Fikratul Ummah – Mei 2014




MUQADDIMATUL KALAM

Oleh : Editor

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
 
Limpahan syukur dipanjatkan kepada Rabbul Jalil Allah SWT yang sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada kita. Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk menikmati kehidupan ini.

Pembaca budiman yang semoga dirahmati Allah SWT,

Dalam sistem demokrasi yang menjadi tunjang kepada sistem pemerintahan negara sekular Malaysia pada hari ini, ternyata ia telah memberikan ruang dan peluang yang baik kepada musuh Allah untuk terus melakukan penolakan terhadap apa jua hukumNya. Bukan setakat itu sahaja, kita turut menyaksikan pelbagai implikasi yang buruk berlaku terhadap masyarakat akibat penerapan hukum kufur ini. Pada masa yang sama, kita melihat bagaimana parti Islam yang berjuang di pentas demokrasi terus terperangkap dan terpedaya dalam sistem yang batil ini dengan “menundukkan” hukum Allah kepada demokrasi. Sedangkan Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Maaidah ayat 50,

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik  daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”.

Segala kebinasaan yang dibawa dan terhasil daripada sistem demokrasi ini jelas membuktikan bahawa sistem ini tidak pernah dapat menyelesaikan masalah sebaliknya menimbulkan lagi banyak masalah. Lalu, apakah wajar bagi umat Islam untuk masih berharap kepada sistem kufur ini bagi menyelesaikan segala masalah kehidupan kita? Apakah Islam tidak ada nidzam (peraturan) yang bertindak sebagai mua’lajah lil masyakil insan (penyelesaian bagi masalah kehidupan manusia)?

Maka FU kali ini akan merungkai dengan lebih mendalam lagi tentang kerosakan-kerosakan sistem demokrasi dan memberikan jalan penyeleseaian menurut syarak yang seharusnya kita ambil dan terapkan dalam kehidupan. Semoga Allah  menetapkan hati-hati kita di atas jalanNya dan menemukan kita semua di alam yang abadi sebagai hamba-hamba yang memperoleh nikmat dan rahmatNya… Amin!

Wallahu a’lam

 


DOA KETETAPAN HATI

اَللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِك
(Allahumma ya muqollibal-quluub, thabbit qolbi `ala diniKA)

Ya ALLAH, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agamaMu[HR at-Tirmidzi No.3522, Ahmad VI/302, 315 dan al-Hakim I/525]
 


ARTIKEL PILIHAN
Tinggalkan Demokrasi, Terapkan Syariah, Tegakkan Khilafah!

Oleh : Rahmah Nadzri (Ketua MHTM cawangan Perak)

Muqaddimah
Dalam sejarah dunia, Islam pernah berkuasa sebagai sebuah Negara selama lebih 1300 tahun. Ia bermula apabila Rasulullah SAW telah diangkat sebagai pemimpin dan pemerintah pertama Daulah Islam di Madinah. Setelah kewafatan baginda, pemerintahan Islam dilanjutkan dengan sistem Khilafah Islamiyyah yang dipimpin oleh Khulafaur Rasyidin. Kemudian diikuti oleh Khilafah Bani Umayyah, Khilafah Bani Abbasiyah sehinggalah yang terakhir iaitu Khilafah Turki Utsmaniyah. Sepanjang tempoh pemerintahan itu, hanya syariat Islam yang diturunkan oleh Allah SWT yang diterapkan dalam negara.

Malangnya, institusi kemuliaan umat Islam ini secara rasminya telah dibubarkan. Tarikh 3 Mac 1924M bertepatan 27 Rejab 1342H menjadi titik bermulanya episod memilukan bagi umat Islam. Sejak dari itu seluruh sendi kekuatan dan kekuasaan Islam telah dihancurkan. Kini Islam hanya diamalkan dalam urusan sebatas individu seperti ibadah mahdhah. Lebih menyedihkan lagi sistem pemerintahan Islam telah diganti dengan sistem ciptaan manusia seperti demokrasi, republik, monarki dan lain-lain.

Sistem yang Merosakkan Manusia
Sistem ciptaan manusia yang mendominasi dunia saat ini ialah demokrasi yang mana sistem demokrasi ini telah membawa kesengsaraan luar biasa bagi seluruh umat manusia, khususnya umat Islam. Kezaliman bermaharajalela di seluruh dunia seperti pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan puak kuffar Barat terhadap wanita dan anak-anak di negara seperti Palestin, Iraq, Afghanistan dan beberapa negeri umat Islam lagi. Penguasa umat Islam pula menjadi pengkhianat dan bertindak zalim terhadap rakyatnya sendiri. Syria, Mesir, Libya, Tunisia, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Bangladesh menjadi saksi akan pengkhianatan mereka. Malah penguasa negeri umat Islam yang lain telah diselimuti oleh semangat nasionalisme dan dibentengi oleh batas sempadan negara yang menghalang mereka daripada bertindak menyelamatkan saudara seakidah yang dizalimi.

Walaupun demokrasi telah ternyata menzalimi umat Islam secara bertali arus, namun tetap sahaja dijadikan wadah perjuangan untuk meraih kekuasaan oleh umat Islam. Belum pudar lagi dalam ingatan bagaimana Dr. Mohamed Mursi daripada parti Ikhwanul Muslimin ditumbangkan oleh tentera Mesir. Padahal beliau menang dan terpilih sebagai presiden baru Mesir yang sah (mengikut sistem demokrasi) pada tahun 2012.  Namun atas sebab tertentu, ‘kekuasaan’ yang diperolehi melalui demokrasi ini telah dirampas. Terkini, pada 24 Mac 2014 dilaporkan bahawa seramai 529 penyokong Mursi dihukum mati oleh pemerintah Mesir, Jeneral Fattah as-Sisi.

Begitu juga parti Hamas yang meraih lebih dari separuh kerusi dalam parlimen Palestin. Melalui proses demokrasi, parti yang memenangi kerusi ini selayaknya mendapat kuasa untuk memerintah. Namun lain pula keadaannya. Apa yang terjadi justeru Fatah pula yang menduduki kerusi Presiden ketika itu.

