SN032 – MERDEKA : Kenapa, Tak Percaya?
SN Keluaran 2005
[SN032] “Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan lima puluh tujuh, hari yang mulia, hari bahagia, sambut dengan jiwa yang merdeka!” Begitulah antara senikata salah sebuah lagu patriotik yang kerap berkumandang di corong-corong radio di sepanjang bulan ini (Ogos) – bulan yang lebih dikenali sebagai ‘Bulan Kemerdekaan’. Di samping itu berbagai acara akan dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta untuk meraikan bulan keramat ini. Bermula dengan kempen Kibarkan Jalur Gemilang yang bermula pada malam 17hb Ogos 2005 yang pelancarannya telah dilakukan di Danga Bay, Johor Bahru. Upacara ini telah dirancakkan dengan kehadiran Mawi (juara AF3) yang berduet bersama diva popular tanah air, Siti Nurhaliza bersama para pemimpin negara. Ia akan berakhir pada pagi 31hb Ogos 2005 dengan upacara Perarakan Hari Kebangsaan Yang Ke-48 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Di pihak swasta pula, masing-masing akan mengambil kesempatan dari mood perayaan ini dan Karnival Membeli-Belah untuk melariskan jualan dan meningkatkan keuntungan dengan mengadakan pelbagai promosi jualan sebagai strategi pemasaran mereka.
Namun perlu diingat, suasana yang ingin diwujudkan sepanjang bulan ini, melalui kempen-kempen yang dianjurkan itu, sekiranya tidak sejalan dengan sebuah pemikiran mendasar (akidah Islam) akan mengakibatkan kita tenggelam dalam semangat patriotisme dan nasionalisme yang asing bagi Islam dan hanyut dalam realiti yang penuh kepalsuan. Semoga Allah menyelamatkan umat ini dari perkara tersebut.
Sautun Nahdhah kali ini ingin mengajak pembaca untuk membicarakan erti kemerdekaan secara kritis supaya realiti apa yang dipanggil sebagai ‘kemerdekaan’ itu dapat kita fahami secara benar. Semoga kefahaman dan persepsi yang benar terhadap kemerdekaan ini akan menjadi penampan kepada kita dalam menghadapi suasana hidup yang rosak (kerana tidak diatur oleh Islam) dewasa ini.
Evolusi Penjajahan Dari Fizikal Kepada Mental.
Penjajahan pada mulanya berlaku dalam bentuk fizikal yang kerap kali dimanifestasikan dengan kekerasan keatas penduduk tempatan di mana mereka (penjajah) mengerahkan kekuatan untuk membunuh dan merompak kekayaan yang ada. Penjelajahan dan penjajahan pada waktu itu didominasi oleh tujuan untuk mendapatkan kekayaan, kemuliaan dan penyebaran agama Kristian. Slogan mereka di kala itu adalah ‘Gold, Glory, and Gospel’ (Kekayaan, Kebesaran, dan Agama Kristian). Perkara inilah yang dibayangkan oleh sejarawan Amerika, Dagobert Runes, yang berkata;
“Penjajah-penjajah pada abad ke 15, 16 dan 17 menamakan diri sebagai pembawa berita gembira (Misionari) dan penjelajah, sebenarnya mereka adalah perompak-perompak buas dan serakah yang menggunakan bendera salib pada haluan kapal serta tengkorak orang kulit hitam di atas tiang kapal. Para penjajah abad ke-18 dan 19 adalah pemburu hamba sahaya dan cita-citanya adalah untuk menyedut kekayaan dan berlumba-lumba memperolehi pasaran baru, mineral baru dan ladang baru dengan cara yang tidak berperikemanusiaan” [Crosscut Through History].
