SN004 – Syakhsiyyah Islamiyyah : Acuan Sebenar Melahirkan Generasi Berakhlak
SN Keluaran 2005
[SN004] Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
Realiti
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Istana Budaya pada 11 Januari 2005 telah melancarakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni kerana wujudnya masalah sosial yang agak kritikal. Walaupun kempen-kempen ini diharap dapat melahirkan persekitaran yang lebih baik demi kesejahteraan masa depan namun keberkesannya tetap menjadi tanda-tanya. Masalah sosial bukanlah sesuatu yang baru tetapi liputan mengenainya menjadi kronik kebelakangan ini. Kes-kes keganasan sosial samada yang melibatkan rogol kanak-kanak, penderaan domestik, rusuhan penyokong bolasepak dan samseng jalanraya seolah-olah menimbulkan persoalan samada kesejahteraan masyarakat Malaysia dan kehidupan berkualiti mereka belum berada dalam tahap yang memberangsangkan.
Pembangunan berterusan seolah-olah meminggirkan pembentukan nilai budaya ke atas personaliti individu menjadikan mereka tidak matang. Penekanan berterusan ke atas ekonomi yang memperlihatkan kepentingan nilai materialistik dan pembangunan yang menampilkan kecanggihan infrastruktur serta sektor pendidikan yang menekankan pencapaian akademik menyebabkan pembangunan sosial seolah-olah sukar bersekedudukan dengan transformasi tersebut. Masyarakat Malaysia dikatakan hanya akan berjaya jika mengamalkan nilai-nilai yang progresif. Nilai-nilai yang dikatakan itu termasuklah rasa hormat kepada orang tua, pentadbiran serta mengamalkan pakaian yang sopan, berkelakuan yang baik serta amalan keagamaan, bertanggungjawab ke atas perkahwinan, keluarga, kerja serta memiliki sifat-sifat yang penyayang. Kempen yang dijalankan ini membuktikan kesungguhan yang tinggi pada pihak Kerajaan di dalam usaha melahirkan masyarakat cemerlang – apa yang dicanangkan sebagai masyarakat kelas pertama.
Persoalan
Adakah kempen yang dilancarkan kali ini akan benar-benar memberi kesan kepada golongan sasarannya? Persoalan ini ditimbulkan kerana kebanyakan kempen yang dilancarkan sebelum ini tidak memberikan hasil yang baik. Kempen-kempen seperti Minat Membaca, Kitar Semula, Pandu Cermat Jiwa Selamat dan sebagainya walaupun tidak dinafikan ada mencapai beberapa objektif tertentu, namun masalah utamanya masih gagal diselesaikan. Misalnya, Kempen Kitar Semula yang masih gagal mengurangkan jumlah sampah yang ditimbunkan di pusat-pusat pelupusan sampah. Malah, masih terdapat permohonan baru untuk kelulusan tapak pelupusan tambahan. Kempen Pandu Cermat Jiwa Selamat juga masih gagal menyelesaikan masaalah kemalangan jalan raya. Dimanakah silapnya? Padahal, masyarakat majmuk Malaysia khususnya umat Islam dikatakan kaya dengan nilai budaya dan adat resam.
Kewujudan adat, nilai dan budaya di dalam sesebuah masyarakat ini sebenarnya adalah warisan daripada amalan generasi terdahulu. Bahkan, ia telah wujud sebelum kedatangan Islam ke tanah melayu lagi. Masyarakat melayu sangat kaya dengan adat resam dan budi pekerti yang telah diamalkan sejak zaman melayu lama. Bak pepatah Melayu : “Biar mati anak, jangan mati adat” yang menunjukkan betapa tingginya kedudukan adat pada pandangan orang-orang melayu. Namun warisan ini hampir pupus ditelan dek zaman. Ini dapat dilihat dari gaya hidup generasi remaja masakini terutamanya mereka yang hidup di kota-kota metropolitan. Budaya Melayu semakin terhakis. Bahkan ada yang lebih bangga memperagakan imej asing. Akibatnya, perkara ini kemudiannya dipandang serius oleh Kerajaan. Namun begitu, persoalan yang harus ditimbulkan adalah, siapakah yang sebenarnya membenarkan unsur-unsur ini masuk ke dalam negara? Nilai budaya dan adat itu sendiri bukanlah sesuatu yang bersifat mengikat bagi individu untuk mengamalkannya. Bahkan perlanggaran nilai budaya dan adat ini tidak dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah.
Menilai Perbuatan.
Realiti dan persoalan yang dihuraikan di atas sebenarnya melibatkan perbuatan manusia. Menilai sesuatu perbuatan tanpa merujuk kepada pandangan hidup yang khusus (aqidah), tidak akan bersifat tetap. Penilaian seperti ini akan berubah apabila manusia berubah atau zaman berubah. Ini adalah kerana asas penilaian yang digunakan terbit daripada akal manusia. Sistem kapitalisme yang mendominasi setiap individu juga menyebabkan mereka menjadikan manfaat sebagai asas kepada setiap perbuatan yang mereka lakukan.
