SN021 – WAHAI SRIKANDI ISLAM.. BERWASPADALAH DENGAN HIPOKRASI BARAT

PDF

SN Keluaran 2005

SN

[SN021] Isu wanita sering dijadikan isu murahan oleh Barat untuk menyerang ideologi Islam. Sejak dari dahulu, mereka secara terang terangan menyerang Islam yang kononnya selalu mengongkong wanita didalam banyak aspek kehidupan. Mereka berusaha mengubah persepsi umat dengan memperlihatkan seolah-olah mereka memperjuangkan hak wanita, sedangkan hakikatnya merekalah yang paling banyak memperleceh dan merendahkan martabat wanita yang mulia. Mereka sering menonjolkan ‘tokoh wanita’ idaman mereka sendiri sebagai wadah untuk menyerang ajaran Islam. Taslima Nasreen, sebagai contoh tiba-tiba mendapat pencalonan Hadiah Noble Tahun 2005 kerana tulisannya banyak menyerang dan ‘memperbetul’ ajaran Islam yang berkaitan dengan wanita. Jadi tidak hairanlah sekiranya akhbar Guardian, dalam laporannya mengenai pergerakan Sisters in Islam begitu ghairah memuji Zainah Anwar dari SIS – “Zainah Anwar is a good Muslim. She is also an outspoken campaigner for women’s rights. To many Muslim men in Malaysia and beyond, these two factors are barely compatible” (‘Sisters take on scholars in battle for Islam’, Simon Tisdall, Guardian Unlimited 1.06.2005). Hakikatnya, isu wanita ini memang sengaja ditonjolkan oleh Barat sebagai api dalam sekam – didalam usaha mereka untuk melahirkan revolusi dalaman pemikiran Islam bagi merealisasikan objektif mereka ‘mencairkan’ ideologi Islam, agar Islam dapat di ‘liberal’kan.

SERANGAN BARAT KE ATAS ISLAM : ISU WANITA

Barat yang amat benci kepada Islam sejak dahulu lagi, telah gagal untuk mengalahkan kekuatan Islam secara fizikal. Sejak dari kesedaran ini, mereka mula mengkaji kekuatan Islam dimana akhirnya mereka mendapati bahawa perlu dilakukan serangan keatas umat Islam dari aspek ajaran Islam itu sendiri. Antaranya, tiga aspek utama yang sering dijadikan ‘lubuk’ serangan oleh para orientalis barat untuk mengelirukan umat Islam adalah isu jihad, poligami dan emansipasi wanita. Sebagai penaung ideologi kapitalis yang pragmatik dalam perjuangannya, kita perhatikan pula hari ini, Amerika, dalam serangan-serangan ideologinya keatas Islam, sering menggunakan tiga sendi utama – demokrasi, isu wanita dan akauntabiliti pemerintah umat Islam.

Dalam serangan-serangan ini, isu wanitalah yang paling banyak memberi kesan keatas umat Islam sehinggakan kaum wanita yang terpengaruh dengan pemikiran barat ini secara sedar atau tidak telah menjadi proksi barat didalam ‘perjuangan’ mereka. Dalam sebuah penulisan yang bertajuk ‘Afghanistan’s Joan of Arc: Dies on the Crucifix of Islam’ (Jim Woods, ‘Capitalisme Magazine’,May 7, 2005) penulis artikel ini telah mengulas penghukuman rejam seorang wanita yang bernama Amina sebagai penzina muhsan (yang telah berkahwin) dengan memuji sistem Barat dan merendahkan Islam. Sikap seperti ini menunjukkan kejahilan dan kebencian barat yang amat sangat keatas sistem Islam. Meskipun bidang kuasa (authority) dan prosidur dalam menjalankan hukuman hudud keatas Amina tidak diperhatikan dengan betul, namun apa yang dijadikan isu bukanlah bidang kuasa atau prosidur tersebut, tetapi hukuman hudud itu sendiri. Penulis, dalam mengakhiri tulisannya mengatakan, “Unlike the legal system in the West which protects the rights of women, Amina’s life was subordinated to the needs of the community” (Tidak seperti sistem perundangan di barat yang melindungi hak asasi wanita, nyawa Amina terletak dibawah kehendak masyarakatnya). Dan ‘kehendak masyarakat’ ini membawa maksud keinginan masyarakat untuk berhukum dengan Islam.