Setelah Revolusi Perancis meletus, perubahan paradigma telah berlaku yang meletakkan Barat selangkah ke hadapan berbanding dengan negeri-negeri di belahan dunia yang lain. Peningkatan taraf berfikir mereka ini telah mencetuskan Revolusi Perusahaan pada awal abad ke 19, seterusnya telah membawa Barat menganuti sebuah ideologi yang memotivasikan mereka untuk mengembangkan idealisme dan pengaruhnya. Penjajahan fizikal dan mental telah diterapkan di tanah-tanah jajahan mereka. William Jevons mengungkapkan tentang dominasi British pada tahun 1865.
Katanya,
“Tanah Amerika Utara dan Russia telah menjadi ladang jagung kita, Chicago dan Odessa adalah jelapang bijirin kita, Kanada dan Baltik hutan kita, Australia mengandungi kawasan ternakan biri-biri kita, Argentina dan bahagian Barat Prairie Amerika Utara terdapat kumpulan kerbau kepunyaan kita, Peru mengirim peraknya dan emas dari Afrika Selatan dan Australia mengalir ke London; orang Hindu dan Cina menanam teh untuk kita, sementara kopi, gula dan ladang rempah kita kesemuanya berada di kepulauan Hindia. Sepanyol dan Perancis merupakan ladang anggur kita, dan Mediterranean menjadi dusun buah-buahan kita, dan ladang kapas kita, yang selama ini berada di Amerika Selatan, kini diluaskan di mana-mana jua rantau dunia” [Paul Kennedy, Rise and Fall of Great Powers].
Penyebaran agama Kristian tidak penting lagi bagi mereka. Apa yang dipikul selepas itu adalah ideologi Kapitalis. Di setiap tanah jajahan, para imperialis Barat akan berusaha menerapkan budaya yang dilahirkan oleh ideologi ini kepada anak negeri jajahan mereka. Ideologi inilah yang dijadikan sebagai kepimpinan pemikiran (qiyadah fikriyah) yang mampu untuk memimpin pemikiran anak-anak tanah jajahan. Di negeri-negeri kaum Muslimin misalnya, Barat telah berjaya mempopularkan pendapat yang melihat bahawa Islam itu hanya sekadar ajaran yang berkisar kepada hubungan manusia dengan Allah (kerohanian) semata-mata. Sehingga dengan berpandangan sedemikian, Islam itu tidak layak dijadikan tuntunan dalam kehidupan. Sebelum pandangan dan pendapat sesat seperti ini dapat diterima, anak-anak tanah jajahan ini perlu dipisahkan dari kekayaan pemikiran yang diwariskan oleh generasi sebelum mereka. Strategi yang dilakukan terhadap pemikiran ini ialah ia perlu diburuk-burukkan dengan menanam benih-benih yang mengandungi sifat-sifat yang negatif terhadap pemikiran tersebut. Disamping itu, pemikiran yang dibangunkan berdasarkan ideologi kapitalisme ditonjolkan sebagai pemikiran yang ideal dan sesuai dengan zaman moden. Kedatangan kaum Barat ke negeri-negeri jajahan digambarkan sebagai pembawa rahmat kemodenan kepada anak-anak tanah jajahan. Britain adalah salah satu negara penjajah yang pakar dalam kaedah ini. Sehingga kini, negeri-negeri yang pernah berada di bawah jajahan British masih menyayangi bekas tuan mereka ini. Buktinya dapat kita saksikan melalui sokongan dan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh negara-negara bekas jajahannya yang digelar sebagai Negara-Negara Komanwel.
Kemerdekaan Negara Bangsa Sebagai Kesinambungan Penjajahan.
Jika umat Islam menggunakan ketajaman fikiran mereka dalam menatap lembaran sejarah, nescaya mereka akan dapat mengesan rancangan musuh-musuh mereka (Barat) yang memperalatkan kalimah keramat ‘kemerdekaan’. Slogan ini dilaungkan tidak lebih hanya sebagai topeng untuk menutup kelicikan politik supaya dapat mengekalkan hegemoni mereka di negeri-negeri umat Islam.