Algeria, sebuah negeri majoriti umat Islam, turut terkena bahana demokrasi. Pada 1991, parti FIS (The Islamic Salvation Front) telah pun mendapat kemenangan yang mutlak melalui jalan demokrasi. Namun ternyata parti ini telah digulingkan oleh pucuk pimpinannya. Melalui tindakan ketenteraan di sana, ribuan anggota dan penyokong FIS telah ditangkap dan dipenjara malah ada yang dibunuh. Mungkin ada yang berpandangan proses demokrasi tidak berjalan sepenuhnya di negara terbabit. Ada juga yang menganggap pemahaman demokrasi belum begitu menyeluruh oleh rakyat di negara terbabit. Jadi wajarlah jika hal-hal di atas terjadi. Apa pun alasannya, demokrasi yang sememangnya satu sistem yang rosak telah merosakkan kehidupan manusia.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, masihkah kita mahu berharap pada demokrasi sebagai jalan meraih kekuasan untuk menerapkan Islam? Hakikatnya kegagalan gerakan-gerakan Islam ini dalam meraih kekuasaan untuk menerapkan syariat Islam bukanlah sebab utama untuk menolak demokrasi. Jika gerakan Islam dimenangkan dan diberi kuasa sekalipun, demokrasi tetap tertolak kerana ia merupakan sistem kufur. Ini bermakna umat Islam diharamkan untuk mengambil, menerapkan dan  menyebarluaskannya.

Contohnya di Malaysia, kesan demokrasi turut dirasakan dalam segenap aspek kehidupan. Syariat Islam tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Sekalipun ada, penerapannya sebatas pengaturan hubungan individu dengan al-Khaliq iaitu dalam hal aqidah dan ibadah sahaja serta hubungan individu dengan dirinya sendiri iaitu dalam urusan makanan, minuman, pakaian dan akhlak. Sedangkan pengaturan berkaitan hubungan manusia dengan manusia lainnya dalam hal muamalah seperti pemerintahan, pendidikan, ekonomi, politik, sosial dan hubungan luar negeri serta uqubat (hukuman) tidak dilaksanakan berdasarkan syariat Islam.

Apabila syariat Islam ini tidak diterapkan secara menyeluruh, maka pelbagai malapetaka serta kerosakan berlaku. Ini jelas dapat dilihat dengan meningkatnya kes pembuangan bayi, pembunuhan, pencabulan, pergaduhan, kecurian, salah laku pelajar, rasuah dan sebagainya yang mewarnai kehidupan negara pengamal demokrasi. Bagi menangani hal ini maka gerakan Islam yang bergerak di bawah sistem demokrasi mengusulkan agar hudud diterapkan. Bagi mereka, memperjuangkan pelaksanaan hudud di Parlimen merupakan antara usaha bagi membolehkan sebahagian uqubat Islam dilaksanakan. Menurut mereka lagi pelaksanaan hudud yang dilaksanakan di negara Brunei wajar dicontohi kerajaan Malaysia.

Ironisnya, mengapa hudud dan segala syariat yang diperintahkan Allah memerlukan pembahasan di Parlimen? Sedangkan, jika dibahas di Parlimen, tentunya suara majoriti yang akan diambil kira. Dengan kata lain, sebelum sesuatu usul itu digubal menjadi undang-undang baru, ia perlulah melalui proses demokrasi di Parlimen dengan meraih sokongan 2/3 majoriti suara daripada ahli Dewan. Dalam hal ini, adakah hukum hudud itu dilaksanakan untuk mendapat keredhaan Allah atau ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara? Adakah hukum hudud iaitu salah satu hukum Allah perlu mendapatkan izin manusia dahulu untuk diterapkan? Umat Islam harus sedar dan segera membuka mata bahawa segala kerosakan yang terjadi adalah akibat diterapkan sistem demokrasi dan kerosakan yang melanda umat saat ini tidak boleh dibetulkan dengan sistem yang rosak.

Berhenti Berharap pada Demokrasi
Umat Islam perlu tahu bahawa hudud merupakan salah satu dan bukan satu-satunya uqubat dalam Islam. Ia adalah pandangan yang salah dan keliru sekiranya umat Islam memperjuangkan hudud semata-mata tanpa berjuang untuk menegakkan uqubat lain seperti jinayat, takzir dan mukhalafat. Ia juga pandangan yang salah dan berdosa sekiranya umat Islam meninggalkan penerapan hukum Islam yang lain seperti nidzamul iqtisadi fi al-Islam (sistem ekonomi Islam), nidzamul ijtima’ie fi al-Islam (sistem pergaulan Islam), siyasah at-ta’limiyyah fi al-Islam (polisi pendidikan Islam), siyasah al-kharijiyah fi al-Islam (dasar luar negeri Islam) dan nidzamul hukmi fi al-Islam (sistem pemerintahan Islam) yakni sistem Khilafah. Firman Allah SWT,
 
Wahai orang-orang yang beriman,masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu[TMQ al-Baqarah (2):208].

Pemerintah sekular pada hari ini sudah jelas lagi nyata tidak mahu kembali kepada Islam secara kaffah (menyeluruh) dengan memberikan pelbagai dalih dan alasan. Manakala kebanyakan gerakan Islam terperangkap dengan sistem demokrasi dan terkeliru dalam perjuangan sehingga memperjuangkan aspek-aspek tertentu daripada Islam dan meninggalkan sebahagian besar aspek yang lain. Allah SWT berfirman,

Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang melakukan demikian itu di antara kamu, kecuali kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang amat berat[TMQ al-Baqarah (2):85].

Apa yang umat Islam perlu sedar ialah sistem demokrasi berasal daripada akal manusia, bukan daripada Allah SWT. Demokrasi tidak berpandukan wahyu dan tidak memiliki hubungan dengan agama mana pun daripada agama-agama yang pernah diturunkan Allah SWT kepada para rasulNya. Demokrasi lahir daripada akidah yang memisahkan agama daripada kehidupan (sekulerisme). Dalam demokrasi, peraturan untuk mengatur kehidupan adalah bersumber dari akal manusia yang serba lemah dan terbatas. Sebaliknya, Islam mengambil sumber hukum yang berasal daripada Allah SWT, Zat Yang Maha Mengetahui apa sahaja yang diperlukan manusia untuk mengatur setiap aspek kehidupan manusia. Firman Allah,

Dan Kami turunkan kepadamu al Kitab (al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri”  [TMQ an-Nahl (16):89].

