Fikratul Ummah – Julai 2013

FU-Cover-April2013

MUQADDIMATUL KALAM

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….

Marhaban ya Ramadhan al-Mubarak... Alhamdulillah bulan yang dinanti-nanti telah tiba. Sudah tentu ramai yang telah bersiap sedia menyambut kedatangan bulan Ramadhan ini, setidaknya secara minimal khususnya kepada muslimah, telah menqadha puasa yang ditinggalkan pada Ramadhan yang lalu. Sebahagiannya pula menyiapkan mental dan fizikal supaya tetap istiqamah melaksanakan pelbagai ibadah fardhu dan sunat terutamanya untuk mengejar malam penuh barakah yang disebut dengan Lailatul Qadar.

Pembaca yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,
Sepanjang sirah Rasulullah S.A.W, banyak peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadhan termasuklah beberapa peperangan penting yang berakhir dengan meluasnya penyebaran dan penerapan hukum Islam setelah tertegaknya Daulah Islam pertama di Madinah. Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang dicontohi kerana banyaknya amalan sunat mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan yang utama iaitu menerapkan hukum Islam dan mendakwahkannya di bawah sebuah institusi Negara. Dengannya, setiap manusia yang hidup di bawah naungan Daulah Islam merasakan kesejahteraan dan kebaikan. Kewajipan inilah yang dituntut daripada umat Islam hari ini kerana hakikatnya umat Islam dan seluruh manusia sekarang hidup dalam kesempitan, penderitaan dan kerosakan akibat daripada penerapan sistem hidup selain Islam.

Banyak hukum Allah S.W.T yang ditinggalkan atau tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan seorang pemimpin yang ikhlas dalam menerapkan hukum-hukum demi memimpin rakyatnya menggapai redha Allah S.W.T. Itulah yang akan dipaparkan dalam artikel-artikel FU edisi kali ini. Namun, para pembaca yang budiman, yakinlah, tidak ada istilah ‘terlambat’ untuk setiap muslim menyedari hakikat ini dan seterusnya mengubah cara berfikir. Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W, “Sesiapa yang bertatawuk (mengerjakan sunat) dalam bulan Ramadan dengan sesuatu perkara kebajikan, adalah seperti orang yang menunaikan sesuatu fardhu (amalan wajib) pada bulan lain. Dan sesiapa yang menunaikan sesuatu fardhu adalah seperti orang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan lain [HR Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi].

Maka, rebutlah ganjaran ini dengan bersegera mempelajari ilmu Islam, mengamalkannya dan mendakwahkannya sehingga tertegak kembali Daulah Khilafah yang akan memastikan setiap daripada diri umat Islam tetap istiqamah beramal soleh setiap hari, bukannya pada bulan Ramadhan sahaja. Selamat membaca.

Wassalamu`alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.


DOA PILIHAN: DOA MULA SAMBUT BULAN RAMADHAN

عن أبى طلحة بن عبيد الله أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا رأى الهلال قال : اَللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَاِ بِاْلأَمْنِ وَالإِْيْمَانِ وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ, رَبِّيْ وَرَبُّكِ اللهِ هِلاَلُ رُشْدٍ وَخَيْرٍ. ( رواه الترمذى)

Daripada Thalhah bin Ubaidillah; Sesungguhnya bila Rasulullah S.A.W melihat hilal (anak bulan), Baginda S.A.W berdoa, “Wahai Tuhan yang telah menampakkan awal bulan kepada kami dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah, bulan yang benar dan baik [HR at-Tirmizi]

 


ARTIKEL PILIHAN:
MUHASABAH RAMADHAN: TERTERAPKAH ISLAM PASCA PRU-13?


Muqaddimah
Pilihan raya umum (PRU) ke-13 telah pun berakhir kira-kira 2 bulan yang lepas dengan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti assabiyyah Melayu terbesar iaitu UMNO. PRU 13 kali ini telah memperlihatkan pelbagai kontroversi antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) yang kadang kala mencerminkan ketidakmatangan dan rendahnya tahap profesional dalam hal-hal mempromosi dan berkempen untuk parti masing-masing. Mereka menyerang personaliti lawan masing-masing dengan hujah yang tidak masuk akal malah fenomena mengaibkan calon-calon sudah menjadi hal yang lumrah. Situasi seumpama ini sering kali dijadikan bahan jenaka oleh kalangan rakyat Malaysia.

Muhasabah
Begitulah senario yang sering kali dilihat dalam pesta PRU yang bersiaran ulangan setiap 4-5 tahun dengan masing-masing parti mempromosikan manifesto mereka bagi memenangi hati para pengundi. Parti-parti ini rataratanya berjanji untuk membela dan mengutamakan kebajikan rakyat, namun, apa yang sering terjadi ialah, setelah berakhirnya PRU, rakyat terus menanti dan memerhati manifesto yang tidak dilaksanakan. Maka merintihlah rakyat dengan menuntut daripada parti yang menang tersebut untuk menunaikan manifesto yang telah dilaungkan.

Itulah hakikat yang harus dihadapi oleh rakyat Malaysia bahkan rakyat di negara-negara lain juga yang hidup dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan yang berasaskan demokrasi. Rakyat terpaksa menagih dan mengemis kepada pemerintah agar melaksanakan janji-janji yang telah ditabur untuk membela dan menjaga rakyat dengan sebaiknya. Hal ini kerana pemerintah sengaja lupa dengan janji-janji mereka setelah kekuasaan menjadi milik mereka. Ini seiring dengan ideologi kapitalisme yang mereka anuti iaitu meraih manfaat melalui kekuasaan untuk kepentingan mereka sendiri. Mereka tidak ikhlas untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk menjaga dan mengutamakan hak-hak rakyat.