Wahai kaum muslimin,
Episod pilu sejarah keruntuhan Negara Khilafah Uthmaniah seharusnya mendedahkan kepada kita bagaimana liciknya Barat mempergunakan seruan ‘kemerdekaan’ kepada rakyat negeri-negeri yang bernaung di bawah Kekhilafahan Uthmaniyah. Ini adalah bagi menjayakan cita-cita mereka untuk menghancurkan institusi Khilafah yang merupakan benteng akhir umat Islam dalam melindungi agama dan kepentingan kaum muslimin. Seterusnya, di atas puing-puing keruntuhan Khilafah tersebut, mereka berebut-rebut menancapkan dominasi mereka ke atas wilayah kaum muslimin yang telah bercerai-berai itu. Cebisan-cebisan wilayah yang kaya dengan sumber alam ini akhirnya menjadi pembekal bahan mentah kepada Barat untuk melicinkan jentera industri mereka dan sebagai lokasi pasaran untuk dilonggokkan barangan yang dihasilkan oleh industri mereka.
Umat Islam adalah umat yang satu – bebas dari (pengaruh dan kekuasaan) umat yang lainnya. Begitulah ungkapan indah yang termaktub dalam Piagam Madinah yang dimeterai oleh Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam bersama-sama penduduk Madinah al Munawarah. Dikala British dan Perancis ingin menghancurkan Daulah Islamiyah, mereka telah memecahkan kesatuan ini melalui doktrin pecah dan perintah (divide & rule) dengan meniupkan semangat nasionalisme dan patriotisme kepada rakyat Daulah Uthmaniah. Di Semenanjung Arab melalui agen mereka, T E Lawrence, mereka mengobarkan semangat nasionalisme Arab. Mereka menyebarkan persepsi bahawa bangsa Arab adalah lebih mulia berbanding bangsa Turki. Oleh itu kekhilafahan seharusnya berada di tangan mereka. Maka tampillah Syarif Husain, gabenor Mekah, ke hadapan untuk mengetuai pemberontakkan memerdekakan Semenanjung Tanah Arab dari Khilafah Uthmaniyah dengan dokongan British. Di kalangan bangsa Turki pula melalui golongan Turki Muda, yang mana kebanyakkan para pemimpin mereka adalah merupakan ahli Freemason, disebarkan fahaman nasionalisme Turki sehingga dengan semangat tersebut bangsa Turki melihat bahawa mereka sepatutnya hanya mengambil berat terhadap kepentingan bangsa mereka sahaja dan meminggirkan kepentingan kaum muslimin yang lain. Oleh itu, institusi Khilafah yang merupakan payung kepada seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa itu tidak perlu dipertahankan lagi.
Fahaman pemisahan (kemerdekaan) juga dihembuskan oleh negara-negara Barat melalui idea nasionalisme ke negeri-negeri Balkan (seperti Serbia, Montenegro, Bosnia-Herzegovina, Crotia, Albania, Kosovo, Bulgaria, Hungari, Romania, dan Cyprus) sehingga akhirnya wilayah tersebut berjaya di’MERDEKA’kan (dipisahkan) dari Khilafah Uthmaniyah. Akhirnya akibat dari bersemaraknya api nasionalisme yang ditiupkan oleh Barat, maka Khilafah menjadi lemah kerana pemisahan (bagi Barat ini dipanggil ‘kemerdekaan’) wilayah-wilayah ini dari tubuh Khilafah. Babak kesengsaraan Khilafah Uthmaniyah yang malang kerana rakyatnya dirasuk fahaman asing yang dibawa oleh Barat, seperti nasionalisme, liberalisme, dan demokrasi, diakhiri dengan keruntuhan institusi tersebut yang secara rasminya telah dimakamkan oleh Mustafa Kamal pada 3hb Mac 1924.
