Fikratul Ummah – Julai 2014
MUQADDIMATUL KALAM
Oleh : Editor
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan, Ramadhan al-Mubaarak... Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kita dipertemukan sekali lagi dengan bulan Ramadhan, penghulu segala bulan.
Pembaca yang dirahmati Allah SWT,
Pada bulan ini, kita akan menyaksikan ramainya umat Islam yang berlumba-lumba memperbanyak tadarus al-Quran, berzikir, bersedekah, solat terawih, menutup aurat, mendengar tazkirah sehingga sangat-sangat terasa suasana ketenangan hidup yang didambakan sebagai seorang hamba Allah SWT. Sehinggakan kita tidak mahu Ramadhan berlalu meninggalkan kita untuk melalui rancah kehidupan yang penuh dengan ancaman noda dan nista. Namun, sudah sunnatullah, Ramadhan tahun ini tetap akan pergi jua. Antara yang tinggal untuk kita ialah satu amalan yang jika kita konsisten melakukannya, kita akan dapat merasakan suasana yang sama sepanjang masa seperti pada bulan Ramadhan iaitu berdakwah. Berdakwah ialah satu tugas mulia yang turut dijanjikan kebaikan oleh Allah SWT. FirmanNya, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ ali-Imran (3):104]
Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia telah dan sedang berusaha untuk meyakinkan kalian serta menyeru kalian agar bersama-sama kami dalam melaksanakan amalan mulia ini. Sambutlah seruan dan marilah berjuang bersama-sama kami untuk mengembalikan semula kemuliaan Islam. Kemuliaan Islam hanya akan terhasil dengan diterapkan seluruh syariat ciptaan Allah SWT sebagai pengatur urusan kehidupan dengan tertegaknya sebuah sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah. Ketahuilah hanya Islam yang layak dijadikan ideologi bagi setiap individu, masyarakat dan negara, bukannya sistem demokrasi-kapitalis atau sistem buatan manusia lainnya. Semoga Allah SWT memberi kesempatan kepada kita untuk menempatkan diri sebaris dengan golongan-golongan yang berjuang untuk menegakkan syariatNya. Firman Allah SWT, “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah sepenuhnya kepada Allah)” [TMQ Fussilat (41):33].
Dari Qutbah bin Malik r.a bahawasanya Nabi SAW berdoa,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari hal-hal yang mungkar baik berupa akhlak, perbuatan mahupun hawa nafsu”
[HR. Tirmidzi no. 3591. Ia berkata: Hadits ini hasan]/
Oleh :
Rahmah Nadzri
Ketua MHTM Perak
Muqaddimah
Alhamdulillah, kita kini berada dalam bulan Ramadhan. Pada bulan ini, Allah SWT mewajibkan setiap orang beriman untuk melaksanakan ibadah puasa, sebagaimana firmanNya yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2):183]
Sebagaimana lazimnya, sudah pasti kita mahu mengisi Ramadhan ini dengan berlumba-lumba beramal bagi meraih darjat takwa tersebut. Contohnya, Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan ialah orang yang paling dermawan. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra. ia berkata, “Adalah Rasulullah SAW orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan. Iaitu ketika Jibril menemuinya pada setiap malam untuk mentadaruskan beliau Al-Quran dan benar-benar Rasulullah lebih dermawan tentang kebajikan (cepat berbuat kebaikan) melebihi kecepatan angin yang bertiup” [HR Bukhari]
Ramadhan Bulan Beramal
Bulan Ramadhan penuh dengan keberkatan, keampunan, rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Ini kerana terdapat banyak keutamaan dan keistimewaan di dalamnya. Rasulullah SAW bersabda, “Di bulan ini dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat serta dirantai syaitan-syaitan. Di bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Akan tetapi, barang siapa yang terhalang mendapatkan kebaikan di bulan ini, maka sungguh merugilah ia” [HR Imam Ahmad dari Abu Hurairah].
Allah SWT berjanji akan mengampuni dosa-dosa hambaNya apabila mereka segera bertaubat dan memohon keampunan dariNya. Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan iman dan penuh pengharapan serta ketulusan, nescaya Allah akan mengampuni segala dosa-dosanya yang lalu” [Muttafaq ’alaih].
Itulah antara beberapa keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan yang sesungguhnya tidak terhitung banyaknya. Rugilah bagi orang-orang yang tidak mendapat apa-apa selama berpuasa di bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda, “Berapa banyak orang yang berpuasa, namun mereka tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya, kecuali hanya sekadar lapar dan dahaga” [HR Ibnu Majah].