Jika kita tanyakan setelah hampir 3 bulan BN sekali lagi menerajui pemerintahan di Malaysia, adakah tahap sosial masyarakat bertambah baik? Adakah setiap rakyat dapat menikmati kedudukan ekonomi yang stabil? Apa yang jelas ialah, tiada perubahan positif yang berlaku. Harga barang dan perkhidmatan bakal naik lagi. Masih terdapat pelbagai kes yang melibatkan permasalahan sosial seperti hamil luar nikah, pembuangan bayi, dan jenayah seperti rogol terus berlaku. Tiada bezanya jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, mangsanya tetap rakyat.

Menurut laporan di akhbar Sinar Harian bertarikh 12 Mei 2013, jumlah wanita mengandung tanpa nikah di Sarawak meningkat lebih 35 peratus dalam tempoh empat tahun lepas dengan 1,658 kes dicatat tahun lepas dan 1,223 kes pada 2009 [Sumber: http://www.sinarharian.com.my/semasa/kes_mengandung tanpa nikahmeningkat di Sarawak].

Menurut laporan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Mei 2013, polis melanjutkan lagi tempoh tahanan terhadap 2 suspek utama kes rogol dan bunuh kanak-kanak malang, Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, yang mayatnya dijumpai di tempat letak kereta di Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi pada 8 Mei 2013 [Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/jenayah/20130515/je_02Reman-suspek-kes-rogol-Nur-Amyliana-dilanjutkan].

Bukankah ini semua menjadi bukti bahawa tidak ada kebaikan pun yang wujud selepas PRU?

Selain itu, tahap ekonomi rakyat Malaysia masih sama, masih terdapat jurang perbezaan ekonomi dalam kalangan rakyat di bandar-bandar utama dan di luar bandar. Oleh itu, di mana sebenarnya kebaikan dan perubahan yang mereka janjikan kepada rakyat?

Harapan kepada Khilafah
Walaupun kemenangan BN kali ini tidak begitu cemerlang dibandingkan tahun-tahun sebelumnya malah boleh dikatakan sebagai kemenangan tipis sahaja, tetapi kejayaan ini telah disambut dengan ucapan tahniah dan penghargaan daripada pemimpin-pemimpin negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain kepada Perdana Menteri Malaysia. Ini semua membuktikan bahawa Barat dan BN sememangnya sekufu dalam setiap hal termasuklah hal pemerintahan, yang berdiri atas asas kapitalisme. Hal ini juga menggambarkan betapa Barat meredhai dan memberi sokongan penuh kepada pemerintah Malaysia agar meneruskan sistem demokrasi kufur yang telah dilaksanakan selama ini, yang sesungguhnya berasal dari Barat.

Umum menyedari hakikat bahawa sekiranya BN terus menerajui pemerintahan di Malaysia, maka Perlembagaan Persekutuan akan terus menjadi sumber rujukan utama negara. Tidak akan berlaku sebarang perubahan. Hukum-hukum dan syari’at Islam terus diketepikan dan tidak akan mendapat kedudukan dari segi amalan dan pemakaiannya sebagai sumber undang-undang negara, kecuali sebatas masalah ibadat.

Inilah kedudukannya jika parti sekular memerintah negara. Namun sesungguhnya, tidak kira parti pemerintah mahupun parti pembangkang yang menang dalam PRU, selama mana mereka adalah parti yang bergelumang dengan demokrasi, maka tidak akan ada apa-apa perubahan yang berlaku. Hal ini kerana perubahan (jika ada) yang ingin atau bakal dilaksanakan oleh mereka, ia bukanlah perubahan yang mendasar dan tidak secara inqilabiyah (revolusioner). Sesungguhnya hukum Islam tidak akan boleh diterapkan dengan jalan yang batil iaitu melalui sistem kufur demokrasi yang jelas bukan berasal daripada Islam. Sesuatu yang haq tidak akan boleh seiring dengan sesuatu yang batil sesuai dengan perintah Allah S.W.T,

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahui[TMQ al-Baqarah (2):42].

Namun, apa yang kita risaukan ialah isu PRU 13 dan segala yang berkaitan dengannya akan segera sirna dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak. Tatkala datangnya Ramadhan, umat Islam akan lupa tentang sistem kufur yang ada yang wajib dihapuskan, sebaliknya hanya memfokuskan diri kepada aktiviti ibadat semata-mata. Umat Islam hari ini rata-rata telahdicemari dengan anasir sekular menyebabkan mereka mengasingkan sepenuhnya urusan agama dari negara.

Justeru, Ramadhan dianggap sebagai bulan ibadah dan tidak ada kena mengena dengan pemerintahan negara yang masih mengikut acuan kapitalis- sekularis. Ramai daripada kalangan umat Islam sekadar berazam untuk melakukan perubahan diri, memperbaiki tingkah laku dan menjaga tutur kata serta berpakaian menutup aurat dan sebagainya.

Umat Islam tidak seharusnya lupa bahawa mereka bukan sahaja dituntut untuk melaksanakan ibadah mahdhah sahaja, tetapi hakikatnya ibadah ghairu mahdhah juga merupakan suatu kewajipan ke atas mereka. Kedua-duanya harusnya dilaksanakan seiringan agar dapat menyempurnakan seluruh ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT. Hal ini kerana kedua-dua ibadah tersebut akan memberi impak sekiranya mereka melakukannya atau tidak, iaitu mendapat pahala apabila melakukannya manakala mendapat dosa apabila meninggalkannya.