Itulah sikap Barat terhadap Islam – mereka menilai bahawa ideologi merekalah yang terbaik, tetapi pada hakikatnya mereka ini tidak ubah seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Sautun Nahdhah minggu ini ingin mengajak para pembaca yang budiman untuk sama-sama mengkaji isu ini dengan teliti, berdasarkan rasional dan hukum Allah swt yang suci. Untuk memulakan perbincangan kita, marilah kita melontarkan pandangan kita kepada negara kapitalis barat yang begitu bangga dengan idea kebebasan dan penjagaan hak wanita, yang dijadikan kiblat oleh pejuang ‘kebebasan’. Marilah kita merenung…adakah mereka dan sistem mereka layak digunakan untuk menjaga akal, harta, nyawa, keturunan, keamanan, agama dan semua yang dipandang tinggi oleh manusia…atau sebaliknya?

KETAM MENYURUH ANAKNYA BERJALAN BETUL – SISTEM PERUNDANGAN BARAT MENJAGA HAK WANITA?

Barat sering menjadikan isu Islam yang kononnya menindas wanita sebagai sumber utama serangan mereka keatas Islam. Isu Amina sengaja digunakan oleh wartawan barat untuk menghina hukuman rejam kepada penzina. Kapitalisme pada hakikatnya tidak memandang isu seks sebagai suatu masalah yang besar. Penzinaan merupakan satu cara hidup di negara-negara barat. Mungkin keganasan seks masih dianggap sebagai jenayah disana, namun frekuensi kejadiannya memberikan gambaran bahawa ia seolah-olah sudah menjadi ‘trend’ didalam masyarakat mereka. Marilah kita perhatikan sedikit sebanyak dari contoh yang memanifestasikan hakikat sebenar pandangan barat keatas wanita.

Dalam tahun 2003 sahaja AS menyaksikan 93,233 kes rogol – 63 orang wanita dalam 100,000 telah menjadi mangsa rogol. Pada setiap satu atau dua minit akan ada seorang wanita AS yang diganggu secara seksual dan dalam masa setiap 6 minit 1 kejadian rogol akan berlaku (FBI). Bilangan wanita didera dan dirawat di ‘First Aid Centers’ melebihi satu juta orang. Dan lebih dari 1,500 wanita dibunuh oleh suami, kekasih dan teman sebilik (The Milenio, Mexico, Sept 26, 2004). Hampir 78% wanita di barat secara fizikal menjadi mangsa gangguan seks sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka. Tambahan pula, 79% dari wanita barat didera secara seksual sekurang-kurangnya sekali. Kajian yang dilakukan oleh US National Institute of Justice menunjukkan bahawa semasa menghabiskan masa 4 tahun pembelajaran di kolej, 88% wanita menjadi mangsa serangan fizikal atau mangsa seks dan 64% daripada mereka ini pernah mengalami kedua-dua kes. Dekad sebelumnya, kes yang dikendalikan oleh US Equal Employment Opportunity Commission melawan gangguan seksual meningkat 22% (The Sun, July 16, 2004).

Jenayah seks dalam tentera Amerika sendiri semakin meningkat. Menurut Washington Post (Jun 3, 2004), dari 1999 ke 2002 bilangan saman terhadap jenayah seks didalam tentera US difailkan secara meningkat dari 658 kepada 783, menunjukkan peningkatan sebanyak 19% dan kejadian rogol meningkat dari 356 ke 445 kes, sebanyak 25%. Bilangan kes yang sedemikian meningkat setara iaitu 5% antara tahun 2002 sehingga 2003. The British Guardian melaporkan pada bulan Oktober 2004 bahawa Miles Foundation telah mengendalikan 242 kes yang difailkan pada September 2002 dan Ogos 2003 tentang tentera wanita AS yang dirogol dan gangguan seks di Iraq, Kuwait, Bahrain atau Afghanistan. Tambahan pula, terdapat 431 kes gangguan seksual wanita di kem-kem tentera yang lain.