Satu perkara lagi yang mesti dihayati oleh umat Islam selain keberkatan bulan Ramadhan ialah puasa itu sendiri. Bagi orang-orang yang beriman, puasa bukanlah semata-mata menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari, akan tetapi, ia lebih jauh daripada itu. Mereka mesti menahan diri daripada perbuatan dan ucapan yang tidak ada manfaatnya. Di samping itu juga, mereka mestilah sentiasa berusaha menjadi orang yang produktif dan aktif dalam menebarkan kebaikan di tengah-tengah masyarakat sepanjang masa supaya seluruh masyarakat dapat merasakan indahnya hidup dalam naungan Islam seperti indahnya hidup dalam keberkatan Ramadhan. Persoalannya, bagaimanakah caranya?
Amalan Lebih Utama
Dalam kesibukan mengumpul pahala melalui pelbagai ibadah ritual seperti solat sunat terawih, bertadarus al-Quran, qiamullail dan sebagainya, umat Islam mestilah sedar bahawa masih ada anggota masyarakat di luar sana yang hidup bergelumang dengan kemaksiatan kepada Allah SWT, tanpa mengira masa. Lihat sahaja bagaimana media massa tanpa henti melaporkan kes buang bayi yang secara tak langsung menunjukkan peningkatan kes zina, juga kes-kes wanita dan kanak-kanak dirogol, diragut, diculik dan dibunuh. Tidak cukup dengan apa yang terjadi di depan mata, saudara-saudara seakidah di tempat-tempat lain pula diseksa malah dibunuh dengan kejam akibat persengketaan dan konflik yang hingga kini masih tidak berkesudahan.
Fenomena-fenomena di atas adalah senario yang telah dan sedang berlaku dan nampaknya akan terus berlaku apabila hukum Islam tidak diterapkan, namun sekadar diamalkan secara sebahagian sahaja seperti aspek ibadah dan akhlak. Sedangkan dalam aspek kehidupan yang lain yang meliputi sistem-sistem termasuklah sistem pemerintahan, semuanya digantikan dengan sistem demokrasi-kapitalis yang berasal dari Barat yang bertentangan sama sekali dengan Islam. Dalam erti kata lain, umat Islam hanya mengambil Islam sebatas aspek kerohanian, namun dalam aspek yang lebih besar dan menyeluruh yang menyentuh mabda’ (ideologi) atau way of life (cara hidup), ideologi Kapitalisme Barat telah dijadikan sebagai pengatur urusan kehidupan.
Padahal umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT untuk menjadikan Islam sebagai sebuah sistem yang mengatur seluruh aspek kehidupan iaitu Islam mestilah dipraktikkan dalam urusan ibadah khusus (solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain) dan aspek muamalat (ekonomi, pemerintahan, pergaulan, polisi pendidikan dan polisi luar negara) serta uqubat (hukuman). Menjadikan Islam sebagai pengatur dan penyelesaian hal ehwal kehidupan manusia merupakan perintah daripada Pencipta manusia, alam semesta dan kehidupan iaitu Allah SWT. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhan), dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ al-Baqarah (2):208].
Tanpa penerapan Islam secara kaffah, ramai Muslim yang tidak segan silu bermaksiat kepada Allah SWT seperti tidak menutup aurat, terlibat dengan riba, rasuah dan banyak lagi. Para pemimpin umat Islam pula lebih besar lagi kemaksiatannya dengan tidak menerapkan hukum-hukum Allah SWT di dalam pemerintahan. Tanpa kewujudan sistem Islam, sebahagian besar umat Islam terus hanyut dalam arus kemaksiatan tanpa dapat dibendung. Lebih teruk lagi, masyarakat secara umum menjadi terbiasa hidup dengan kemaksiatan sehingga ada yang menganggap bahawa hal itu memang lumrah dalam kehidupan zaman moden dan pasrah dengannya.