Berdakwah kepada Islam dan berpolitik menurut acuan Islam adalah merupakan salah satu daripada ibadah ghairu mahdhah dan hukumnya adalah wajib, sama seperti solat, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji yang merupakan sebahagian daripada ibadah mahdhah yang kita ketahui hukumnya wajib. Namun begitu, amat menyedihkan apabila kebanyakan umat Islam membataskan dan menyempitkan pemikiran serta kefahaman mereka dengan mengatakan mereka hanya wajib melaksanakan ibadah mahdhah sahaja.

Oleh yang demikian, seluruh umat Islam seharusnya membuka mata dan minda bahawa masih banyak lagi tuntutan ibadah yang masih belum mereka laksanakan sejak sekian lama dek kerana kekurangan ilmu menyebabkan mereka terlalu fokus dengan ibadah mahdhah dengan meninggalkan ibadah ghairu mahdhah. Hal ini kerana ibadah mahdhah hanya melibatkan hubungan antara manusia dengan Al-Khaliq sahaja tetapi ibadah ghairu mahdhah lebih besar skopnya kerana ia melibatkan hubungan antara manusia dengan manusia lain.

Apabila ibadah ghairu mahdhah tidak dilaksanakan, maka akan memberi impak yang cukup besar kepada keberlangsungan institusi masyarakat dan negara secara keseluruhan. Sesungguhnya ibadah ghairu mahdhah yang paling utama adalah melangsungkan kehidupan Islam iaitu dengan menerapkan syariat Islam secara total dengan mendirikan Daulah Khilafah. Firman Allah S.W.T,

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yangnyata bagi kamu [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Hanya Daulah Khilafah sahaja yang dapat menjamin keharmonian, keamanan dan kebahagiaan umat manusia di muka bumi ini. Dari Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

Imam (Khalifah) adalah pemelihara/pengatur urusan rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya.” [HR Bukhari]

Segala bentuk sistem ciptaan manusia, walau sehebat mana pun yang ada di dunia ini tidak akan mampu menjadi sistem yang sempurna, pasti ada kepincangannya. Realitinya, sistem ciptaan manusia telah membawa malapetaka kepada umat manusia apabila ia jelas menyeleweng dari perintah Yang Maha Pencipta. Kegeniusan manusia tidak mampu menghasilkan suatu sistem untuk mengatur kehidupan mereka sendiri apa lagi untuk menandingi sistem Allah S.W.T., Tuhan Yang Maha Berkuasa menciptakan bumi dan segala isinya termasuklah manusia.

Khatimah
Oleh yang demikian, seluruh umat Islam wajib berusaha untuk menerapkan syariat Islam secara keseluruhan dan mencampakkan sistem kufur demokrasi yang penuh dengan kebohongan dan kerosakan. Sesungguhnya apa sahaja keindahan yang dijanjikan oleh demokrasi hanyalah fatamorgana semata-mata. Malah lebih buruk, siapa sahaja yang menerapkan hukum selain yang diturunkan oleh Allah SWT, maka Allah SWT menggolongnya sebagai orang yang zalim. sebagaimana firman AllahS.W.T,

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang – orang zalim[TMQ al-Maaidah (5):45].

Justeru, wahai umat Islam, jadikanlah Ramadhan Al-Mubarak ini sebagai pemangkin kepada sebuah tekad yang jitu iaitu untuk membawa perubahan yang hakiki dengan menerapkan Islam secara keseluruhan. Hentikanlah daripada terus mengharapkan perubahan yang tidak pasti dalam sistem demokrasi hari ini, yang kononnya akan memberi keharmonian dan kesenangan kepada umat. Hanya penerapan syari’at Islam melalui Daulah Khilafah sahajalah yang pasti dapat menjamin perubahan yang sempurna dan hakiki kerana sistem ini datangnya dari Al-Khaliq, Allah S.W.T. itu sendiri.

Wallahu’alam.


TAFSIR AL-QURAN:
RAMADHAN: BUKAN MELAKSANAKAN KEWAJIPAN PUASA SAHAJA…

﴿يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa [TMQ al-Baqarah (2): 183].

Tafsir Ayat
Imam Ibnu al-Arabi, menjelaskan makna firman Allah “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” sebagai berikut: “Dalam menafsirkan ayat ini, para ulama tafsir membahagikannya menjadi tiga pendapat. Pertama, ada yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” adalah “la’allakum tattaquun maa hurrima ‘alaikum fi’luhu” (agar kalian terjaga dari perbuatan-perbuatan yang diharamkan kepada kalian). Kedua, ada yang berpendapat bahawa, “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” bermakna “la’allakum tudh’ifuun fa tattaquun” (agar kalian menjadi lemah, sehingga kalian menjadi bertaqwa). Sebab, ketika seseorang itu sedikit makannya maka syahwatnya juga akan lemah, ketika syahwatnya melemah maka maksiatnya juga akan sedikit. Ketiga, ada yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan firman Allah “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” adalah “la’allakum tattaquun ma fa’ala man kaana qablakum” (agar kalian terjaga dari perbuatanperbuatan yang dilakukan oleh orang-orang sebelum kalian (Yahudi dan Nasrani)” [Imam Ibnu al-Arabi, Ahkaam al-Quran, jld I/108].

Allah S.W.T telah mengaitkan berpuasa di bulan Ramadhan dengan ketaqwaan. Berkaitan dengan hal ketaqwaan ini, Allah S.W.T ada menegaskan dalam firmanNya yang lain,

Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan [TMQ an-Nuur (24): 52].