Di bumi Uncle Sam sendiri diskriminasi terhadap wanita dalam bidang perkerjaan tidak kurang hebatnya; menurut akhbar The Sun (Julai 16, 2004), kes yang dikendalikan oleh US Equal Employment Opportunity Commission tentang diskriminasi jantina didalam bidang tenaga kerja meningkat 12% dalam masa 10 tahun. Pada tahun 2004, terdapat 2 kes yang menarik perhatian. Ianya berkaitan dengan kes “gender bias” yang melibatkan 1.6 juta pekerja wanita di Wal Mart dan kes yang lain melibatkan 340 staf wanita Morgan Stanley (New York Times, Julai 13, 2004). Wanita yang bidang tugasnya tidak berbeza dengan pekerja lelaki tidak dibayar kadar gaji yang sama – statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS menunjukkan bahawa wanita mendapat median gaji 81.1% gaji lelaki.

Penjagaan kesihatan terhadap wanita di AS adalah antara yang paling teruk di dunia; ini diceritakan sendiri oleh Dr. Jody Heyman, dari Harvard School of Public Health. Dari 168 buah negara yang dikaji penulis ini, beliau berkomentar tentang AS sebagai “…far behind the rest ot the World..” (…jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di dunia) (AP Boston, Jun 17, 2004) .

Kanak-kanak juga sering menjadi mangsa jenayah seks di AS. Setiap tahun terdapat kira-kira 400,000 kanak-kanak di AS yang dipaksa untuk terlibat dalam aktiviti pelacuran atau lain-lain urusan yang berkaitan dengan seks jalanan. National Center for Missing & Exploited Children melaporkan bahawa kes kanak-kanak yang digunakan untuk tujuan eksploitasi seks meningkat secara mengejutkan dari 4,573 kes dalam tahun 1998 kepada 81,987 kes 2003 (The USA Today, Feb 27, 2004).

SIAPAKAH BARAT DAN SIKAP SIS

Dalam mengkaji bagaimana barat berusaha untuk menyerang Islam, kita boleh mengambil beberapa contoh yang disarankan penggunaannya oleh Cheryl Bernard dalam tulisannya (Civil Democratic Islam: Partners, Resources and Strategies, RAND Corporation). Diantaranya adalah isu-isu yang biasa mencetuskan perbincangan hangat dikalangan umat Islam, iaitu demokrasi, Hak Asasi Manusia (HAM), poligami, hukuman hudud, isu minoriti, isu pakaian wanita dan isu suami boleh memukul isteri. Dengan isu-isu inilah keraguan akan dimunculkan dikalangan umat Islam terhadap Fiqh Islam itu sendiri. Sekiranya kita melayari laman web Sisters in Islam (SIS) kita akan dapati isu yang sering diperbincangkan berputar disekitar isu yang sama seperti yang digunakan oleh barat untuk menyerang Islam. Lihatlah sahaja penerbitan mereka – semuanya berputar disekitar isu poligami, rogol isteri, isu meringan-ringankan penutupan aurat, isu suami boleh memukul isteri dan hukum hudud. Kita tidak perlu mengkaji dengan mendalam perjuangan SIS untuk melihat kesamaan perjuangan mereka dengan keinginan barat untuk merendahkan Islam, seperti yang dapat kita baca antara lain didalam tulisan Cheryl Bernard. Mereka yang ‘berjuang’ seperti ini tidak lain tidak bukan merupakan agen, secara sedar atau tidak, kepada ideologi barat dalam usahanya untuk menghancurkan Islam. SIS pada hakikatnya adalah merupakan pejuang ideologi barat yang menempelkan beberapa ayat Al-Quran sebagai dalih penggunaan Islam.

Barat, dalam melaungkan ‘hak wanita’ sebenarnya telah memanifestasikan sikap hipokrit mereka. Dari statistik yang diuatarakan diatas, jelas menunjukkan bahawa negara yang menjadi kiblat ‘pejuang kebebasan’ ini adalah tidak lebih dari ketam yang mengajar anaknya berjalan dengan betul. Sikap hipokrit barat dalam melaung-laungkan slogan membela wanita pada hakikatnya adalah “full of sounds and fury but singnifying nothing”.