Demokrasi juga menetapkan kedaulatan dan kekuasaan berada di tangan rakyat (as-siyadah wa as-sulthan li al-ummah). Kekuasaan pula diletakkan di tangan rakyat iaitu kekuasaan diberikan oleh rakyat melalui wakil-wakil mereka di Parlimen sehingga seolah-olah berdaulat untuk membuat hukum sesuai dengan keinginan mereka. Tetapi, Islam meletakkan kedaulatan di tangan as-Syari’, iaitu Allah SWT. Ini kerana Allah sahajalah yang berhak menetapkan hukum dan bukannya manusia. Firman Allah SWT,

Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah [TMQ al-An’am (6):57].

Kekuasaan pula diberikan oleh rakyat kepada penguasa (Khalifah) bukan untuk membuat hukum atau undang-undang tetapi semata-mata untuk menjalankan hukum-hukum Allah SWT, iaitu syariat Islam yang bersumber daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan Qias syar’i.

Selain itu, demokrasi merupakan sistem pemerintahan berdasarkan suara majoriti. Pemilihan penguasa dan anggota Parlimen dilaksanakan berdasarkan suara majoriti. Semua keputusan yang diambil oleh pihak tersebut juga diambil berdasarkan pendapat majoriti. Sepertimana isu hudud tadi, ternyata hingga saat ini ia tidak berjaya dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan daripada majoriti ahli dewan Parlimen. Ini nyata berbeza dengan sistem pemerintahan Islam yang mana syariat yang diperintahkan Allah itu wajib segera dilaksanakan tanpa ditunda-tunda apalagi diusul, dibahaskan serta menunggu kebenaran atau persetujuan pihak tertentu.

Lebih teruk lagi, demokrasi mengagungkan empat jenis kebebasan, iaitu kebebasan beragama (freedom of religion), kebebasan bersuara (freedom of speech), kebebasan kepemilikan (freedom of  ownership) dan kebebasan bertingkah laku (personal freedom). Kebebasan mutlak inilah yang nyata mengundang malapetaka dan kesengsaraan kepada umat Islam kerana manusia bebas berbuat mengikut hawa nafsu. Dalam Islam, setiap perbuatan seorang Muslim adalah terikat dengan hukum syarak yang telah ditentukanNya. Inilah antara sebab haramnya bagi umat Islam mengambil, menerapkan dan menyebarluaskan demokrasi.

Walaupun dalil-dalil keharaman demokrasi telah jelas, ternyata ada suara-suara yang menyatakan jika kita tidak mengambil demokrasi, maka pihak kuffar akan menguasai umat Islam. Bukankah ini akan mendatangkan dharar (bahaya) bagi umat walhal dharar ini mesti dihilangkan? Bagi menjawab persoalan ini, memang benar terdapat kaedah fikih ‘izalah dharar fardh[un]’ iaitu menghilangkan bahaya adalah fardu. Namun, tidak tepat jika kaedah ini diterapkan untuk mewajibkan umat Islam masuk ke dalam sistem demokrasi bagi mencegah bahaya yang dimaksudkan tadi. Walaupun benar penguasaan pihak kuffar terhadap umat Islam adalah berbahaya, namun bahaya itu tidak terjadi dengan sendirinya melainkan kerana adanya sumber bahaya iaitu sistem demokrasi itu sendiri. Sistem inilah yang memberikan kesempatan kepada mereka untuk mendatangkan bahaya kepada umat Islam. Jadi, sistem demokrasi itulah yang mestinya lebih utama untuk dihilangkan. Jadi, kaedah fikih tadi sepatutnya digunakan untuk mewajibkan penghapusan sistem demokrasi sebagai sumber bahaya.

Malah, jika sistem demokrasi berpotensi menimbulkan bahaya berupa berkuasanya pihak kufar, ini bererti sistem demokrasi telah menjadi wasilah (alat) pada sesuatu yang haram, iaitu munculnya bahaya. Jadi, kaedah fikih yang berkaitan untuk mengharamkan sistem demokrasi adalah ‘al-wasilah ila al-haram muharramah (segala sesuatu yang menuju kepada yang haram hukumnya diharamkan). Jadi, sistem demokrasi itu hukumnya haram kerana dapat menimbulkan sesuatu yang haram, iaitu bahaya apabila umat Islam akan dikuasai oleh pihak kuffar serta musuh-musuh Islam.

Khatimah
Wahai Muslimah sekalian, dunia menjadi saksi betapa umat tidak selayaknya hidup dalam sistem demokrasi. Telah tiba masanya untuk beralih kepada sebuah sistem kehidupan yang mensejahterakan daripada segenap aspek. Ketahuilah dan sedarlah bahawa perjuangan yang benar bukanlah melalui jalan demokrasi. Satu-satunya perjuangan yang benar ialah dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik. Caranya adalah dengan mengamati jalan dakwah baginda melalui aktiviti kifahus siyasi (perjuangan politik) dan shira’ fikri (perang ideologi), serta berusaha melakukan thalabun nushrah (mencari dukungan) dari pihak-pihak yang mampu menyerahkan kekuasaan untuk menegakkan Khilafah demi tertegaknya syariah secara kaffah. Inilah satu-satunya cara yang wajib ditempuh umat. Marilah bersama Hizbut Tahrir dalam perjuangan yang mulia ini. Sesungguhnya tidak ada yang lebih indah dan istimewa dalam diri umat Islam melainkan hidup dalam ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT, pencipta sekalian alam.

Rujukan:
1.    Al-Quranul Karim
2.    al-Wa’ie No.89 Tahun VIII, 1-31 Januari 2008
3.    http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/3636-sn319-hudud-tidak-boleh-dan-tidak-akan-tegak-melalui-demokrasi
4.    http://hizbut-tahrir.or.id/2013/03/04/kh-shiddiq-al-jawi-islam-menolak-demokrasi/

 


NAFSIYAH
KONSISTEN DALAM KEBENARAN

Oleh: Husna (Aktivis MHTM)

Muqaddimah
 “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman diantara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik[TMQ an-Nur (24):55].

Setiap umat Islam yang beriman wajib meyakini janji-janji Allah SWT yang telah termaktub dalam al-Quran dan melalui lisan Rasulullah SAW yang mulia. Keyakinan ini wajar dicerminkan melalui keteguhan kita dalam berpegang kepada ajaran-ajaran Islam serta konsisten dalam dakwah dan perjuangan. Inilah sikap yang diteladani daripada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat Jahiliyyah di bumi Mekah yang diketahui penuh dengan mehnah dan tribulasi.