Berdasarkan hal ini, Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa, dengan adanya ketaqwaan dalam diri setiap Muslim, akan membuatkan perasaan seseorang Muslim takut yang amat sangat kepada Allah S.W.T dan oleh itu ia akan sedar bahawa hakikat hidupnya hanyalah untuk berbakti dan tunduk kepadaNya, serta membersihkan hati nurani dan perbuatan dari segala dosa [Minhajul ‘Abidin]. Taqwa bukan setakat bersifat kesedaran dalaman, tetapi taqwa seharusnya ditunjukkan dengan hati nurani, lisan dan perbuatan. Allah S.W.T memerintahkan kita agar mengikuti seluruh ajaran yang dibawa oleh Rasul dan mencegah diri daripada seluruh larangan yang disampaikan oleh Rasul. Allah S.W.T berfirman,

Apa sahaja yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah dan bertaqwalah kepada Allah….” [TMQ al-Hasyr (59): 7].

Oleh itu, taqwa merupakan ketaatan sepenuhnya kepada Allah S.W.T dengan cara mengikuti dan melaksanakan setiap hukum dan aturanNya yang diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. Pada bulan Ramadhan, Allah S.W.T bukan sekadar memerintahkan kewajipan berpuasa sahaja, tetapi juga menurunkan al-Quran sebagai sumber peraturan untuk mencapai ketaqwaan tersebut. Bulan Ramadhan dianggap sebagai bulan taqwa dan bulan dalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia. Berkaitan dengan persoalan ini, Allah S.W.T berfirman,

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang haq dengan yang bathil  [TMQ al-Baqarah (2): 185].

Imam Ibnu Katsir menyatakan, “Allah S.W.T telah memuliakan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain kerana bulan Ramadhan telah dipilih Allah S.W.T untuk menurunkan al-Quran al-Adzim.” Ayat ini juga menjelaskan fungsi al-Quran sebagai hudan li an-nas (petunjuk bagi manusia), bayyinat min al-huda (penjelas), dan al-furqan (pemisah atau pembeza)  [Tafsirul Quranil ‘Azhim].

Imam al-Qurthubiy mengatakan, “Tafsir dari firman Allah S.W.T, “هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ” adalah sebagai berikut. “هُدًى” dibaca nasab kerana ia berkedudukan sebagai hal dari al-Quran. Susunan kalimat semacam ini bermakna, “hadiyan lahum” (petunjuk kepada mereka). Sedangkan “وَبَيِّنَـتٍ” berkedudukan sebagai “‘athaf ‘alaih”. Erti ‘الْهُدَى” sendiri adalah “al-irsyad wa albayan” (petunjuk dan penjelasan). Maknanya adalah, al-Quran dengan keseluruhannya, baik ayat-ayat muhkam, mutasyabihat, nasikh dan mansukh jika dikaji dan diteliti secara mendalam akan menghasilkan hukum halal dan haram, nasihat-nasihat serta hukum-hukum yang penuh hikmah. Adapun “الْفُرْقَان” bermakna “ma farraqa bain al-haq wa al-bathil” (semua hal yang boleh memisahkan antara yang haq dengan yang bathil) [Tafsir Qurthubiy alBaqarah ayat 185].

Secara umumnya ayat di atas telah menggambarkan betapa Allah S.W.T telah memuliakan dan mengagungkan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan menurunkan al-Quran yang berisikan petunjuk, penjelasan serta pemisah antara yang haq dan bathil. Tidak hanya itu saja, al-Quran mengandungi pelbagai perintah dan kewajipan yang perlu dilaksanakan dan ia juga adalah sumber segala hukum bagi kaum Muslimin yang tidak boleh diingkari. Pelbagai kewajipan ke atas kaum Muslimin telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran seperti melaksanakan ekonomi Islam, pendidikan Islam, sistem sosial, perundangan dan keadilan, sistem pemerintahan, polisi luar negara, dakwah dan jihad, termasuk perintah-perintah Allah S.W.T yang dimulakan dengan kalimat “كُتِبَ عَلَيْكُمُ ” (diifardhukan atas kamu)” seperti berikut:

•    كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ   (Difardhukan ke atas kamu puasa) al-Baqarah ayat 183
•    كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ (Difardhukan ke atas kamu perang) al-Baqarah ayat 216
•    كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ  (Difardhukan ke atas kamu qisas) al-Baqarah ayat 178

Berkaitan dengan ini, dalam melaksanakan segala kewajipan ini, Imam Ibnu Taimiyyah ada berkata: Barangsiapa tidak mahu membaca al-Quran bererti ia mengabaikannya, dan barangsiapa membaca al-Quran namun tidak menghayati maknanya, maka bererti ia juga mengabaikannya. Barangsiapa yang membaca al-Quran dan telah menghayati maknanya akan tetapi ia tidak mahu mengamalkan isinya, maka ia pun bererti mengabaikannya.” Selanjutnya Imam Ibnu Taimiyyah merujuk kepada satu ayat yang bermaksud, “Berkatalah Rasul:“Ya Tuhanku! Sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini suatu yang diabaikan[TMQ al-Furqan (25):30]. [Ali ash-Shabuni, al-Tibyan fi Ulum al-Quran].

Ulasan dan Pengajaran
Ramadhan merupakan pencetus dan momentum pembentukan manusia bertaqwa yang akan melaksanakan Islam secara kaffah. Ramadhan wajar menjadi pencetus momentum ini kerana ia merupakan bulan yang diturunkanNya al-Quran, kitab yang berisi pelbagai bentuk penyelesaian bagi permasalahan manusia, dan di dalamnya juga terdapat sumber aturan bagaimana untuk menegakkan Islam secara kaffah. Dengan kata lain, bulan Ramadhan yang mulia ini sewajarnya dijadikan aspirasi dan momentum yang akan menggoncangkan jiwa kaum Muslimin dalam mengusahakan penerapan Islam secara kaffah dengan menegakkan semula Daulah Khilafah.