Bertitik tolak daripada fakta-fakta inilah, umat Islam yang masih ada kesedaran dan keikhlasan seharusnya melaksanakan satu amalan yang lebih utama iaitu berdakwah dengan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Dakwah adalah satu kefardhuan dan ia wajib dilakukan secara benar dan konsisten mengikut jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Dakwah yang dilakukan mestilah bertujuan untuk menukar keadaan yang buruk ini dan menukar masyarakat yang hidup dalam sistem yang serba rosak ini menjadikan mereka sebagai masya¬rakat Islam iaitu masyarakat yang terdiri daripada individu-individu dengan perasaan, pemikiran dan peraturan Islam dan hidup dalam sebuah negara yang menerapkan syariat Islam. Inilah caranya untuk menebarkan kebaikan di tengah-tengah umat agar seluruh manusia, Muslim dan non-Muslim, merasakan indahnya hidup dalam naungan syariat Islam.
Walau bagaimanapun, hidup yang indah itu hanya dapat dirasakan secara nyata dengan tertegaknya sistem pemerintahan yang mengikuti thariqah (metodologi) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam bingkai sebuah negara, Daulah Islamiyyah. Ini adalah kerana hanya dalam Daulah Islamiyyah sahajalah, sebuah masyarakat yang hidup dengan memiliki perasaan, pemikiran dan peraturan yang sama akan dapat direalisasikan.
Khatimah
Ketibaan bulan Ramadhan sewajarnya disambut oleh umat Islam dengan berlumba-lumba beramal demi meraih pahala yang dijanjikan Allah SWT. Namun sayangnya, sebagaimana lazimnya yang kita dapat saksikan, suasana sebegini hanya dapat dirasakan di bulan Ramadhan selama sebulan. Setelah berlalunya Ramadhan, semangat dan keimanan seperti ini semakin luntur dan kemaksiatan serta kemungkaran akan kembali menguasai. Oleh itu, sedarlah dan marilah jadikan Ramadhan kali ini sebagai momentum perjuangan kita dalam berdakwah untuk mengembalikan kehidupan Islam sebagai sebuah ideologi dalam bingkai Khilafah Islamiyyah. Sedarlah bahawa dengan Khilafah Islamiyyah sahajalah kita akan dapat merasakan keamanan, kesejahteraan dan keberkatan daripada Allah SWT pada setiap masa (tidak hanya di bulan Ramadhan) kerana Khalifah akan istiqamah dalam menerapkan syariat Allah SWT.
Rujukan:
1. Ayat-ayat Al- Quran dan Hadis
2. Ahmad Mahmud, Dakwah Islam, Pustaka Thariqul Izzah, 1423H/2002M.
Oleh:
Ustazah Husna
Aktivis MHTM
Muqaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita diberi kesempatan untuk bertemu lagi dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT. Berpuasa bagi mereka yang berlandaskan keimanan dan keikhlasan kepada Allah SWT, maka dengan izinNya, dosa-dosa mereka akan diampunkan seperti bayi yang baru dilahirkan. Bukan itu sahaja, Allah juga menganugerahkan satu malam di bulan Ramadhan ini yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan untuk umat Islam beribadah di dalamnya. Jadi, tidak hairanlah jika orang-orang Mukmin yang Mukhlis sentiasa berlumba-lumba untuk meraih segala kebaikan yang ada di bulan yang mulia ini.
Berlumba-Lumba Dalam Kebaikan
Perintah Allah untuk berlumba-lumba dalam kebaikan merupakan benteng daripada perbuatan berlumba-lumba dalam kemaksiatan dan urusan dunia kerana ia merupakan kecenderungan manusia untuk mengejar kenikmatan dunia yang menggiurkan seperti yang dibimbangi oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda, “Bukanlah kefakiran yang sangat aku khuatirkan terjadi pada kalian, tetapi aku sangat khuatir jika (kesenangan) dunia dibentangkan luas atas kalian, kemudian kerananya kalian berlumba-lumba untuk meraihnya sepertimana yang pernah terjadi pada orang-orang sebelum kalian. Maka akhirnya kalian binasa sebagaimana mereka juga binasa kerananya” [HR Bukhari dan Muslim].
Para sahabat sentiasa berusaha untuk berlumba-lumba dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT. Contohnya, Saidina Abu Bakar RA dan Umar al-Khattab RA. Pada suatu hari, Rasulullah SAW meminta para sahabatnya untuk menginfakkan apa yang dimilikinya daripada harta, makanan dan senjata yang boleh dimanfaatkan dalam perang. Maka dengan spontan Umar al-Khattab RA berkata kepada dirinya, “Demi Allah, saya akan mendahului Abu Bakar dalam kebaikan ini”. Umar yakin bahawa dirinya mampu menginfakkan lebih baik daripada Abu Bakar. Kemudian ia membahagikan hartanya menjadi dua bahagian; satu bahagian untuk keluarganya dan satu bahagian lagi diserahkan kepada Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW tersenyum bangga melihat perilaku sahabatnya dan memujinya. Namun tidak berapa lama kemudian, datanglah Abu Bakar dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah SAW tersenyum bangga seraya bertanya kepadanya, “Lantas apa yang engkau sisakan untuk keluargamu?” Dengan yakin dan penuh tawakkal, Abu Bakar menjawab, “Saya tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”.