Bukan sedikit peluh, air mata, darah, harta malah nyawa yang dikorbankan semata-mata untuk melihat Deen ini benar-benar tegak dan menyebarkan rahmat ke seluruh pelosok alam. Akhirnya, kita pun menyusuri kejayaan dakwah ‘ula tersebut dengan tegaknya Negara Islam pertama iaitu di Madinah. Maka, sungguh benarlah firman Allah SWT di dalam ayat di atas bahawa mereka iaitu generasi sebelum ini yang beriman dan beramal soleh, Allah pasti akan mendatangkan kemenangan ke atas mereka.

Bersabar dalam Melaksanakan Kewajipan
Hari ini, kita menyedari bahawa menegakkan Khilafah merupakan tuntutan yang wajib ditunaikan. Khilafahlah yang akan memastikan hukum-hukum Allah kembali diterapkan di atas muka bumi. Allah, Tuhan yang menciptakan sekalian alam yang mewajibkan penegakkannya. Dia yang menghidupkan, memberikan rezeki dan memenuhi segala keperluan makhluk. Maka, atas dasar apakah kita menolak perintahNya?

Pahala yang banyak akan diganjarkan kepada mereka yang melaksanakan kewajipan dan konsisten dalam kebenaran. Apatah lagi, menegakkan Khilafah termasuk kewajipan yang agung, bahkan merupakan tâj al-furûdh (mahkota kewajipan). Pahala yang diberikan kepada pejuangnya tentulah amat besar. Inilah yang sewajarnya mampu memotivasikan kita untuk terus bergerak dan tidak berhenti berjuang. Hidup ini hanya sekali, maka, kita harus benar-benar menggunakan setiap ruang dan peluang untuk mencari bekal mendapatkan pahala dan redaNya.

Sebaliknya, siapa saja yang enggan dan tidak konsisten dalam menunaikan kewajipan ini, apatah lagi menghalanginya, akan diancam dengan azab yang sangat pedih. Ketakutan terhadap besarnya azab ini sepatutnya mampu memecutkan diri kita agar lebih bersemangat dalam perjuangan menegakkan Khilafah. Siapakah yang dapat menghindari diri daripada pengadilanNya? Siapa pula yang boleh mengelak daripada dan mampu bertahan dengan seksaanNya yang amat dahsyat? Tidak ada seorang pun yang mampu menghadapinya! Allah SWT berfirman,

Masuklah kamu ke dalamnya (rasakanlah panas apinya);maka baik kamu bersabar atau tidak, sama sahaja bagimu; kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan”  [TMQ at-Thuur (52):16].

Selain fardh[un], Khilafah juga merupakan wa’d[un] (janji) Allah SWT. Janji tersebut disebutkan dalam surah an-Nur (24):55. Janji tersebut dikuatkan dengan busyrâ (berita gembira) daripada Rasulullah SAW tentang akan berdirinya Khilafah ‘ala minhaj an-Nubuwwah pasca berakhirnya mulk[an] jabriyy[an] (kekuasaan diktator). Kedua, berita gembira tentang Kota Rom yang akan ditaklukkan setelah penaklukkan Kota Konstatinopel. Umum mengetahui, orang yang telah berjaya menaklukkan Konstantinopel sebelum ini ialah Sultan Muhammad al-Fatih, manakala, Rom belum pernah ditaklukkan. Oleh yang demikian hadis tersebut mengukuhkan busyra bakal berdirinya Khilafah di akhir zaman. Bukan  setakat penaklukan Rom, Khilafah yang akan berdiri itu akan menaungi seluruh bumi yang pernah dihimpunkan oleh Rasulullah SAW.

Janji Allah SWT itu pasti akan terealisasi kerana Allah SWT tidak akan mengingkari janjiNya [lihat TMQ Ali Imran (3):9, al-A’raf (13):31, ar-Rum (31):6]. Allah SWT pasti mewujudkan janjiNya. Tidak ada seorang pun yang boleh menghalangi kehendakNya. Sesiapa pun yang menghalangi tegaknya Khilafah, nescaya akan gagal dan sia-sia. Siapakah yang boleh menghalangi datangnya fajar subuh di pagi hari? Siapakah yang boleh mencegah terbitnya matahari setelah malam berakhir? Seperti itulah Khilâfah ‘ala minhaj an-Nubuwwah ats-tsaniyyah, pasti akan tertegak.

Lalu atas dasar apakah yang menyebabkan kita ragu-ragu untuk berjuang menyongsong janjiNya? Jika para sahabat, tabi’in dan umat Islam terdahulu berlumba-lumba untuk menaklukkan Konstantinopel, maka seharusnya kita juga bersemangat menaklukkan Rom. Dulu ‘Uqbah bin Nafi’ berkata, “Tuhanku, kalaulah tidak terhalang lautan ini, aku pasti berjalan di banyak negeri untuk berjihad di jalanMu” (Ibnu al-Ashir, Al-Kâmil fî al-Târikh). Tekad yang sama juga harus kita tancapkan dalam dada kita untuk konsisten dalam kebenaran. Berjuang bersungguh-sungguh menegakkan Khilafah lalu menaklukkan seluruh penjuru dunia hingga tidak ada yang tersisa sebagaimana diberitakan dalam hadis Nabi SAW.

Kita seharusnya dapat membayangkan betapa bahagianya kaum Muslim ketika janji Allah SWT itu tiba. Ketika Khilafah tertegak, khalifah dibaiat, dan Liwa’Rayah dikibarkan, seluruh kaum Muslim menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Betapa bahagianya tatkala kita termasuk orang-orang yang berada dalam barisan pejuangnya, orang-orang yang menghibahkan (menghadiahkan) hidupnya untuk memperjuangkan tegaknya Khilafah. Allah SWT berfirman,

“Pada hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa sahaja yang Dia kehendaki. Dialah Yang Mahaperkasa lagi Maha Penyayang[TMQ ar-Rum (30):4-5].

Konsisten dalam kebenaran memerlukan kita meyakini bahawa tegaknya Khilafah merupakan pertolongan Allah SWT atas kaum Mukmin. Maka, untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT, kita mesti bersungguh-sungguh menolong agamaNya [lihat TMQ Muhammad (7):47]. Menolong agamaNya adalah dengan terikat dengan akidah dan syariatNya secara keseluruhan tanpa terkecuali. Perlanggaran sedikit sahaja terhadap perkara tersebut boleh menjauhkan diri daripada pertolongan Allah SWT. Peristiwa Perang Hunain boleh menjadi pengajaran yang berharga. Pada perang tersebut, pasukan umat Islam hampir menderita kekalahan kerana ada sebahagian orang yang menyangka bahawa jumlah pasukan yang ramai mampu menjadi sebab kepada kemenangan [lihat TMQ at-Taubah (9):25]. Abdullah bin Rawahah tidak bersetuju lalu membantah,

Wahai manusia! Demi Allah sesungguhnya apa yang kalian benci justeru itulah yang kalian cari, iaitu mati syahid! Kita tidak memerangi manusia kerana jumlahnya, kekuatannya dan banyaknya pasukan. Kita tidak memerangi mereka, kecuali kerana agama ini yang mana Allah telah memuliakan kita dengannya. Berangkatlah kalian! Sesungguhnya di sana itu terdapat salah satu di antara dua kebaikan, menang atau mati syahid”.