Berkenaan dengan peranan Barat dan kebodohan para pengkagum mereka yang membawa malapetaka kepada umat dan institusi Khilafah yang memayungi mereka, Sultan Abdul Hamid II (1842-1918 M), yang menulis ketika pengasingan baginda setelah dilucutkan jawatan Khalifah Kaum Muslimin oleh musuh-musuh politiknya mengatakan:
“Sekarang aku akan memperhatikan hal yang lebih menghairankan lagi: generasi baru Uthmaniyah dan organisasi Turki Muda yang sentiasa mengunjungi negara-negara besar (Barat) yang memiliki cita-cita untuk mencabik-cabik dan menghancurkan negara Uthmaniyah. Dari sini dapat dipastikan bahawa para pemuda tersebut adalah agen-agen negara-negara besar!! Andai mereka melaksanakan keinginan negara-negara tersebut, maka itulah yang akan mengakhiri perjalanan negara Uthmaniyah!! Dan apabila pendengaran mereka tidak sejalan dengan ucapan negara-negara besar tersebut, maka itu pulalah yang menjadi penghancur negara Uthmaniyah!!!” [Dr. Muhammad Harb, Catatan Harian Sultan Abdul Hamid II]
Di belahan dunia sebelah sini pula, kemerdekaan yang diberikan oleh British kepada Tanah Melayu adalah untuk mengekang pengaruh Amerika Syarikat dan negara-negara Sosialis, seperti China dan Soviet Rusia. Pada masa yang sama, melalui kelicikan politik, mereka memastikan Tanah Melayu tidak sekali-kali terlepas dari pengaruh mereka. Perlu kita sedari bahawa pada pasca Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat dan negara-negara Sosialis berusaha giat untuk merampas dominasi negara-negara Penjajah Lama (British, Perancis, dan negara Eropah yang lainnya) ke atas tanah-tanah jajahan. Pada penghujung Perang Dunia Kedua telah timbul kesimpulan yang jelas kepada orang-orang yang memahami percaturan politik dunia iaitu pejajahan mesti dihapuskan lantaran serangan Rusia ke atas sistem Kapitalis yang mereka nyatakan sebagai “puncak tertinggi Kapitalis adalah penjajahan”. Rusia telah memulakan serangan keatas sistem Kapitalis dan imperialisme Barat, memotivasikan penduduk tempatan untuk menggerakkan revolusi menentang penjajah dan merancang berbagai peristiwa yang cukup melemahkan Barat. Dalam masa yang sama, Amerika yang menjadi semakin licik dalam aktiviti politiknya mula menggunakan idea ‘kemerdekaan’ dalam memotivasi wilayah yang berada di bawah pengaruh British (yang merupakan saingan politiknya yang utama pada masa itu) untuk melepaskan diri mereka. Wilayah-wilayah ini setelah merdeka akan berada dibawah pengaruh Amerika dalam usahanya untuk mengambil alih kedudukan Inggeris sebagai pemimpin ideologi Kapitalisme dan dunia bebas (free world). Dalam senario percaturan politik kuasa-kuasa besar inilah akhirnya Persekutuan Tanah Melayu diberi kemerdekaan oleh Inggeris, pada 31hb Ogos 1957, setelah dapat dipastikan bahawa ia akan terus berada di bawah pengaruhnya.
Kemerdekaan Islam Kemerdekaan Hakiki.