Demikianlah sikap golongan abrar (orang-orang yang melakukan kebajikan) daripada para sahabat terkemuka Rasulullah SAW. Allah memuji mereka dalam firmanNya,
“Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, mereka paling dulu (masuk syurga).Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah)” [TMQ al-Waqi’ah (56):10-14].
Demikianlah sikap berlumba-lumba untuk meraih syurga Allah adalah dengan bersegera melakukan kebaikan dan ketaatan, kerana setiap Muslim memang dituntut untuk berpacu membuka pintu-pintu kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ada beberapa amalan yang harus dipelihara dan ditingkatkan di bulan Ramadhan yang penuh berkah ini. Antaranya ialah:
1. Menjadikan diri kita lebih dekat dengan al-Quran
Bulan Ramadhan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan al-Quran kerana pada bulan inilah al-Quran pertama kali diturunkan. Oleh kerana itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan membaca al-Quran. Selain mendapat ketenangan jiwa, syifa (ubat), amalan ini juga memiliki nilai pahala yang besar di sisi Allah SWT. Kebiasaannya umat Islam akan berusaha memperbanyakkan membaca bahkan mengkhatamkan al-Quran pada setiap kali datangnya Ramadhan.
Namun, kecintaan terhadap al-Quran tidak cukup hanya dengan pembacaan sahaja tetapi harus dibuktikan dengan pengamalan terhadap seluruh isi kandungannya, mempelajari, mentadabur dan menzahirkan keimanan terhadap isi kandungan al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan. Itulah yang paling dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri pernah mengadu kepada Allah SWT, terhadap sikap pengabaian umatnya terhadap al-Quran. Firman Allah SWT, “Dan berkatalah Rasul: Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sesuatu yang tidak diacuhkan” [TMQ al-Furqan (25):30].
Imam Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menyebutkan bahawa yang termasuk sikap tidak acuh terhadap al-Quran (min hujraani al-Quran) adalah tidak mempelajari dan tidak mengkaji al-Quran, tidak mengimani dan tidak membenarkannya, tidak memahami isi kandungannya, tidak mengamalkan, tidak mentaati perintah-perintahnya dan tidak menjauhi larangan-larangan yang terdapat di dalamnya. Semua ini termasuk meninggalkan al-Quran dan mereka telah menggantikannya dengan cara yang lain seperti syair, ucapan, nyanyian, permainan, sistem serta jalan hidup yang tidak bersumber daripadanya (Lihat: Tafsir al-Quran al-’Adzim libni Katsir, juz 3, hal. 386).
2. Qiyamullail dan beri’tikaf
Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang berdiri (melaksanakan solat malam) pada bulan Ramadhan, dengan berlandaskan keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”
[HR Bukhari dan Muslim].
Al-qiyam (berdiri) dalam hadis ini bermaksud solat tahajud, termasuk solat terawih yang biasa dilakukan secara berjemaah. Imam an-Nawawiy memberi tajuk hadis ini dengan: baab at-targiib fii qiyaamu ramadhan wa hua at-taraawih (bab anjuran untuk melakukan qiyam Ramadhan, iaitu solat terawih).
Para ulama telah sepakat bahawa solat malam hukumnya sunnah, namun mereka berbeza pendapat, mana yang lebih afdhal dilakukan sama ada secara bersendirian di rumah atau secara berjemaah di masjid. Jumhur as-Syafi’iyyah, Imam Ahmad, Abu Hanifah dan sebahagian mazhab Maliki berpendapat bahawa solat berjemaah di masjid lebih afdhal, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Umar Ibnu al-Khattab dan para sahabat setelahnya, kerana dengan cara berjemaah syiar Islam akan lebih jelas kelihatan (Syarhun Nawawiy Li Muslim, juz 6, hal. 39). Lebih-lebih lagi bagi orang-orang yang masih memiliki perasaan berat apabila melakukannya sendirian di rumah.