Bulan Ramadhan juga merupakan masa yang terbaik bagi umat Islam sama ada secara individu mahupun kolektif untuk menjadi orang-orang yang melakukan ketaatan penuh kepada Allah S.W.T dengan menjalankan segala hukum-hakam dan aturanaturanNya. Ramadhan akan membentuk Mukmin yang taat sepenuhnya kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W, serta bersedia untuk menjalankan Islam secara kaffah baik dalam hal akidah mahupun hukum-hukum lainnya seperti aspek ibadah khusus, makanan, minuman, pakaian, sosial, politik, ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Umat Islam wajibnya bersedia untuk mengikuti wahyu Allah S.W.T yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan penuh ketaatan kerana Allah S.W.T telah menurunkan wahyu berupa al-Quran dan inilah sumber hukum yang wajib dijadikan panduan kehidupan orang-orang yang beriman.

Khatimah
Sejak Daulah Khilafah diruntuhkan pada 28 Rejab 1342 H yang lalu, sudah 92 tahun kaum Muslimin tidak memiliki pemimpin yang dapat menyatukan dan melindungi umat sebagaimana yang sepatutnya. Ertinya, sudah lebih kurang 92 kali Ramadhan tiba dan kaum Muslimin tidak berupaya melaksanakan syariat Islam secara kaffah seperti yang dimaktubkan dalam al-Quran. Negeri kaum Muslimin telah dipecah-belahkan menjadi lebih 50 buah serpihan negara-negara kecil, ukhuwwah Islamiyah terus menerus berada dalam keadaan yang sangat tipis, kaum Muslimin terjajah dan dihina oleh imperialis kafir.

Ingatlah wahai seluruh kaum Muslimin, kita dilarang mengikut jalan yang bercampur aduk antara kebenaran dengan kebatilan, apatah lagi mengikut jalan yang ditaja atau direstui oleh golongan Yahudi dan Nasrani dalam usaha untuk menghidupkan dakwah dan perjuangan menegakkan syariat Islam.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 42 yang bermaksud “Dan janganlah kamu campur-adukkan al-haq (kebenaran itu) dengan kebathilan dan janganlah kamu sembunyikan al-haq (kebenaran itu), sedangkan kamu mengetahui”.

Bagi mencapai agar menjadi orangorang yang bertaqwa, marilah kita bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah S.W.T dan RasulNya dalam semua aspek kehidupan ini, apatah lagi dalam menghidupkan dakwah dan perjuangan untuk menegakkan Khilafah ala minhaj nubuwwah yang bakal muncul dalam masa yang terdekat ini… Insya Allah… Allahu Akbar!

Rujukan:

1.    Terjemahan al-Quran oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/ Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia.
2.    English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.
3.    Ramadhan Bulan Istimewa bagi Kaum Muslimin oleh Tim Hayatul Islam.
4.    Sautun Nahdhah Siri 37: Ramadhan Dan Tanggungjawab Menerapkan Islam Secara Kaffah
 


SERIKANDI TELADAN:
KESEMPURNAAN RAMADHAN PARA SAHABIYAH


Muqaddimah
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, di mana Allah S.W.T telah mewajibkan ke atasmu berpuasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, ditambat padanya syaitan-syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak [HR Ahmad no. 8765 dan 9213 dan an-Nasai no. 2106].

Kehadiran bulan Ramadhan Mubarak sentiasa disambut gembira oleh Rasulullah S.A.W sehinggakan baginda menganjurkan para sahabat dan sahabiyah supaya bergembira berada dalam bulan yang penuh kemuliaan ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat disamping menjalankan amalan-amalan fardhu. Sebagaimana yang semua maklum, terlalu banyak kelebihan dan kebaikan bulan Ramadhan dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain yang telah dinukilkan dalam beberapa hadis Rasulullah S.A.W. Di antaranya ialah hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Ketika tiba malam pertama bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan jin-jin derhaka dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, sehingga tidak ada satu pintu neraka pun yang dibuka, dan pintu-pintu syurga dibuka sehingga tidak ada satu pintu syurga pun yang ditutup. Lalu, seseorang berseru, wahai pencari kebaikan maka sambutlah, wahai pelaku kejahatan maka tahanlah. Dan milik Allahlah orang-orang yang dibebaskan daripada neraka dan hal itu terjadi pada setiap malam[HR. At-Tirmizi no. 682 dan Ibnu Majah no. 1642].

Justeru, tidak hairanlah apabila kita menyaksikan amalan kaum Muslim di zaman Rasulullah S.A.W serta berterusan sehingga ke zaman para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in, mereka tidak pernah menjadikan puasa sebagai satu halangan untuk beramal ibadah secara maksima kepada Allah S.W.T. Malah, lebih mengkagumkan lagi apabila mereka turut sama terlibat dalam peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan seperti peristiwa perang Badar, persiapan perang Khandaq, Fathul Makkah, perang Tabuk dan banyak lagi.

Para Muslimah juga turut tidak ketinggalan dalam hal ini. Mereka mengambil kesempatan dalam bulan Ramadhan untuk lebih giat memanifestasikan hubungan mereka dengan al-Khaliq dengan melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan yang makruf. Maka, dalam ruangan serikandi teladan kali ini penulis ingin membawa kita semua menelusuri beberapa aktiviti dan pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabiyah Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadhan agar ianya menjadi satu titik tolak bagi kita untuk mendekatkan lagi diri kepada Allah S.W.T (taqarrub ilallah) sekaligus menaikkan lagi semangat kita dalam menjalankan tanggungjawab sebagai da’ie di muka bumi ini.