Kemunafikan Barat tentang Islam dan isu wanita ini sendiri terlalu banyak, contoh klasik yang boleh dikaji antara lain adalah kisah Lord Cromer ketika beliau bertugas sebagai General Konsul British di Mesir (1883-1907). Cromer amat yakin dengan pandangannya bahawa Islam dan masyarakatnya adalah kolot dan terkebelakang. Beliau begitu keras kritikannya terutama didalam isu wanita dan bagaimana Islam menangani masalah wanita. Bagi beliau, kekerasan Islam dalam memastikan wanitanya menutup aurat dan tidak bergaul secara bebas dengan kaum lelaki merupakan halangan yang paling besar dalam membangkitkan pemikiran orang-orang Mesir. Beliau yakin hanya dengan penerapan nilai-nilai barat; dengan membuka ‘hijab’ wanita, barulah kebangkitan orang-orang Mesir dapat dicapai. Dan apakah yang dilakukan oleh Cromer apabila ia pulang ke Britain? Beliaulah orang yang paling keras menentang hak-hak wanita. Beliau mengetuai Men’s League for Opposing Women’s Suffrage yang menentang wanita dalam mendapatkan hak mereka untuk mengundi!!! (Leila Ahmed, Women and Gender in Islam: Historical Roots of a Modern Debate)

Contoh yang lebih kontemporari boleh dilihat didalam kata-kata dan perlakuan Presiden Uncle SAM, George W Bush. Diantara justifikasi beliau dalam menyerang Afghanistan dan Iraq adalah ‘pembebebasan wanita’. Beliau pernah berucap di UN pada September 2002 dengan mengatakan “Respect for women… can triumph in the Middle East and beyond!” (penghormatan keatas wanita…boleh didapatkan di Timur Tengah dan tempat-tempat lain). Beliau menyerang Afghanistan dengan menggunakan ini sebagai salah satu justifikasi, kemudian Iraq … kita tunggulah samada AS akan menyerang China, kerana polisi satu anaknya yang anti wanita, India kerana kemarahan keatas pembakaran janda dan Britain kerana kadar penghukumannya yang rendah keatas kes-kes rogol….semua atas alasan yang sama – untuk ‘membebaskan wanita’ !?

ISLAM DAN WANITA.

Banyak batasan yang dikemukakan untuk mendefinisikan apa makna keadilan. Tetapi satu hal pasti tidak akan ditolak – keadilan bagi manusia akan terwujud pada saat hak-hak manusia dapat dipenuhi. Yang kemudian berbeza adalah siapakah yang menentukan hak manusia dan apakah cara yang harus ditempuh untuk memenuhi hak-hak tersebut.

SIAPA YANG MENENTUKAN HAK MANUSIA?

Masyarakat kapitalis-sekular yang menentukan sendiri aturan hidupnya di dunia, pada hakikatnya menentukan sendiri hak manusia yang didakwa memiliki empat kebebasan pokok yang akan melahirkan hak-hak manusia sebagai individu dalam masyarakat dan negara. Mereka sepakat bahawa manusia memiliki kebebasan beraqidah, kebebasan berpendapat, kebebasan hak milik, dan kebebasan bertingkah laku. Cuma mereka tidak sepakat mengenai seberapa jauhkah kebebasan-kebebasan itu wajar dimiliki manusia.

Masyarakat Islam walaubagaimanapun, tidak menentukan sendiri hak-hak manusia. Mereka mengetahui hak-hak mereka melalui petunjuk Allah didalam Al-Qur’an dan Hadis. Mereka yakin bahawa hak dari Allahlah yang paling tepat, yang akan mendatangkan kebaikan bagi individu dan masyarakat dalam kehidupan dunia. Mereka meyakini hal tersebut kerana mereka menerima kebenaran firman Allah :

” (Dan) mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” [TMQ Al Baqarah : 216]