Selain aspek kewajipan syar’i, untuk konsisten dalam kebenaran juga kita mesti melakukan  berbagai persiapan dengan cara yang benar sesuai dengan keperluannya. Dalam dakwah, selain ketaatan terhadap syariah, kelompok dakwah dan pendakwah juga mesti menggunakan uslûb (cara) dan wasîlah (sarana) yang menyokong tercapainya tujuan tersebut. Peristiwa Perang Uhud boleh menjadi pelajaran dalam perkara ini. Akibat daripada sekelompok di antara mereka, (iaitu pasukan pemanah yang bertugas di atas bukit), tidak berdisiplin terhadap uslub yang telah ditetapkan Rasulullah SAW, kemenangan yang sudah hampir di tangan tidak mampu dicapai.

Usaha menegakkan Khilafah juga memang tidak mudah. Meskipun telah diperjuangkan puluhan tahun, namun hingga kini Khilafah belum berdiri. Kita juga tidak tahu bila janji Allah SWT itu tiba. Maka, memperjuangkan khilafah memerlukan semangat yang tinggi dan kesabaran yang luar biasa. Kesabaran itu mesti terus dijaga dan dipelihara sehingga Allah SWT mencabut nyawa kita. Kita juga mesti terus menjaga keikhlasan dan memelihara sikap istiqamah hingga kita menghadap Allah SWT sebagai pejuang syariah dan Khilafah. Haram meninggalkannya atau melalaikannya. Setiap muslim secara tegas diperintahkan untuk sentiasa bersikap teguh dan konsisten dalam menjalankan kewajipannya. Jika tidak, ia berdosa di hadapan Allah SWT.

Jangan sampai kita berundur daripada medan perjuangan sebelum nafas yang terakhir. Sesungguhnya, kerugian besar bagi sesiapa pun yang telah ikut berjuang, bahkan berpuluh-puluh tahun menghabiskan hidupnya untuk berjuang, namun ia keluar daripada perjuangan sesaat sebelum kematian. Dia menghadap Allah SWT sebagai yang tertewas. Betapa besarnya kerugian yang diperolehi.

Dalam diri para pemikul dakwah mesti memahami betapa pentingnya urusan ini kerana hal ini menyangkut hidup dan matinya umat. Hal ini boleh dianalogikan seperti orang yang berada di padang pasir dalam keadaan kehausan. Dia tahu jika tidak segera minum dia akan mati. Maka fokusnya diarahkan untuk mendapatkan air. Segala daya dan upaya dilakukan untuk menghilangkan dahaga sehingga masalah yang lain, seperti kaki yang melecet, sakit kepala, perut lapar, badan kotor, rasa mengantuk dan seumpamanya lagi tidak dijadikan masalah utama kerana menyedari masalah utamanya adalah mencari sumber air yang berkaitan hidup dan mati.

Begitu juga keadaannya pada para pemikul dakwah. Jika bukan dengan dakwah, apakah cara lain untuk mensejahterakan umat? Jika bukan dengan dakwah, bagaimana Khilafah akan berdiri? Jika tidak istiqamah, bagaimana dakwah mampu membuahkan hasil? Ingatlah bahawa tegaknya Khilafah untuk kali yang kedua adalah merupakan janji Allah SWT. Sedangkan yang menjadi kewajipan kita adalah beramal soleh.

Khatimah
Ini memang perjuangan yang sangat berat dan memerlukan ketekunan kerana kerosakan yang terjadi sekarang ini sudah begitu dasyat. Kejahilan umat tentang kehidupan Islam yang sebenarnya juga sudah semakin buruk. Ini ditambah lagi dengan cabaran baru yang semakin mengeruhkan keadaan seperti liberalisme, pluralisme, dan sinkretisme. Akan tetapi kita tidak boleh berhenti dalam perjuangan ini malah mesti terus konsisten dan tetap sabar serta tekun.

Tentu sahaja amal soleh yang dimaksudkan adalah dakwah untuk menyedarkan kembali umat tentang kewajipannya untuk mengganti sistem kufur ini dengan Khilafah Islam seperti yang diisyaratkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam salah satu hadisnya yang diriwayatkan Imam Ahmad, tsumma takunu khilafah ‘ala minhajin nubuwwah. Maha Benar Allah SWT dan Rasulullah SAW yang tidak pernah mengingkari janji.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1.    Al Quran dan terjemahan
2.    Dr Najih Ibrahim, Pesan-pesan Menggugah, Al Azhar Press, 2009.
3.    Arief B. Iskandar, Hikmah-hikmah Bertutur untuk Jiwa yang Mudah Futur, Al Azhar Press, 2009.


SERIKANDI TELADAN
MENELADANI SAHABIYAH DALAM BERJANJI KEPADA ALLAH DAN RASUL

Oleh : Maryam (AJK Pusat MHTM)

Muqaddimah
Antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya) [TMQ al-Ahzab (33):23].

Ibnu Kathir dalam tafsirnya telah mengungkapkan makna di sebalik firman Allah SWT ini. Menurutnya, ayat tersebut menggambarkan keadaan orang-orang mukmin terdahulu yang telah berjanji dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW untuk terus taat setia dan berpegang teguh pada jalan Allah SWT. Mereka sekali-kali tidak akan meninggalkan Rasulullah SAW dalam medan jihad sehingga terdapat antara mereka yang gugur syahid dan ada juga yang menanti-nanti saatnya dia pula untuk gugur syahid. Dalam penantian itu, mereka tidak sedikit pun mengingkari atau mengubah janji mereka terhadap Allah SWT walaupun sering kali diuji dengan pelbagai ujian kehidupan.