Aktiviti Ruhiyah (Kerohanian)
Allah S.W.T telah mengurniakan satu malam yang penuh dengan kebaikan dalam bulan Ramadhan iaitu lailatul qadar yang mana ia merupakan malam yang paling mulia dalam satu tahun. Oleh kerana itu, Rasulullah S.A.W amat menekankan kepada setiap kaum Muslim untuk melakukan qiyam Ramadhan iaitu ibadah sunat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan seperti solat sunat terawih. Keutamaan qiyam Ramadhan ini telah dinukilkan dalam salah satu hadis Nabi Muhammad S.A.W dari Abdurrahman bin Auf r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda.

Sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan puasa Ramadhan atas kalian, dan aku telah mensunahkan untuk kalian solat malamnya. Barangsiapa yang melaksanakan puasa dan qiyam Ramadhan dengan dilandasi keimanan dan mencari reda Allah S.W.T, maka dia akan keluar dari dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya”  [HR an-Nasai no. 2210, Ibnu Majah no. 1328 dan Ahmad no 1663].’

Keutamaan qiyam Ramadhan serta anugerah fadhilat lailatul qadar yang Allah S.W.T kurniakan kepada umat Islam menyebabkan para sahabiyah berlumba-lumba dalam mengejar segala kebaikan yang ada di dalamnya. Hal ini dituturkan sendiri oleh Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah r.a berkata,

Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu jika aku menjumpai lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan? Beliau S.A.W berkata, katakanlahاللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي” Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, yang senang memberi ampunan, maka ampunilah aku [HR Ahmad, an-Nasai, Tirmidzi no. 3513 dan Ibnu Majah no. 3850].

Selain itu, Aisyah r.a dan para isteri Nabi Muhammad S.A.W juga turut sama menyertai baginda melakukan i’tikaf terutamanya pada sepuluh hari terakhir Ramadhan semata-mata untuk meraih kemuliaan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu dan juga reda Allah S.W.T. Terdapat banyak hadis yang disampaikan oleh Aisyah r.a menceritakan berkenaan hal ini. Antaranya ialah,

Bahawa Nabi S.A.W telah beri’tikaf bersama sebahagian isteri-isterinya, dan salah seorang isterinya sedang beristihadlah. Isterinya itu melihat darah dan meletakkan wadah di bawahnya untuk menampung darah  [HR Bukhari no 304].

Aktiviti Siyasah (Politik)
Di samping menjalani ibadah khusus (solat, puasa dan bacaan al-Quran) serta mengurusi rumah tangga, para sahabiyah juga turut memainkan peranan penting dalam medan dakwah dan jihad.

Antara peristiwa besar yang berlaku pada bulan Ramadhan adalah persiapan perang Khandaq yang dilakukan pada Ramadhan 5H. Persiapan ini dilakukan dengan menggali parit (khandaq) di sekeliling kota Madinah. Sahabiyah yang terlibat dalam persiapan ini adalah puteri Rasulullah S.A.W sendiri iaitu Fatimah binti Muhammad yang bertugas menyediakan makanan bagi para Muslimin yang bekerja saat itu. Selain itu, dalam tempoh peperangan Khandaq ini juga Shafiyah binti Abdul Muthalib berhasil membunuh seorang Yahudi yang mengintai dan mengancam keselamatan para wanita di Madinah ketika kaum Muslimin yang lain keluar berjihad.

Tepat 20 Ramadhan 8H pula, kota Mekah berjaya ditakluk oleh Rasulullah S.A.W. Pasukan tentera Rasulullah S.A.W keluar dari Madinah menuju ke Mekah pada 10 Ramadhan lalu diikuti oleh para sahabat. Antara sahabiyah yang mengambil tempat dan menyaksikan bersama peristiwa ini adalah Fatimah binti Muhammad, Ummu Habibah dan Asma’ binti Yazid AlAnsariyyah. Fatimah binti Muhammad dan Ummu Habibah (anak perempuan Abu Sufyan) sentiasa menunjukkan kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Rasulullah S.A.W dengan tidak memberi perlindungan dan sokongan kepada Abu Sufyan bin Harb apabila Abu Sufyan datang kepada mereka meraih sokongan untuk memanjangkan perjanjian dengan Rasulullah S.A.W yang telah dimungkirinya.

Kemudian, dalam bulan Ramadhan juga berlakunya perang Tabuk yang mana ia merupakan peperangan yang terakhir disertai oleh Rasulullah S.A.W. Baginda keluar berangkat ke Tabuk pada bulan Rejab dan kembali semula ke Madinah pada bulan Ramadhan. Ramai kaum Muslimin ketika ini menyerahkan diri kepada Rasulullah S.A.W untuk sama-sama berjihad melawan bangsa Rom.

Bukan itu sahaja, ada di antara mereka yang turut sama menginfakkan seluruh hartanya dalam peperangan ini termasuklah para Muslimah. Selain turut berinfak, Ummu Sanan alIslamiyah r.a juga menjadi saksi amalan para Muslimah yang berinfak di jalan Allah ini. Beliau menceritakan sendiri bagaimana keadaan kain yang terbentang di hadapan Rasulullah S.A.W di rumah Aisyah r.a dipenuhi dengan minyak masak, gelang-gelang, subang, cincin serta bantuan lain yang dihantar oleh para Muslimah untuk melengkapi keperluan kaum Muslimin.

Subhanallah!

Sesungguhnya, Rasulullah S.A.W telah berjaya membina keperibadian para sahabiyah ini dengan syakhsiyah Islamiyah (keperibadian Islam) melalui didikan yang berteraskan aqidah Islamiyah sehingga mereka mencintai serta meletakkan Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W itu melebihi segala yang ada di sekelilingnya. Mereka telah benar-benar beriman dengan ayat Allah S.W.T yang berbunyi,

Katakanlah, jika bapa-bapamu, anak -anakmu, saudara-saudaramu, isteriisterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”  [TMQ at-Taubah (9): 24].