Penentuan hak manusia didalam Islam diserahkan sepenuhnya kepada Penciptanya, bukan kepada ahli tafsir lelaki (kerana ada dakwaan kononya ada bias gender dalam tafsir bersifat kelelakian), sehingga dalam masyarakat Islam tidak ada perbezaan pendapat samada seorang pembunuh mempunyai hak untuk hidup atau tidak. Melalui pensyariatan qisas (Al-Quran. 2:178), mereka memahami bahawa pembunuh tidak memiliki hak hidup untuk hidup. Ini adalah kerana Allah telah memberi hak kepada keluarga orang yang terbunuh untuk memutuskan apakah mereka ingin menuntut pembunuh untuk dijatuhi hukuman mati, ataukah mereka memaafkan pembunuh dan ia harus membayar diyat (denda) kepada keluarga orang yang terbunuh. Pada saat keluarga orang terbunuh menuntut hukuman mati keatas pembunuh atau hakim menjatuhkan hukuman mati padanya, itu tidak berarti keputusan tersebut melanggar hak hidupnya. Pada hakikatnya, sipembunuh sudah tidak lagi diberi hak untuk hidup oleh Allah. Sekiranya keluarga orang terbunuh memaafkan, berarti keluarga itu berbaik hati memberikan haknya kepada pembunuh, sama seperti kebaikan orang yang memberikan harta yang menjadi haknya kepada orang lain. Berbeza dengan masyarakat kapitalis, mereka akan berbeza pendapat mengenai hak hidup bagi seorang pembunuh. Perbezaan inilah yang akhirnya ‘menentukan’ apakah mereka merasa mendapat keadilan atau tidak. Perbezaan seperti ini akan menyebabkan wujud kelompok-kelompok didalam masyarakat kapitalis yang akan terus memperdebatkan hakikat keadilan didalam penghukuman dan perdebatan ini tidak akan pernah selesai.

BAGAIMANA MEWUJUDKAN KEADILAN?

Perbezaan yang terjadi dikalangan masyarakat kapitalis mengenai batas-batas kebebasan manusia untuk menetapkan aturan hidup yang akan menguntungkan dirinya atau kelompoknya, menimbulkan kesulitan pada saat mereka harus menentukan peraturan apa yang harus diterapkan ditengah masyarakat. Aturan yang dianggap adil oleh seseorang mungkin dipandang tidak adil oleh orang lain. Untuk mengurangkan ketidakadilan ditengah masyarakat inilah mereka memerlukan mekanisme pengambilan keputusan oleh majoriti rakyat. Inilah yang melahirkan konsep pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, yang menjalankan peraturan hidup yang dibuat sendiri oleh majoriti rakyat.

Masyarakat kapitalis memang memerlukan demokrasi, kerana mereka menyerahkan penentuan aturan hidupnya kepada manusia. Sedangkan, pada hakikatnya mereka sepatutnya sedar bahawa hasil dari sistem demokrasi bukanlah suatu keadilan bahkan lebih sering menghasilkan ketidakadilan, termasuk ketidakadilan atas sebab penyalahgunaan sistem ini. Walaubagaimanapun, permasalahan ini mereka justifikasikan kerana sistem kapitalis memang amat memerlukan demokrasi. Hal tersebut tidak terjadi kepada masyarakat Islam. Masyarakat Islam tidak memerlukan demokrasi untuk mewujudkan keadilan bagi seluruh manusia, baik muslim mahupun non muslim, baik lelaki ataupun wanita. Ini adalah kerana masyarakat Iaslam memahami bahwa hak manusia ditentukan oleh Allah dan Allah telah menetapkan cara pemenuhan hak-hak tersebut. Penentuan hak dan kewajiban ini dapat difahami manusia dari hukum-hukum syara’ Islam yang digali dari Al-Qur’an dan Hadis. Pelaksanaan syariat Islam ditengah-tengah kehidupan masyarakatlah yang akan menjamin terwujudnya keadilan.

Masyarakat Islam memahami bahawa kunci terwujudnya keadilan di tengah-tengah masyarakat adalah dengan terlaksananya syariat Islam sebagai aturan hidup masyarakat. Hal inilah yang membuat masyarakat Islam dapat menerima kepemimpinan tunggal didalam masyarakat, selama mana pemimpin ini menerapkan hukum Allah, bukan menetapkan aturan yang bersumber dari hawa nafsu manusia. Oleh itu, yang harus dilakukan untuk memastikan keadilan dapat dikecapi dengan sebenar-benarnya adalah berpegang kepada hukum Allah, bukannya meletakkan sumber hukum keatas tangan rakyat.