Pada ‘asyrul awaakhir (sepuluh hari terakhir) dalam bulan Ramadhan, inilah waktu yang dinantikan untuk meningkatkan frekuensi ibadah. Selain solat malam, disunnahkan beri’tikaf di masjid. Dalam hadis riwayat Anas, ia menuturkan, “Rasulullah SAW beri’tikaf pada al-‘Asyrul Awaakhir daripada bulan Ramadhan” [HR Tirmidzi].
Dalam hadis lain, Imam Bukhari meriwayatkan bahawa, “Nabi SAW apabila memasuki sepuluh akhir (daripada bulan Ramadhan), beliau mengencangkan sarung, menghidupkan malam-malamnya dan membangunkan keluarganya”
[HR Bukhari].
Oleh yang demikian, adalah tidak tepat sekiranya kita hanya mengkhususkan malam tertentu demi mendapatkan lailatul qadar. Imam Ibnu Hajar memberi penjelasan terhadap hadis: “man qaama lailatal qadri (barang siapa yang melaksanakan solat pada malam lailatul qadar)”, bahawa siapa sahaja yang melakukannya walaupun tidak tepat pada malam lailatul qadar sungguh ia telah mendapatkan keutamaanya (pahalanya). (Fathul Bari Libni Hajar, juz 6, hal. 306).
3. Memperbanyakkan sedekah
Terdapat banyak ayat dan hadis yang mendorong kita agar banyak bersedekah, khususnya di bulan Ramadhan. Allah SWT berfirman, “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah Mengetahui” [TMQ Ali-Imran (3):92].
Infak atau sedekah yang dimaksud dalam ayat ini ialah sedekah dengan harta (ash-sodaqah al-maliyah), baik dengan cara membelanjakan kepada fakir miskin, memberi makan kepada orang-orang yang berbuka, sehinggalah infak dalam jihad di jalan Allah SWT, sebagaimana yang pernah dicontohkan oleh Rasulullah SAW beserta para sahabatnya.
Dalam sirah ditemukan bahawa pada Ramadhan pertama, mereka telah menjalaninya dengan pengorbanan yang luar biasa untuk mempersiapkan perang Badar al-Kubra. Jiwa dan harta mereka menjadi taruhan Ramadhan pertama, dalam menyambut seruan Allah SWT untuk berjihad di jalanNya. Namun, bagi yang belum memiliki kelebihan harta, Allah SWT telah memberikan jalan lain kepada setiap Muslim untuk tetap boleh bersedekah.
Rasulullah SAW bersabda, “Pada setiap pagi, pada tiap-tiap ruas persendian di antara kalian memiliki hak, iaitu sedekah. Setiap tasbih (subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar ma’ruf termasuk sedekah, mencegah daripada kemungkaran termasuk sedekah dan solat dhuha dua raka’at juga mencakupi amaliyah-amaliyah tersebut” [HR Muslim].
4. Memperbanyakkan berdoa
Doa merupakan senjata bagi orang yang beriman. Doa memang tidak semestinya dilakukan di bulan Ramadhan sahaja. Namun, bulan Ramadhan memiliki keutamaan yang lebih dibanding bulan-bulan yang lain. Dalam al-Quran, Allah SWT menempatkan ayat tentang doa bersamaan dengan ayat-ayat tentang ibadah puasa. Walaupun doa merupakan ibadah, namun ia harus tetap disertai dengan usaha (al-akhdzu bil asbab). Demikianlah yang telah Rasulullah perintahkan dan contohkan dalam setiap doa-doa baginda. Dalam perang Badar (iaitu pada Ramadhan pertama disyari’atkannya puasa) Rasulullah SAW menyiapkan pasukan dan strategi perang dengan sangat hebat, bermesyuarat bersama para sahabat, seraya terus menerus berdoa memohon pertolongan kepada Allah SWT. Begitu lamanya Rasulullah SAW berdoa, sehinggakan Abu Bakar lalu menegurnya: “yakfiika ya Rasulullah (cukuplah wahai Rasulullah)” (Sirah Ibnu Hisyam, juz 2, hal. 626).