Khatimah
Inilah yang dikatakan hebatnya wanita apabila dia berjaya melaksanakan ketiga-tiga tanggungjawabnya iaitu sebagai isteri, ibu dan juga pendakwah dengan sempurna. Semoga cebisan kisah sahabiyah-sahabiyah Rasulullah S.A.W ini dapat membangkitkan semangat kita untuk mengisi setiap waktu yang ada di bulan Ramadhan ini dengan aktiviti-aktiviti ruhiyah dan juga siyasiyah tanpa mengenal erti penat.

Namun, perlu diingatkan bahawa aktiviti-aktiviti ini tidak dihadkan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi seharusnya dilakukan secara istiqamah (konsisten) pada bulan-bulan yang lain juga. Semoga Allah S.W.T menjadikan kita semua sebahagian daripada para pejuang deen-ul-haq ini. Aamiin…
Wallahu a’lam.

Rujukan:

1.    Tuntunan Puasa berdasarkan Qur’an dan Hadits. Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah. Pustaka Thariqul
Izzah. 367-454
2.    Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Jilid II. Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam al-Muafiri. Darul Falah. 359-396
3.    Peperangan Rasulullah S.A.W. Abu Fuad. Pustaka Thariqul Izzah.
4.    Wanita yang Dijamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah.
5.    70 Wanita Terbilang di Zaman Nabi Muhammad S.A.W. Abu Azka al-Madani, Harun Arrasyid Hj Tuskan. Al-Hidayah Publication.
6.    http://hadith.al-islam.com dicapai Jun 2013
7.    http://library.islamweb.net/hadith/hadithsearch.php dicapai Jun 2013
8.    http://www.ahlalhdeeth.com dicapai Jun 2013 
 


FIKIH:
PUASA MUSAFIR DI BULAN RAMADHAN

SOALAN:

Bolehkah seorang yang ber- musafir untuk pulang ke kampung halaman pada bulan Ramadhan tidak berpuasa dan apakah syarat-syaratnya?

JAWAPAN:

Seorang yang melakukan safar (berpergian) mengikut definisi syar’I bagi tujuan yang syar’i dalam bulan Ramadhan diberikan rukhsah (keringanan) untuk tidak berpuasa atau berbuka puasa dalam tempoh safarnya, jika memenuhi beberapa kriteria iaitu jarak minimum safarnya dan tujuan safarnya.

Dalil Rukhsah Puasa Bagi Musafir

Bagi para musafir dalam bulan Ramadhan, dibolehkan secara syar’I untuk berpuasa atau tidak berpuasa. Allah S.W.T berfirman,

“…maka sesiapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (hendaklah) menggantinya pada hari-hari lain (bukan pada bulan Ramadhan)”  [TMQ al-Baqarah (2): 184]. [1]

Daripada Aisyah r.a isteri Nabi S.A.W,

Sesungguhnya Hamzah bin Amr al Aslami r.a. bertanya kepada Nabi S.A.W, apakah aku berpuasa dalam safar? Sedangkan beliau orang yang banyak berpuasa. Rasulullah S.A.W bersabda: Jika kamu mahu, maka berpuasalah dan jika kamu mahu maka berbukalah”  [HR al-Bukhari no. 1841]. [2]

Namun jika musafir tersebut tidak mengalami kesulitan ketika sedang melakukan safarnya, maka berpuasa baginya adalah lebih utama sepertimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T,

…Dan jika kamu berpuasa itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”  [TMQ al-Baqarah (2):184]. [1]

Sedangkan jika berpuasa tersebut menyulitkannya maka berbuka puasa adalah lebih utama berdasarkan hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a.:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَرَأَى زِحَامًا وَرَجُلًا قَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ فَقَالَ مَا هَذَا فَقَالُوا صَائِمٌ فَقَالَ لَيْسَ مِنْ الْبِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ

Ketika Rasulullah S.A.W dalam suatu perjalanan, baginda melihat sekumpulan manusia sedang memberi perlindungan kepada seseorang daripada kepanasan. Baginda bertanya: Apakah (yang berlaku) ini? Mereka (para sahabat) menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah satu amalan yang baik berpuasa ketika bermusafir”  [HR Al-Bukhari no. 1844]. [2]

Antara dalil lain yang menggalakkan orang musafir berbuka puasa jika berpuasa itu menyulitkannya ialah HR Muslim no. 1119, no. 1114, no. 1115 dan no. 1122.

Oleh itu, seseorang yang memulakan safarnya pada siang hari Ramadhan, dia boleh berbuka selepas safarnya bermula tetapi wajib berpuasa Ramadhan selagi safarnya belum bermula. Seseorang yang menyelesaikan safar (tiba di tempat tinggal) semasa siang hari Ramadhan pula, jika dia tidak berpuasa pada hari itu kerana safarnya, dia dibenarkan untuk terus tidak berpuasa dan melakukan perkara -perkara yang dibolehkan untuk orang yang tidak berpuasa seperti makan dan lain-lain.