ISLAM MENJAMIN HAK-HAK WANITA

Kaum wanita yang menghadapi banyak permasalahan kehidupan dan merasa bahawa masalah tersebut berakar pada perlakuan tidak adil terhadap wanita seharusnya dapat melihat bahwa Islamlah penjamin keadilan yang hakiki. Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci, berikut dikemukakan beberapa contoh pemecahan masalah-masalah wanita yang menjadi sorotan dunia saat ini menurut syariat Islam:

1) Masalah kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan tindakan buruk terhadap wanita.

Dalam pandangan Islam, masalah-masalah ini timbul kerana tiadanya penerapan hukum-hukum yang berhubungan dengan jaminan keperluan asas bagi rakyat. Keperluan asas rakyat meliputi: a) Keperluan asas yang dipenuhi secara individu untuk setiap individu rakyat dan b) keperluan asas masyarakat. Contoh keperluan asas yang pertama adalah makanan dan pakaian. Sedangkan yang kedua meliputi keperluan masyarakat akan keamanan, kesihatan dan pendidikan.

Kemiskinan menurut Islam terjadi pada saat seseorang individu tidak mampu memenuhi keperluan pokoknya (keperluan individu). Kemiskinan pada wanita terjadi pada saat si suami atau walinya (yang berkewajiban memberi nafkah keperluan asas kepada wanita itu) juga miskin. Jalan keluar untuk mengatasi masalah ini sudah tentu bukannya dengan cara memberi modal kepada wanita agar ia dapat meningkatkan keadaan ekonominya kerana hal itu justeru akan menambah bebanan kepada si isteri yang juga mempunyai tanggungjawab di rumah. Penyelesaian yang akan ditempuh adalah dengan menyediakan pekerjaan atau modal kerja kepada si suami atau wali dari wanita itu, agar ia dapat bekerja atau meningkatkan penghasilannya sehingga ia dapat menafkahi isteri dan anak-anaknya atau saudara wanitanya yang menjadi tanggungannya dalam batasan nafkah yang selayaknya.

Demikian pula apabila negara melaksanakan kewajibannya menjamin pendidikan, kesihatan dan keamanan rakyatnya, seperti yang diperintahkan Allah, masalah-masalah buta huruf, buruknya keadaan kesihatan kaum wanita dan masalah gangguan dan keganasan keatas wanita akan pasti berkurang dengan drastiknya.

Didalam Islam, menuntut ilmu adalah kewajiban bagi kedua-dua lelaki dan wanita, dan pendidikan adalah hak setiap warganegara, termasuk didalamnya para wanita. Negara mengelola dan memberi pendidikan secara percuma kepada setiap warganegara. Pendidikan yang diberikan secara percuma ini bertujuan untuk membentuk pola berfikir dan pola sikap (syakhshiyah) Islam kepada anak didik, serta membekal mereka dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan kehidupan. Melalui pendidikan ini, seseorang muslim dibentuk menjadi peribadi yang berilmu (intelektual) agar menyingkapi sikap seorang ahli ibadah yang mulia. Dengan kurikulum pendidikan berteraskan aqidah ini akan muncul para saintis, jurutera, doktor dan lainnya yang beriman dan bertaqwa. Wanita tidak sekali-kali akan dihalang untuk mengikuti bidang-bidang pendidikan yang berbentuk profesional ini. Mereka sendirilah yang akan digalakkan untuk memilih pendidikan profesional yang ingin mereka ingini, disesuaikan dengan kewajiban utama mereka sebagai ibu dan pengurus rumah tangga serta menjaga iffah atau kehormatan mereka sebagai wanita.

Mengenai jaminan terhadap keamanan, negara akan memenuhinya dengan membina aqidah umat sehingga mereka menjadi orang-orang yang bertaqwa dan takut akan adzab Allah yang pedih apabila mereka melakukan kejahatan. Sebagai contoh golongan lelaki diwajibkan Allah untuk menundukkan pandangan mereka ketika berhadapan dengan wanita dan wanita pula diwajibkan menutup aurat dengan cara yang betul ketika keluar dari rumah. Selain itu, negara juga menerapkan hukum yang tegas, yang bersumber dari wahyu, untuk bertindak keatas kejahatan-kejahatan yang berlaku tanpa adanya diskriminasi. Selain itu, harus disedari, salah satu dari punca utama berlakunya kejahatan iaitu tidak terpenuhinya keperluan asas manusia, sudahpun diselesaikan oleh negara sejak awal lagi.

