalah kau beri perhatian terhadap suamimu. Perlihatkan penjagaanmu dan kepedulianmu yang ikhlas padanya. Tidak seharusnya seorang wanita itu mengabaikan perhatian, penjagaan dan keprihatinan terhadap suaminya meski bagaimana keadaannya.
 
6.   Jauhilah dirimu dari menampakkan keluhan dan kebosanan dengan jelas dan berulang kali. Jauhilah anakku, jauhilah. Bahkan kau sepatutnya sentiasa dilihat tersenyum malu, berseri wajah, ceria dan gembira. Penuhilah wajahmu dengan senyuman meski bagaimana teruk keadaan hari yang kau lalui.

Banyak mengeluh dan menunjukkan bosan akan  seterusnya menyebabkan  suamimu akan mengeluh sendiri dengan keluhanmu itu dan bosan dari rasa bosanmu itu, yang  membawa kepada natijah yang negatif dan buruk yang tiada siapa mengetahuinya melainkan Allah. Hal itu bergantung kepada bagaimana dia dapat mengelola dan mengekang perasaannya dengan baik.
 
7.  Anakku yang dicintai, jauhilah dari dilihat tidur atau masuk tidur sebelum suamimu. Tetapi jadikan tidurmu selepas ia berasa tenang dan naik ke tempat tidurnya. Jangan tidur lebih awal darinya, tetapi tunggulah suamimu walaupun dia lewat sampai ke rumah. Barangkali dia memerlukan sesuatu darimu seperti  menghidangkan makanan untuknya atau melayannya.
 
8.  Jauhilah wahai anakku dari menggesa suamimu agar memberikanmu laporan terperinci mengenai apa yang terjadi padanya pada siang hari dalam pekerjaannya dan hubungannya dengan orang lain. Kehidupan berumahtangga bukanlah laporan-laporan yang perlu dikemukakan kepada di penghujung siang dan di awal malam, bukan juga menyingkap akaun oleh suami untuk dikemukakan kepada isterinya.

Sekiranya suamimu membuka sesuatu hal kepadamu, terimalah dan tenangkanlah dia. Jika tidak jangan kau bertanya-tanya. Ramai lelaki bahkan sebahagian besar mereka tidak suka dilihat-lihat rahsianya oleh orang terdekatnya walaupun isterinya. Jika kau melakukan hal itu dan  kau menggesanya, dia akan merasa lelah terhadapmu atau mula menjauh dan menghindar diri darimu. Maka janganlah asyik menggesanya kepada situasi seumpama ini selama-lamanya.
 
9.  Janganlah wahai anakku, kau duduk bersamanya sekembalinya ke rumah, kau kemukakan kepadanya laporan terperinci mengenai apa yang berlaku padamu pada siang hari, apa yang dikatakan oleh si fulanah ini dan si fulanah itu. Ataupun pakaian apa yang dipakai oleh si fulanah jiranmu, apa yang dibelinya atau barang apa saja yang dibawanya dari pasar. Ramai lelaki tidak suka mendengar perkara-perkara ini. Jika dia mendengarkan darimu buat pertama kalinya, sebenarnya dia mendengarnya dengan rasa enggan. Jika dia menanyakan lebih lanjut kepadamu, barangkali dia cuba memahamkanmu tetapi dia selanjutnya akan berkata kepada dirinya sesungguhnya dia ini manusia remeh, bicaranya tidak lebih dari  bercerita mengenai jiran-jiran. Perkataan manusia yang lebih dari ini termasuk mengumpat, memfitnah dan membuka aib (rahsia) orang lain.

Jika kau wahai anakku mendengar sesuatu atau seseorang berkata sesuatu kepadamu, hendaklah kena pada masanya kemudian letaknya di sudut-sudut lupa pada otakmu.
 
10.   Sesungguhnya kehidupan berumahtangga ini wahai anakku, kadangkala dipenuhi oleh pelbagai perkara. Janganlah kau terlalu ambil peduli. Jika suamimu marah dan bercakap dengan kata-kata yang kadangkala tidak kena tempatnya, berdiam dirilah sehingga dia berasa tenang. Dan ketika dia telah tenang, dia akan mula memuhasabah dirinya sendiri dan akan kembali kepada kebenaran meski bagaimana degil pun dia.

Sementara jika dia berbicara dan kau pun berbicara, bertambah rumitlah masalah. Tali tidak boleh ditarik kuat dari kedua-dua belah pihak. Jika dia marah, jauhilah diri darinya. Pergi ke dapur dan buatlah secangkir kopi, hidangkan padanya dengan senyuman manis dan kemaafan yang lembut. Demikianlah kau akan menjadi hebat pada matanya, dan bertambah kukuh kedudukanmu di hatinya.
 
11.   Jika dia menyertakanmu dalam satu pembicaraan dan dia sedang berkata, janganlah kau memotong kata-katanya, atau bercakap mewakilinya kerana hal ini akan menyebabkannya berasa marah. Diamlah sahaja sehingga dia selesai berbicara. Jika kau ada perkara yang ingin ditambah pada bicaranya, katakanlah. Jika tidak, maka berkata itu adalah perak sedangkan diam itu adalah emas.

Akhirnya, harapan dari lubuk hati ayah dan juga doa-doa ayah kepada Allah agar Alalh membantumu dan melimpahi kebahagiaan ke dalam rumah barumu. Sehingga bertemu lagi insyaAllah dalam surat selepas perkahwinan.