Kebenaran Generasi Pertama
Kebanyakan umat Islam generasi pertama mempunyai keteguhan hati dan imannya. Mereka membuktikan ucapan serta pengakuan mereka terhadap kalimah la ilaha illallah melalui af’alnya (perbuatannya). Firman Allah SWT di atas juga merupakan satu pengakuan daripada Allah SWT terhadap keimanan mereka dan cukup jelas menunjukkan sikap orang-orang mukmin terdahulu yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam berdakwah. Ini terbukti dengan perbuatan mereka yang sanggup mengorbankan harta, tenaga bahkan nyawa sehingga layaklah mereka mendapat tingkatan kemuliaan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Sejak dari awal cahaya Islam mula memancar di bumi Mekah sehingga ia menyinar di Madinah, pelbagai ujian getir para sahabat dan sahabiyah dalam medan dakwah dapat kita perhatikan. Antara para pendahulu Islam yang berperanan besar dalam perjuangan menyebarkan syiar Islam sehingga terbentuknya sebuah Negara Islam pertama di Madinah ialah Fathimah binti Khattab bin Naufal al-Quraisyi RA. Beberapa kitab sirah menjelaskan bahawa beliau merupakan antara sahabiyah yang tergolong dalam golongan as-sabiqun al-awwalun (golongan pertama masuk Islam) sesudah Khadijah, Ummu Fadhl, dan Asma binti Abu Bakar. Beliau juga merupakan adik kandung kepada Saidina Umar al-Khattab RA dan isteri kepada Sa’ad bin Zaid.

Sewaktu perjuangan Rasulullah SAW berada dalam marhalah tatsqif wat taqwin (tahapan pembinaan dan pembentukan), wanita inilah yang berperanan besar menjadi asbab mengubah suasana politik sehingga perjuangan baginda beranjak ke marhalah seterusnya iaitu marhalah tafa’ul ma’al ummah (tahapan berinteraksi dengan ummat) dengan Islamnya Umar RA. Peristiwa tersebut banyak dikhabarkan dalam beberapa kitab sirah yang dinukilkan oleh para ilmuwan Islam terdahulu. Ketika saidina Umar al-Khattab RA ditanya bagaimana beliau mendapat gelaran al-Faruq, beliau menjawab,

“Sejak aku memeluk Islam, adakah kita berada di jalan yang benar, di sini dan di akhirat?”. Rasulullah SAW menjawab, “Sememangnya engkau adalah dalam keadaan demikian! Aku bersumpah dengan nama Allah yang nyawaku di dalam genggamanNya, engkau adalah di atas jalan yang benar di dunia ini dan di akhirat”. Aku bertanya kepada Rasulullah, “Jika demikian, kenapakah kita melakukan aktiviti yang tersembunyi, tidak di khalayak ramai? Aku bersumpah dengan nama Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, kita akan meninggalkan aktiviti sembunyi dan kita akan melakukan dakwah terang-terangan di hadapan masyarakat umum”. Kami kemudian berarak dalam dua kumpulan. Kami bergerak ke masjid di siang hari. Apabila kaum Musyrik melihat kami berkumpulan, muka mereka menjadi resah gelisah. Sejak peristiwa tersebut, Rasulullah SAW memberikan gelaran al-Faruq kepadaku  [Rahiq al-Makhtum].

Peranan Fathimah tidak terhenti setakat itu. Seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Jauzi, beliau merupakan seorang perawi hadis yang ada tercantum dalam kitab al-Isabah karangan Ibnu Hajar, menjadikan beliau bukan sekadar dimuliakan sebagai as-sabiqun al-awwalun dan asbab keIslaman Umar, beliau juga antara periwayat hadis yang tidak terkira jumlahnya.

Begitu juga dengan peranan besar yang ditunjukkan oleh Sumayyah binti Khubath RA. Beliau merupakan wanita pertama yang mezahirkan keIslamannya ketika dakwah Rasulullah SAW dalam marhalah tafa’ul ma’al ummah. Abdullah bin Mas’ud RA berkata, “Yang pertama menampakkan keIslamannya ada tujuh orang iaitu Rasulullah SAW, Abu Bakar, Ammar, Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan al-Miqdad. Rasulullah mendapat perlindungan daripada bapa saudaranya manakala Abu Bakar mendapat perlindungan daripada kaumnya. Adapun mereka yang lain terpaksa mengalami penyeksaan yang keras daripada orang-orang Musyrik” [Siyar A’lamin-Nubala’, 1/408-409; al-Bidayah wan-Nihayah, 5/58; Dala’llun-Nubuwwah, 2/281-282].

Sejak saat itu, rentetan penyeksaan terpaksa dihadapi oleh segolongan komuniti Islam yang justeru telah menambah petunjuk dan keimanan dalam hati mereka. Semakin mengagumkan lagi adalah ketika jasad mereka diseksa, kalimah yang keluar di bibir mereka hanyalah “ahad, ahad”. Subhanallah! Betapa teguhnya iman dalam hati mereka. Hal ini menyebabkan kemarahan puak kafir Quraisy semakin memuncak. Apatah lagi apabila mereka mendapati yang berada di barisan hadapan golongan ini ialah keluarga Sumayyah RA yang tidak pernah gentar dengan seksaan mereka bahkan tidak surut akidahnya meskipun dijemur di bawah kepanasan cahaya matahari. 

Sumayyah RA ialah wanita syahid pertama yang mengorbankan diri di jalan Allah. Ini telah diperkatakan sendiri oleh Mujahid dan Ibnul Jauzi rahimakumullah. Setelah suaminya, Yasir meninggal kerana diseksa oleh kaum kafir Quraisy, Sumayyah RA diserahkan kepada Abu Jahal. Abu Jahal telah menyeksanya dengan pelbagai cara termasuk juga dengan cacian-cacian yang dilemparkan kepada Rasulullah SAW semata-mata untuk memaksa Sumayyah RA meninggalkan agamanya. Namun, segala usaha Abu Jahal gagal dan akhirnya si laknatullah itu mengambil jalan menusukkan tombak ke tubuh Sumayyah RA dari duburnya sehingga beliau gugur syahid.