2) Masalah penglibatan wanita sebagai pembuat polisi dan keputusan

Tidak seperti masyarakat kapitalis, masyarakat Islam tidak melihat masalah ini sebagai suatu ketidakadilan terhadap wanita. Didalam Islam, pembuat keputusan memanglah hanya dipertanggungjawabkan kepada seorang individu, iaitu pemimpin. Didalam keluarga pemimpinnya adalah suami, ditingkat wilayah, pemimpin masyarakat adalah wali, dan ditingkat negara pemimpinnya adalah Khalifah. Dalam isu-isu seperti ini, lelaki telah diberi hak oleh Allah untuk memikulnya. Semua kedudukan ini memanglah bukan hak untuk wanita menurut hukum syara’. Ketidakadilan hanya berlaku apabila hukum Allah mengenai hak wanita dilanggar. Sebagai contoh, apabila wanita tidak diperkenankan utnuk memberikan sebarang pendapat atau masukan didalam pembuatan keputusan, atau apabila wanita tidak diperkenankan untuk menasihati pemimpin jika pemimpin tersebut menyalahi syariat Allah. Meletakkan label ‘zalim’ apabila wanita tidak dibenarkan menduduki kerusi-kerusi yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai hak keatas lelaki merupakan satu label yang hanya memanifestasikan kejahilan dan penolakan urusan Allah didalam penetapan ini. Wanita tetap bebas menduduki kerusi-kerusi ‘kepimpinan’ yang lainnya selama ia tidak bertentangan dengan hukum Allah sebagai contoh sebagai ketua di jabatan-jabatan negara yang tidak berkaitan dengan aspek pemerintahan.

Demikianlah contoh penyelesaian permasalahan wanita menurut pandangan Islam. Penyelesaian permasalahan wanita dengan penerapan syariat Islam dalam kehidupan tidak hanya menjamin keadilan bagi wanita, tetapi juga menjamin keadilan bagi seluruh anggota masyarakat. Itulah penjaminan keadilan yang hakiki.

SATU PERSOALAN KEPADA KITA.

Hipokrasi barat dalam ‘memperjuangkan’ hak wanita adalah merupakan suatu kejelasan yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Kenapakah Barat tidak melabelkan Yvonne Ridley, muslimah yang memeluk Islam setelah beliau ditangkap di Afghanistan dan mengatakan bahawa kekeluargaan Islam adalah yang terbaik, sebagai “a good Muslim”? Ramai lagi wanita barat yang memeluk agama Islam dan memperjuangkan Islam di negara barat – ada yang begitu lantang memperjuangkan nasib mereka yang memakai tudung di sekolah-sekolah di Perancis – namun, apa yang mereka katakan sebagai “a good muslim” adalah seorang wanita dari Malaysia yang tidak menutup aurat dan berjuang selari dengan mereka yang ingin menjatuhkan Islam!

Wahai kaum muslimin, selama kita memperjuangkan Islam, kita tidak memerlukan ideologi selain darinya sebagai neraca kehidupan, untuk kesejahteraan lelaki dan wanitanya. Apa yang diperlukan adalah pemahaman dan penerapan hukum Allah yang mulia melalui Daulah Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah yang wajib kita perjuangkan – yang telah sejak begitu lama memperjuangkan hak wanita dan telahpun terbukti, ketika ia masih berdiri, berjaya meletakkan wanita sesuai dengan kedudukannya sebagai muslimah yang dimuliakan Allah. Bukanlah sekadar perjuangan murahan yang mengemis kepada idea barat dengan berlabelkan Islam dan ingatlah sistem kapitalis barat sendiri telah gagal untuk memartabatkan wanita, yang sehingga hari ini terus dijualbeli – apakah layak pemikiran seperti ini diambil sebagai sandaran untuk mengembalikan hak-hak wanita???

Wallahua’lam