Hal demikian sama dengan seorang perempuan yang suci daripada haid pada siang hari Ramadhan yang dikira tidak berpuasa pada hari itu dan dibenarkan untuk terus melakukan perkara-perkara yang dibenarkan bagi orang yang tidak berpuasa pada hari itu. Bagi orang yang tidak berpuasa Ramadhan kerana sebab musafir dan haid ini, mereka tidak diwajibkan menahan diri daripada makan (imsak), tapi hendaklah imsak jika di hadapan orang ramai untuk mengelakkan salah sangka daripada orang yang tidak tahu sebab mereka tidak berpuasa. [3]

Jarak Safar Syar’i
Safar yang memperoleh rukhsah ialah safar yang mengikut definisi syar’I (berpergian dengan jarak melebihi jarak minimum tertentu yang ditentukan syara’) bukan safar menurut erti bahasa (sekadar berpergian). Safar syar’i ialah apabila jarak dari tempat asal ke destinasi (jarak sehala, bukan jumlah jarak pergi dan balik) melebihi jarak minimum 4 برد (barid atau burd) bersamaan 16 فرسخ  (farsakh). [4]

Ibnu Qudamah berkata, “Pandangan Abu Abdullah (Imam Ahmad) ialah,seseorang tidak boleh mengqasar (memendekkan solat) bagi satu jarak yang kurang daripada 16 farsakh, satu farsakh bersamaan 3 batu, maka jaraknya ialah 48 batu. Ini adalah anggaran Ibnu ‘Abbas. Beliau berkata, “jaraknya diumpamakan dari ‘Usfan ke Makkah, atau dari Taif ke Makkah, atau dari Jeddah ke Makkah”. [3]

Dalam unit kilometer, perkiraan ulama’ berlainan memberi beberapa jawapan berbeza, namun semuanya dalam lingkungan 80 ke 89 kilometer. Menurut Abdul Qadim Zallum dan Abdurrahman Al-Baghdadi, jarak 16 farsakh ini bersamaan dengan 88.704 km. [5], [6]

Tujuan Safar
Persoalan seterusnya ialah, adakah semua bentuk safar (walau apapun tujuannya) diberikan rukhsah untuk tidak berpuasa? Sesungguhnya melakukan safar untuk tujuan maksiat atau melakukan maksiat ketika safar adalah haram, kerana maksiat itu hukumnya sentiasa haram baik semasa safar atau tidak.

Adapun kaitan maksiat dengan rukhsah-rukhsah bagi musafir (bolehnya berbuka, mengqasar solat dan lain-lain), maka terdapat perbezaan pendapat di kalangan imam -imam mujtahidin dalam hal ini. Imam Ahmad berpendapat bahawa safar yang membolehkan rukhsah adalah safar untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah seperti mengerjakan ibadah haji, umrah, dakwah dan jihad. Imam Malik dan As-Syafie mengatakan bahawa safar yang membolehkan rukhsah adalah termasuk safar untuk sebarang tujuan yang mubah (harus), bukan safar untuk tujuan maksiat. Imam Abu Hanifah, Ats-Tsauri dan Abu Tsaur berpendapat safar yang membolehkan rukhsah adalah semua bentuk safar. [7]

Sekiranya diperhalusi, pendapat Imam Malik dan Imam Syafie lebih mendekati kebenaran. Ini kerana, terdapat kaedah fiqh yang menyatakan “arrukhsah laa tunaathu bi alma’asi” (keringanan itu tidak dapat dikaitkan dengan kemaksiatan). [8]

Khatimah
Sekiranya tidak terdapat unsur maksiat di dalam tujuan safarnya (safarnya bersifat mubah), maka ia boleh mengambil rukhsah atau azimah (hukum asal yang diperintah Allah ke atas mukallaf yang tiada keuzuran). Jadi, orang yang bermusafir untuk pulang ke kampung halaman pada bulan Ramadhan boleh untuk tidak berpuasa selagi tujuannya pulang ke kampung halaman bersifat mubah dan memenuhi syarat jarak. Berbuka puasa menjadi suruhan kepada musafir jika berpuasa menyebabkan kesulitan.

Rukhsah bagi musafir yang syar’I seperti dibincangkan di atas ialah menyapu khuf dalam wudhu’ selama tiga hari tiga malam, bertayammum, mengqasar dan menjama’ solat, tidak mengerjakan solat Jumaat, tidak berpuasa Ramadhan termasuklah makan minum dan berjima’ antara suami isteri yang tidak berpuasa secara syar’i. [7] Mengambil rukhsah atau azimah dalam hal ini dibenarkan, selama mana ia mengerjakan yang lebih mudah baginya di antara dua pilihan tersebut.

Wallahu’alam bissawab.

Rujukan:

[1] Al Quran Al-Karim
[2] Al-Islam.com. http://hadith.al-islam. com dicapai Jun 2013.
[3] Muhammad b. Soleh Al-Munajjid, Abdul Aziz b. Abdullah b. Baz, Muhammad b. Soleh Al-Uthaimin.
Soal Jawab Puasa: Berdasarkan Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi. Selenggaraan Sakinah Ariff Johar. Karya Bestari Sdn. Bhd. Cetakan Pertama 2005.
[4] Al-Ustaz Ali Raghib, Ahkamus Solah, Dar An-Nahdhah Al Islamiyah, Beirut (Edisi Bahasa Indonesia), Cetakan Pertama: 1412-1991M
[5] Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah, ms 60.
[6] Abdul Rahman Al-Baghdadi, Serial Hukum Islam, ms 87
[7] Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, Juz 1, ms 134
[8] Jalaluddin As-Suyuthi, Al-Asybah wa An-Nazhair fi al-Furu’, ms 95

Bacaan Lanjut:
1.    Seputar Safar (Perjalanan).
2.    http://khilafah1924.org/index.php?option=com_content task=view&Id=65&Itemid=33. Dicapai Mei 2013.
3.    Abu Iyas Mahmud bin Abdul Lathif bin Uwaidhah . Al-Jami’ Li Ahkam ash-Shiyam. Muassasah arRisalah, Beirut, Cetakan 1 2002.
4.    Hafidz Abdurrahman, Islam:Politik dan Spiritual, Lisan Ul-Haq.
 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.