5. Meningkatkan usaha dakwah
Sesungguhnya ketakwaan tidak cukup diwujudkan dalam kehidupan peribadi semata-mata, di mana sering kali ketakwaan ini luntur setelah Ramadhan selesai. Sehubungan dengan itu, ketakwaan harus secara nyata diwujudkan dalam kehidupan bermasyarakat, iaitu melalui tegaknya hukum-hukum Allah SWT dalam setiap sendi-sendi kehidupan, baik dalam bidang ekonomi, pergaulan, politik dan lain-lain. Ini tidak mungkin boleh diwujudkan kecuali dengan usaha bersama untuk menerapkan seluruh hukum-hukum Allah SWT, mulai daripada kehidupan peribadi, masyarakat dan negara. Secara ringkas, selama hukum-hukum Allah SWT dicampakkan daripada medan kehidupan, selama itu pulalah hikmah puasa hanya sekadar menjadi mawa’idz (petua-petua) yang sentiasa diulang setiap tahun tanpa membawa perubahan bererti bagi kebangkitan umat Islam.
Khatimah
Suatu fenomena yang amat menyedihkan kita ketika menyaksikan ramai daripada kalangan umat Islam yang hanya ‘bertakwa’ di bulan Ramadhan sahaja. Walhal bulan ini mampu mengubah persepsi dan perilaku seorang Muslim dengan sangat ketara. Orang fasik menjadi malu menampakkan kefasikannya, ayat-ayat suci al-Quran lebih sering kedengaran, wanita berpakaian lebih sopan, dan media massa tidak ketinggalan menyiarkan acara-acara yang bernuansa keagamaan. Pendek kata, di bulan Ramadhan, wujud seolah-olah satu ‘magic’ yang merubah suasana dan sifat ‘ketakwaan’ seseorang Muslim. Anehnya, hal-hal sebegini hanya terjadi di bulan Ramadhan.
Secara individu, kita hendaklah memiliki keinginan kuat untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna. Sesungguhnya, ketibaan bulan Ramadhan haruslah dijadikan motivasi untuk meningkatkan amalan dan kekal istiqamah di bulan-bulan yang lain. Tambahan pula, pada saat ini ketika negara Islam (Khilafah) tiada, Muslimin dan Muslimat hendaklah sentiasa berusaha mengekalkan kecemerlangan takwa dengan bersama-sama menjadikan bulan Ramadhan tahun ini sebagai bulan dakwah, bulan penegakan Syariah dan Khilafah yang akan mengembalikan kejayaan dan kemuliaan umat.
Rujukan :
1. Pilar-Pilar Pengukuh Nafsiyah Islamiyah
HUKUM IKTIKAF PADA BULAN RAMADHAN
Oleh :
Athirah
AJK Pusat MHTM
Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati oleh Allah SWT. Umat Islam yang benar-benar memahami kebaikan pada bulan Ramadhan pasti akan dapat merasakan kenikmatan bulan yang penuh keberkatan ini. Hal ini kerana pada bulan Ramadhan amalan-amalan ibadah kita akan dilipat gandakan ganjaran pahalanya. Daripada Salman RA ia berkata,
“Rasulullah SAW telah berkhutbah pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya, ‘Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh amalan fardhu.”.
Selain kewajipan berpuasa, ada pelbagai ibadah yang disunatkan pada bulan ini. Antaranya mengkhatamkan al-Quran, solat tarawih, memperbanyakkan doa, berzikir, bersedekah dan beriktikaf. Iktikaf merupakan suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmah tersendiri. Antara kelebihan iktikaf ialah membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela, menjauhkan diri daripada kesibukan dunia dan mendekatkan diri kepadaNya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beriktikaf dalam masjid….”
Hukum Iktikaf
Iktikaf berasal daripada kata ‘akafa–ya’kufu wa ya’kifu–‘akf[an] wa ‘ukuf[an]. Dari segi bahasa, Iktikaf bererti al-lubtsu wa al-habsu wa al-mulazamah (diam, menahan diri dan menetapi) (Imam an-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab, kitab al-Iktikaf).
Iktikaf juga berarti, luzum asy-syay’i wa iqbal ‘alaih (menetapi sesuatu dan menghadap padanya) (Rawwas Qal’ah Ji, Mu’jam Lughah al-Fuqaha; Muhammad ibn Abi al-Fatah al-Ba’li, al-Muthalli’).
Jadi, iktikaf adalah luzum asy-syay’i wa al-ihtibas fihi (menetapi sesuatu dan menahan diri di dalamnya), iaitu tidak menyibukkan diri dengan yang lain.