Setelah dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat masuk ke marhalah tahtbiq ahkamul Islam (tahapan penerapan syariat Islam), pelbagai ancaman daripada dalam dan luar negara yang terpaksa di hadapi oleh mereka. Saat itu, jihad merupakan satu aktiviti wajib bagi kaum Muslimin. Bagi kaum rijal (lelaki), hal itu sudah menjadi perkara yang biasa. Namun, berlainan pula bagi nisa’ (wanita). Sebuah kisah daripada salah seorang sahabiyah Rasul bernama Ummu Haram binti Milhan berkenaan dengan kecintaannya pada jihad, bakal menuntun langkah-langkah kita untuk terus tetap cintakan jalan dakwah ini sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Ummu Haram RA ialah salah seorang daripada para wanita yang memiliki kebenaran iman dan keikhlasan dalam beribadah. Beliau terlalu merindukan syurga Allah SWT sehingga beliau meminta kepada Rasulullah SAW agar berdoa kepada Allah supaya menjadikan dia termasuk orang-orang yang mati syahid di jalanNya. Hadis daripada Umair bin al-Aswad al-Ansy yang diriwayatkan al-Bukhari telah mengkhabarkan perihal syahidnya Ummu Haram. Suatu hari, Ummu Haram terdengar Rasulullah SAW bersabda,

“Pasukan pertama daripada umatku yang berperang dengan menaiki perahu telah diwajibkan syurga bagi mereka.” Kemudian, Ummu Haram bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah aku termasuk antara mereka?” Baginda menjawab, “Engkau termasuk di antara mereka.”

Cita-cita mujahidah ini untuk mati syahid benar-benar tercapai ketika beliau mengambil bahagian dalam peperangan yang dilancarkan oleh Mu’awiyah bin Abu Sufyan ke Cyprus dengan menaiki perahu. Ummu Haram bergabung dalam pasukan ini bersama suaminya, Ubadah bin ash-Shamit. Ketika rombongannya dikerahkan, beliau menunggang untanya lalu untanya melompat menyebabkan beliau terlempar hingga terjatuh lalu meninggal dunia. Hal ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Khatimah
Daripada kisah-kisah sahabiyah di atas, dapat kita sedari bahawa umat Islam pada zaman Rasulullah SAW telah terbiasa dengan perjanjian-perjanjian mereka kepada Allah. Keteguhan hati dan keyakinan mereka sentiasa dikuatkan dengan adanya pertalian janji tersebut. Mereka berjanji untuk mendapatkan perniagaan yang jauh lebih indah dibandingkan dengan perniagaan apa pun yang ada di dunia ini. Mereka tidak ingin melepaskan cita-cita mereka dalam mendapatkan syahid hanya kerana lemahnya hati yang tidak terikat pada suatu kepastian.

Namun, ketika cita-cita itu belum tercapai, mereka menunggu dengan penuh harapan dan penuh bimbang. Harapan agar dipertemukan dengan wanginya bau syurga dalam syahid dan kebimbangan akan keikhlasan mereka dalam menghibahkan (menghadiahkan) jiwa raga di jalan Allah SWT. Maka ketika timbul niat selain daripada Allah SWT, mereka akan bersujud dan memperbaharui niat mereka agar ketika tiba waktunya nanti, mereka benar-benar memiliki apa yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya agama ini memerlukan orang-orang Mukmin seperti mereka. Orang-orang yang ucapannya sesuai dengan akidahnya serta perbuatannya membenarkan ucapan dan akidahnya. Mereka sedar bahawa mereka menisbahkan diri mereka kepada Islam dengan hati, perasaan, tingkah laku, harapan dan penderitaan. Adakah kita termasuk sebahagian daripada mereka? Semoga kita terus benar dan jujur di atas jalan dakwah ini.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1.  Ahmad Khalil Jam’ah, Wanita yang Dijamin Surga, ms 56-66;166-175, Darul Falah, 2002
2.  Abu Azka al-Madani; Harun ar-Rasyid Hj Tuskan, 70 Wanita Terbilang di Zaman Nabi Muhammad SAW, ms 184-189, al-Hidayah, 2010
3.  Al-Quran dan terjemahannya
4.  H Salim Bahreisy; H Said Bahreisy, Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsier Jilid 6, ms 298, Victory Agencie, 1994
 


FIKIH
HUKUM TIDAK MELAKUKAN DAKWAH ATAU TIDAK BERSUNGGUH-SUNGGUH DALAM BERDAKWAH

Oleh : Farisha Aris (Aktivis MHTM)

Pengertian Dakwah
Dakwah berasal daripada bahasa Arab, ad-da’wah yang ertinya adalah menyeru, mengajak, memanggil dengan makna menyampaikan sesuatu kepada orang lain untuk mencapai tujuan tertentu. Secara istilah, dakwah adalah satu strategi menyampaikan nilai-nilai Islam kepada umat manusia demi mewujudkan peraturan hidup yang berlandaskan iman dan realiti hidup yang islami.

Sesungguhnya, dakwah Islam tidak cukup hanya dengan perkataan sahaja, namun mestilah meliputi perkataan dan perbuatan. Dalam membawa dakwah Islam harus dilakukan dengan menggunakan dua bahasa sekaligus, iaitu lisan al-maqal (bahasa perkataan) dan lisan al-hal (bahasa tindakan/perbuatan). Allah SWT berfirman,

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri’? [TMQ Fussilat (41):33].

Seorang Muslim itu menyeru ke jalan Allah SWT kerana dia adalah seorang Muslim, yakin kepada Allah SWT dan RasulNya sebagaimana firman Allah SWT,

“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang yang musyrik” [TMQ Yusuf (12):108].

Kewajipan Berdakwah
Dakwah sebagaimana definisi di atas, adalah satu aktiviti yang dilaksanakan semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT. Setiap orang yang berakal tentu bersetuju bahawa sebaik mana pun objek/bahan dakwah, namun jika tidak pernah dipromosikan, maka tidak ada orang yang akan mengenalinya.

Begitu jugalah dengan Islam. Hal ini kerana, tidak dapat dibayangkan akan ada orang mengenali Islam, tanpa ada dakwah untuk memperkenalkannya. Tidak dapat dibayangkan Islam akan memiliki pengaruh, tanpa ada dakwah untuk mewujudkannya. Tidak dapat dibayangkan Islam akan tegak tanpa ada dakwah untuk menegakkannya. Akhir sekali, tidak dapat dibayangkan Islam akan tersebar luas, tanpa ada dakwah untuk menyebarkannya.

Islam umpama satu produk yang mesti dipromosikan atau diwar-warkan kepada umum agar mereka mengenali Islam dan seterusnya merasa teruja dan cinta dengan Islam kerana sesungguhnya hanya Islam yang diredai oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya,

Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah hanyalah Islam[TMQ Ali Imran (3):19].

