Malaysia mula laksana amanat Obama
Belum pun sampai sebulan Presiden Amerika Syarikat (AS) kembali ke tanahairnya, Malaysia sudah mula mengorak langkah memperkemas usaha menangani terrorisme dan ekstremisme. Selama lawatannya ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 20-22 November lepas, presiden negara penjajah itu tidak habis-habis berkokok mengenai terrorisme, apatah lagi sejurus sebelum menjejakkan kakinya ke sini, Paris baru sahaja dibom oleh kumpulan ISIS yang dikatakan mengaku bertanggungjawab.
Walaupun bergelar tuan rumah, namun Malaysia bukanlah “tuan” apabila berhadapan dengan AS kerana AS-lah yang merupakan “tuan” yang sebenar kepada Malaysia. Lihat sahaja sambutan dan layanan sepuluh bintang kepada Obama dan segala kekuatan polis dan tentera dikerah untuk menjaga keselamatan pembunuh umat Islam itu! Apabila berada di Malaysia, bumi Malaysia ini seolah-olah menjadi milik Obama yang mana dia boleh melakukan apa sahaja dan Malaysia mesti tunduk kepadanya!
Selain bercakap tentang kerjasama perdagangan dan hubungan diplomatik, kerjasama melawan terrorisme dan ektremisme menjadi agenda penting Obama dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini. Inilah “amanat” yang ditinggalkan Obama untuk Malaysia, yakni untuk mengeratkan lagi hubungan dengan Amerika dalam usaha menangani pengganas dan memerangi siapa sahaja yang dicop oleh AS sebagai pengganas, yang sudah tentu dari kalangan umat Islam!
Bagi menjalankan amanat Obama ini, satu seminar “Negara islam: Jihad VS Militan” telah diadakan oleh Majlis Keselamatan Negara yang telah dirasmikan oleh Timbalan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Sebanyak lima resolusi telah diluluskan dengan menggariskan langkah-lankah yang boleh diambil oleh kerajan untuk mengekang penglibatan orang Islam dalam aktiviti yang menggalakkan ekstremisme dan keganasan.
Dalam seminar tersebut, Nur Jazlan memaklumkan yang kerajaan melantik 24 pakar rujuk deradikalisasi dan antikeganasan tempatan untuk membantu menangani isu radikalisme dan sikap militan secara holistik di peringkat nasional dan global. Selain itu, Nur Jazlan berkata Kementerian Dalam Negeri akan menganjurkan “Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Faham Pelampau Ganas” pada 25 dan 26 Januari 2016 dengan pakar dan wakil dari 19 negara dijemput untuk berkongsi pengalaman serta bertukar idea dalam menangani masalah radikalisme dan sikap militan.
Inilah langkah awal kerajaan Malaysia dalam menunaikan amanat Obama. Menangani terrorisme, ektremisme dan radikalisme nampaknya telah menjadi fokus utama KDN dalam rangka membuktikan kesetiaan Malaysia kepada Obama.
Di sepanjang seminar tersebut, ISIS dijadikan contoh sebagai gerakan pengganas yang menjadi sasaran untuk dihapuskan. Walhal realitinya, Amerika dan Barat bukanlah memerangi ISIS, tetapi memerangi siapa sahaja umat Islam yang tidak sejalan dengan kehendak Barat.
Jika dulu Amerika selalu menggembar-gemburkan Taliban dan al-Qaeda sebagai pengganas, kini dengan “kematian” Osama bin Laden, tumpuan Amerika beralih pula kepada ISIS. Kewujudan ISIS telah memberi kredit kepada Amerika untuk mereka menjaja bahawa perang melawan keganasan masih belum berakhir dan sentiasa relevan. Walhal realitinya, atas nama menyerang ISIS, Amerika dan Barat telah membunuh ribuan umat Islam yang terdiri daripada orang-orang awam yang tidak berdosa. Sesungguhnya ISIS bukanlah target mereka, tetapi Muslim!
Inilah realitinya dan inilah apa yang dimahukan oleh Amerika selaku musuh umat Islam yakni memerangi siapa sahaja daripada kalangan umat Islam yang tidak sehaluan dengannya dan inilah amanat yang Obama tinggalkan selepas Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini. Sungguh malang apabila Malaysia bersungguh-sungguh menunaikan amanat Amerika dalam hal ini yang memberi maksud siapa sahaja yang tidak sejalan dengan kehendak Amerika dan kehendak kerajaan, sudah pasti akan menjadi mangsa atas nama memerangi keganasan, ekstremisme dan radikalisme!