Penilaian sesuatu perbuatan samada baik, buruk, terpuji atau tercela tidak boleh disandarkan kepada kekuatan akal semata-mata. Ini adalah kerana pendapat daripada akal akan menimbulkan perbezaan, perselisihan pendapat, pertentangan dan dipengaruhi oleh tempat dan zaman. Atas sebab itulah pandangan daripada akal seseorang individu tidak sama dengan pandangan akal individu yang lain. Contohnya masalah peningkatan kes perlanggaran disiplin di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Terdapat pihak yang mengatakan masalah ini berpunca daripada didikan di rumah. Pandangan lain pula menyatakan ia disebabkan oleh pengaruh gangsterisme yang wujud di persekitaran sekolah yang terbabit. Bahkan di sekolah-sekolah, terdapat perbezaan di dalam menentukan kesalahan. Di Malaysia, adalah dianggap sebagai suatu kesalahan jika pelajar lelaki dan perempuan bercumbu di kawasan sekolah tetapi di negara barat, ia tidak dianggap sebagai suatu kesalahan. Isu kadar kemalangan jalan raya yang tinggi di Malaysia misalnya, ada yang menyatakan bahawa kadar kemalangan yang tinggi adalah disebabkan oleh sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab. Namun begitu ada juga yang mengatakan bahawa keadaan jalanraya yang tidak berkualiti menyebabkan kemalangan itu berlaku. Di dalam hal pakaian ianya lebih jelas – seorang gadis muslim yang memakai kebaya ketat namun sopan bertudung dianggap sopan dan terpuji oleh sesetengah orang, tetapi bagi sebahagian yang lain, ia dianggap sebagai tercela kerana dianggap telah memaparkan bentuk tubuhnya.
Walaupun pada zahirnya kita mendapati bahawa sesuatu perbuatan itu dari segi zatnya adalah bersifat fizikal (material) semata-mata, ia tidak secara sendirinya bebas daripada nilai sehingga akal dibiarkan untuk menentukan mana perbuatan yang baik atau sebaliknya. Seorang muslim yang telah mengaku bahawa tuhan yang layak disembah ialah Allah swt, maka setiap amal perbuatannya harus terikat dengan hukum yang telah Allah swt tetapkan sebagaimana menurut kaedah fiqh yang masyhur:
“ Hukum asal suatu perbuatan itu terikat dengan hukum Allah “
Setiap perbuatan manusia tidak terlepas daripada penjelasan syara’. Penentuan baik dan buruk atau terpuji dan tercela bagi sesuatu perbuatan itu mesti diserahkan kepada hukum syara’. Atas dasar inilah perbuatan menipu itu dikatakan tercela; menepati janji dikatakan terpuji; berbuat fasik adalah tercela; sedangkan bertakwa kepada Allah swt adalah terpuji; membelot dari Daulah Islam adalah perbuatan tercela; sedangkan melakukan muhasabah dengan berani untuk memperbetulkan perjalanan Daulah apabila berlaku penyimpangan di dalam perlaksanaan hukum adalah terpuji. Semuanya ini diputuskan dengan cara sedemikian kerana terdapat penjelasan daripada hukum syara’.
Keperibadian Islam (Syakhshiyah Islamiyah)
Menurut perspektif Islam, seseorang individu itu tidak dinilai semata-mata daripada penampilan fizikalnya. Penampilan fizikal di sini termasuklah bentuk tubuh, wajah dan pakaian. Seseorang muslim itu hanya dinilai melalui amal perbuatannya. Walaupun seseorang itu bertubuh segak, berwajah menarik dan berpakaian kemas tetapi jika amal perbuatannya bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara’, dia tidak dianggap sebagai seorang yang berkeperibadian Islam. Ini dapat difahami dengan jelas melalui Hadis Rasulullah saw :
“ Sesungguhnya Allah tidak menilai ke atas rupa kamu serta harta kekayaan kamu, akan tetapi Dia hanya menilai hati dan amal perbuatan kamu.” [ HR Muslim dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah].