Ketika aktiviti dakwah tidak ada, maka Islam tidak akan kuat, serta tidak akan tertegak kalimah Allah SWT di muka bumi ini. Sebaliknya dengan dakwah, Islam akan kembali kuat dan kembali wujud kemuliaannya; dan dengan dakwah juga, Islam akan tersebar di tengah-tengah seluruh umat manusia, sehingga agama itu semata-mata hanya untuk Allah SWT dan aturan kehidupan dunia tidak rosak seperti sekarang. Oleh itu, melakukan dakwah merupakan satu kewajipan.

Tambahan pula, bukan sedikit ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan kewajipan melakukan dakwah kepada Islam. Di antaranya firman Allah SWT,

Hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyerukan kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung [TMQ Ali Imran (3):104].

Allah SWT berfirman,

“Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai al-Quran (kepadanya)”  [TMQ al-An’am (6):19].

Ayat ini menjelaskan bahawa siapa sahaja yang telah sampai kepadanya al-Quran, tidak kira apa bangsanya selagi dia seorang Muslim, maka dia berkewajipan untuk menyampaikannya kepada orang lain dan kewajipan ini tetap berlaku sampai Hari Kiamat.

Rasulullah SAW bersabda,

Allah menyinari seorang hamba yang mendengar perkataanku, lalu dia menghafal, memahami dan menyampaikannya. Tidak sedikit orang yang menyampaikan fikih itu adalah orang yang tidak faqih; tidak sedikit pula orang menyampaikan fikih kepada orang yang lebih faqih daripadanya” (asy-Syafie, Musnad asy-Syafie, ms 413).

Rasulullah SAW juga bersabda,

Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang-orang secara keseluruhan akibat perbuatan mungkar yang dilakukan oleh seseorang, kecuali mereka melihat kemungkaran itu di depannya, dan mereka sanggup menolaknya, akan tetapi mereka tidak menolaknya. Apabila mereka melakukannya, nescaya Allah akan mengazab orang yang melakukan kemungkaran tadi dan semua orang secara menyeluruh”  [HR Ahmad].

Semua nas ini menunjukkan bahawa membawa dakwah Islam ialah wajib. Kewajipan melakukan dakwah Islam ini bersifat umum mencakupi seluruh kaum Muslimin dan termasuk juga Negara Islam (an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, ms 46).

Dalam hal ini, sesungguhnya Allah SWT telah memperingatkan kita dengan peringatan yang sangat keras apabila kita tidak bersikap teguh dan konsisten dalam kebenaran ketika melaksanakan dakwah. Firman Allah SWT,

Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu daripada apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu menjadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu pula (siksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami[TMQ al-Isra’ (17):73-75].

Ayat ini merupakan peringatan Allah SWT yang sangat keras yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW yang jelas-jelas merupakan kekasihNya yang paling dikasihi, bahawa Allah SWT pasti akan menimpakan azabNya di dunia dan di akhirat secara berlipat ganda seandainya baginda terfitnah dan terpaling sedikit sahaja daripada risalah yang dibawanya (yakni terpaling dalam dakwahnya), lalu tunduk kepada kemahuan orang-orang kafir Mekah. Seorang pengemban dakwah wajib konsisten dalam kebenaran dan tidak boleh sekali-kali berpaling daripada jalan wahyu.

Hukum Meninggalkan dan Meremehkan Dakwah
Penjelasan tentang kewajipan berdakwah telah diperincikan di atas berserta dalil-dalilnya. Namun begitu, terdapat ramai di kalangan umat Islam yang meremehkan malah meninggalkan kewajipan ini. Padahal telah jelas hukumnya adalah berdosa apabila mereka meremehkan atau meninggalkan dakwah dan mereka juga telah derhaka terhadap Allah SWT dan RasulNya, imannya lemah dan dia sedang menghidapi penyakit-penyakit hati dan akhirnya impak di atas kelalaiannya itu akan menimpa Islam dan umat Islam keseluruhan sebagaimana firman Allah SWT,

Telah dilaknati orang-orang kafir daripada Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu”  [TMQ al-Ma’idah (5):78-79].

Di samping itu, Islam amat melarang seseorang mendiamkan diri daripada menyampaikan petunjuk yang telah diperolehnya. Firman Allah SWT,

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati[TMQ al-Baqarah (2):159].

Secara realitinya, halangan dakwah yang berlaku di negara ini tidaklah seberat mana jika dibandingkan sepertimana yang dialami oleh para pendakwah di negara-negara lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan ujian yang dialami oleh Rasulullah SAW sendiri dan para sahabat baginda pada masa lalu. Sebenarnya tidak ada alasan bagi kita yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk tidak bersemangat dan bersifat lemah dalam berdakwah. Jika ujian yang kita hadapi di saat ini setara dengan apa yang dialami oleh baginda SAW dan para sahabat sekalipun, ia masih tetap tidak menggugurkan kewajipan kita untuk terus berdakwah. Sudah menjadi sunnatullah bahawa dakwah akan sentiasa sinonim dengan ujian dan cabaran. Allah SWT telah mengingatkan kita dalam firmanNya,

Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya  Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”  [TMQ al-Ankabut (29):3].

Maka, bersabarlah atas segala ujian yang datang menimpa dan yakinlah bahawa setiap ujian yang mendatang merupakan salah satu bentuk bagaimana Allah SWT ingin meninggikan darjat seseorang jika ia terus bersabar, tabah dan istiqamah di jalan dakwah.

Khatimah
Oleh kerana itu, kita perlu sedar bahawa aktiviti berdakwah akan selalu mendatangkan risiko bagi para pelakunya. Ramai kaum muslimin pada hari ini menyedari akan hal ini tetapi mereka tetap lalai atau cuba mengelak daripada melakukan dakwah hanya kerana masalah-masalah yang remeh dan bermacam-macam alasan yang pada hakikatnya ia hanyalah bersifat duniawi dan dapat diatasi dengan penuh bijaksana. Mereka lebih rela disibukkan dengan urusan mencari kekayaan dunia dan mencari keredaan manusia berbanding mencari bekal untuk akhirat dan mencari reda Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1)    Al-Quran dan terjemahan
2)    www.mykhilafah.com
3)    http://metodologi-dakwah.blogspot.com/2008/03/definisi-dakwah-a119271.html
4)    Tafsir Ibnu Kathir, Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur, 2007.
5)    As-Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, Khutbah-Khutbah Pilihan di bulan Ramadhan, Titian Ilahi Press.