Kemerdekaan adalah sesuatu yang mulia dan dituntut oleh Islam. Kedatangan Islam itu sendiri membawa misi untuk memerdekakan manusia dari ketundukan kepada makhluk kepada ketundukkan secara mutlak kepada al Khaliq. Inilah yang menjadi jatidiri para sahabat radiAllahu ‘anhum yang telah diasuh oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Inilah juga yang digambarkan dalam jawaban yang dikemukakan oleh Rab’i bin Amir, Hudzaifah bin Mihshin, dan Mughirah bin Syu‘bah ketika ditanya oleh Panglima Rustum secara bergantian pada hari yang berbeza di Peperangan Qadisiyah. Rustum bertanya, “Apa yang menyebabkan kalian datang ke sini?” Mereka menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan siapa sahaja yang mahu dari penghambaan kepada hamba menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju keluasannya, dan dari kezaliman agama-agama selain Islam menuju keadilan Islam….” [Tarikh at-Thabari, II/401, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut]
Misi Islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya juga tergambar secara jelas dalam firman Allah Subhanahu wa Taala:
”Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya. Adapun orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah setan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya menuju kegelapan” [TMQ al-Baqarah (2): 256]
Ayat ini menunjukkan bahawa syariat yang diturunkan oleh Allah akan membebaskan manusia dari kegelapan menuju cahaya; dari kegelapan kekufuran ideologi dan sistem Kapitalisme-sekular mahupun Sosialisme-komunis menuju cahaya iman, iaitu ideologi dan sistem Islam. Inilah kemerdekaan yang sebenar – kembalinya Umat Islam ke pangkuan Sistem Islam sepenuhnya, bukannya mengabdikan diri kepada sistem buatan manusia, perlembagaan kufur dan dasar-dasar kufur. Secara fizikalnya kita nampak umat Islam merdeka dari penjajahan tetapi sebenarnya pemikiran mereka masih lagi dijajah. Oleh itu, umat ini memerlukan kemerdekaan pemikiran. Setelah itu, barulah kemerdekaan sebenar dapat dicapai.
Inilah kemerdekaan hakiki yang akan diwujudkan oleh Islam. Sesungguhnya, Islam sahajalah yang akan membebaskan manusia dari penghambaan kepada manusia menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju kelapanganNya, dan dari kezaliman agama dan ideologi selain menuju keadilan Islam. Kemerdekaan hakiki inilah yang semestinya kita usahakan untuk diwujudkan, yang mana untuk meraihnya, perlulah dipastikan perkara-perkara berikut dapat direalisasikan oleh kita semua:
Pertama: Meletakkan kedaulatan hanya milik Allah semata, iaitu milik syariah, bukan di tangan manusia.
Kedua: Menerapkan syariat Islam. Kedaulatan milik Allah itu hanya akan terwujud secara praktik dengan terterapnya syariat Islam. Penerapan syariat Islam di tengah-tengah kehidupan akan membebaskan manusia dari segala bentuk penjajahan. Oleh kerana itu, semua pihak sewajarnya meletakkan penerapan syariat Islam secara kaffah sebagai agenda utama mereka. Mengamalkan syariah dalam kehidupan peribadi, masyarakat, dan negara merupakan kewajiban setiap individu Muslim sekaligus merupakan bentuk kemerdekaan yang hakiki.
Ketiga: Membakul-sampahkan ideologi dan sistem Kapitalisme-Sekular mahupun Sosialisme-Komunis, yang merupakan ideologi buatan manusia dan ini sekaligus akan menolak segala bentuk penjajahan. Kita juga mesti mencampakkan akidah sekularisme dan semua pemikiran yang dilahirkannya seperti liberalisme, pluralisme, demokrasi dan sebagainya sejauh-jauhnya. Kita juga mesti menolak segala bentuk campur tangan dan penjajahan asing dalam mengatur kehidupan kita dan berusaha untuk mewujudkan kemandirian di dalam segenap bidang.
Wahai kaum Muslim,
Sudah tiba masanya kita memerdekakan diri. Sudah saatnya kita bangkit dan bersatu menerapkan syariat Islam. Juga sudah sampai ketikanya kita mewujudkan kepemimpinan yang Islami dengan menegakkan kembali institusi Islam, iaitu Khilafah Islamiyyah. Khilafah Islamiyyah inilah yang akan membawa kita menuju kemerdekaan yang hakiki, menghambakan diri kita hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata.
Diharapkan selepas ini apabila kita diajukan pertanyaan; “Malaysia sudah merdeka…..kenapa tak percaya?” Berdasarkan petunjuk Islam, InsyaAllah, kita akan dapat menjawabnya dengan penuh keyakinan. Wallahu a’lam bi ash-shawab.