Dari segi syarak, iktikaf adalah al-lubtsu fi al-masjid muddat[an] ‘ala sifah makhsusah ma’a niyyah at-taqarrub ilalLah (diam di masjid selama jangka waktu tertentu dalam keadaan yang spesifik disertai niat taqarrub kepada Allah SWT (Syaikh Mahmud bin Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam ash-Siyam).
Hukum iktikaf adalah sunnah. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW, “Siapa saja di antara kalian yang ingin melakukan iktikaf, beriktikaflah. Lalu orang-orang pun melakukan iktikaf bersama baginda” [HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasa’i, Malik, dan Ahmad].
Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku beriktikaf sepuluh hari pertama mencari malam ini (Lailatul Qadar). Lalu aku beriktikaf sepuluh hari pertengahan. Kemudian aku didatangi dan dikatakan kepadaku bahawa itu di sepuluh hari terakhir. Kerana itu, siapa di antara kalian yang suka (mahu) beriktikaf hendaklah ia beriktikaf”. Abu Said berkata, “Lalu orang-orang beriktikaf bersama beliau” [HR Muslim, Bukhari, Ahmad, Abu Dawud, an-Nasai dan Malik].
Dalam kitab al-Muwatha’, Imam Malik menyatakan bahawa hukum iktikaf adalah sunnah. Ibn al-‘Arabi pula menyatakan bahawa iktikaf hukumnya sunnah mu’akkadah.
Apabila seseorang itu bernazar untuk melaksanakan iktikaf atas tujuan tertentu, maka iktikaf menjadi wajib. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka taatlah kepadaNya, sesiapa yang bernazar untuk menderhakaiNya maka janganlah dia derhakaiNya” [HR Bukhari].
Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab RA pernah bernazar pada zaman jahiliyah untuk beriktikaf di Masjidil Haram. Setelah beliau memeluk Islam, hasrat beliau untuk beriktikaf di Masjidil Haram disuarakan kepada Rasulullah SAW maka jawab baginda, “Tunaikanlah nazarmu itu, maka Umar beriktikaf satu malam” [HR Bukhari].
Iktikaf tidak terikat dengan sebarang waktu malah sunat beriktikaf pada setiap waktu, sama ada pada bulan Ramadhan mahupun pada bulan-bulan lain. Hanya sahaja, ia lebih dituntut dan afdhal jika dilakukan pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan kerana fadhilat beriktikaf pada waktu tersebut lebih banyak dibandingkan waktu-waktu pada bulan-bulan lain. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meninggalkan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan. Abu Hurairah RA berkata, “Nabi SAW biasa melakukan iktikaf pada bulan Ramadhan selama sepuluh hari. Namun pada tahun wafatnya, Baginda melakukan iktikaf selama dua puluh hari” [HR al-Bukhari].
Wanita juga boleh beriktikaf
Dibolehkan bagi wanita untuk melakukan iktikaf di masjid sebagaimana Nabi SAW mengizinkan isteri baginda untuk beriktikaf. Aisyah RA mengatakan bahawa, “Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beriktikaf” [HR. al-Bukhari dan Muslim]
Namun seseorang wanita boleh beriktikaf sekiranya mendapat izin daripada suami jika dia bersuami. Wanita boleh beriktikaf di masjid tetapi mesti terpisah daripada lelaki. Wanita boleh beriktikaf bersama suaminya ataupun tidak, asalkan iktikafnya itu mendapat izin suaminya. Namun, wanita tidak boleh beriktikaf jika suami atau anak yang masih kecil memerlukan perhatian dan layanan daripadanya. Ini adalah kerana memberi perhatian dan layanan kepada suami dan anak adalah wajib bagi dirinya, sementara iktikaf adalah sunnah. Jika keduanya bertembung pada satu masa, maka kewajipan mestilah diutamakan.
Khatimah
Perbanyaklah dan sibukkanlah diri dengan melakukan ketaatan tatkala beriktikaf seperti berdoa, berzikir dan membaca al-Qur’an. Semoga Allah memudahkan kita untuk mengisi hari-hari kita pada bulan Ramadhan dengan amalan soleh dan sesuai dengan petunjuk Nabi SAW.
Rujukan:
1. Al-Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh: 2/693
Baca lagi:
1. http://hizbut-tahrir.or.id/2011/08/20/hukum-seputar-itikaf/
2. https://mykhilafah.com/fikih-muslimah/2835-hukum-wanita-yang-sedang-haid-berdiam-di-masjid