Seseorang itu hanya akan dikatakan mempunyai keperibadian Islam apabila Aqliyyah dan Nafsiyyah yang ada di dalam dirinya mematuhi hukum syara’. Penerangan mengenai kedua-duanya dan hubungkait dengan perbuatan manusia adalah seperti berikut;
i) Aqliyyah
Kata aqliyyah berasal daripada bahasa Arab yang bermakna sesuatu yang berkaitan dengan aqal. Muhammad Hussein Abdullah di dalam kitabnya yang berjudul Mafahim Islamiyah: Ar-Ruh, Al Idrak, Al-Amal, As-Syakhshiyah (Beirut 1994) menghuraikan aqliyyah sebagai cara yang digunakan untuk memahami atau mengambil kesimpulan tentang realiti tertentu. Dengan kata lain’ Aqliyyah menjelaskan cara yang digunakan oleh seseorang muslim untuk mengaitkan realiti yang dihadapinya dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara’, samada ia merupakan suatu yang bersifat wajib, sunah, makruh, harus atau haram. Maka dengan itu walaupun seseorang itu beragama Islam tetapi tidak mengaitkan realitinya dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara’ serta tunduk kepada kehendak hawa semata-mata maka aqliyyahnya tidak boleh dikatakan sebagai aqliyyah Islam. Ia tidak dianggap mempunyai keperibadian Islam.
ii) Nafsiyah
Kata nafsiyah berasal daripada kata nafs’ yang ditambah diakhir kalimat dengan ya’ an-nisbat. Menurut bahasa, nafsiyah adalah sesuatu yang berkaitan dengan nafs’ dan apa-apa yang berhubungan dengan sifat-sifat nafs’. Muhammad Ismail di dalam kitabnya Al Fikru Al-Islami menerangkan bahawa nafsiyyah menjelaskan cara yang digunakan oleh seseorang untuk memenuhi dorongan ( dawafi’) yang lahir daripada keperluan jasmani dan nalurinya berdasarkan pandangan hidup tertentu. Dorongan daripada keperluan jasmani dan naluri ini terdapat juga di dalam haiwan. Oleh kerana haiwan tidak mempunyai akal, maka haiwan tidak boleh dikatakan mempuyai nafsiyyah. Jadi, nafsiyyah di sini bermaksud, seorang muslim itu hanya dikatakan berkeperibadian Islam apabila memenuhi dorongan keperluan jasmani dan nalurinya dengan berdasarkan pandangan Islam. Maka dengan itu, walaupun seseorang itu mempunyai penampilan Islam tetapi tidak mempunyai nafsiyyah Islam, ia tidak dianggap sebagai seorang yang mempunyai keperibadian Islam.
Apabila kedua-dua unsur ini telah tunduk kepada kehendak Islam, ia akan melahirkan individu yang berkeperibadian unggul dan berbudi pekerti yang baik. Rasulullah saw dan para sahabat telah menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk diikuti. Apabila Saidatina Aisyah r.a ditanya oleh para sahabat berkenaan dengan akhlak Rasulullah saw, Aisyah menjawab; “ Akhlak Rasulullah adalah Al Quran”. Ini menunjukkan kepada kita bahawa kepatuhan seseorang kepada hukum syara’ itulah yang menjadikan seseorang itu berakhlak.
Peranan Daulah
Walaupun setiap individu muslim itu mempunyai aqliyyah dan nafsiyyah Islam, ia masih belum boleh melahirkan sebuah masyarakat Islam. Ini adalah kerana masyarakat bukan sahaja terdiri daripada individu semata-mata. Masyarakat terdiri daripada individu, pemikiran, emosi dan sistem yang diterapkan di dalamnya. Maka dengan itu, jika sistem selain Islam diterapkan di tengah-tengah masyarakat, maka kehidupan Islam hanya akan terbatas kepada individu yang berkeperibadian Islam sahaja. Ia tidak akan memberi pengaruh apa pun ke atas masyarakat. Seorang kafir tidak akan melihat keindahan Sistem Islam di dalam diri seorang individu yang berkeperibadian Islam melainkan hanya melihat ketertiban di dalam melakukan perbuatan. Setiap individu tetap dipengaruhi oleh sistem yang melingkungi hidupnya. Sistem yang hanya menjadikan manfaat dan material sebagai asas akan ‘memaksa’ setiap individu untuk menjadi ‘individu materialistik’. Jika pun ia mencuba agar tidak bersikap materialistik, namun ‘individu materialistik’ di sekelilingnya akan ‘menghanyutkannya’ di tengah-tengah ‘masyarakat materialistik’.
Khatimah
Semoga kita tidak terikut dengan seruan sumbang, menyeru kepada kebaikan walhal seruan yang diwarwarkan sebenarnya tidak ada asas yang kukuh dari segi ajaran Islam. Masyarakat Islam mendambakan penerapan Islam yang menyeluruh. Bukanlah yang didambakan itu Islam pada nama sahaja yang kerap dikaitkan dengan nilai-nilai sejagat dan universal, tetapi Islam sebagai asas negara dengan penerapan sistem-sistemnya yang lain – Sistem Ekonomi Islam, Pendidikan Islam, Sosial Islam dan Penghukuman Islam. Kesemua sistem-sistem ini hanya akan dapat dilaksanakan apabila Sistem Pemerintahan Khilafah Islam ditegakkan semula. Ini akan dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai individu-individu yang mempunyai pemikiran Islam dan beremosi Islam serta diatur oleh sistem Islam.
Wallahua’lam